Saya sememangnya tidak begitu cenderung menulis novel fiksyen. Jika diamati penulisan saya selama ini, baik di laman maya atau di media bercetak, kebanyakannya adalah berbentuk bukan fiksyen (non-fiction).
CHANTEK, karya pertama saya dalam bentuk buku 'coffee-table' juga merupakan sebuah karya bukan fiksyen. Malah pada saya, CHANTEK lebih akrab jika diklasifikasikan sebagai karya seni bacaan konseptual daripada bukan fiksyen konvensional yang sarat berisi fakta.
Dalam bulan Februari 2009, saya dan Rosie & Partners Sdn Bhd telah diberi kepercayaan menghasilkan editorial untuk buku 'Memulakan Perniagaan: Panduan Langkah Demi Langkah' oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Memang diakui mulanya saya agak berat untuk menerima tugasan tersebut memandangkan 'deadline' yang hampir tidak munasabah dan komitmen terhadap tugasan-tugasan sedia ada.
Namun setelah mengetahui yang saya akan banyak menulis berkenaan subjek yang sememangnya telah menjadi 'makanan' saya selama 15 tahun - Penjenamaan, Komunikasi Korporat dan Pemasaran (juga setelah didesak bertubi-tubi oleh Rosie Nasaruddin, rakan niaga saya) - akhirnya saya bersetuju juga.
Pendekkan cerita, pada hari ini, cetakan pertama buku tersebut sedang saya genggam!
Buku 'Memulakan Perniagaan: Panduan Langkah Demi Langkah' ini ditulis dengan bahasa semudah mungkin dengan berpaksikan kepada golongan 'laymen' sebagai pembaca sasar. Umumnya ia diharap mampu menjadi bimbingan asas untuk usahawan-usahawan impian yang ingin memulakan perniagaan namun kurang pasti bagaimana dan di mana mahu bermula.
Walaupun menggunakan bahasa yang mudah (mereka yang biasa membaca tulisan saya tentu sudah maklum stail penulisan saya kan, ahakss!!!), namun ia sarat berisi fakta dan tips komprehensif dari mencari inspirasi akan bentuk perniagaan yang ingin diceburi kepada membangunkan Rancangan Perniagaan, mendaftarkan syarikat hinggalah cara memohon bantuan kewangan. Tidak cukup dengan itu, contoh borang-borang pendaftaran dan alamat-alamat perhubungan organisasi penting juga ada disertakan untuk rujukan.
Penulisan ini bukanlah hasil kederat saya seorang. Ianya merupakan gerak kerja berpasukan dinamik di antara saya, Rosie dan Lisya Ramly. Tentunya tidak melupakan barisan tenaga kerja SMIDEC terutamanya YBhg Dato' Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif organisasi berkenaan yang tekun meneliti setiap perkataan, bait dan ayat serta memberi input berguna untuk melazatkan lagi santapan yang dihidangkan.
Editorial buku ini adalah hasil Rosie & Partners Sdn Bhd manakala rekabentuk dan produksinya oleh Salt Shakers Sdn Bhd.
Saya difahamkan bahawa cetakan pertama buku ini akan diedarkan kepada semua perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ke 59 yang akan berlangsung bermula esok, 24 Mac 2009 hingga 28 Mac 2009.
Oleh itu saya dengan rendah diri meminta Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang menerima senaskhah buku ini dalam beg cenderahati masing-masing agar dapat menelaahnya bila kelapangan dan memberi komen membina untuk saya menajamkan lagi skil penulisan ini di masa hadapan.
Kesimpulannya, selepas ini saya akan memperbanyakan penulisan genre bukan fiksyen!
2 comments:
encik asrul, dimana saya boleh dapatkan buku ini?
landaklaut: Buat masa ini, ia cuma boleh didapati di library SMIDEC kat Menara MATRADE, Jalan Duta. RM39.90 senaskhah.
Untuk pertanyaan, boleh hubungi 03-62076000
Post a Comment