Thursday, February 12, 2009

"Jangan Kau Minta Ubatnya Dari Aku!!!"

Kerana migrain, semalam saya terlena awal dan pagi ini pula terbangun amat awal.

Entah tiba-tiba saya teringat pada filem Indonesia sekitar awal 1970an dahulu, bertajuk 'Akhir Sebuah Impian (Begitu Kehendak Tuhan)', lakonan mantap Broery Marantika, Emilia Contessa, Farouk Afero, Benyamin S dan disutradarakan oleh Turino Djunaedy.

Filemnya hanya saya tonton kemudian, tapi perkaitan saya dengannya bermula dengan runut bunyinya yang mana muziknya adalah hasil komposisi merdu seniman A. Riyanto. Lagu-lagu seperti 'Biarkan Bunga Berkembang', 'Kasih Sayang', 'Mimpi Sedih' dan 'Layu Sebelum Berkembang' adalah antara lagu-lagu 'evergreen' nusantara hingga ke hari ini - dalam sidang karaoke hinggalah ke album-album versi 'cover'. Terutamanya lagu 'Angin Malam' nyanyian Broery yang begitu 'berhantu' (pernah diangkat sebagai lagu wajib Malaysian Idol musim kedua dahulu).

Mungkin seingat saya, runut bunyi filem 'Akhir Sebuah Impian' adalah kaset pertama yang pernah saya miliki, bila sudah mengenali apa itu petah kata dan patah perkataan. Runut bunyi tersebut didatangkan bersama petikan-petikan dailog filem yang ada antaranya saya ingat hingga ke hari ini:

Farouk Afero: "Perikemanusiaan apa? Kalau nanti dia minta matamu sebagai gantinya, demi perikemanusiaan, kau akan kasi?"

Farouk Afero: "Kau cari penyakit!" / Broery: "Memang sudah sakit!" / Farouk Afero: "JANGAN KAU MINTA UBATNYA DARI AKUUUU!!!"

Setelah sekian lama hanya mendengar 'hiss' dari kaset dan katrij 8-trek (atau 'Stereo 8') ataupun 'pop' dari piring hitam, kini runut bunyi 'Akhir Sebuah Impian' kedengaran begitu jelas gemersik dan menghiasi koleksi MP3 iTunes dalam MacBook saya!

No comments: