Friday, December 25, 2009

Kongsi Tak Nak Kongsi

Nota: Artikel ini saya tulis pada bulan Jun 2006 ketika hebohnya isu 'pengharaman' perayaan Kongsi Raya seperti yang disarankan oleh YBHG Datuk Seri Harunssani Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Persidangan Ulama' 2006.

Nukilan ini merupakan bahagian pertama dari sebuah trilogi. Bahagian Kedua boleh didapati di sini. Manakala Bahagian Tiga pula merupakan antara artikel saya yang agak tersebar dan dikecam di Web.

Saya poskan semula di sini kerana mungkin ianya relevan dengan pandangan segelintir ulama' bahawa mengucapkan 'MERRY CHRISTMAS' boleh membuatkan seseorang Islam itu 'rosak akidahnya'.

Walau bagaimanapun, MERRY CHRISTMAS!!! :)

--------------------------------------------

Dalam akhbar-akhbar hari ini, PAS telah menyatakan pendiriannya yang juga tidak bersetuju agar amalan "Kongsi Raya" diteruskan. Ianya bertitik-tolak dari kenyataan yang dilakukan oleh YBHG Datuk Seri Harunssani Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Persidangan Ulama' 2006 pada hari Selasa lepas. Dan semalam saya juga menerima emel mengenai kenyataan persatuan BADAI (Persatuan Anti-IFC... dah register ke belum persatuan ni?) yang juga tidak menyetujui acara Kongsi Raya tersebut.

Apa yang dapat kita baca sebenarnya dari tindakan-tindakan, gesaan-gesaan dan usulan-usulan ini?

EKSKLUSIVITI

Dalam bidang kerja saya, media akan memberikan suatu liputan 'eksklusif' terhadap sesuatu wadah berita yang mempunyai isi (dan mampu melariskan penjualan akhbar/majalah mereka). Dari segi pengiklanan pula, eksklusiviti akan diberikan kepada penaja yang sanggup membayar paling banyak.

Seperti sejak dahulu lagi, memang ada golongan dalam mana-mana agama sekalipun (Islam tidak terkecuali) yang inginkan eksklusiviti. Dalam konteks "Islam adalah agama yang benar" pada saya ia adalah benar selagi mana orang yang memilih Islam sebagai agamanya itu mengatakan ianya benar. Ini adalah kepercayaan, keimanan dan yang paling penting sekali merupakan satu pilihan.

Eksklusiviti yang diingini dalam konteks "Islam adalah agama yang benar" mungkin boleh dilaksanakan dalam kelumpuk yang mampu menampung diri mereka sendiri (self-sufficient) baik dari segi pengetahuan, kuasa ataupun ekonomi.

Tapi dalam dunia Islam hari ini yang mana agama kita adalah lemah baik dari segi pengetahuan mahupun ekonomi, "eksklusiviti" hanyalah boleh dicanang sesama penganut agama kita sendiri. Apatah lagi dalam Islam sedang menerima berbilang label prejudis dari "Teroris", "Fanatik", "Tidak Bertoleransi" dan berbagai lagi.

Islam pernah menjadi suatu agama eksklusif satu ketika dahulu sewaktu kegemilangan Empayar Islam. Sekarang tidak. Jika kita inginkan eksklusiviti sekali lagi dalam dunia hari ini, Islam perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan mengukuhkan ekonomi. Namun kalau setakat mampu menguasai ilmu agama dan menjual kerepek pisang, janganlah terlalu gah melaungkan eksklusiviti!

Untuk mewar-warkan ekslusiviti bagi Islam kepada dunia luar dan penganut agama lain sekarang ini pada saya hanyalah akan membuat orang lain ketawa dan mencebik kita sebagai PERASAN LEBIH!!! Ahaksss...

TAKUT LAGI!!!

Satu lagi dakwaan yang dilakukan ialah amalan Kongsi Raya boleh 'melanggar akidah'. Ini berbalik kepada siri artikel yang pernah saya nukilkan satu ketika dahulu berkenaan TAKUT. Membaca mengenai hiruk pikuk golongan tertentu terhadap Article 11 dan Inter Faith Commission (IFC) dan kini Kongsi Raya yang kononnya mampu melanggar akidah, saya mula menyedari betapa TAKUTnya golongan-golongan tertentu dalam Islam hari ini terhadap keluhuran agama kita sendiri.

Kita kini menampakkan bahawa penganut agama Islam sendiri seolah-olah tidak pasti dengan pegangan kita sendiri sehinggakan amalan budaya seperti Kongsi Raya sekalipun dapat membuatkan kita 'murtad'. Kita memaparkan bahawa kita merasai 'insecure'. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sendiri sedang mewar-warkan kepada penganut agama lain bahawa Islam adalah lemah.

Dalam perniagaan, kita tidak boleh menunjukkan kepada pihak yang kita sedang berunding untuk sesuatu 'deal' bahawa kita desperate dan insecure. Kerana bila kita mula menunjukkan sedemikian, kita telah hilang peluang untuk leverage dan seterusnya akan merugikan kita sendiri.

Tindakan Harunssani, PAS dan yang seangkatannya walau mungkin berniat baik sebenarnya telah MENGIYAKAN kepada musuh-musuh sebenar Islam bahawa agama kita sedang desperate dan insecure. Ini akan membuka jalan seluas-luasnya pada musuh Islam sebenar untuk terus memasukkan jarum mereka.

MUSUH ISLAM YANG SEBENAR?

Antara emel yang membuatkan saya paling rasa nak tergelak ialah yang menyeru agar kita memboikot barangan tertentu. Isi atau nawaitu sebenar pengirim mungkin baik, yakni beliau sudah muak dengan penderitaan yang dialami penduduk Palestin, Iraq dan seumpamanya yang ditindas. Jadi beliau menyeru agar diboikot barangan yang kononnya dikeluarkan oleh "Amerika" atau "Yahudi".

Tapi emel tersebut selalunya mempunyai fakta yang kadangkala nampak sangat hanya merupakan Propaganda Islam. Seperti mengatakan pengasas atau pemilik syarikat barangan tersebut sebagai Yahudi dan harus diboikot.

Pertama-tamanya walau mungkin pengasasnya seorang Yahudi namun seperti juga Islam, tak semua Yahudi terlalu fanatik dengan agama mereka. Kebanyakannya, seperti kita, lebih berminat mengukuhkan kewangan dan keuntungan syarikat dari memeningkan kepala memikir strategi untuk menjatuhkan agama lain. Malah ada antara pengasas yang disebutkan itu adalah freethinker ataupun penganut agama yang lain dari Yahudi.

Harap pengirim-pengirim artikel sebegini lebih rajin melakukan research dan memaparkan fakta yang betul di masa hadapan!

Siapakah musuh Islam yang sebenar? Pada saya mereka adalah golongan Zionis, ortodoks / fanatik agama lain, puak misionari dan juga penganut mana-mana agama lain yang juga inginkan eksklusiviti untuk agama mereka. :) Lain dari itu hanyalah musuh dari segi ekonomi, perniagaan dan sempadan geografi.

Andai kita terlalu kabur membezakan antara musuh sebenar dan musuh ilusi, kita awal-awal telahpun tewas dalam perjuangan kita.

BODOH!!!!

Saya pernah mengkritik dakwaan seorang Menteri yang mengatakan tindakan tunjuk perasaan golongan tertentu sewaktu Forum Article 11 di Pulau Pinang baru-baru ini sebagai "BODOH". Saya juga pernah menegur seorang rakan yang melabelkan orang-orang kita yang tidak mahu berusaha untuk memajukan diri walau banyak peluang disediakan sebagai "BODOH".

Untuk rekod, mereka seperti Harunssani datau Nasharuddin merupakan golongan cerdik pandai dalam bidang mereka dan saya memandang tinggi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan dan tidak jemu untuk menyebarkannya untuk manfaat orang ramai.

Namun dalam konteks kenyataan terhadap Kongsi Raya ini, saya ingin mengatakan bahawa tindakan mereka melakukan demikian merupakan TINDAKAN BODOH. Bodoh kerana mereka gagal memaklumi di mana letaknya Islam secara realiti dalam dunia hari ini.

Bodoh kerana mereka seharusnya 'educate' orang ramai akan keindahan Islam dari mencanangkan kenyataan yang mampu meluaskan jurang antara Islam dan agama lain.

Bodoh kerana dalam situasi politik negara yang agak goyah kerana kenaikan harga minyak dan barangan, mereka tidak tahu memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih sokongan terhadap parti PAS dan seumpamanya (kenyataan sebegini akan lebih membuatkan orang merasa meluat untuk menyokong mereka).

Bodoh kerana kenyataan ini dilakukan hanya selang beberapa hari setelah Presidennya mengeluarkan hujah bahawa "Islam menghalalkan demonstrasi jalanan".

Lebih dari itu, bodoh kerana ini makin mengiyakan tuduhan prejudis terhadap Islam bahawa Islam adalah agama yang mundur, bersifat perkauman, kuno dan tidak bertoleransi...

Tuesday, December 22, 2009

Jom Menulis!

Nota: Berturut dari beberapa kemaskini status Facebook yang saya kirimkan sebelum ini berkenaan 'Menulis Dari Hati', di sini saya sertakan artikel yang pernah tersiar di Yahoo!Groups sekitar bulan Oktober 2001. Saya edit sedikit untuk menjadikannya relevan dengan situasi semasa.

Beberapa 'sindiran' dalam artikel ini adalah untuk segelintir pembaca ketika itu yang hanya menunggu mana-mana karya dari saya untuk disiat-siat dalam pencarian mereka mencari salah silap dan kekurangan diri :)

------------------------------------------------

Saya perhatikan sudah ramai rakan yang semakin berani untuk tampil ke hadapan dan menyumbang. Tak kisahlah sama ada artikel sendiri atau sekadar respon terhadap mana-mana masalah rumahtangga, kesihatan, tips, dsb. This is great. Truly divine, truly awesome...

Sebagai manusia, kita perlu belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di benak fikiran kita. Buat per simpan?

Sebab macam Welcome Message Relexjap yang baru tu kata, "ide mampu merubah dunia". Setiap ide bermula dengan keinginan. Microsoft bermula dengan keinginan untuk membangunkan satu operating system untuk komputer (walaupun kemudiannya Encik Gates kita ciplak ide Encik Jobs....but that's another story), so, DOS was created. Orville dan Wilbur Wright mempunyai keinginan untuk terbang seperti burung, dan seterusnya mereka mendapat ide nak buat kapal terbang. Kalaulah dia orang masa tu tahu yang satu hari nanti ciptaan mereka akan digunakan untuk meruntuhkan 2 bangunan, mungkin mereka akan berfikir dua ribu lapan ratus tujuh puluh sembilan kali... Again, that's another story.

Keinginan dah ada, ide pun dah ada. Seterusnya kena ada usaha. Bagi saya, usaha yang pertama ialah melakar atau memahatkan ide tersebut dalam bentuk zahir...atas kertas ker, kat dinding ker, kat dahi ker atau sekadar cerita pada orang lain. Take it out.

Bila dah ader dalam bentuk zahir baru senang refer. Dan kalau-kalau dalam usaha merealisasikan ide kita tuh kita tersungkur jatuh, merujuk semula apa yang kita telah zahirkan pada awalnya itu mungkin akan membawa kita untuk bangun kembali.

Jadi keinginan dah ada (untuk meluahkan segala yang terbuku), ide dah ada (contohnya nak berkongsi pasal kisah cintan dolu-dolu) --- sekarang apa yang perlu cuma zahirkan semuanya itu di PC anda. PC? Yer...PC...yang ada kat depan muka anda sekarang. I know it's called "Monitor"...but...heck...you know what I mean. Lainlah kalau ada sedang baca nih dari kertas yang di print dari PC.... Wat? I know it's called "Printer"....ada LaserJet ada InkJet....nak carik salah orang lagi ker???? Ahaks...

Having said all that, saya BUKANLAH seorang penulis. Sayapun cuma discover (semula) minat saya terhadap penulisan selepas menyertai Relexjap pada bulan Mac 2001. Di sini ingin gak saya kongsi beberapa tips yang saya gunakan semasa menulis di Relexjap selama ini. Again, this is just personal preference. It might work well for me but not for others.

So here goes...

Tulislah Dari Hati

Yang nih bagi saya yang paling penting. Kadangkala yang kita malas sangat nak nulis tuh adalah sebab kita rasa gusar dengan ejaan, tatabahasa, gaya, metafora, prosa, perenggan, dsb. Takut silap. Takut orang gelak. Takut awek cari orang lain sebab kita fail karangan.

Wake up....!!! Kita bukan lagi tulis karangan SPM Bahasa Malaysia Kertas 1, beb!! Welcome to the REAL world...yang mana apa yang anda tulis sebenarnya adalah apa yang datang dari hati. Dan bukannya apa yang Tajuk Pilihan Exam BM suruh tulis, yang selalunya menghadkan apa yang boleh dan tak leh tulis.

Jadi, let your idea and fingers tapping the PC keyboard do the 'talking'. Tulis saja. Typ[e sajag....ja^nhgan% pefr$duli auper ota#ng katha. Tengok...ejaan saya dalam sentence sebelum nih pun salah....tapi saya tak kisah pun...sebab saya tahu yang pentingnya saya 'keluarkan' dulu apa yang nak saya kata....dengan cara saya sendiri.

Bila dah habis kering kontang semua ide dah terpahat dalam PC untuk draf pertama, aha....barulah kita refer balik apa yang kita dah tulis dan membetulkan apa yang patut. Masa nih ler nak check ejaan, grammar dan yang sewaktu dengannya.

Tapi terus terang, kebanyakan artikel yang saya hantar ke Relexjap saya terus "Send" lepas ajer habis Draf Pertama. Bila dah keluar di Relexjap baru saya check draf kedua. Kengkadang tu tension gak bila dapati ada ayat dan ejaan yang tunggang terbalik.

But to me, that's secondary. Yang pentingnya bagi saya, apa yang dah saya tulis itu datangnya 'straight from the heart', dan rasanya orang boleh paham (anda paham kan??).

Pastikan Mesej Anda Sampai Pada Pembaca

Yang nih memang saya dah argue dengan beberapa orang (bukan Relaxjappers) yang merupakan 'tokoh bahasa'. Mereka mencemuh saya kerana kononnya saya merosakkan "Bahasa Malaysia" dengan ayat yang bercampur baur dengan bahasa lain dan dailek yang tak menentu.

Rasional saya menulis gaya nih senang jer.... Relaxjap bukannya Utusan Malaysia. Atau Berita Harian. Atau Harakah (he...he...).

Rata-rata yang ada di grup ini adalah mereka yang ingin 'melepaskan penat lelah lepas kerja', untuk relex (nama grup pun Relaxjap), untuk sembang. Dan dalam masa yang sama, untuk mendapatkan sesuatu yang berguna, yang berilmiah, yang mampu meluaskan pandangan, untuk kenal mengenal, untuk cari jodoh (kepada yang berkenaan...dah jumpa ker???) dsb.

Jadi seandainya saya menulis bercitra derana bertemankan sepotong calabikang dan secawan banderik, dengan fitratullah setelah seharian mangut, mengharapkan agar camdik yang saya nukilkan mampu membanat hati dan minda yang membacanya; seraya menggunakan bahasa yang terlalu tara toloknya --- mungkin pembaca akan ridap sebelum sempat membaca perenggan kedua. Ridap kerana tak memahami sepatah haram melainkan anda sorang "walking dictionary" yang ada senaskah Kamus Dewan dalam kepala.

Buat apa menulis panjang lebar dengan terlalu berkira mengenai tatabahasa dan gaya penulisan 'canggih' kalau in the end orang tak enjoy membacanya dan mesej yang ingin anda utarakan itu GAGAL disampaikan???

Ini bukannya peraduan memilih Sasterawan Negara (walaupun mungkin ada Sasterawan Negara di kalangan kita kelak nanti....tak mustahil, kan).

So, know your audience and write accordingly.

Jangan Takut Dengan Respon Negatif

Kalau dalam dunia ni semua orang SETUJUUUU saja dengan apa yang anda tulis, mesti boring kan? Jadi expect akan ada orang yang menyenangi dan yang tak menyukai apa yang anda tulis. Ignore saja kalau ada yang kutuk maki hamun.

Tapi kengkadang seronok juga lawan perang maki hamun kat emel nih....sajer nak tengok sejauh mana keterroran mereka maki hamun. Namun kalau dah mula menyemak sampai penuh mailbox dan buat ugutan nak potong kepala, nak bakar rumah, dsb.....yang nih kita kenalah ambil tindakan. Dan bila ambik tindakan tuh, pastikan yang melebih-lebih tadi diam once and for all.....

Bukanlah nak kata saya ni pandai, tetapi kadangkala kita kena "lower down" tahap pemikiran kita untuk berfikir "sama" dengan mereka yang hanya tahu menyalak kosong tapi semua hujah yang mereka beri tu terlalu kebudakan, sempit dan takder dalil yang kukuh (esp kalau bincang bab agama). Selalunya golongan nih berpendapat mereka saja yang betul, orang lain salah. Dia orang sajer ada hak bersuara, orang lain tak boleh....

Stick to your guns.....but pull the trigger only WHEN YOU HAVE TO...

Terima Hakikat Yang Anda Bukannya Maksum

Kadangkala kita takut menulis sebab takut tersilap. Kalau berfikiran macam nih, memang kita payah nak belajar memperluaskan ilmu. Sebab salah satu cabang terpenting menimba ilmu ialah "trial and error". Kita ni manusia. Makin banyak kita ketahui makin kita sedar yang kita nih sebenarnya bodoh. Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Asalkan kita menulis berdasarkan kajian rapi yang telah dibuat, beserta hujah yang kukuh, bernas dan dari sumber yang sahih, rasanya takder apa yang perlu ditakutkan. Malah jika ada orang lain yang memberikan hujah berlawanan namun beserta hujah, fakta dan dalil yang kukuh --- anda juga akan mempelajari sesuatu darinya dan mungkin merubah pandangan anda pula.

Dulu saya quote Al Quran dengan "Firman Allah dalam ayat....surah....YANG BERMAKSUD....". Kemudian ada sorang Relaxjapper (yang sekarang pun dah 'hilang') tegur bahawa kalau nak quote Al Quran dalam bahasa lain dari bahasa asalnya, kita kena guna "...yang SEKIRA-KIRANYA bermaksud...".

Hujahnya ialah kerana adalah sukar untuk menterjemahkan isi Al-Quran itu bulat-bulat dalam bahasa lain dengan mengekalkan maksud sebenar dan gaya bahasanya. Sebab itulah translation Al Quran dalam English nampak boring....seolah-olah ayatnya repetitious. Kena paham tatabahasa bahasa Arab untuk benar-benar mengetahui keindahan bahasa dalam Al Quran. Lagipun ini untuk mengelakkan kita tersilap terjemah dan seterusnya membawa pada silap faham....sepertimana ada yang silap faham antara "jihad" dan "qatil".....

Hingga sekarang saya mengikuti teguran beliau....

Balaslah Emel Mereka yang Memuji/Memberi Sokongan

Sebagaimana anda mungkin terima emel peribadi yang mengutuk, akan ada juga yang memuji dan memberi sokongan. Tak kurang juga yang memberikan teguran dan kritikan membina. Bagi saya, amat PENTING untuk anda bila ada kelapangan untuk cuba membalas emel mereka ini yang telah sudi meluangkan masa menulis pada anda dan memberi galakan. Galakan mereka bermakna mereka menyukai tulisan anda, menyenangi ide anda secara umumnya, dan ingin melihat tulisan anda lagi. Appreciate them like they appreciate your works. Sentuhi hati mereka sebagaimana tulisan anda menyentuh hati mereka.

Nyatakanlah kegembiraan anda menerima emel mereka, bagaimana dorongan mereka menyemarakkan lagi usaha anda untuk terus menyumbang. Satu hari nanti, ketika anda sedang dirundung duka, emel-emel mereka inilah (make sure anda save every single one) yang akan mengembalikan semangat anda dan membuatkan anda sedar yang di luar sana..."someone still cares and wish to see you succeed"...

Akan ada yang nak berkenalan, nak call, nak jumpa. Kalau single mingle lagi, apa salahnya. But you have to know your limits, know what you can or can't do. A casual harmless flirt is okay I suppose....but sekali lagi, KNOW YOUR LIMITS!

Kesimpulannya, nyatakanlah apa yang berada di benak fikiran anda untuk dikongsi bersama. Kongsi sorang diri tak best gak. Lagi lama bersarang lagi berkarat jadinya.

Relexjap dah ada. Audience dah ada. Alatan medium dalam bentuk PC dan Internet pun dah ada. Apa nak tunggu lagi?

Kalau dulu mak bapak nenek moyang kita susah payah kena beli kertas, pen, dakwat, tulis (kalau salah payah nak padam...selalunya kena renyuk kertas and start over), lipat, masuk envelope, taruh stamp, pos dan menunggu berminggu-minggu untuk dapat respon (silap-silap kena Anthrax) --- kita kini dapat melakukannya dengan mudah melalui emel. Siap boleh taruh gambar, format warna warni, dsb. Nak hantar mesej pun just a click away...

Hingga jumpa lagi. I look forward to read your masterpieces!

Monday, December 7, 2009

Asimilasi Damai Aman Merdeka

Nota: Terima kasih kepada yang sudi menjengah 'Requiem Untuk Asrul Iskandar' yang baru saya poskan (semula) sebelum ini. Seperti yang dinyatakan, posting tersebut adalah yang paling peribadi, paling emosional dan paling menyakitkan untuk ditulis (dan dibaca kemudiannya).

Posting ini saya tulis pada 19 April 2005, empat hari selepas kelahiran Adam Jefril. Bolehlah juga dikira sebagai sequel untuk 'requiem' abangnya.

-----------------------------------------

Saya sentiasa kukuh berpegang pada Qada' dan Qadar --- bahawasanya segala yang berlaku ke atas diri merupakan suatu ketentuan yang telah diatur dan dilaksanakan dengan strategik oleh Yang Maha Bijaksana.

Ia merupakan yang terbaik untuk kita sebagai kurnia dariNya. Walau betapa perit dan jerih sekalipun sesuatu itu pada mulanya, ada hikmah yang sedang menanti.

Mungkin kita tidak akan mengalami hikmahnya secara otomatis --- kadangkala kita perlu menunggu sehari, seminggu, sebulan atau mungkin bertahun-tahun.

Atau mungkin juga hikmahnya bukanlah untuk kita secara langsung, mungkin ia adalah merupakan hikmah yang disalurkan melalui kita untuk yang lain.

Namun yang pasti, Allah s.w.t tidak akan menimpakan sesuatu ujian pada seseorang hambaNya jika Dia tahu hambaNya tidak akan terdaya menghadapi ujian tersebut.


CAHAYA DI HUJUNG JALAN

Merenung kembali segala kesedihan, penderitaan, kegagalan dan kehampaan sepanjang 7 tahun yang lepas, hari ini segala-galanya merangkum indah dalam satu perspektif yang jelas.

Untuk yang baru mengenali dan membaca omongan saya, sebenarnya isteri saya telah keguguran SETIAP TAHUN sejak kelahiran puteri sulung saya, Alyssa Sofea, pada tahun 1998.

1999 menyaksikan kandungan luar rahim hingga salah satu dari tiub fallopian isteri saya terpaksa dikeluarkan. 2000 menyaksikan satu lagi keguguran.

2001 merupakan tahun yang paling menghampakan dan beremosi di mana kandungan yang pada awalnya menampakkan tanda memberangsangkan akhirnya berakhir juga dengan airmata (dan membawa pada posting 'Requiem Untuk Asrul Iskandar', posting paling emosional pernah saya tulis --- hingga kini saya tidak sanggup membacanya semula).

Keguguran pada tahun 2002 dan 2003 pula membuatkan saya tidak lagi berharap, hampir putus asa (hingga terfikir untuk mengambil anak angkat) hinggalah ke satu tahap bilamana keguguran merupakan satu 'rutin tahunan' buat kami suami isteri.

Anda yang setia membaca juga tentu telah maklum bahawa rumahtangga kami dilanda badai yang paling teruk pada tahun 2004, yang menyaksikan bagaimana tali yang merentang kian rapuh dan urat-uratnya seakan terputus satu persatu.

Saya kira AKRAB MALAYSIA yang dikonseptualkan pada ketika perih tersebut sedikit sebanyak seakan membentuk simpulan-simpulan kecil terhadap urat-urat tali yang hampir terputus tadi, mengkukuhkannya dan membuat tali tersebut kental semula.

Namun bila saja saya dikhabarkan bahawa isteri saya mengandung lagi selepas itu, saya seperti biasa terfikir; "Not again...".

Tiga bulan yang pertama merupakan waktu yang crucial bagi setiap pregnancy. Sebenarnya isteri saya ini tergolong antara mereka yang begitu 'fragile' ketika bulan pertama --- tak boleh langsung bergerak banyak dan tidak boleh terganggu emosinya.

Sebab itulah setiap kali mengandung, selalunya isteri saya terpaksa mengambil sebulan cuti tanpa gaji pada sama ada bulan pertama atau kedua. Muntah-muntah dan pening itu tak payah ceritalah, hingga saya pernah berdoa andai Tuhan dapat transfer sakitnya pada saya, saya sanggup menghadapinya asal saja isteri saya tak seteruk itu deritanya.

Bukan apa, cuma saya ketika itu merasa sakitnya itu tak berbaloi kerana walau teruk bagaimanapun derita beliau, ia selalunya akan berakhir dengan kehampaan juga (not to mention the money spent on the D&Cs).

Bila saja terdapat tompokan darah yakni tanda mungkin akan berlaku keguguran seperti sebelumnya, ditambah pula dengan tension melihat penderitaan isteri saya muntah-muntah (hingga beliau menangis kerana tak tahan), saya mencadangkan pada pertemuan doktor yang selanjutnya kelak (andai fetus tidak menampakkan tanda pertumbuhan) agar terus saja dilakukan D&C.

Namun kami agak surprised pada pertemuan tersebut bila doktor menyatakan bahawa kandungan kali ini nampak sihat dan menunjukkan tanda positif. Hanya setelah pertemuan itu baru saya berani mewar-warkan pada Alyssa bahawa ada kemungkinan beliau akan menerima adik.

Alyssa inginkan adik perempuan, jadi beliau mula memilih nama adiknya dan disitulah timbulnya nama 'AMANDA LYDIA'.

Dalam satu dari pertemuan doktor yang berikutnya, seperti biasa doktor melakukan scan dibalik tabir dan saya menonton melalui skrin TV yang berada di belakang meja doktor.

Dalam mencari-cari dan cuba 'making sense' imejan imbasan yang tertera di skrin, tiba-tiba saya rasa saya terlihat 'sesuatu'... Saya terdetik "Aikkk... isn't that....?"

Selesai imbasan, doktor kembali ke mejanya, tersenyum dan bertanya apa jangkaan saya terhadap jantina bayi tersebut.

Saya balas semula dengan soalan; "What do you make of it based on the scan?"

Doktor menjawab; "Nampak macam bapaknya..."

Alyssa yang terlalu kerap menonton Disney Channel sebenarnya 'terpengaruh' dengan paparan bagaimana seorang adik lelaki akan selalu bergaduh dengan kakaknya --- seperti dalam siri Lizzie McGuire atau That's So Raven.

Jadi secara natural juga beliau tak berapa berkenan dengan adik lelaki. Malah saya dan isteri terpaksa membincangkan strategi bagaimana mengkhabarkan perkembangan terbaru ini pada beliau!

Alhamdulillah kami berjaya juga membuat beliau 'excited' untuk menunggu kelahiran seorang adik lelaki walaupun agak mengambil masa juga dan setelah memberi assurance bahawa adiknya akan 'berdisiplin' dan 'mendengar kata' tak seperti adik Lizzie atau Raven...


ADA APA PADA NAMA?

Kami juga mendapatkan pandangan Alyssa dalam memilih nama adiknya. Saya dari awal sudah bertegas untuk menamakannya 'ADAM'. Ini berdasarkan pada hakikat bahawa nama yang bermula dengan abjad 'A' akan 'dipanggil atau diawalkan dahulu oleh guru kelas' (seperti yang saya alami ketika sekolah dahulu).

Kedua, saya mahukan nama 'universal' yang mempunyai makna baik tetapi tidak dapat ditebak apa nationaliti/agamanya jika berpandukan hanya pada nama. 'Alyssa Sofea' adalah berdasarkan konsep ini. Dan pengukuhan konsep ini juga sebenarnya datang dari seorang saudara siber saya yang menamakan anaknya menggunakan konsep serupa (who co-incidently also being named 'Adam').

Jadi yang tinggal kini ialah nama kedua. Saya mencadangkan 'Adam Joshua', mengikut nama pengikut Nabi Musa a.s. dalah bahasa Ibrani (hmmm... mungkin juga ada kaitan dengan album terbaik kumpulan U2... he..he...).

Isteri saya pada mulanya menyukai 'Adam Isaac' kerana dia minat Hans Isaac dari dulu. Kami hampir saja bersetuju dengan nama ini sehinggalah terfikir kemungkinan anak saya tadi mungkin akan menghadapi masalah andai orang 'tak reti menyebut dan mengeja namanya'. Takut pula nanti orang memanggilnya 'Adam Is-Ak' dan bukannya 'Adam Ai-zek'.

Kemudian isteri saya mencadangkan 'Adam Jeffril' yang kedengaran menarik namun pada mulanya saya melihat seakan ada kejanggalan pada dua huruf 'F' dalam ejaan namanya. Saya mencadangkan dieja sebagai 'Jefryl' tapi isteri pula tak begitu berkenaan (come to think of it it reminds me of Dr Jeckyl)...

Setelah mencongak, kami berkeputusan muktamad menamakannya 'ADAM JEFRIL ASRUL MUZAFFAR'.

Saya memilih 'Adam' kerana ia merupakan nama manusia pertama di dunia, juga kerana ia ada terdapat dan mempunyai makna serupa dalam bahasa Sanskrit, Latin, Ibrani, Arab, German, Spanish, Czech... you name it! Ia juga bermaksud 'Anak Bumi yang Merah'.

'Jeffril' pula merupakan variasi dari perkataan Anglo-Saxon/French yang bermaksud 'Ketenangan'. Boleh juga merupakan sebutan variasi bebentuk 'pun' terhadap 'JABRIL' dalam bahasa Arab.

Namun tentunya sebab saya memilih nama 'Adam' (seperti kenapa saya memilih nama 'Alyssa') biarlah hanya saya dan Dia yang mengetahui...


15 APRIL 2005: SUATU HARI BARU

Due date isteri saya sebenarnya adalah pada 29 April. Oleh kerana kami memilih delivery melalui pembedahan ceasarian (Alyssa dulu juga adalah melalui kaedah ini), kami boleh melakukannya lebih awal. Doktor memberi pilihan mana-mana tarikh antara 15 hingga 22 April. Saya memilih 16 April kerana ia juga sama dengan tarikh kelahiran Alyssa (boleh sambut birthday sama-sama).

Namun isteri saya bertegas inginkan 15 April, kerana ia jatuh pada hari Jumaat. Pada saya semua itu tidaklah begitu penting kerana fokus saya ialah agar Adam selamat dilahirkan tanpa sebarang komplikasi. So we settled on 15/4.

Berbanding kelahiran Alyssa dahulu yang terpaksa menunggu hampir 12 jam, kali ini segalanya terasa begitu pantas. Kami tiba di Naluri Medical Centre Wangsa Maju tepat jam 10 pagi, terus admitted dan lebih kurang jam 11.30 pagi isteri saya disorong masuk ke bilik pembedahan. Beliau memilih untuk 'separuh sedar' ketika pembedahan dan tentunya saya juga memilih untuk turut masuk menyaksikan pembedahan tersebut.

Tak lama kemudian, jururawat memberikan persalinan pada saya termasuklah head and face cover. Sementara menunggu, saya berbual dengan seorang bapa yang mana isterinya juga akan menjalani pembedahan sejurus selepas isteri saya.

Lebih kurang jam 12 tgh saya dipanggil masuk dan mendapati pembedahan telahpun bermula. Ketika Alyssa dahulu, isteri saya 100% tidak sedar jadi saya boleh berdiri betul-betul dihujung kakinya menyaksikan segala yang berlaku.

Tapi kali ini saya berada di sebelah beliau, menggenggam erat tangannya walau mata tak putus-putus menjenguk-jenguk di sebalik kain rentang yang menutupi dadanya, antara celahan darah dan warna kekuningan isi perut.

Segalanya berlaku dengan pantas sebaik sahaja empat orang termasuk doktor meregangkan bahagian perut yang terbuka dari empat penjuru, menandakan 'the moment of truth'.

Mulanya saya melihat kepala, diikuti badan, tangan, kaki dan akhirnya tepat jam 12.10 tgh whooosshhh... doktor telah mengeluarkan keseluruhan bayi. The first thought that came to my mind was; "Putihnya...." Berat yang direkodkan ialah 3.1kg, lebih berat dari Kakaknya pada 2.75kg dahulu.

Alyssa dahulu mengambil masa agak lama untuk menangis, yakni hanya setelah doktor mengeluarkan cecair dari tekaknya dan memberikan oksigen. Itupun tangisannya tidaklah begitu kuat (berbanding sekarang...).

Namun kali ini, tak sampai beberapa saat keluar, mak datuk... punyalah kuat tangisan Adam! Mungkin memberi persediaan terhadap expectation bagi hari-hari yang mendatang.

Isteri saya mula mengalirkan airmata dan saya mengucup dahinya seraya berkata; "We've made it... I'm proud of you...".

Setelah menunggu seketika untuk doktor melakukan proses jahitan, saya mendapatkan Adam di bilik sebelah. Jururawat telah selesai membersihkannya dan membalut cantik tubuh beliau dengan selimut biru.

Kali terakhir saya mendokong bayi yang baru lahir adalah 7 tahun dahulu yakni ketika kelahiran Alyssa, jadi terasa agak kekok untuk mengendong Adam (nervous dengan tengkuk lembut bayi yang perlu disokong dengan betul). Alyssa dahulu diqamat/diazankan oleh Bapa Mertua saya kerana ketika itu saya masih dalam bilik pembedahan.

Namun kali ini, buat pertama kali, saya bertanggungjawab melakukannya. Tiada perkataan atau bait kalimat yang mampu ditulis untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu, jadi biarlah 'some things are better left unsaid'...

Bila saja isteri saya keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan dalam bilik pemerhatian, saya terus mendapatkannya. Alangkah terkejutnya bila saya melihat beliau sedang menangis terisak-isak. Saya tanya kenapa, dia seakan tak mampu bersuara.

Jadi saya tanya jururawat; "Apa kena dengan isteri saya?". Jururawat pun musykil.

Isteri saya menyentuh tangan saya dan berbisik; "I'm so happy... I've waited so long for this..." Rasanya tangisan tersebut komplit bila saja jururawat membawa masuk Adam dan meletakkannya dalam pangkuan isteri saya --- a mother and child reunion. Adam kelihatan begitu tenang dalam pangkuan beliau.

Ketika itulah saya mula merasakan betapa penantian dan kekecewaan demi kekecewaan yang dialami selama ini kian pupus dan hilang perlahan-lahan.

Mungkin Allah s.w.t. hanya menyediakan kami untuk saat ini, untuk memastikan agar kami benar-benar mampu menilai kurniaanNya.

Mungkin juga andai perjalanan hidup kami berbeza, kami tidak akan merasai kepuasan dan 'humbleness' yang kami rasai di saat itu.

Melihat isteri saya mengucup Adam berkali-kali, saya juga mula merasakan mata saya kabur dengan titik-titik air...

Petangnya saya membawa Alyssa ke hospital dan dipertemukan dengan adiknya. Bila saja doktor membenarkan Adam keluar nursery dan membawa Adam ke bilik isteri saya, Alyssa mendekati Adam dalam cradle dan jari cute beliau menggosok lembut pipi adiknya.

Renungan sayang Alyssa terhadap Adam yang damai lena beradu amat bermakna dan merupakan suatu sight yang akan saya ingati sampai bila-bila...


TERIMA KASIH

Dari lubuk hati yang tulus ikhlas, pertama sekali saya ucapkan infiniti penghargaan pada semua Doktor dan Kakitangan Naluri Medical Centre, terutamanya Doktor Kamaria (Dr Kay) yang mengetuai pembedahan.

Tak lupa juga kepada semua jururawat yang begitu ramah, mesra, kelakar dan supportive melayan kami hinggalah isteri saya discharge lebih kurang jam 10.30 pagi semalam, Isnin 18 April.

Sejak kelahiran Alyssa, saya dan isteri telah naik turun hampir kebanyakan hospital popular di ibukota namun saya berani katakan dalam banyak-banyak hospital yang ada, Naluri adalah yang TERBAIK dari segi servis, kepakaran, layanan dan bil.

Saya juga menyarankan agar pembaca mencuba servis Naluri ini, kerana setelah menerima segala manfaat dan kebaikannya, saya merasa perlu agar kebaikan itu melimpah pada lebih ramai insan yang bakal bergelar ibubapa.

Just pay them a visit --- No. 94, Jalan 1/27F, Pusat Bandar Wangsa Maju or call 03-41433633 --- dan InsyaAllah anda dan pasangan akan menyukainya.

Untuk semua yang telah mengirimkan SMS dan email pada saya sepanjang weekend lepas, terima kasih infiniti juga di atas ingatan anda. Cuma maaf kerana tidak dapat segera membalas di sebabkan masalah line... bulan ini dan bulan depan kena ikat perut sikit dan kewangan harus difokus pada yang lebih utama (you know what I mean).

Terima kasih pada Nashya dan Sarah Jasmine yang sudi melawat. I tell you... Nashya memang ada bakat besar menjadi ibu melihat pada cara beliau mengendong Adam... he...he.. Bila lagi???

By the way, andainya nama 'AKRAB MALAYSIA' tidak diluluskan (atau telah ada pertubuhan lain yang menggunakannya --- who knows..?), mungkin saya boleh menamakannya 'Asimilasi Damai Aman Merdeka'... just a thought!!!

Hari ini saya kembali bekerja namun hati dan ingatan hanyalah pada Adam di rumah.

Tak sabar rasanya menatap wajah Adam petang ini...

Wednesday, December 2, 2009

Requiem Untuk Asrul Iskandar

Nota: Artikel ini ditulis pada 30 Disember 2001, ketika saya berada di kamar hidup yang amat, amat gelap sekali.

Saya teringat pada artikel ini sejenak bila terkenang satu lagi insiden sekitar 2007, ketika Adam Jefril berumur 2 tahun dan baru mula belajar bercakap.

Pada satu malam, Adam sedang girang bermain di ruang tamu rumah. Tiba-tiba beliau tercegat merenung ke arah pintu rumah yang bertutup rapat. Merenung seolah-olah ada 'sesuatu' yang menarik perhatiannya.

"Adam tengok apa?" tanya saya.

Dengan mata masih tajam merenung ke arah pintu, Adam menjawab; "ABANG..."

Air jernih tergenang seketika di kelopak mata.

Mungkin jika kita tahu di mana kita pernah berada kelmarin, kita akan lebih mensyukuri apa yang telah dianugerahkan pada kita hari ini.

-----------------------------------

Kehadapan anakku ASRUL ISKANDAR.

Hanya lebih kurang 3 minggu yang lalu, Papa telah menerima khabar gembira dari Mama mengenai kehadiranmu. Papa merasa amat bersyukur kerana akhirnya Alyssa Sofea, kakakmu akan mendapat seorang adik.

Sudah kerapkali sangat kakakmu asyik meminta seorang adik kerana katanya "Alyssa sunyi. Alyssa nak kawan". Bila Papa dan Mama menngkhabarkan bahawa engkau akan dizahirkan 9 bulan lagi, Papa tak dapat melupakan sinar keceriaan di mata Kak Alyssa. Malah Kak Alyssa beria-ria benar mencanangkan berita gembira ini kepada semua --- "Alyssa nak dapat adik, tau!!". Petah sekali mulutnya.

Beberapa hari selepas menerima berita kehadiranmu dalam rahim Mama, seisi keluarga mula merasa kaget dan sedikit panik apabila Mama mengalami bleeding. Oleh kerana usiamu masih beberapa minggu, doktor tidak dapat mengesahkan sama ada kami telah kehilanganmu atau tidak. Namun doktor menasihatkan agar kami membatalkan sebarang rancangan untuk balik kampung sempena Aidil Fitri kerana bimbang atas keselamatan Mama. Doktor juga mengingatkan kami bahawa Papa dan Mama mungkin akan kehilanganmu after all, jadi 'hope for the best and expect the worst'.

Mama amat bimbang sekali dan tak henti-henti menangis. Sebenarnya Mama telah kehilangan abang/kakak kembarmu 3 tahun lepas, seorang darinya berada di dalam rahim dan seorang lagi di luar. Atas nasihat doktor yang mendapati salah satu tiub Mama rosak teruk, telah menyarankan agar tiub tersebut di buang.

Mama amat risau kalau-kalau engkau juga akan mengalami nasib yang sama dan memungkinkan Alyssa tidak mendapat adik langsung selepas ini andai satu lagi tiubnya juga terpaksa dikeluarkan. Namun Alhamdulillah, sehari sebelum Raya, keadaanmu sudah agak besar untuk dilihat melalui ultrasound dan beberapa hari selepas itu, Mama mula menunjukkan tanda-tanda bahawa engkau sedang membesar dengan baik.

Aidilfitri kali ini disambut oleh Papa, Mama dan Kak Alyssa seperti hari-hari yang lain. Mama terlalu lemah untuk bangun dan asyik muntah-muntah. Jadi kami hanya menyambut Raya di rumah sahaja. Tok Ku, Nenda, Uncle Jomi, Auntie Mas, Zariff, Auntie Nina, Ayah Lan dan Ayah Man telah kembali ke kampung Mama di Kelantan. Pak Ngah, Mak Ngah, Tasya, Pak Su, Mak Su dan Naim pula telah pulang menjenguk Tok Ayah dan Mak Tok di Alor Setar. Tiada yang menziarah kami dan kami juga tiada menziarah sesiapa pun. Namun Papa, Mama dan Kak Alyssa bahagia kerana mengetahui engkau berada begitu hampir dengan kami.

Papa juga amat gembira kerana dalam masa yang sama akhirnya Papa berjaya merealisasikan impian Papa untuk menerbitkan hasil karya Papa. "Inilah rezeki kita"; kata Papa pada Mama.

Papa mula berangan-angan agar engkau dan Kak Alyssa juga kelak akan sedikit sebanyak tempias dengan kesukaan dan kegemaran Papa. Malah Papa juga telah mula mengajar Kak Alyssa menaip menggunakan Microsoft Word (walaupun Papa tidak faham apa yang ditaipnya!!) dan menutup 'Windows' dengan cara yang sepatutnya ditutup. Papa dapat membayangkan nanti betapa riuhnya engkau dan Alyssa berebut tetikus dan keyboard!!

Hari-hari yang berlalu seterusnya menyaksikan bagaimana Mama tidak henti-henti mengeluarkan isi perutnya dan sensitif dengan segala jenis bau. Buat pertama kalinya Papa kena 'babysit' dua orang sekaligus --- Mama dan Kak Alyssa. Alhamdulillah tugasan baru Papa menjadikan Papa lebih fleksibel.

Di sebelah paginya Papa akan mengemas rumah dan menyediakan breakfast/lunch untuk Mama. Kemudian Papa akan menghantar Alyssa ke rumah kawannya, Kakak Nadirah di blok berhadapan kondo kita kerana Mama tidak berupaya melayan Kak Alyssa berseorangan untuk memberi perhatian penuh akan kesejahteranmu. Selepas itu barulah Papa akan bergegas keluar bekerja.

Namun pada hari Jumaat baru-baru ini, tugasan Papa mengkehendakkan Papa keluar rumah lebih awal dan hanya pulang selepas 9 malam. Bila tiba di rumah, Papa terlalu letih dan terus melelapkan mata. Papa tidak sempat bertanya khabar akan keadaanmu pada Mama. Papa tidak sempat bersamamu malam itu setelah sehari suntuk berada di luar.

Keesokan harinya, Sabtu..Papa dikejutkan oleh Mama yang panik kerana katanya darah begitu banyak keluar. Kami bergegas ke hospital. Papa seterusnya meninggalkan Mama di hadapan pintu masuk dan kemudiannya berlegar mencari parking. Bila Papa sampai ke bilik menunggu, Mama sudahpun masuk ke bilik doktor.

Selang beberapa minit, Mama pun keluar. Terus Papa bertanyakan Mama apa kata doktor. Papa menjangkakan bahawa seperti sebelumnya, Mama akan memberitahu; "Doktor kata tak ada apa-apa. Bleeding sikit saja..."

Namun dengan wajah sugul Mama memberitahu Papa bahawa engkau sudah tiada lagi.

Mama terpaksa ditahan di hospital kerana doktor ingin mengeluarkan jasadmu. Setelah memastikan Mama telah 'settle down' di katil hospital untuk berehat sementara menunggu D&C dijalankan ke atasnya, Papa keluar sekejap memandu berseorangan. Walaupun Papa akur bahawa ini adalah kehendak Tuhan, Papa merasa sedih, kecewa dan marah sekali. Entah mengapa, ketika kami kehilangan saudara kembarmu dahulu, Papa tidak merasakan sebegini.

Sedih kerana Papa tidak akan berpeluang menatap wajah comelmu kelak. Papa tidak akan tahu wajah iras siapakah wajahmu. Kecewa kerana Kak Alyssa tidak berpeluang mengasuhmu, membancuh susumu ketika engkau menangis dahaga dan bermain-main bersama dengan kekeh dan gelak tawa engkau berdua.

Namun Papa juga marah. Marah kerana di luar sana ada terdapat mereka yang tidak menghargai sahabat-sahabatmu sedangkan Papa dan Mama amat berharap akan kehadiranmu. Malah ada yang berhasrat membunuh sahabatmu ketika masih di dalam kandungan. Entahlah kenapa mereka tergamak menidakkan pemberian Tuhan. Ramai juga sahabatmu yang dibuang dan akhirnya reput dimamah ulat dan serangga di dalam tong sampah. Papa berikrar seandainya ada yang berkeinginan demikian, Papa dan Mama ingin mengambilnya sebagai anak kandung. Biarlah adikmu kelak dibesarkan oleh keluarga yang menyayangi dan menghargainya daripada hidup terlantar dalam suatu rumah yang tidak ubah seperti neraka....

Tetapi dalam masa yang sama juga Papa merasa lega. Papa telah menahan rasa gusar sejak beberapa minggu kebelakangan ini melihat Mama terlantar teruk di katil dan tak henti-henti muntah. Papa kesal kerana Papa tidak dapat memindahkan beban sakit Mama kepada Papa. Ketiadaanmu akan menghentikan semua ini, walaupun Papa tahu Mama menerima segala yang dialaminya dengan senang hati. Semuanya keranamu.

Oleh kerana terlalu banyak perasaan berbaur di hati Papa, Papa telah menghentikan kereta di suatu sudut yang agak terpencil dan menangis semaunya. Mungkin inilah kali yang ketiga Papa benar-benar menangis sejak di alam dewasa. Biarlah, kata orang kalau terlalu memendam perasaan ianya akan memudaratkan.

Bila Papa kembali ke hospital, Kak Alyssa sudah berada bersama Mama. Mak Tok dan Tok Ayah kini berada di KL untuk membantu Pak Su/Mak Su dengan 'open house'nya hari ini dan merekalah yang membawa Kak Alyssa bertemu Papa dan Mama di hospital.

Papa memberitahu Kak Alyssa; "Adik tak jadi datang..."

Seperti biasa, Kak Alyssa mu yang begitu inquisitive akan bertanya; "Kenapa....?"

Aduh...bagaimanakah harus Papa menceritakan perihal hidup mati dan ketentuan Allah agar dapat difahami oleh seseorang yang seusia Kakakmu.

"Macam ni.... Mula-mula Allah memang nak bagi adik kat Alyssa. Tapi kemudiannya Allah jadi teramat sayang kat adik sampai Dia tak sanggup menghantarnya pada kita. Jadi biarlah Allah jaga adik. Nanti satu hari Papa, Mama dan Alyssa akan jumpa juga dengan adik...tapi lambat sikit la...."

Itulah saja yang mampu Papa jelaskan pada Kak Alyssa.

Mungkin secara kebetulan. Mak Tok sebentar tadi menceritakan bahawa ketika bangun dari tidur pagi tadi, Kak Alyssa berbaring seakan termenung.

Bila ditanya kenapa, Kak Alyssa mengatakan; "Semalam Alyssa mimpi adik dah keluar....."

Seterusnya Mak Tok bertanya; "Adik lelaki ke perempuan?"

"Tak tahu....tak nampak"; jawab Kak Alyssa.....

Sebentar tadi, pada jam 7 malam, doktor telah mengeluarkan jasadmu sepenuhnya dari tubuh Mama. Dan malam ini Mama tidur sendirian di katil hospital. Papa pula ke rumah Tok Ku yang berhampiran dengan hospital agar senang mengambil Mama keesokkan harinya. Dan seperti biasa Papa ingin merakamkan requiem ini untukmu. Mungkin akan ada yang mendesis dan mentertawakan requiem Papa untukmu ini. Biarlah. Papa juga manusia dan hati Papa juga rapuh.

Tuhan telah menetapkan bahawa Papa dan Mama are not worthy untuk menimangmu, membesarkanmu, melihatmu ke sekolah dan seterusnya menjaga Papa dan Mama di hari tua kelak. Tuhan lebih menyayangimu dan setiap yang diberikanNya (atau tidak) mempunyai sebabnya sendiri. Mungkin Tuhan sudah mengisyaratkan bahawa dunia ini bukanlah untukmu.

Mungkin satu hari nanti engkau adikmu akan lahir kelak ke dunia ini. Dan satu hari nanti ketika dia sudah besar dan memahami, Papa akan menceritakan padanya tentang abangnya yang bernama Asrul Iskandar. Bagaimana abangnya hadir (walaupun sekelumit tika cuma) ketika hidup Papa mula cerah semula setelah sekian lama kering kaku gagal menjadikan impi-impian Papa satu kenyataan.

Anakku Asrul Iskandar.

Jika pada malam hari Papa bermimpi akan kehadiran seorang kanak-kanak lelaki yang comel, Papa akan tahu bahawa ianya adalah dirimu. Akan Papa ceritakan betapa rindunya Papa untuk mendakap dan memelukmu. Walaupun ketika pagi menjelang Papa akan kembali termanggu sendirian setelah engkau berlalu. Namun Alhamdulillah, Mama dan Kak Alyssa berada di sisi menemani Papa sentiasa...dan Papa pasti kerinduan itu akan terubat juga.

Jika engkau disapa oleh dua orang yang seakan-akan mempunyai iras wajah yang serupa, mungkin mereka adalah abang/kakak kembarmu. InsyaAllah mereka akan menemanimu di sana, bermain riang gembira.... dan Papa pasti engkau tidak akan kesunyian. That realisation alone will ease my mind. I'll know that you'll be happy there.

Junjungan kita pernah menyatakan bahawa sahabat-sahabat serupamu di hari akhirat kelak akan memimpin Papa dan Mama mereka terus memasuki syurga. Semoga engkau akan menjerit memanggil; "Papa....Mama.....Datang sini" dalah keributan dan keriuhan manusia di Padang Mahsyar kelak ketika kami terpinga-pinga. Ah...tak sabar rasanya Papa menantikan wakttu itu untuk menatap wajahmu dan memeluk erat tubuhmu. Dan seterusnya berpimpinan tangan bersama melewati gerbang syurga. Namun entahlah, itu semua ketentuan Allah jua.

But I guess that we would have to wait.

Walaupun kita ditakdirkan tidak dapat bersama, namun engkau akan sentiasa berada di memori dan hati kami.

Goodbye Asrul Iskandar...... Papa and Mama will see you later.

MUCH, much later....

"Dunia Di Ambang Akhir Zaman"

Nota: Saya menulis artikel ini sekitar tahun 2003. Seperti yang jelas terpapar, stail penulisan saya 'berbeza' sedikit ketika itu. Harap tak menjadi isu pula :)

Ini adalah respons saya terhadap capaian/kemaskini status berkaitan mitos '2012' yang dilampirkan di laman Facebook saya semalam.

----------------------------------

Dalam siri E2 sebelum ini saya telahpun membuat beberapa summarisation mengenai kaedah yang bagi saya, paling munasabah dalam mengkaji pensejarahan Islam, terutamanya dalam kita memahami bagaimana, apa dan kenapa sesuatu itu terjadi seperti yang telah dan sedang terjadi sekarang ini.

Terus terang, sekali lagi saya menyatakan bahawa walaupun bidang pengkajian sejarah perhubungan antarabangsa sebegini sememangnya adalah suatu latihan formal yang saya miliki, masih ada banyak kekurangannya. Dari hari ke hari saya consider diri saya nih sebagai budak yang baru belajar jadi kalau salah tolong ler tunjukkan...

Tak lama dahulu (kala isu "Metoda Pemikiran Saintifik" dibincangkan), ada beberapa Warga Relexjap yang mengketengahkan beberapa hujah demi menunjukkan bahawa dalam apa jua ideologi sekalipun, Daulah Islamiah adalah yang terbaik. Mereka memberi contoh akan kegagalan ideologi "ciptaan manusia" seperti kapitalisme, sosialisme, demokrasi dsb untuk memperjelaskan kenapa tamadun manusia sekarang nih haru biru. Dan beberapa sahabat pula membuat kesimpulan bahawa "inilah tanda-tanda dunia akhir zaman".

Apapun, "tanda-tanda dunia akhir zaman" nih sebenarnya bukanlah perkara baru, malah ketika berakhirnya zaman Ar-Rashidun sendiri, penyokong-penyokong Ali Abu Talib r.a. yang tertindas oleh cengkaman Muawiyyah pun mengatakan bahawa "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Ketika Genghiz Khan memperluaskan Empayar Mongol dan ramai orang Islam dibunuh kejam, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Ketika Andalusia jatuh ke tangan Tentera Crusade dan orang Islam dipaksa memeluk Kristian atau dibunuh, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Bila kolonisme barat mula menampakkan taringnya yang tumpul dan memaksa negara Islam menerima kemodenan dan demokrasi, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman".

Bila musim Haji dicemari oleh rusuhan pelampau Iran sekitar akhir 1970an, ""dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Bila NYWTC dihentam kapal terbang, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Bila Taliban yang kononnya mengamalkan bentuk pentadbiran Islam mithali dihalau keluar dari Afghanistan, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Dan sekarang nih, bila masyarakat Islam sedang ditindas dan jutaan saudara kita di Iraq berada di ambang peperangan, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman".

Tak cukup dengan tuh.... bila Siti Nurhaliza melenggok, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman". Bila KLCC dibina, "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" (sebab ada banyak bangunan tinggi pencakar langit). Bila "Asereje" dituduh sebagai lagu memuja syaitan, salah satu tandanya ialah "dunia sedang berada di ambang akhir zaman".... (ahaksss....!!!)

Malah jika kita rewind sejarah peradaban manusia, dalam setiap masa setiap ketika, walaupun ketika permulaan tamadun manusia di Sumeria, Mesir, Ganges, etc, etc --- manusia yang ditindas atau merasakan mereka tak leh ngam dengan realiti sosio budaya masyarakat akan meletakkan kesengsaraan mereka sebagai tanda bahawa "dunia sedang berada di ambang akhir zaman".

Seems that dunia nih SENTIASA berada "di ambang akhir zaman".

Tapi kita tidak boleh menyalahkan sebahagian mereka yang beranggapan demikian. Setiap mereka yang mengeluh bahawa "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" sememangnya ada sebab untuk beranggapan tersebut. Kaum mereka ditindas. Setiap hari ada saja ahli keluarga tau rakan taulan dibunuh kejam di depan mata. Budaya mereka disekat. Mereka tidak dapat beribadat dengan bebas. Setelah berusaha dan akhirnya mendapati mereka tidak berupaya melakukan apa-apa, mereka berharap agar keadilan Tuhan dan Hari Pembalasan akan memberati mereka kelak.

Konsep ini, bagi saya sememangnya bertepatan dengan seruan "usaha dan tawakkal" yang disarankan oleh Islam.

Tetapi yang ingin saya bincangkan adalah kecenderungan sesetengah kita yang menggunakan tanda "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" ini sebagai satu escapism hanya kerana mereka merasakan diri mereka tak leh ngam dengan budaya norma masyarakat setempat. As a figure of speech. Seperti kecenderungan kita mengucapkan "InsyaAllah" pada sesuatu ketepatan yang kita belum pasti melakukannya, daripada 100% bermaksud bahawa segalanya ialah "dengan izin Allah".

"Jom pi gathering Relexjap".

"Tengoklah...InsyaAllah (walau hakikatnya pada hari tuh aku ada confirm date dengan Dian Sastrowardoyo kat GSC MidValley)"

Kupasan yang dilakukan oleh Sdr Shamsul Kamal terhadap fenomena "InsyaAllah" ini amat baik sekali dan patut dijadikan ingatan setiap kali kita hendak senang-lenang mengucapkan kalimah tersebut.

Begitulah juga dengan tanda "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" ini. Seperti yang sering saya jelaskan, melalui e-mel yang saya sering terima mengenai "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" ini, senarai tanda-tandanya AKAN BERTAMBAH dari masa ke semasa. Dari 7, ke 10, ke 15, 20, 25 dan satu e-mel yang saya terima telah menggariskan hingga 50 tanda.

Sama ada penulisnya terlalu kreatif hingga mampu perah otak menghasilkan 50 tanda atau sedang tersorok dalam rumah berwirid panjang sampai tak memperdulikan dunia luar, wallahualam. Tetapi seperti mana ramalan astrologi dan apa jua tilikan masa hadapan, semua tanda-tanda tersebut dapat di relate dengan keadaan semasa. Selepas keruntuhan NYWTC, ramai yang menafsirkan bahawa ia telahpun "tercatat dalam tilikan Nostradamus". The same Nostradamus yang menjangkakan bahawa dunia akan musnah menjelang tahun 2000.

Tapi 1 Januari 2000 come and go dan segalanya masih serupa. "Oh..tak...sebenarnya Nostradamus bermaksud 2001, sebab 2001 ialah permulaan millenium sebenarnya". Dan sekali lagi, 1 Januari 2001 berlalu tanpa sebarang insiden. "Oh...bukan, bukan, bukan 2000 atau 2001, tapi tahun 3000 Masihi". Dan ada gak yang berpendapat bahawa "Hang tak tauka...sebenarnya dunia DAH PUN MUSNAH pada tengah malam 1 Januari 2000. Tamadun manusia diambik alih oleh artificial intelligence yang menjadikan manusia sebagai makanan depa. Kita sekarang nih hidup dalam alam fantasi". Mungkin depa nih tengok "The Matrix" banyak sangat kot....

Dalam artikel lepas, saya menyatakan bahawa salah satu kesalahan yang sering kita lakukan ialah membuat assumption bahawa orang zaman dahulu adalah sama macam kita. Sejarah, dari persepsi zaman tamadun dahulu, ialah suatu hukum alam yang tidak termaktub pada satu tempat satu ketika. Bila mereka membicarakan tentang kemusnahan sedunia dalam banjir besar, ianya dilihat sebagai suatu insiden yang sentiasa wujud dulu, kini dan selamanya. Maknanya, bila saja manusia tidak bersyukur dan mengengkari perintah Tuhan, balaNya akan turun menimpa --- regardless tahun 1 Masihi ker, 1969 ker, 2003 ker, 2020 ker, etc, etc.

Kita sekarang nih mengkaji sejarah dalam bentuk rasional berdasarkan catatan, peninggalan dan riwayat. Dan cuma baru-baru ini saja kita mula menggabungkan teknologi lain seperti carbon dating dan ujian hakisan. Ini berbeza dengan zaman dahulu di mana penulis sejarah tidak begitu mementingkan ketepatan fakta dan cenderung menokok tambah asal saja mesej yang ingin diutarakan itu berjaya disampaikan. Inilah yang terjadi pada Torah dan Injil.

Saya kira inilah satu kenyataan yang sering disalah erti bukan sahaja oleh pemikir sekularisme, malah antara penganut agama itu sendiri.

Untuk memahami kenapa adanya hadis dan surah Al Quran yang menjelaskan tanda "akhir zaman" ini, kita harus mengapproachnya dengan berfikir seperti mereka yang hidup pada zaman tersebut, yakni memahami KENAPA sesuatu ayat atau hadis sahih yang menceritakan tanda akhir zaman itu diturunkan/dihasilkan in the first place.

Tujuannya tak lain dan tak bukan ialah sebagai suatu peringatan agar manusia sentiasa mematuhi suruhan Tuhan dan meninggalkan laranganNya. Kita tak leh takkabur, jangan asyik nak menyumpah memaki hamun orang lain jer. Jangan ingat kitalah orang Islam terbaik dan sesaper yang tak ikut macam kita patut digelar kafir/murtad serta mungkin wajib dibunuh (fahaman pengikut Hasan Al-Banna, Mawdudi dan Qutb yang memanipulasi maksud jihad fi sabilillah).

Lebih dari itu, janganlah "dimurahkan" ucapan "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" ini dengan kegagalan kita untuk memahami sesuatu perkara. Dunia tetap AKAN musnah satu hari kelak. Dan manusia wajib diberi peringatan tentangnya dari masa ke semasa.

Tapi bukan dengan cara ini. Bukan bila setiap kali kita dihadapkan dengan gossip artis, pengisytiharan perang atau golek Holly Valance. Bila "dunia sedang berada di ambang akhir zaman" diucapkan dalam konteks ini, ia tak ubah sebagai keluhan mereka yang insecure dengan keupayaan agama mereka mengatasi segala perbuatan manusia yang dhaif, munafik dan bid'aah.

More than that, it leaves your personality and thoughts open like an opened book.

Tuesday, December 1, 2009

5 Bulan, 3 Realisasi (Dan 40 Akhirnya)

Rasanya dah berbulan blog ini terbiar. Barangsiapa yang singgah telah, sedang atau akan hanya terbaca tribut peribadi untuk Michael Jackson. Sekilas ianya seakan menggambarkan ini blog khusus untuk hiburan pula!

Mungkin sibuk, kurang 'mood' menulis atau mungkin juga kerana telah menulis secara terlalu ekstensif sejak berakhirnya Eurotrip 2009. Malah saya terpaksa 'bercuti' pula dari menulis ke kolum peribadi di majalah Gila-Gila.

Apapun, ini bukanlah alasan tentunya. Cuma sekadar perkhabaran.

Beberapa realisasi terdetik sejak kontang menulis dalam beberapa bulan kebelakangan.

Pertama, untuk rekod, saya pernah ditikam belakang. Namun dalam 17 tahun karier saya sebagai pengamal Komunikasi Korporat dan Penjenamaan, belum pula terjadi bilamana nama diburukkan kepada seorang bakal klien sehingga menyebabkan persetujuan kontrak tergugat.

Rasanya anda pun pernah terserempak dengan orang sebegini yang perlu kondem orang lain untuk memastikan beliau nampak bagus. Walhal kerjanya sendiri hancus.

Dalam kes saya, orang tersebut bukan sekadar perlu melakukan sedemikian, malah beliau begitu aktif melakukan 'kerja tiup' dan 'kerja lidah' kepada majikan untuk tiba ke puncak.

Kadang-kadang memang sukar menjangka orang sebegini hinggalah beliau menjatuhkan 'bom'. Tapi setidaknya ia melatih kita untuk lebih bijak memilih yang mana rakan dan yang mana tak perlu kita pandang sebelah mata pun. Skil ini hanya boleh diperelokkan melewati masa.

Kedua, dalam beberapa bulan ini, ada yang melihat kelantangan saya sebagai ancaman terhadap posisi mereka sebagai ketua.

Saya akui saya sememangnya lantang andai ada sesuatu yang dirasakan kurang kena. Cara saya bekerja (sesuai dengan skop kerja yang memerlukan kreativiti) membuatkan saya tak selesa ditambat di meja pejabat 24 jam. Kemudian kedapatan pula politik pejabat yang mana jika anda telah tiba ke suatu tahap yang agak tinggi dalam carta organisasi, adalah mustahil untuk mengelakkan diri dari terjebak.

Satu ketika dulu saya pernah bereksperimen sebagai Pak Angguk untuk mengelakkan konfrontasi. Tapi hakikatnya kelantangan ini telah membawa saya ke berbagai mercu kejayaan serta memiliki akses kepada mereka yang sebelum ini tak pernah termimpi berjumpa - berbanding jika saya memilih hanya untuk berdiam diri.

Jadi bila ada antara mereka yang menolak bekerja bersama saya di sebabkan kelantangan ini, apa yang boleh saya katakan hanyalah "Pergi terbangkan layang-layanglah!"

Ketiga, ialah bila ada yang merasa was-was atau hilang kepercayaan/keyakinan terhadap saya hanya kerana satu dua 'hiccups' (berbanding dengan sepuluh atau dua puluh pencapaian saya dalam sesuatu jangka masa).

Dari satu perspektif mungkin tak boleh menyalahkan mereka kerana lagipun, kita hanyalah manusia. Tentunya kita tak dapat lari dari merasakan apa yang sedang dirasa bila wujud saja sesuatu perasaan yang membabitkan rasa.

Namun dari perspektif lain, ianya mencerminkan kadar keyakinan mereka terhadap kita sebenarnya. Sama ada mereka hanya cenderung bersama ketika poket saya sedang penuh ataupun akan lari bertempiaran (atau mengata di belakang) bila saya menghadapi sedikit 'hiccups' dan meminta pertolongan.

Tapi tak mengapa. Saya tidak menyimpan dendam terhadap mereka ini, melainkan kalau mereka tergolong dalam haprak yang dinyatakan dalam realisasi pertama di atas. Namun setidaknya dari saat ini, saya TAHU. Itu saja. Saya dah TAHU. Siapa mereka, setidaknya.

Dalam perkembangan lain, saya kini lebih menggemari memaparkan krim minda rasa melalui kemaskini status di Facebook. Lebih cepat menulisnya dan lebih cepat pula mendapat respons serta berinteraksi - dari yang serius seseriusnya, mengarut semengarutnya atau yang berbaur 18SG.

Selain dari itu, pejam celik pejam celik saya sudah memasuki Kelab 40an. Ada yang berkata bahawa "hidup bermula pada usia 40". Entahlah. Berdasarkan kenyataan itu saya masih berusia kurang 3 bulan. Jadi terlalu awal untuk memberikan komen!

Apapun... perjuangan menelusuri Alur Jalan Di Derap Mimpi wajib terus!

Saya berpegang pada pepatah bahawa nilai seorang pejuang bukanlah pada berapa kali beliau terjatuh dari kuda tunggangannya.

Namun pada bagaimana pejuang tersebut gagah bangun, memanjat kuda tunggangannya semula dan kembali menggila di medan perang.

Lagipun, apa yang tidak membunuh kita hanya akan menjadikan kita lebih kuat!