Saya banyak mengumpul LP, kaset, CD dan terbaru format digital MP3 album-album tempatan. Sejak entri sebelum ini, ada yang bertanya apakah album-album tempatan kegemaran saya sepanjang zaman dan di sini saya bariskan secara ringkas.
1) Sohaimi Mior Hassan: Prolog (1983)
Kiranya inilah album yang memperkenalkan saya kepada genre lagu-lagu puisi. Juga membuat saya sedar bahawasanya Bahasa Malaysia boleh digubah susun atur dengan begitu indah dalam bait-bait lirik.
Berdasarkan influens dari penyanyi-penyanyi folk seperti Bob Dylan, Sohaimi menggunakan perkataan-perkataan mudah dan tidak bombastik dalam menceritakan sesuatu yang kompleks. Seperti monolog diri dalam 'Suatu Aku Yang Terlena', percintaan berbeza agama dalam 'Epilog Cinta Dari Bromley' atau penghijrahan urban dalam 'Senandung Getah Asli'. Paling menarik ialah cara beliau menjambatani permasalahan negara dalam 'Sekeping Coretan Buat Kekasih' (demam denggi, rasuah) dengan kerinduan terhadap yang tersayang.
Album susulan, 'Dedikasi' (1984) yang merupakan hadiah peribadi Sohaimi kepada si jantung hatinya juga menjentik rasa, terutama lagu-lagu seperti 'Kau Kepunyaanku' dan 'Senandung Sambal Tumis'.
Walau bagaimanapun album 'Misteri Cinta' (1986) pada saya digarap seakan-akan 'mencukupkan syarat kontrak' dengan syarikat rakaman sahaja. Saya juga tidak begitu menggemari album terbaru beliau 'Suatu Hari Nanti' (2007) yang agak melankolik dan kurang mempunyai 'ruh' seperti 'Prolog' atau 'Dedikasi'.
2) Sudirman: Abadi (1981)
Saya kira inilah satu-satunya album patriotik penuh yang pernah dihasilkan di Malaysia. Kreativiti Allahyarham dalam menghasilkan konsep keseluruhan album ini dari lirik hinggalah ke kulit album - sekarang merupakan satu legenda.
Subjek-subjek dalam lagu seperti 'Warisan' dan 'Kehadiranku' (pengorbanan terhadap negara), 'Untukmu' dan 'Sabarlah Menanti' (rindu terhadap kampung halaman) atau 'Di Suatu Pagi' (luahan hati keluarga pahlawan-pahlawan negara) amat menyentuh rasa. Terutama sekali ialah 'Di Bumi Bertuah' yang hingga ke saat ini mampu mengundang sebak hati bila mendengarnya.
Dan siapa boleh melupakan '31 Ogos' yang telah dinobatkan sebagai lagu wajib pada setiap sambutan hari Kemerdekaan negara!
3) M. Nasir: Canggung Mendonan (1993)
Dalam keloyaan mendengar lagu-lagu Rock Kapak yang tumbuh bagaikan cendawan sekitar awal 1990an dahulu, album ini adalah seperti hembusan hawa segar.
Muzik M. Nasir adalah lebih akrab bila didengar di ruang-ruang besar seperti arena dan stadium.
Album ini juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia boleh meresap masuk mengikut dentum alunan muzik tempatan sewaktu di konsert tanpa merasa 'bersalah', memandangkan muziknya adalah berteraskan akar tradisi bangsa!
4) Hapuslah Airmata Mu: Original Soundtrack (1976)
Filem 1970an ini mempunyai plot berlubang-lubang dan lakon layar yang terdengar lucu walaupun ia tidaklah bermaksud untuk melucukan. Tapi runut bunyi filem ini pada saya adalah merupakan salah satu klasik dalam persada muzik tanah air.
Saya mungkin silap, tapi mungkin inilah usahasama pertama dalam bidang muzik dan filem di antara Malaysia-Indonesia.
Romantika dalam 'Perasaan Hatiku', pujukan terhadap kekasih dalam 'Hapuslah Airmata Mu', nada riang dalam 'Seiring Sejalan' dan keresahan meninggalkan yang tersayang dalam 'Sabar Menanti' mampu membawa pendengar ke suatu dimensi rasa yang tinggi, meninggalkan kita di sana dan mengundang nostalgia bila kembali berpijak di bumi nyata.
5) Artis R.A.P.: Ikhlas (1991)
Pasaran muzik Roslan Aziz Productions pada saya adalah 'niche' dan berada dalam klasnya yang tersendiri.
Album ini amat akrab dengan saya ketika menuntut di luar negara satu masa dahulu. Mendengarnya semula kadangkala dapat membawa kembali rasa, suasana (malah hawa sejuk) ketika pertama kali mendengarnya dalam satu bilik kecil di Stoke-On-Trent.
Konsep, muzik dan susunan lagu dalam kompilasi ini berada terkehadapan dari masanya sekaligus mengangkat martabat muzik Malaysia ke tahap baru, seperti mana kontribusi Puteri Gunung Ledang: The Musical terhadap pementasan teater tempatan.
6) 'Worthy Mention'
Search: Mentari Merah Di Ufuk Timur, Sheila Majid: Legenda, Blues Gang: Apo Nak Dikato?, Peabees: Buah-Buahan Tempatan, Alleycats: Kuching, Flybaits: Mempersembahkan, Chris Vadham: Hanya Nyanyian Dalam Sepi, Sudirman: Anak Muda, Eda: Pelitaku, Zainal Abidin: Gamal, Ning Baizura: Curiga, Jamal Abdillah: Derita Cinta, Wings: Belenggu Irama, M. Nasir: Solo
1 comment:
tapi jgn lupa lagi 1 lg album yg terbaik iaitu yg bjudul "Selamat Hari Raya Aidilfitri" terbitan EMI pada tahun 1973, lagu2 dlm album ni lah yg myerikan hari raya kita sepanjang zaman.. ada 10 lagu.. semuanya lagenda
Post a Comment