Terus terang, saya tidak begitu menggemari filem Puteri Gunung Ledang (2004) yang merupakan filem 'termahal' Malaysia hingga ke saat ini. Tidak dinafikan bahawa pengarahan seni dan keseluruhan produksi filem tersebut memang sesuatu yang diluar kebiasaan filem-filem tempatan, terutama jika dibanding dengan filem-filem horror dan komedi murahan yang dihasilkan 'jutawan-jutawan' filem di Malaysia.
Pada saya, lakonlayar, plot dan mesej yang ingin disampaikan terlalu longgar dan tidak meninggalkan kesan langsung. Persepsi diri juga mengatakan bahawa produsernya hanya 'bernasib baik' kerana memiliki sumber dan kabel untuk menghasilkan filem yang kelihatan gah namun hakikatnya tidak segah mana.
Ketika diumumkan bahawa filem tersebut akan diberi nafas baru sebagai teater muzikal pada tahun 2005, saya merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang cuba mendapatkan tiket namun tidak berhasil. Saya ingin juga menontonnya dengan harapan kekecewaan yang dialami dengan versi filem akan terubat. Masuk musim kedua pada tahun 2006, tiket yang diidam masih belum menjadi nyata. Sehinggalah musim ketiga, yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya dari 6 hingga 21 Februari 2009.
Kini saya merasa bertuah kerana hanya menonton Puteri Gunung Ledang: The Musical (PGLM) musim ketiga pada hari pembukaan semalam, 6 Februari 2009 kerana rata-rata mengatakan ianya adalah versi terbaik setakat ini!
Segala rasa skeptikal dan kekecewaan terhadap versi filem hilang lenyap lesap ketika Adegan Ketiga (Khabar Hanyalah Khabar) di pentaskan. Menjelang Adegan Ketujuh (Malam Saksi Cinta), alunan lagu 'Di Puncak Tertinggi' nyanyian Puteri dan Tuah membawa saya ke alam mistikal indah. Ketika kapal layar muncul di pentas (Pelayaran Menuju Gunung Ledang) pada penghujung Babak 1, saya memaklumi diri bahawa suatu 'masterpiece' tempatan sedang berada di hadapan mata!
PGLM Musim III sesungguhnya telah meletakkan suatu 'benchmark' tinggi terhadap pementasan teater di Malaysia, terutamanya yang ingin dipentaskan di lokasi eksklusif seperti Istana Budaya. Ianya juga menyedarkan bahawa penggiat dan produser teater harus diberi pendedahan terhadap teater-teater muzikal Broadway dan WestEnd andai ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan produksi-produksi Andrew Lloyd Webber, Jim Jacobs atau Jonathan Larson - terutamanya dari segi teknik, susunan muzik dan logistik pementasan.
Produser teater tempatan harus memperkembangkan skop melewati pentas Panggung Bandaraya atau MaTiC dan menumpukan hasil akhir terhadap produksi-produksi seperti yang diiltizamkan Tiara Jacquelina terhadap PGLM Musim III. Setinggi-tinggi ucapan tahniah harus diberikan terhadap beliau dan keseluruhan pelakon serta tenaga produksinya kerana berjaya menghasilkan sesuatu yang mampu membuat kita bangga digelar 'Bangsa Malaysia'.
Tahniah khusus harus diberi kepada AC Mizal yang memberikan lakonan berkesan hingga membuat saya lupa bahawa AC Mizal yang dipentas ialah AC Mizal. Juga kepada Stephen Rahman-Hughes dan Tiara kerana penjiwaan watak dan suara mereka yang memukau. Perihal props, efek khas, penataan muzik, kostum, koreografi - tak payah cakaplah. Tak berkelip mata menontonnya! Dan tentunya, tahniah teristimewa terhadap yang 'terutama', Tiara sendiri.
Sebab itulah, pertama kali sejak menonton produksi teater tanah air, saya bangun memberikan 'standing ovation' di akhir pementasan!
(Foto-foto dari laman web PGLM dan Friends of Enfiniti)
No comments:
Post a Comment