Nota: Artikel ini ditulis pada 30 Disember 2001, ketika saya berada di kamar hidup yang amat, amat gelap sekali.
Saya teringat pada artikel ini sejenak bila terkenang satu lagi insiden sekitar 2007, ketika Adam Jefril berumur 2 tahun dan baru mula belajar bercakap.
Pada satu malam, Adam sedang girang bermain di ruang tamu rumah. Tiba-tiba beliau tercegat merenung ke arah pintu rumah yang bertutup rapat. Merenung seolah-olah ada 'sesuatu' yang menarik perhatiannya.
"Adam tengok apa?" tanya saya.
Dengan mata masih tajam merenung ke arah pintu, Adam menjawab; "ABANG..."
Air jernih tergenang seketika di kelopak mata.
Mungkin jika kita tahu di mana kita pernah berada kelmarin, kita akan lebih mensyukuri apa yang telah dianugerahkan pada kita hari ini.
-----------------------------------
Kehadapan anakku ASRUL ISKANDAR.
Hanya lebih kurang 3 minggu yang lalu, Papa telah menerima khabar gembira dari Mama mengenai kehadiranmu. Papa merasa amat bersyukur kerana akhirnya Alyssa Sofea, kakakmu akan mendapat seorang adik.
Sudah kerapkali sangat kakakmu asyik meminta seorang adik kerana katanya "Alyssa sunyi. Alyssa nak kawan". Bila Papa dan Mama menngkhabarkan bahawa engkau akan dizahirkan 9 bulan lagi, Papa tak dapat melupakan sinar keceriaan di mata Kak Alyssa. Malah Kak Alyssa beria-ria benar mencanangkan berita gembira ini kepada semua --- "Alyssa nak dapat adik, tau!!". Petah sekali mulutnya.
Beberapa hari selepas menerima berita kehadiranmu dalam rahim Mama, seisi keluarga mula merasa kaget dan sedikit panik apabila Mama mengalami bleeding. Oleh kerana usiamu masih beberapa minggu, doktor tidak dapat mengesahkan sama ada kami telah kehilanganmu atau tidak. Namun doktor menasihatkan agar kami membatalkan sebarang rancangan untuk balik kampung sempena Aidil Fitri kerana bimbang atas keselamatan Mama. Doktor juga mengingatkan kami bahawa Papa dan Mama mungkin akan kehilanganmu after all, jadi 'hope for the best and expect the worst'.
Mama amat bimbang sekali dan tak henti-henti menangis. Sebenarnya Mama telah kehilangan abang/kakak kembarmu 3 tahun lepas, seorang darinya berada di dalam rahim dan seorang lagi di luar. Atas nasihat doktor yang mendapati salah satu tiub Mama rosak teruk, telah menyarankan agar tiub tersebut di buang.
Mama amat risau kalau-kalau engkau juga akan mengalami nasib yang sama dan memungkinkan Alyssa tidak mendapat adik langsung selepas ini andai satu lagi tiubnya juga terpaksa dikeluarkan. Namun Alhamdulillah, sehari sebelum Raya, keadaanmu sudah agak besar untuk dilihat melalui ultrasound dan beberapa hari selepas itu, Mama mula menunjukkan tanda-tanda bahawa engkau sedang membesar dengan baik.
Aidilfitri kali ini disambut oleh Papa, Mama dan Kak Alyssa seperti hari-hari yang lain. Mama terlalu lemah untuk bangun dan asyik muntah-muntah. Jadi kami hanya menyambut Raya di rumah sahaja. Tok Ku, Nenda, Uncle Jomi, Auntie Mas, Zariff, Auntie Nina, Ayah Lan dan Ayah Man telah kembali ke kampung Mama di Kelantan. Pak Ngah, Mak Ngah, Tasya, Pak Su, Mak Su dan Naim pula telah pulang menjenguk Tok Ayah dan Mak Tok di Alor Setar. Tiada yang menziarah kami dan kami juga tiada menziarah sesiapa pun. Namun Papa, Mama dan Kak Alyssa bahagia kerana mengetahui engkau berada begitu hampir dengan kami.
Papa juga amat gembira kerana dalam masa yang sama akhirnya Papa berjaya merealisasikan impian Papa untuk menerbitkan hasil karya Papa. "Inilah rezeki kita"; kata Papa pada Mama.
Papa mula berangan-angan agar engkau dan Kak Alyssa juga kelak akan sedikit sebanyak tempias dengan kesukaan dan kegemaran Papa. Malah Papa juga telah mula mengajar Kak Alyssa menaip menggunakan Microsoft Word (walaupun Papa tidak faham apa yang ditaipnya!!) dan menutup 'Windows' dengan cara yang sepatutnya ditutup. Papa dapat membayangkan nanti betapa riuhnya engkau dan Alyssa berebut tetikus dan keyboard!!
Hari-hari yang berlalu seterusnya menyaksikan bagaimana Mama tidak henti-henti mengeluarkan isi perutnya dan sensitif dengan segala jenis bau. Buat pertama kalinya Papa kena 'babysit' dua orang sekaligus --- Mama dan Kak Alyssa. Alhamdulillah tugasan baru Papa menjadikan Papa lebih fleksibel.
Di sebelah paginya Papa akan mengemas rumah dan menyediakan breakfast/lunch untuk Mama. Kemudian Papa akan menghantar Alyssa ke rumah kawannya, Kakak Nadirah di blok berhadapan kondo kita kerana Mama tidak berupaya melayan Kak Alyssa berseorangan untuk memberi perhatian penuh akan kesejahteranmu. Selepas itu barulah Papa akan bergegas keluar bekerja.
Namun pada hari Jumaat baru-baru ini, tugasan Papa mengkehendakkan Papa keluar rumah lebih awal dan hanya pulang selepas 9 malam. Bila tiba di rumah, Papa terlalu letih dan terus melelapkan mata. Papa tidak sempat bertanya khabar akan keadaanmu pada Mama. Papa tidak sempat bersamamu malam itu setelah sehari suntuk berada di luar.
Keesokan harinya, Sabtu..Papa dikejutkan oleh Mama yang panik kerana katanya darah begitu banyak keluar. Kami bergegas ke hospital. Papa seterusnya meninggalkan Mama di hadapan pintu masuk dan kemudiannya berlegar mencari parking. Bila Papa sampai ke bilik menunggu, Mama sudahpun masuk ke bilik doktor.
Selang beberapa minit, Mama pun keluar. Terus Papa bertanyakan Mama apa kata doktor. Papa menjangkakan bahawa seperti sebelumnya, Mama akan memberitahu; "Doktor kata tak ada apa-apa. Bleeding sikit saja..."
Namun dengan wajah sugul Mama memberitahu Papa bahawa engkau sudah tiada lagi.
Mama terpaksa ditahan di hospital kerana doktor ingin mengeluarkan jasadmu. Setelah memastikan Mama telah 'settle down' di katil hospital untuk berehat sementara menunggu D&C dijalankan ke atasnya, Papa keluar sekejap memandu berseorangan. Walaupun Papa akur bahawa ini adalah kehendak Tuhan, Papa merasa sedih, kecewa dan marah sekali. Entah mengapa, ketika kami kehilangan saudara kembarmu dahulu, Papa tidak merasakan sebegini.
Sedih kerana Papa tidak akan berpeluang menatap wajah comelmu kelak. Papa tidak akan tahu wajah iras siapakah wajahmu. Kecewa kerana Kak Alyssa tidak berpeluang mengasuhmu, membancuh susumu ketika engkau menangis dahaga dan bermain-main bersama dengan kekeh dan gelak tawa engkau berdua.
Namun Papa juga marah. Marah kerana di luar sana ada terdapat mereka yang tidak menghargai sahabat-sahabatmu sedangkan Papa dan Mama amat berharap akan kehadiranmu. Malah ada yang berhasrat membunuh sahabatmu ketika masih di dalam kandungan. Entahlah kenapa mereka tergamak menidakkan pemberian Tuhan. Ramai juga sahabatmu yang dibuang dan akhirnya reput dimamah ulat dan serangga di dalam tong sampah. Papa berikrar seandainya ada yang berkeinginan demikian, Papa dan Mama ingin mengambilnya sebagai anak kandung. Biarlah adikmu kelak dibesarkan oleh keluarga yang menyayangi dan menghargainya daripada hidup terlantar dalam suatu rumah yang tidak ubah seperti neraka....
Tetapi dalam masa yang sama juga Papa merasa lega. Papa telah menahan rasa gusar sejak beberapa minggu kebelakangan ini melihat Mama terlantar teruk di katil dan tak henti-henti muntah. Papa kesal kerana Papa tidak dapat memindahkan beban sakit Mama kepada Papa. Ketiadaanmu akan menghentikan semua ini, walaupun Papa tahu Mama menerima segala yang dialaminya dengan senang hati. Semuanya keranamu.
Oleh kerana terlalu banyak perasaan berbaur di hati Papa, Papa telah menghentikan kereta di suatu sudut yang agak terpencil dan menangis semaunya. Mungkin inilah kali yang ketiga Papa benar-benar menangis sejak di alam dewasa. Biarlah, kata orang kalau terlalu memendam perasaan ianya akan memudaratkan.
Bila Papa kembali ke hospital, Kak Alyssa sudah berada bersama Mama. Mak Tok dan Tok Ayah kini berada di KL untuk membantu Pak Su/Mak Su dengan 'open house'nya hari ini dan merekalah yang membawa Kak Alyssa bertemu Papa dan Mama di hospital.
Papa memberitahu Kak Alyssa; "Adik tak jadi datang..."
Seperti biasa, Kak Alyssa mu yang begitu inquisitive akan bertanya; "Kenapa....?"
Aduh...bagaimanakah harus Papa menceritakan perihal hidup mati dan ketentuan Allah agar dapat difahami oleh seseorang yang seusia Kakakmu.
"Macam ni.... Mula-mula Allah memang nak bagi adik kat Alyssa. Tapi kemudiannya Allah jadi teramat sayang kat adik sampai Dia tak sanggup menghantarnya pada kita. Jadi biarlah Allah jaga adik. Nanti satu hari Papa, Mama dan Alyssa akan jumpa juga dengan adik...tapi lambat sikit la...."
Itulah saja yang mampu Papa jelaskan pada Kak Alyssa.
Mungkin secara kebetulan. Mak Tok sebentar tadi menceritakan bahawa ketika bangun dari tidur pagi tadi, Kak Alyssa berbaring seakan termenung.
Bila ditanya kenapa, Kak Alyssa mengatakan; "Semalam Alyssa mimpi adik dah keluar....."
Seterusnya Mak Tok bertanya; "Adik lelaki ke perempuan?"
"Tak tahu....tak nampak"; jawab Kak Alyssa.....
Sebentar tadi, pada jam 7 malam, doktor telah mengeluarkan jasadmu sepenuhnya dari tubuh Mama. Dan malam ini Mama tidur sendirian di katil hospital. Papa pula ke rumah Tok Ku yang berhampiran dengan hospital agar senang mengambil Mama keesokkan harinya. Dan seperti biasa Papa ingin merakamkan requiem ini untukmu. Mungkin akan ada yang mendesis dan mentertawakan requiem Papa untukmu ini. Biarlah. Papa juga manusia dan hati Papa juga rapuh.
Tuhan telah menetapkan bahawa Papa dan Mama are not worthy untuk menimangmu, membesarkanmu, melihatmu ke sekolah dan seterusnya menjaga Papa dan Mama di hari tua kelak. Tuhan lebih menyayangimu dan setiap yang diberikanNya (atau tidak) mempunyai sebabnya sendiri. Mungkin Tuhan sudah mengisyaratkan bahawa dunia ini bukanlah untukmu.
Mungkin satu hari nanti engkau adikmu akan lahir kelak ke dunia ini. Dan satu hari nanti ketika dia sudah besar dan memahami, Papa akan menceritakan padanya tentang abangnya yang bernama Asrul Iskandar. Bagaimana abangnya hadir (walaupun sekelumit tika cuma) ketika hidup Papa mula cerah semula setelah sekian lama kering kaku gagal menjadikan impi-impian Papa satu kenyataan.
Anakku Asrul Iskandar.
Jika pada malam hari Papa bermimpi akan kehadiran seorang kanak-kanak lelaki yang comel, Papa akan tahu bahawa ianya adalah dirimu. Akan Papa ceritakan betapa rindunya Papa untuk mendakap dan memelukmu. Walaupun ketika pagi menjelang Papa akan kembali termanggu sendirian setelah engkau berlalu. Namun Alhamdulillah, Mama dan Kak Alyssa berada di sisi menemani Papa sentiasa...dan Papa pasti kerinduan itu akan terubat juga.
Jika engkau disapa oleh dua orang yang seakan-akan mempunyai iras wajah yang serupa, mungkin mereka adalah abang/kakak kembarmu. InsyaAllah mereka akan menemanimu di sana, bermain riang gembira.... dan Papa pasti engkau tidak akan kesunyian. That realisation alone will ease my mind. I'll know that you'll be happy there.
Junjungan kita pernah menyatakan bahawa sahabat-sahabat serupamu di hari akhirat kelak akan memimpin Papa dan Mama mereka terus memasuki syurga. Semoga engkau akan menjerit memanggil; "Papa....Mama.....Datang sini" dalah keributan dan keriuhan manusia di Padang Mahsyar kelak ketika kami terpinga-pinga. Ah...tak sabar rasanya Papa menantikan wakttu itu untuk menatap wajahmu dan memeluk erat tubuhmu. Dan seterusnya berpimpinan tangan bersama melewati gerbang syurga. Namun entahlah, itu semua ketentuan Allah jua.
But I guess that we would have to wait.
Walaupun kita ditakdirkan tidak dapat bersama, namun engkau akan sentiasa berada di memori dan hati kami.
Goodbye Asrul Iskandar...... Papa and Mama will see you later.
MUCH, much later....
No comments:
Post a Comment