Tuesday, May 11, 2010

Apa Yang Tak Kena Dengan Repot Polis Ini?

Ada bertanya kenapakah saya begitu gah dan beria-ria mempertahankan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam insiden yang membabitkan Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, yang dikatakan ditembak polis secara membabi-buta.

Tanpa niat dan prejudis untuk 'menghina' keluarga mangsa, saya hanya akan menumpukan kepada dua dokumen bertulis yang berkait rapat dengan kejadian ini - Repot Polis yang dibuat oleh saksi utama kejadian dan entri blog YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Yang Di Pertua PAS untuk kawasan sama.

Saya juga tidak akan menyentuh isu 'laporan rasmi' yang dikatakan bercanggah dengan Repot Polis ini. Biarlah mahkamah menentukannya, memandangkan perbicaraan sedang berlangsung.

Repot Polis dan entri blog tersebutlah, pada saya, yang sebenarnya memulakan semarak kebencian umum terhadap PDRM.

Repot Polis ini secara umumnya mempunyai 4 isi utama - Aminulrasyid dan rakan keluar membantu seorang rakan lain yang tayar motosikalnya pancit pada tengah malam, dikejar sekumpulan motosikal kerana bergesel dengan sebuah Mercedes, dikejar kereta peronda polis dan akhirnya bagaimana Aminulrasyid ditembak dari belakang.

(a) Isi pertama, yakni 'keluar membantu rakan' adalah bersifat apologetik, sekadar memberikan justifikasi kenapa mereka keluar pada malam tersebut, iaitu 'untuk membantu rakan'. Ini adalah untuk memberi gambaran bahawa Aminulrasyid merupakan seorang yang 'mulia' kerana sanggup berkorban untuk 'membantu' rakannya - walaupun beliau tahu beliau tidak memiliki lesen memandu yang sah dan kereta tersebut diambil tanpa kebenaran empunya.

(b) Isi kedua, yakni 'dikejar sekumpulan motosikal' juga bersifat apologetik. Sekali lagi sebagai justifikasi untuk mereka 'memandu laju' demi melarikan diri.

(c) Untuk isi ketiga, saya tertarik dengan petikan "AMINUL RASHID menjadi bertambah takut dan membawa kereta dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan kami dan juga orang awam" (setelah dikejar kereta peronda polis). Ada dua tebakan boleh dibuat. Pertama pengarang Repot Polis ini cuba menekankan pada aspek 'takut' dan yang keduanya, dalam masa yang sama mengakui bahawa mereka tidak menghiraukan keselamatan sendiri dan orang awam dengan pemanduan merbahaya tersebut. Kenapa? Hanya untuk 'pulang ke rumah'. Dua aspek ini - 'takut' dan 'ingin pulang ke rumah' sudah cukup untuk menimbulkan simpati dari orang awam.

(d) Pengarang Repot Polis kemudiannya mengatakan bahawa 'tembakan bertubi-tubi' telah dilepaskan yang mana telah menembusi tayar belakang kereta, membuatkan kereta tersebut 'terhoyong-hayang dan tergelincir'. Ketika dalam keadaan kelam kabut inilah, pengarang mengatakan bahawa "tembakan kali terakhir terkena pada AMINUL RASHID".

Persoalan dan penelitian saya setelah meneliti Repot Polis ini ialah:

(i) Karangannya Bersifat Apologetik. Isi pertama dan kedua bertujuan memberikan justifikasi kenapa Aminulrasyid memandu tanpa lesen dan kenapa beliau memecut laju. Repot Polis ini boleh saja dimulakan terus dengan "Sekitar jam 2 pagi, saya bersama AMINUL RASHID telah dikejar sekumpulan motosikal..." Tetapi tidak, pengarangnya merasakan perlu untuk 'rewind' atau imbas semula ke belakang lagi untuk mencari justifikasi.

(ii) Karangannya Bertujuan Meraih Simpati. Saya mendapatkan salinan Repot Polis ini dari laman blog Perisik Rakyat dan ketika itu ia telahpun tersebar rata. Perlu ditanya apakah tujuan Repot Polis ini disebarkan? Tentunya untuk menumpukan pada kontradiksi antara 'laporan rasmi' dan 'laporan saksi'. Namun yang penting lagi, pada saya, ialah untuk meraih simpati kerana mereka tahu bahawa Repot Polis ini akan disebarkan kemudiannya. (Nota: Salinan Repot Polis ini telah pun dipadam dari laman blog yang berkenaan ketika entri ini ditulis)

(iii) Tiada Sebarang Kenyataan Mengenai Salahlaku Aminulrasyid. Tiada langsung barang satu ayat yang mengatakan bahawa Aminulrasyid 'mencuri' kereta keluarganya, keluar malam tanpa kebenaran, memandu tanpa lesen, memandu laju dan gagal berhenti apabila diarahkan polis. Yang disebut hanyalah poin-poin apologetik dan justifikasi yang bertujuan meraih simpati.

Persoalan saya - Mampukah seorang pelajar 15 tahun 'mengarang' Repot Polis ini dengan begitu berstruktur dan dipenuhi elemen-elemen yang digariskan tadi? Atau adakah beliau telah diberi tunjuk ajar secukupnya oleh 'orang tertentu' akan apa yang mesti ditulis dan bagaimana mahu menulisnya?

Manakala entri blog Khalid Samad kemudiannya mewar-warkan dakyah bahawa:

- Media massa Malaysa 'tidak boleh dipercayai' kerana melabel Aminulrasyid sebagai 'penjenayah'

- Pihak PDRM 'cenderung berbohong' untuk menutup kesalahan sendiri

- PDRM 'cenderung memaksa saksi' untuk merubah kenyataan "bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis".

Tindakan Khalid yang memetik kes Teoh Beng Hock, Norizan Salleh, Kugan dan Altantuya sejurus selepas poin-poin ini adalah bertujuan untuk 'mengukuhkah hujah' beliau di atas dan terus-terusan melakukan implikasi negatif terhadap PDRM.

Walau apapun jawapannya, hasil dari 'propaganda' ini, masyarakat telah mempunyai tanggapan negatif terhadap PDRM secara keseluruhannya.

Dalam jangka waktu sekarang yang mana peningkatan kadar jenayah adalah terlalu membimbangkan, 'propaganda' seperti ini adalah tidak diperlukan.

Pembaca dan masyarakat harus lebih arif meneliti yang tersirat daripada menjamah bulat-bulat yang tersurat lalu secara emosional meletakkan label bahawa 'Polis Adalah Penjenayah'.

Label sebegini hanya akan menggembirakan Penjenayah yang sebenarnya Penjenayah.

Hentikanlah mainan 'propaganda' ini. Banyak lagi 'propaganda' lain yang boleh dimainkan.

Ini pinta saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Tolonglah.


Nota: Entri ini adalah bersifat 'analytical', yakni sekadar mengkaji poin-poin yang diutarakan dalam dokumen-dokumen tersebut. Ia boleh juga dilihat sebagai galakan agar pembaca berfikir dan banyak mempersoalkan sesuatu sebelum membuat kesimpulan - dan bukanlah untuk melemparkan tuduhan kepada mana-mana pihak.

Tuesday, May 4, 2010

Citra Cinta

Mulanya kita keseorangan.

Kemudian ada yang menemani.

Bisik Suami; “Isteriku. Di kala aku melafazkan cinta dan engkau menyambutnya, langit terbelah awan tersibak mengalirkan hujan kama yang membasahi kedua kita.

Kamulah satu dalam seribu yang aku pilih untuk menjalani kehidupan bersamaku.

Akan ku bawa dikau bersama dalam gembira, memapahmu dalam duka dan terbang menukik pelangi hingga bertemu destinasi abadi”.

Bisik Isteri: “Suamiku. Aku syukuri pertemuan ini. Aku berterima kasih di atas cintamu. Di sini aku juga menyerahkan setiap butir kasih sayangku kepada kamu yang menyuntingku sebagai suri hidupmu”.

Satu menjadi dua. Dua menjadi tiga. Dan seterusnya.

Lafaz “Aku terima nikahnya….” hanya merupakan permulaan untuk suatu Citra Cinta yang layak dibariskan sebagai Epik peribadi.

Dengan lafaz tersebut, bermulalah kehidupan yang ada bersimpang siur di antara gembira dan duka.

Namun yang akan menjadikan Citra Cinta tersebut kekal merupakan pengorbanan yang didasarkan atas rasa Cinta Tanpa Syarat yang mendalam terhadap satu sama lain.

Bahawasanya Hidup ini terus. Hidup ini tidak selalunya indah. Itu realiti Hidup.

Dan Hidup juga merupakan suatu kitaran.

Mulanya kita keseorangan.

Kemudian ada yang menemani.

Seterusnya kita bersatu, berkeluarga. Bila tiba waktunya, anak-anak dan cucu-cucu kita pula yang mulanya juga keseorangan akan ada yang menemani. Dan seterusnya mereka akan juga bersatu, berkeluarga. Ini ketentuan perjalanan hidup.

Yang akan menjadi asas terhadap segala perjalanan hidup itu ialah Citra Cinta asal yang ditulis berdasarkan kisah-kisah pengorbanan dan Cinta Tanpa Syarat itu sendiri.

Seterusnya Citra Cinta ini akan disampaikan turun temurun sebagai mitos-mitos dan lagenda agung sebagai renungan warisan.

Ini bukanlah Citra Cinta Romeo dan Juliet. Atau Laila dan Majnun.

Ini adalah Citra Cinta Kita.

Kita.

(Diedit untuk entri BandarUtopia @ Blogspot. Artikel penuh boleh didapati dalam 'CHANTEK' terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pillar Graphics Sdn Bhd. Tinta prosa oleh Asrul Muzaffar Mohammed. © 2007 Hakcipta terpelihara)

Thursday, April 29, 2010

Tanpa Syarat, Tanpa Balasan

Kita cenderung menyakiti mereka yang menyintai kita.

Mungkin kerana dugaan. Atau kerana maruah. Namun selalunya kerana ego.

Kita tak hidup bersendirian. Terdapat banyak faktor-faktor luar yang sering mempengaruhi hati dan perasaan. Mempengaruhi cara kita berfikir. Mempengaruhi cara kita menyintai mereka yang menyintai kita.

Seringnya kita disogok dengan berbagai rentetan yang ditafsir cerdik pandai sebagai 'prioriti', 'materialisme' dan segala apa kejadah lagi. Kita dikondisi dengan apa yang masyarakat mahu kita merasa. Walau seteguh mana pun kepercayaan bahawa apa yang kita lakukan itu benar, andai masyarakat mengatakannya 'salah', tidak dapat tidak kita akan terpengaruh juga akhirnya.

Kita marah bila kita merasa diketepikan oleh orang yang kita cintai. "Buat apa menjadikan seseorang itu prioriti bila kita sendiri dijadikan pilihan bagi beliau", kata kita.

Kita memaksa sunyi menguasai diri bila kelibat si dia lebih cenderung berkeliaran di pejabat dari di dalam rumah. Kita menjemput sepi bila fokusnya lebih leka tajam tertumpu ke kaca TV daripada leka erat memeluk kita. Kita mengundang amarah apabila pemberian hadiah harijadi dari dia bukanlah seperti (atau semahal, atau secantik) yang kita harapkan.

Adakah kita terlalu mementingkan diri sebenarnya? Kita merasakan bahawa Cinta yang kita beri terhadap seseorang itu terlalu 'agung' dan memohon agar dia menyintai kita 'seperti kita menyintai dia'.

Kita mahu diingati setiap masa. Kita mahu menjadi setiap hembus udara yang dia hirup. Kita mahu membolot segala-galanya tentang dia.

Sebab kita merasa kita telah memberikan segalanya dan kita mengharapkan balasan Cinta yang setimpal dari dia.

Bukankah Cinta itu sesuatu yang indah? Yang agung? Kenapa pula kita harus mengeruhkan Cinta dengan prejudis dan pengaruh duniawi?

Cinta adalah rasa yang disalurkan terus dari Pencipta untuk kita nikmati dengan dia yang juga 'mungkin' menyintai kita. Persoalannya - adakah perlu kita mengharapkan Cinta balas dari dia yang kita cintai?

Cukuplah sekadar dia tahu yang bahawasanya kita menyintai dia. Dan apa saja yang kita lakukan adalah hanya untuk menggembirakan dia semata-mata. Tak perlulah kita mengharapkan balasan.

Andai 'agung' Cinta kita itu juga dirasai dia dan dia membalasnya seperti yang kita harapkan - maka itu adalah satu bonus.

Ketika Cinta datang kepadamu, ikutlah dia. Walaupun jalannya sukar dan curam.

Pabila sayapnya mendakap kamu, menyerahlah padanya. Walaupun pedang yang tersembunyi di celah sayapnya itu mungkin melukakan.

Pabila dia bertutur kepadamu, percayakanlah dia. Walaupun suaranya mungkin menggegarkan mimpi-mimpimu seperti angin utara yang terdampar sepi di taman.

"Jika aku menyembahMu kerana takutkan Neraka, maka bakarlah aku di dalam Neraka. Jika aku menyembahMu kerana mengharapkan Syurga, sisihkanlah aku daripada Syurga.
Tetapi jika aku menyembahMu kerana diriMu semata-mata, janganlah Engkau sembunyikan KecantikanMu Yang Abadi" (Rabiah, penyair Islam kurun ke 8)

Kita cenderung menyakiti mereka yang menyintai kita.

Namun jangan pernah terfikir bahawa kita mampu menentukan arah Cinta.

Kerana Cinta, andai ia mendapati kita wajar, akan menentukan arah kita.

(Nota: Entri ini diinspirasikan oleh 'The Prophet' karya Kahlil Gibran, 1883-1931, seorang penyair, filsuf dan pelukis dari Lebanon)

Tuesday, April 27, 2010

Tiga Perkataan, Jutaan Rasa, Satu Sumber

Baru nak tidur, terbaca status seorang rakan FB mengenai dedikasi lagu yang diterimanya. Dan bagaimana beliau sedang cuba menafsir makna lagu tersebut.

Lagunya 'Dealova' nyanyian Once dari Dewa 19.

Lalu saya unjurkan satu artikel berjodol 'Dealova4U' yang pernah saya tulis beberapa tahun sudah. Tak pasti pula sama ada ianya relevan dengan maksud yang cuba 'ditafsir' oleh rakan saya itu.

Berturut dari artikel "It's What I Wrote, Not What I Meant" tempoh hari, mungkin tafsiran lagu-lagu seperti 'Dealova' ciptaan Opick (seorang sufi dari Indonesia) mampu memberikan ilustrasi yang lebih jelas terhadap betapa sukarnya menterjemah 'rasa' atau 'idea' kepada bentuk lingualistik.

Katakan kita melihat sebungkus coklat Toblerone di atas meja. Imej bungkusan coklat tersebut beserta bentuk segitiganya akan menghantar bait-bait maklumat ke otak dan seterusnya menerbitkan kefahaman bahawa "Ya... itu coklat Toblerone".

Maklumat itu juga jurus mengembalikan memori akan betapa lazatnya ketika coklat ini cair di dalam mulut - justeru membuat kita terus menerpa, mengambil, mengoyak bungkusan, mengepak dan memasukkannya ke dalam mulut. Kelazatan itu mungkin pula akan ditafsir dalam bentuk ritma yang melontarkan bunyi "Hmmmmmm...."

Contoh Toblerone adalah contoh mudah. Tetapi, bagaimana harus diterjemah dalam bentuk perkataan akan sesuatu yang mana secara unik, hanya kita yang mampu merasainya?

Ibnu Arabi (1165-1240), seorang pemikir dan saintis Islam pernah mendapat suatu visi yang meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya ketika mengelilingi Kaabah. Visi tersebut adalah dalam bentuk seorang gadis bernama 'Nizam'.

Dalam kitabnya Futuhat Al-Makkiyah, beliau menulis; "Andai kamu menyintai seseorang kerana kecantikannya, maka kamu sebenarnya menyintai tidak lain dari Allah, kerana Dia lah yang Maha Cantik".

Kita tidak boleh melihat Allah tetapi kita boleh 'menemukan' zatNya melalui kecantikan gadis seperti Nizam yang telah menginspirasikan rasa cinta dalam diri kita.

Rasa cintanya terhadap Nizam yang mana kecantikannya dilihat sebagai jelmaan kebesaran ciptaan Tuhan Maha Agung telah mendorong Ibnu Arabi menghasilkan kitab Al-Diwan, sebuah kompilasi puisi-puisi cinta.

Menurutnya, bait-bait puisi yang ditulis merupakan hasil jalinan alam Fana (dunia kita sekarang) dan alam Baqa (alam yang kekal) - tersohor dari inspirasi spiritual yang datangnya dari Tuhan.

Inspirasi tadi 'diterjemahkan' pula kepada 'bahasa' alam Al-Mithal (titik sambung antara dua alam tadi) yang kemudiannya tiba dibenak fikiran dan dizahirkan melalui 'rasa' yang terbit di dalam diri.

'Rasa' inilah yang kemudiannya harus 'diterjemahkan' kepada pertuturan bahasa manusia - Bahasa Malaysia, English, French, Arab, Telegu, Tagalog dan sebagainya dan disampaikan agar mereka yang berkenaan mampu mengerti.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said pernah menulis:

"...Saya sentiasa mempercayai bahawa antara tugas-tugas berat seniman (seperti penulis) ialah menterjemah sesuatu peristiwa, sesuatu situasi dan sesuatu masalah. Tidak ada sastera tanpa penterjemahan ini. Melaluinya dapat diperlihat sikap, dipertemu jawapan, diperkaya hidup... karya sastera masih dapat menjadikan dunia seseorang bertambah luas, berwarna, bermakna. Malah seni juga membuatkan kita sayang pada alam, rindu akan insan, takwa kepada Tuhan....

....Dan proses kreativiti seniman itu sebenarnya adalah satu perjalanannya untuk MENGENAL dan MENGASIHI alam, manusia, lebih-lebih lagi TUHANNYA" (A. Samad Said, 'Kreativiti dan Penulis')"

Menterjemah 'rasa' bukanlah sesuatu yang mudah.

Kadang-kadang apa yang kita rasa dan ingin zahirkan berbunyi janggal atau kurang tepat dalam bentuk lingual.

Namun segala rasa yang menggumpal dalam jiwa adakalanya mampu terwakili oleh tiga perkataan yang amat singkat.

"Aku... Cinta... Padamu..."

Wednesday, April 21, 2010

"It's What I Wrote, Not What I Meant"

Satu ketika dahulu, dua buah kapal terbang menghentam dua bangunan. Ribuan terbunuh serta merta. Ratusan ribu pula terbunuh kemudiannya. Saya menukilkan frustrasi tersebut melalui kalimah 'FUCK THE JIHAD' yang mengutuk atrositi berkenaan.

Respons yang diterima kemudiannya, secara terus terang, agak mengejutkan. Tulisan saya tersebut tersebar di laman-laman web. Berbagai makian dan cercaan diterima termasuklah ugutan bunuh.

Artikel yang secara umumnya mempunyai mesej keseluruhan bahawa 'Islam tak mengajar membunuh yang tak berdosa' diketepikan dan yang mereka nampak hanyalah perkataan 'FUCK' yang kononnya diasosiasikan dengan 'JIHAD' (mereka tak perasan atau buat-buat tak perasan ada perkataan 'THE' di tengahnya)

Tak lama kemudian, saya mengusulkan Metoda Pemikiran Saintifik dan mencemuh segala macam hantu raya, hantu tetek, tok nenek hantu sebagai imaginasi manusia yang hanya bertitik tolak dari adat kepercayaan kuno turun temurun.

Berturut dari situ pula, saya dituduh mengagungkan elemen pemikiran kuning dan cuba menerapkan atheisme di kalangan pembaca beragama Islam.

Mungkin yang menuduh itu tidak sedar bahawa tiada yang baru dalam usul saya tersebut - kerana ianya saya adaptasikan hampir bulat-bulat dari Al-Quran dan ajaran ulama'-ulama' di zaman kegemilangan Empayar Islam dahulu.

Mungkin kerana kita tidak membaca atau memahami betul-betul apa yang tersirat dan tersurat. Kita celapak melakukan kesimpulan. Kita seringkali hanya menitip satu dua patah perkataan yang ditutur (atau ditulis) dan kemudiannya melakukan kesimpulan yang seringkalinya juga tersasar.

Dalam keterlaluan dan emosi, kita tidak mampu melihat gambaran penuh. Kita berkecil hati. Kita berubah rasa. Kita marah.

Atau mungkin kerana kita mempunyai imej stereotaip terhadap seseorang yang kita baru kenal, sama ada secara zahir apatah lagi melalui komunikasi bisu di Internet. Kita mengandaikan bahawa penulis tersebut adalah begini begitu berdasarkan apa yang sering ditulis beliau.

Jadi apabila penulis melontarkan sesuatu ide atau kenyataan yang bercanggah dengan rasa dan kepercayaan diri, kita merasa kecewa. "Tak sangka mamat ni sebenarnya macam tu"; juih kita.

Akhirnya, mungkin kita merasa apa yang ditulis itu ditujukan kepada kita secara spesifik. Padahal penintanya tidak langsung mensasarkan tulisan tersebut kepada sesiapapun secara umumnya.

Lainlah kalau ditulis; "Sememangnya (nama) memang mangkuk hayun" barulah benar-benar tulisan itu ditujukan kepada individu berkenaan!

Bukan semua yang saya tulis mempunyai maksud tersirat. Kadangkalanya yang tersurat pun tak semestinya ada, kerana ia mungkin hanya omongan kosong melelah bosan.

Bahawasanya si peninta kadang-kadang dengan canggung kemusykilan hairan kenapa tiba-tiba dia dimarahi, dibenci dan dimusuhi sedemikian rupa.

Segala senda gurau gelak ketawa sebelumnya tiba-tiba melakukan pusingan 360 darjah kepada sesuatu yang begitu dingin sepi.

Dan membingungkan.

Mungkin kadang-kadang berdiam diri adalah lebih bermakna.