Wednesday, March 18, 2009

Perpaduan Melayu: Retorik Atau Realiti? (1)

"What do you think of Malay unity?"; satu soalan, satu pagi, satu individu, satu sentakan.

Terus terang, perkara pertama yang tiba di benak otak ialah; "No... not again..." :)

Bukanlah kerana saya malu mengaku saya berbangsa Melayu. Bila mengisi borang yang berkehendakkan saya menulis 'Bangsa', saya selalunya akan meletakkan 'Melayu Malaysia' atau 'Malaysian Malay'. Mungkin itu boleh dikatakan testimonial paling daif bahawasanya saya belum melupakan asal usul turunan moyang.

Bukanlah juga kerana saya lebih cenderung terhadap pembentukan 'Bangsa Malaysia'. Atau kerana terpengaruh dengan kenyataan seorang Menteri yang mati-mati mengiyakan bahawa 'Bangsa Malaysia' telah sedia wujud sejak berpuluh tahun dahulu.

Tapi kerana saya sudah terlalu kerap diajukan soalan tadi. Belum termasuk seruan-seruan yang sering dilaung dengan fanatik di dada akhbar, majlis-majlis, kain-kain rentang dan akhir-akhir ini, di jalanan.

Namun pertanyaan di satu pagi tersebut telah membuat saya terfikir dari beberapa perspektif lain.

Bagaimanakah jika kepentingan Perpaduan Melayu sebenarnya melangkaui objektif survival bangsa, ekonomi, politik dan secara mutakhirnya, syiar Islam di Malaysia?

Bagaimanakah jika hakikatnya segala masalah polarisasi kaum dan krisis identiti yang dialami Malaysia sejak 1957 sebenarnya banyak berkait rapat dengan 'kegagalan' bangsa Melayu untuk bersatu?

Bagaimanakah pula jika pembentukan Bangsa Malaysia hanya akan terlaksana andaikata bangsa Melayu mengenepikan segala 'perbezaan' yang wujud dan seterusnya berumpun di bawah satu suara, satu payung, satu laung?

Bagaimanakah jika telah tertulis di Luh Mahfuz bahawasanya rumpun Melayu sedunia hanya akan bergabung padu bila Perpaduan Melayu di Malaysia menjadi satu realiti?

Ini bukanlah satu subjek yang mudah. Tapi saya pasti ianya berbaloi untuk difikir dan dikupas.

Jadi izinkan saya yang daif ini...

No comments: