Satu ketika dahulu, Pemimpin Katak Pokok Kuala Ribut mencanangkan bahawa beliau sudah ada beberapa katak dari Pulau Bulan Naik yang bersiap sedia untuk melompat ke pulaunya.
Puak-puak penyokong politik Raja Katak ini bersorak kegembiraan. Satu tarikh ditetapkan bilamana setelah bilangan katak yang melompat cukup korum, Pemimpin Katak tadi akan dapat menguasai keseluruhan gagasan Kepulauan Marjuna.
Katak-katak dari Pulau Bulan Naik mengeluh mengatakan cara begitu adalah tidak adil dan tidak beretika. Dengan merudumnya pengaruh di Pulau Bulan Naik pada pemilihan Pemimpin Katak Marjuna tak lama dahulu, ura-ura lompat melompat akan menjadikan pengaruh mereka semakin berkurangan.
Tarikh tersebut datang dan pergi namun tiada pun katak-katak yang melompat.
Selang hampir setahun, ada pula beberapa katak dari Pokok Kuala Ribut yang tiba-tiba melompat ke Pulau Bulan Naik.
Anehnya kali ini puak Pemimpin Katak Pokok Kuala Ribut tiba-tiba melompat melatah mengatakan puak Pulau Bulan Naik cuba bermain kotor.
Manakala puak satu lagi yang sebelumnya riuh mengatakan lompat melompat ini tidak beretika, dengan senang hati mengalungkan bunga mengalu-alukan kedatangan katak-katak pelompat tadi.
Beberapa pengajaran boleh kita ambil sebenarnya dari Dongeng Sasau ini:
(a) Tak kiralah sama ada melompat kerana 'ingin berbakti', 'mencari pastur yang lebih hijau' ataupun 'bahana wang ringgit', hakikatnya lompat melompat parti yang dilakukan oleh Nasarudin Hashim, Hee Yit Foong, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu adalah tidak bermoral, tidak beretika dan wajar saja mereka dianggap pengkhianat rakyat. Tidak akan ada istilah 'lompat parti' atau 'lompat bebas' sekiranya mereka benar-benar pemimpin yang meletakkan kebajikan masyarakat sebagai prioriti utama mereka.
(b) Walau ramai penyokong Barisan Nasional (BN) yang bersorak kegembiraan dengan Sarkas Perak ini, hakikatnya ia cuma mengukuhkan lagi persepsi bahawa BN bukan sahaja sebuah parti yang 'korup' malah sanggup mengenepikan etika membawa masuk pengkhianat-pengkhianat rakyat dalam jentera pentadbiran mereka.
(c) Pakatan Rakyat (PR) juga menunjukkan betapa hipokritnya mereka dalam isu lompat-melompat ini. Bandingkan senyum YAB Menteri Besar Perak (bekas?) sewaktu sidang akhbar mengalu-alukan ahli UMNO ke PR seminggu lalu dengan wajah panik beliau sejak Sarkas ini mencapai klimaksnya.
(d) Lebih dari itu, kedua-dua BN dan PR hanya memberi persepsi bahawa dalam kegusaran masyarakat kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan sara hidup di sebabkan kejatuhan ekonomi global, mereka lebih berminat dengan permainan Sarkas Perak dengan badut-badut yang tiada memiliki etika moral.
(e) Ada penyokong PR yang membuat perbandingan bahawa '16 September' tidak sama dengan Sarkas Perak ini. "Yang dulu tu mereka dijemput tapi yang ini mereka dibeli dengan wang". Isyyy... tak usahlah berhipokrit, kawan. Sama ada 'dijemput' atau 'dibeli' hakikatnya ia tetap tidak beretika dan menipu pengundi yang memilih calon-calon ini berdasarkan tiket parti yang mereka berpayung asalnya.
(f) Mangsa sebenarnya ialah Rakyat yang inginkan perubahan. Tak kiralah sama ada perubahan tadi dibawa oleh BN atau PR sekalipun. Rakyat mahukan pimpinan yang efisien, bertaraf global dan mampu mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih gemilang.
Bukan yang hanya berminat menebalkan poket, melakonkan drama politik Sarkas, hipokrit dan cakap yang tak serupa bikin.
2 comments:
Bro,
Politik ni macam wrestling, ada orang kata depa betui-betui lawan, ada yang kata depa 'berlakon' saja.. tapi hakikat sebenarnya, tukang jual tiket aka event oraganizer lah yang sebenarnya buat untung 'TERBANYAK'..
hehehehehe!
Moral cerita ni: Baik jadi organizer dari jadi politician... hehehehe
Post a Comment