Tuesday, December 1, 2009

5 Bulan, 3 Realisasi (Dan 40 Akhirnya)

Rasanya dah berbulan blog ini terbiar. Barangsiapa yang singgah telah, sedang atau akan hanya terbaca tribut peribadi untuk Michael Jackson. Sekilas ianya seakan menggambarkan ini blog khusus untuk hiburan pula!

Mungkin sibuk, kurang 'mood' menulis atau mungkin juga kerana telah menulis secara terlalu ekstensif sejak berakhirnya Eurotrip 2009. Malah saya terpaksa 'bercuti' pula dari menulis ke kolum peribadi di majalah Gila-Gila.

Apapun, ini bukanlah alasan tentunya. Cuma sekadar perkhabaran.

Beberapa realisasi terdetik sejak kontang menulis dalam beberapa bulan kebelakangan.

Pertama, untuk rekod, saya pernah ditikam belakang. Namun dalam 17 tahun karier saya sebagai pengamal Komunikasi Korporat dan Penjenamaan, belum pula terjadi bilamana nama diburukkan kepada seorang bakal klien sehingga menyebabkan persetujuan kontrak tergugat.

Rasanya anda pun pernah terserempak dengan orang sebegini yang perlu kondem orang lain untuk memastikan beliau nampak bagus. Walhal kerjanya sendiri hancus.

Dalam kes saya, orang tersebut bukan sekadar perlu melakukan sedemikian, malah beliau begitu aktif melakukan 'kerja tiup' dan 'kerja lidah' kepada majikan untuk tiba ke puncak.

Kadang-kadang memang sukar menjangka orang sebegini hinggalah beliau menjatuhkan 'bom'. Tapi setidaknya ia melatih kita untuk lebih bijak memilih yang mana rakan dan yang mana tak perlu kita pandang sebelah mata pun. Skil ini hanya boleh diperelokkan melewati masa.

Kedua, dalam beberapa bulan ini, ada yang melihat kelantangan saya sebagai ancaman terhadap posisi mereka sebagai ketua.

Saya akui saya sememangnya lantang andai ada sesuatu yang dirasakan kurang kena. Cara saya bekerja (sesuai dengan skop kerja yang memerlukan kreativiti) membuatkan saya tak selesa ditambat di meja pejabat 24 jam. Kemudian kedapatan pula politik pejabat yang mana jika anda telah tiba ke suatu tahap yang agak tinggi dalam carta organisasi, adalah mustahil untuk mengelakkan diri dari terjebak.

Satu ketika dulu saya pernah bereksperimen sebagai Pak Angguk untuk mengelakkan konfrontasi. Tapi hakikatnya kelantangan ini telah membawa saya ke berbagai mercu kejayaan serta memiliki akses kepada mereka yang sebelum ini tak pernah termimpi berjumpa - berbanding jika saya memilih hanya untuk berdiam diri.

Jadi bila ada antara mereka yang menolak bekerja bersama saya di sebabkan kelantangan ini, apa yang boleh saya katakan hanyalah "Pergi terbangkan layang-layanglah!"

Ketiga, ialah bila ada yang merasa was-was atau hilang kepercayaan/keyakinan terhadap saya hanya kerana satu dua 'hiccups' (berbanding dengan sepuluh atau dua puluh pencapaian saya dalam sesuatu jangka masa).

Dari satu perspektif mungkin tak boleh menyalahkan mereka kerana lagipun, kita hanyalah manusia. Tentunya kita tak dapat lari dari merasakan apa yang sedang dirasa bila wujud saja sesuatu perasaan yang membabitkan rasa.

Namun dari perspektif lain, ianya mencerminkan kadar keyakinan mereka terhadap kita sebenarnya. Sama ada mereka hanya cenderung bersama ketika poket saya sedang penuh ataupun akan lari bertempiaran (atau mengata di belakang) bila saya menghadapi sedikit 'hiccups' dan meminta pertolongan.

Tapi tak mengapa. Saya tidak menyimpan dendam terhadap mereka ini, melainkan kalau mereka tergolong dalam haprak yang dinyatakan dalam realisasi pertama di atas. Namun setidaknya dari saat ini, saya TAHU. Itu saja. Saya dah TAHU. Siapa mereka, setidaknya.

Dalam perkembangan lain, saya kini lebih menggemari memaparkan krim minda rasa melalui kemaskini status di Facebook. Lebih cepat menulisnya dan lebih cepat pula mendapat respons serta berinteraksi - dari yang serius seseriusnya, mengarut semengarutnya atau yang berbaur 18SG.

Selain dari itu, pejam celik pejam celik saya sudah memasuki Kelab 40an. Ada yang berkata bahawa "hidup bermula pada usia 40". Entahlah. Berdasarkan kenyataan itu saya masih berusia kurang 3 bulan. Jadi terlalu awal untuk memberikan komen!

Apapun... perjuangan menelusuri Alur Jalan Di Derap Mimpi wajib terus!

Saya berpegang pada pepatah bahawa nilai seorang pejuang bukanlah pada berapa kali beliau terjatuh dari kuda tunggangannya.

Namun pada bagaimana pejuang tersebut gagah bangun, memanjat kuda tunggangannya semula dan kembali menggila di medan perang.

Lagipun, apa yang tidak membunuh kita hanya akan menjadikan kita lebih kuat!

1 comment:

landaklaut said...

selamat menulis kembali encik asrul. :)

-cahaya#-