Friday, March 20, 2009

Perpaduan Melayu: Retorik Atau Realiti? (2)

"Kenapa siput babi bergerak lambat?"; satu soalan teka teki berbunyi.

"Sebab dia masih ingat dia siput babi..."; jawapannya berbunyi.

Ketepikan fakta saintifik seketika. Siput babi akan tetap menjadi siput babi walau bagaimana sekalipun diperelok dengan enjin Turbo. Siput babi mungkin berevolusi menjadi siput laju andai diberi masa berjuta atau berbilion tahun lagi, kerana evolusi mengambil masa yang lama.

Dalam artikel 'Simpati Untuk Melayu Islam', saya ada menulis:

"Selama ini kita sering menyalahkan masyarakat Melayu sendiri terhadap 'kemunduran', 'kemalasan' atau 'mentalilti dunia ketiga' yang dikatakan dipunyai orang kita. Namun tidak ramai dari kita yang mempunyai realisasi bahawa produk pemikiran sesuatu bangsa adalah hasil dari persekitaran dan ide yang dibina dan sering disuap oleh orang atasan ke dalam anak tekak mereka. Kita sebenarnya seakan 'dipaksa' berfikir mengikut aliran tertentu"

Dalam bahagian kedua artikel yang sama pula, saya tebak:

".... jika kita selalu sangat melabelkan 'Melayu Bodoh', 'Islam Fanatik', 'Pengebom Takut Hidup Mangkuk Hayun' dan sebagainya lama kelamaan mereka yang dilabel itu akan percaya bahawa itulah sebenar gambaran dirinya. Walaupun setelah berusaha mati matian membuktikan dirinya pandai, namun jika semua usaha mereka itu masih dianggap sebagai 'bodoh' mana tahu lama kelamaan beliau akan berputus asa dan memetrai ayat di kepalanya yang berbunyi; "Ya... aku MEMANG bodoh".

Apabila ini berlaku --- apabila putus asa telah bersarang --- ketika itu buatlah apapun, belanjalah berbilion lemon untuk kempen memandaikan orang kita sekalipun, kita akan tetap menyangka diri kita 'bodoh'.

Kini saya lebih gemar menggunakan terma 'Melayu memiliki potensi dan banyak ruang untuk memajukan diri'...."

Mungkin telah tiba masanya bangsa Melayu berhenti mencemuh bangsanya sendiri walau betapa terdorong sekalipun kita apabila ditemukan dengan situasi dengki-mendengki, lembab-melembab, tikam-menikam atau cucuk-mencucuk.

Sebaliknya kita harus mula menyebarkan kisah-kisah yang menginspirasi, membangkitkan ruh, melonjakkan semangat (untuk maju, bukan untuk membenci pihak lain) dan pantas meresapkan rasa bangga.

Siput babi mungkin berevolusi menjadi siput laju andai diberi masa berjuta atau berbilion tahun lagi, kerana evolusi mengambil masa yang lama.

Namun proses transformasinya harus bermula sekarang.

Hari ini.

No comments: