Monday, February 16, 2009

"Lari Alyssa, Lari!!!"

Setelah sekian lama hanya melihat Alyssa Sofea meniup bola dalam tepung atau lari dalam guni sewaktu temasya sukan sekolahnya, akhirnya Alyssa dipilih mewakili rumah sukannya dalam acara lumba 100m dan 4x100m.

Hari Sukan tersebut dilangsungkan di Stadium Bolasepak Cheras pada 15 Februari 2009.

Walaupun Alyssa tidak memenangi acara 100m, namun kumpulannya berjaya mendapat Naib Johan dalam acara 4x100m. Seperti yang dinyatakan Alyssa dalam blognya, "tak kesah I lari 10 meter ker, 1 meter ker cause at least I dapat jugak masuk something I never did".

Well said. I'm proud of you!

Dua observasi ingin saya gariskan di sini.

Pertama ialah kegaguman terhadap inisiatif dan dedikasi para guru Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah dalam menjayakan temasya sukan yang pertama kali dianjurkan di luar kawasan sekolah. Sebagai pengamal Komunikasi Korporat yang sudah banyak menganjurkan berbilang acara, saya tahu ianya bukanlah suatu kerja yang mudah. Apatah lagi menganjurkannya di suatu tempat terbuka seperti Stadium Bolasepak Cheras. Logistik, pengangkutan, sumber manusia, perjalanan aturcara - semuanya memerlukan perancangan dan implementasi yang teratur.

Kedua, saya dapati walaupun pelajar yang berada di stadium jumlahnya mungkin melebihi 500 orang, tak ramai sebenarnya ibubapa yang hadir. Jika hendak dikatakan sibuk, acara ini dilangsungkan pada hari Ahad. Jika hendak dikatakan 'tiada pengangkutan ke stadium', saya rasa mengarut melihatkan betapa banyaknya kereta (yang kebanyakannya mahal-mahal belaka) di pekarangan sekolah pada hujung hari belajar.

Atau seperti biasa, ibubapa terdorong menyerahkan segalanya pada guru? Dan menuding jari sepenuhnya pada guru bila saja pelajaran anak-anak mereka merosot atau dibelenggu masalah disiplin.

Sedangkan mereka, pada hari Ahad, cuma terlentang di hadapan TV!

Friday, February 13, 2009

Lima Album Terbaik Malaysia (Pada Saya)

Saya banyak mengumpul LP, kaset, CD dan terbaru format digital MP3 album-album tempatan. Sejak entri sebelum ini, ada yang bertanya apakah album-album tempatan kegemaran saya sepanjang zaman dan di sini saya bariskan secara ringkas.

1) Sohaimi Mior Hassan: Prolog (1983)

Kiranya inilah album yang memperkenalkan saya kepada genre lagu-lagu puisi. Juga membuat saya sedar bahawasanya Bahasa Malaysia boleh digubah susun atur dengan begitu indah dalam bait-bait lirik.

Berdasarkan influens dari penyanyi-penyanyi folk seperti Bob Dylan, Sohaimi menggunakan perkataan-perkataan mudah dan tidak bombastik dalam menceritakan sesuatu yang kompleks. Seperti monolog diri dalam 'Suatu Aku Yang Terlena', percintaan berbeza agama dalam 'Epilog Cinta Dari Bromley' atau penghijrahan urban dalam 'Senandung Getah Asli'. Paling menarik ialah cara beliau menjambatani permasalahan negara dalam 'Sekeping Coretan Buat Kekasih' (demam denggi, rasuah) dengan kerinduan terhadap yang tersayang.

Album susulan, 'Dedikasi' (1984) yang merupakan hadiah peribadi Sohaimi kepada si jantung hatinya juga menjentik rasa, terutama lagu-lagu seperti 'Kau Kepunyaanku' dan 'Senandung Sambal Tumis'.

Walau bagaimanapun album 'Misteri Cinta' (1986) pada saya digarap seakan-akan 'mencukupkan syarat kontrak' dengan syarikat rakaman sahaja. Saya juga tidak begitu menggemari album terbaru beliau 'Suatu Hari Nanti' (2007) yang agak melankolik dan kurang mempunyai 'ruh' seperti 'Prolog' atau 'Dedikasi'.

2) Sudirman: Abadi (1981)

Saya kira inilah satu-satunya album patriotik penuh yang pernah dihasilkan di Malaysia. Kreativiti Allahyarham dalam menghasilkan konsep keseluruhan album ini dari lirik hinggalah ke kulit album - sekarang merupakan satu legenda.

Subjek-subjek dalam lagu seperti 'Warisan' dan 'Kehadiranku' (pengorbanan terhadap negara), 'Untukmu' dan 'Sabarlah Menanti' (rindu terhadap kampung halaman) atau 'Di Suatu Pagi' (luahan hati keluarga pahlawan-pahlawan negara) amat menyentuh rasa. Terutama sekali ialah 'Di Bumi Bertuah' yang hingga ke saat ini mampu mengundang sebak hati bila mendengarnya.

Dan siapa boleh melupakan '31 Ogos' yang telah dinobatkan sebagai lagu wajib pada setiap sambutan hari Kemerdekaan negara!

3) M. Nasir: Canggung Mendonan (1993)

Dalam keloyaan mendengar lagu-lagu Rock Kapak yang tumbuh bagaikan cendawan sekitar awal 1990an dahulu, album ini adalah seperti hembusan hawa segar.

Muzik M. Nasir adalah lebih akrab bila didengar di ruang-ruang besar seperti arena dan stadium.

Album ini juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia boleh meresap masuk mengikut dentum alunan muzik tempatan sewaktu di konsert tanpa merasa 'bersalah', memandangkan muziknya adalah berteraskan akar tradisi bangsa!

4) Hapuslah Airmata Mu: Original Soundtrack (1976)

Filem 1970an ini mempunyai plot berlubang-lubang dan lakon layar yang terdengar lucu walaupun ia tidaklah bermaksud untuk melucukan. Tapi runut bunyi filem ini pada saya adalah merupakan salah satu klasik dalam persada muzik tanah air.

Saya mungkin silap, tapi mungkin inilah usahasama pertama dalam bidang muzik dan filem di antara Malaysia-Indonesia.

Romantika dalam 'Perasaan Hatiku', pujukan terhadap kekasih dalam 'Hapuslah Airmata Mu', nada riang dalam 'Seiring Sejalan' dan keresahan meninggalkan yang tersayang dalam 'Sabar Menanti' mampu membawa pendengar ke suatu dimensi rasa yang tinggi, meninggalkan kita di sana dan mengundang nostalgia bila kembali berpijak di bumi nyata.

5) Artis R.A.P.: Ikhlas (1991)

Pasaran muzik Roslan Aziz Productions pada saya adalah 'niche' dan berada dalam klasnya yang tersendiri.

Album ini amat akrab dengan saya ketika menuntut di luar negara satu masa dahulu. Mendengarnya semula kadangkala dapat membawa kembali rasa, suasana (malah hawa sejuk) ketika pertama kali mendengarnya dalam satu bilik kecil di Stoke-On-Trent.

Konsep, muzik dan susunan lagu dalam kompilasi ini berada terkehadapan dari masanya sekaligus mengangkat martabat muzik Malaysia ke tahap baru, seperti mana kontribusi Puteri Gunung Ledang: The Musical terhadap pementasan teater tempatan.

6) 'Worthy Mention'

Search: Mentari Merah Di Ufuk Timur, Sheila Majid: Legenda, Blues Gang: Apo Nak Dikato?, Peabees: Buah-Buahan Tempatan, Alleycats: Kuching, Flybaits: Mempersembahkan, Chris Vadham: Hanya Nyanyian Dalam Sepi, Sudirman: Anak Muda, Eda: Pelitaku, Zainal Abidin: Gamal, Ning Baizura: Curiga, Jamal Abdillah: Derita Cinta, Wings: Belenggu Irama, M. Nasir: Solo

Thursday, February 12, 2009

"Jangan Kau Minta Ubatnya Dari Aku!!!"

Kerana migrain, semalam saya terlena awal dan pagi ini pula terbangun amat awal.

Entah tiba-tiba saya teringat pada filem Indonesia sekitar awal 1970an dahulu, bertajuk 'Akhir Sebuah Impian (Begitu Kehendak Tuhan)', lakonan mantap Broery Marantika, Emilia Contessa, Farouk Afero, Benyamin S dan disutradarakan oleh Turino Djunaedy.

Filemnya hanya saya tonton kemudian, tapi perkaitan saya dengannya bermula dengan runut bunyinya yang mana muziknya adalah hasil komposisi merdu seniman A. Riyanto. Lagu-lagu seperti 'Biarkan Bunga Berkembang', 'Kasih Sayang', 'Mimpi Sedih' dan 'Layu Sebelum Berkembang' adalah antara lagu-lagu 'evergreen' nusantara hingga ke hari ini - dalam sidang karaoke hinggalah ke album-album versi 'cover'. Terutamanya lagu 'Angin Malam' nyanyian Broery yang begitu 'berhantu' (pernah diangkat sebagai lagu wajib Malaysian Idol musim kedua dahulu).

Mungkin seingat saya, runut bunyi filem 'Akhir Sebuah Impian' adalah kaset pertama yang pernah saya miliki, bila sudah mengenali apa itu petah kata dan patah perkataan. Runut bunyi tersebut didatangkan bersama petikan-petikan dailog filem yang ada antaranya saya ingat hingga ke hari ini:

Farouk Afero: "Perikemanusiaan apa? Kalau nanti dia minta matamu sebagai gantinya, demi perikemanusiaan, kau akan kasi?"

Farouk Afero: "Kau cari penyakit!" / Broery: "Memang sudah sakit!" / Farouk Afero: "JANGAN KAU MINTA UBATNYA DARI AKUUUU!!!"

Setelah sekian lama hanya mendengar 'hiss' dari kaset dan katrij 8-trek (atau 'Stereo 8') ataupun 'pop' dari piring hitam, kini runut bunyi 'Akhir Sebuah Impian' kedengaran begitu jelas gemersik dan menghiasi koleksi MP3 iTunes dalam MacBook saya!

Wednesday, February 11, 2009

Terkanan-Kanan, Terkiri-Kiri

Hujung minggu lepas, saya berpeluang menela'ah dua akhbar ini - Sinar Harian dan Harakah.

Sekadar untuk meneliti argumen-argumen kedua belah pihak mengenai Sarkas Politik di Perak di samping mencari-cari perspektif baru tentangnya yang belum (atau kurang) diperjelaskan sebelum ini.

Seperti mana Sinar Harian adalah berat kepada haluan kanan yang terkanan, begitulah Harakah yang lebih berhaluan kiri yang terkiri.

Jarang, malah kalau adapun sepintas lalu sahaja, ada argumen dalam kedua-dua akhbar tersebut yang benar-benar neutral. Satu pihak mengatakan pihak yang lagi satu salah. Pihak itu pula mengatakan pihak yang ini derhaka.

Tiada yang benar-benar menggariskan fakta yang tidak diseleweng atau memberikan pandangan secara adil dan seterusnya mengkehendaki pembaca membuat penilaian sendiri secara waras dan bijaksana.

Semuanya disogokkan perosok masuk ke dalam anak tekak pembaca seolah-olah itulah sahaja kebenaran.

Tidak hairanlah budaya membaca di Malaysia hanya menjurus kepada masyarakat mencari pembacaan yang mengiyakan apa yang mereka percaya semata-mata.

Tidak hairanlah bila sesuatu itu berpihak kepada kita, waaahhh... habis sesuatu itu di dewa-dewakan walau mungkin ianya tidak beretika, tidak mengambil kira gambaran yang lebih luas ataupun tidak masuk akal langsung.

Tapi andainya ia TIDAK berpihak kepada kita, habis merusuh rusuh sehingga gamaknya bangunan pun hendak diruntuh walau mungkin ianya berbaur secalit kebenaran!

Tuesday, February 10, 2009

Malaysian Bloggers Against Party-Hopping

KEMASKINI 11/2/09: Demi memastikan mesejnya lebih fokus, kami telah menukar kenyataan pada logo di atas kepada 'Blogger Malaysia MENTENTANG Lompat Parti' (Malaysian Bloggers Against Party-Hopping). Harap maklum.

Bahawasanya kami, Blogger Malaysia, pada 10 Februari 2009:

(a) Menentang sebarang hasrat, rundingan dan tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik oleh rakyat, untuk melompat atau meninggalkan parti yang mereka gunakan sebagai tiket ketika bertanding dalam pilihanraya sebelumnya.

(b) Mahu mana-mana ADUN yang ingin melompat atau meninggalkan parti agar mengosongkan kerusi tersebut terlebih dahulu supaya satu pilihanraya kecil boleh dilangsungkan untuk memilih ADUN baru.

(c) Memaklumi bahawa tindakan ADUN melompat atau meninggalkan parti sama ada secara sukarela, terpaksa atau berdasarkan kepentingan peribadi adalah tidak bermoral, bertentangan dengan demokrasi, menipu undi rakyat dan tiada mencerminkan langsung ciri-ciri kepimpinan yang sewajibnya ada dalam ADUN berkenaan.

(d) Meminta agar diwujudkan Akta Lompat Parti dengan kadar segera untuk membendung gejala ini.

(e) Mahu ADUN-ADUN yang telah dipilih rakyat menumpukan lebih fokus terhadap mempertingkatkan mutu khidmat mereka demi pembangunan ekonomi dan masyarakat daripada berpolitik atau mengutamakan kepentingan peribadi.

Saturday, February 7, 2009

Di Alam Mistikal Gunung Ledang

Terus terang, saya tidak begitu menggemari filem Puteri Gunung Ledang (2004) yang merupakan filem 'termahal' Malaysia hingga ke saat ini. Tidak dinafikan bahawa pengarahan seni dan keseluruhan produksi filem tersebut memang sesuatu yang diluar kebiasaan filem-filem tempatan, terutama jika dibanding dengan filem-filem horror dan komedi murahan yang dihasilkan 'jutawan-jutawan' filem di Malaysia.

Pada saya, lakonlayar, plot dan mesej yang ingin disampaikan terlalu longgar dan tidak meninggalkan kesan langsung. Persepsi diri juga mengatakan bahawa produsernya hanya 'bernasib baik' kerana memiliki sumber dan kabel untuk menghasilkan filem yang kelihatan gah namun hakikatnya tidak segah mana.

Ketika diumumkan bahawa filem tersebut akan diberi nafas baru sebagai teater muzikal pada tahun 2005, saya merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang cuba mendapatkan tiket namun tidak berhasil. Saya ingin juga menontonnya dengan harapan kekecewaan yang dialami dengan versi filem akan terubat. Masuk musim kedua pada tahun 2006, tiket yang diidam masih belum menjadi nyata. Sehinggalah musim ketiga, yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya dari 6 hingga 21 Februari 2009.

Kini saya merasa bertuah kerana hanya menonton Puteri Gunung Ledang: The Musical (PGLM) musim ketiga pada hari pembukaan semalam, 6 Februari 2009 kerana rata-rata mengatakan ianya adalah versi terbaik setakat ini!

Segala rasa skeptikal dan kekecewaan terhadap versi filem hilang lenyap lesap ketika Adegan Ketiga (Khabar Hanyalah Khabar) di pentaskan. Menjelang Adegan Ketujuh (Malam Saksi Cinta), alunan lagu 'Di Puncak Tertinggi' nyanyian Puteri dan Tuah membawa saya ke alam mistikal indah. Ketika kapal layar muncul di pentas (Pelayaran Menuju Gunung Ledang) pada penghujung Babak 1, saya memaklumi diri bahawa suatu 'masterpiece' tempatan sedang berada di hadapan mata!

PGLM Musim III sesungguhnya telah meletakkan suatu 'benchmark' tinggi terhadap pementasan teater di Malaysia, terutamanya yang ingin dipentaskan di lokasi eksklusif seperti Istana Budaya. Ianya juga menyedarkan bahawa penggiat dan produser teater harus diberi pendedahan terhadap teater-teater muzikal Broadway dan WestEnd andai ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan produksi-produksi Andrew Lloyd Webber, Jim Jacobs atau Jonathan Larson - terutamanya dari segi teknik, susunan muzik dan logistik pementasan.

Produser teater tempatan harus memperkembangkan skop melewati pentas Panggung Bandaraya atau MaTiC dan menumpukan hasil akhir terhadap produksi-produksi seperti yang diiltizamkan Tiara Jacquelina terhadap PGLM Musim III. Setinggi-tinggi ucapan tahniah harus diberikan terhadap beliau dan keseluruhan pelakon serta tenaga produksinya kerana berjaya menghasilkan sesuatu yang mampu membuat kita bangga digelar 'Bangsa Malaysia'.

Tahniah khusus harus diberi kepada AC Mizal yang memberikan lakonan berkesan hingga membuat saya lupa bahawa AC Mizal yang dipentas ialah AC Mizal. Juga kepada Stephen Rahman-Hughes dan Tiara kerana penjiwaan watak dan suara mereka yang memukau. Perihal props, efek khas, penataan muzik, kostum, koreografi - tak payah cakaplah. Tak berkelip mata menontonnya! Dan tentunya, tahniah teristimewa terhadap yang 'terutama', Tiara sendiri.

Sebab itulah, pertama kali sejak menonton produksi teater tanah air, saya bangun memberikan 'standing ovation' di akhir pementasan!

(Foto-foto dari laman web PGLM dan Friends of Enfiniti)

Friday, February 6, 2009

Tuah Dan Jebat

Sewaktu breakfast tadi saya disapa oleh seorang wanita. Rupanya beliau adalah classmate saya sewaktu pengajian A-Levels di PPP/ITM di Damansara dahulu. Suami beliau pun ada sama, jadi mulalah berborak pasal cerita lama, dia nih dia tuh buat apa sekarang, bla bla bla. Then I learnt that husband dia merupakan seorang lecturer bahagian African Studies di Universiti Malaya and quite well versed dalam bidang kesusasteraan dan sejarah Melayu. Had a really engaging conversation.

Masyarakat kita nih memang dah tahu benar pasal kisah Hang Tuah dan Hang Jebat dan rata-rata antara persoalan yang paling hangat dibincangkan ialah "Siapa betul - Tuah atau Jebat"? Ye lah.... pada pandangan umum, Tuah merupakan lambang taat setia yang tak berbelah bagi pada agama, bangsa dan negara - namun ianya dilakukan dengan membuta tuli. Jebat pula on the other hand merupakan lambang bangsa Melayu yang ingin melepaskan diri dari belenggu adat dan lambang taat setia pada saudara - dapat dilihat dengan tindakannya mengamuk (mereformasi?) untuk membalas dendam atas "kematian" Tuah.

Saya cerita pada husband kawan saya tuh, kenapakah kita selalu memilih berdasarkan pilihan yang salah? Tuah atau Jebat? Sebab kalau nak tengok betul-betul pun, kedua-dua Tuah dan Jebat sebenarnya ada mempunyai honar mereka sendiri. Mengapakah kita selalu melihat kisah Tuah dan Jebat berdasarkan angle tersebut sahaja? Kalau dah dua-dua option tersebut tak begitu tepat, dan soalannya pun tak tepat, pilihan yang kita buat pun mestilah tak tepat juga.

Kami berdua bersepakat bahawa cerita Tuah dan Jebat sebenarnya lebih elok dilihat dari perspektif lain, iaitu SOSIOLOGI, yakni bagaimanakah cara kehidupan, norma dan kepercayaan masyarakat Melayu ketika zaman kesultanan Melaka tuh MEMPENGARUHI Tuah dan Jebat. Mungkin melihat dari angle ini kita akan dapat lebih memahami kenapa dua karekter yang paling famous dalam mitos Melayu tersebut melakukan apa yang mereka lakukan.

Kita harus bermula dari "Perjanjian Sosial" antara Demang Lebar Daun (DLD) dan Sang Nila Utama @ Parameswara (SNU), di mana DLD mewakili masyarakat umum dan SNU mewakili golongan pemerintah hinggalah membawa kepada pembukaan Melaka yang seterusnya berkembang pesat menjadi empayar dan pusat entrepot yang terkenal di rantau ini.

Perjanjian sosial itu antara lain menggariskan ikrar dari DLD dan SNU - bahawasanya masyarakat akan menyerahkan amanah untuk dipikul pemerintah untuk menjalankan pentadbiran yang adil dan saksama namun jika pemerintah menyalahgunakan kuasa, beliau akan ditentang. SNU mewakili golongan pemerintah pula menegaskan bahawa beliau berikrar akan menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin dengan syarat masyarakat tidak boleh menderhaka kepadanya.

Pemerintahan dan kemajuan Melaka adalah berdasarkan perjanjian asas ini, dan ianya telah menyebabkan kemajuan pesat Melaka pada zaman-zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah. Ianya juga telah mendorong ramai imigran dari serata pelusuk nusantara datang ke Melaka, sama ada untuk berniaga, atau menetap di situ. Dan antara mereka ialah ibubapa kepada Tuah dan Jebat. Persoalannya, apakah bentuk sosial masyarakat Melaka ketika itu yang membentuk pemikiran Tuah dan Jebat hingga mereka bertindak sepertinya?

Dari segi pengkaji sejarah, Tuah dan Jebat sebenarnya TIDAK pernah wujud, ia sekadar merupakan LAMBANG norma dan sosio-budaya masyarakat Melayu ketika itu. Mungkin kita, generasi muda hari ini perlu melihat semula kisah Tuah dan Jebat dari perspektif ini.... kerana ianya banyak bersangkutan dengan beberapa isu yang selalu diperdebatkan perihal bangsa Melayu - "mudah melatah", "bodoh sombong", "takder sense of survival" dan sebagainya.

Alaaa....andaian paling senang camni lah... kita semua nih duduk dalam telaga, balik-balik kita dok nampak benda yang sama saja. Bila dongak atas, kita nampak awan dan sikit daun dari ranting pokok yang bergayut di tepi telaga. Tapi kita tak nampak batang dan akar pokok tersebut kerana dari dalam telaga, pandangan kita hanyalah melonjong ke atas. Jadi kita perlu keluar dari telaga tersebut. Panjat ler walau susah camner pun dengan lumut yang licin di dinding telaga. Bila kita dah keluar, kita akan dapat melihat; "oooooo....daun yang bergayut tadi sebenarnya dari pokok nih, ada batang, akar, dsb". Bila kita jenguk pula ke dalam telaga, kita akan dapat melihat "the whole picture" dari atas yang selama ini sempit kerana dibataskan oleh saiz dan keadaan telaga tersebut. Bila kita pandang keliling pula, kita akan dapat lihat padang, rimbunan hutan, bunga, haiwan lain dan sebagainya. Ketika itu barulah sedikit sebanyak kita dapat melihat "the true picture".

Mungkin inilah satu pendekatan yang MESTI dilakukan untuk melihat semula - bukan sahaja bangsa, malah AGAMA kita sendiri - dari satu perspektif yang berlainan. Mungkin juga inilah juga antara cara kaedah terbaik menjawab persoalan-persoalan seperti:

* Kepercayaan animisme masyarakat Melayu dan Islam terhadap hantu dan yang sewaktu dengannya

* Isu kalimah "la ila.." (Tiada Tuhan...)

* Kemunduran pelajar Melayu di universiti

* Perhubungan / pertalian keluarga antara suami/isteri dan mertua

* Perbezaan zaman kanak-kanak dulu dan sekarang

* Attraction "Selamat Datang Ke Alam Barzah" (thought of going there this weekend)

* Perbahasan mengenai aurat

DAN SEBAGAINYA....

I'm still trying to have a firm grasp on this concept, bila dapat ilham kang InsyaAllah saya akan menulis sikit-sikit.

(Capaian Asal)

Tarikh Posting Asal: Fri Aug 24, 2001 11:11 am

Thursday, February 5, 2009

Daulat Tuanku II

Sekitar pemilihan YAB Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac 2008 lalu, tersibaklah keburukan beberapa fanatik UMNO meletakkan kain rentang 'Kami Nak Idris, Natang!' yang menghina DYM Yang Di Pertuan Agong merangkap Sultan Negeri Terengganu.

Hampir setahun kemudian, penghinaan ke atas Sultan berulang lagi. Cuma bezanya kali ini di Perak. Dan dilakukan oleh penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Setelah Sarkas Perak 2009 hampir mencapai klimaksnya, saudara Haris Ibrahim telah menyarankan agar penyokong PR melawat buku tetamu laman web Pejabat DYM Sultan Perak dan 'membimbing Sultan negeri mereka'

Walaupun cadangan saudara Haris boleh disifatkan natural sebagai seorang pemblog maya, setidaknya beliau seharusnya membimbing dahulu penyokong-penyokong PR terhadap adat dan tatasusila dalam berutus-urus dengan Baginda Sultan.

Mungkin Haris sudah terbiasa dengan penulisan a'la blogger. Atau mungkin beliau terpaksa bergegas ke Ipoh untuk menghadiri perhimpunan di kediaman Menteri Besar. Atau mungkin beliau sendiri kurang arif dengan adat istiadat ini.

Namun beliau harus juga diberikan kredit kerana meminta sesiapa yang ingin meninggalkan warkah kepada Baginda Sultan agar jangan menggunakan nama samaran (yang walau bagaimanapun tidak dituruti).

Kesimpulan yang boleh ditebak setelah membaca warkah-warkah yang dinukilkan dalam buku tetamu tadi adalah:

(a) Sikap penyokong PR juga tidak kurang buruknya dengan penyokong UMNO yang meletakkan kain rentang menghina DYM Sultan Terengganu dahulu. Beremosi, kurang ajar dan tidak tahu adat. Mereka menulis seakan-akan dengan anggapan bahawa individu yang ditujukan mesej tersebut adalah 'sama taraf' dengan mana-mana orang politik, rakan siber MySpace atau blogger yang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

(b) Penyokong fanatik terdapat dalam mana-mana organisasi, agama dan parti. Mereka ini terdorong oleh emosi dan jelas amat cetek kematangannya. Seperti tong kosong berkarat. Namun sayang kerana tong kosong berkaratlah yang paling kuat berbunyi bila dipalu. Dan paling banyak merosakkan.

Justeru itu, saya meminta agar laporan-laporan polis dibuat terhadap penghinaan melampau dari penyokong-penyokong fanatik PR ini.

Saya juga ingin tahu pendirian YB Salahuddin Ayub terhadap sikap penyokong fanatik PR yang meloyakan ini. Beliau pernah dengan gahnya 'mempertahankan' Baginda Sultan Terengganu dahulu ketika dihina oleh penyokong fanatik UMNO.

Harap penyokong-penyokong fanatik PR (dan Barisan Nasional juga) cermin-cerminlah diri selalu.

Wednesday, February 4, 2009

Dongeng Katak Sasau

Satu ketika dahulu, Pemimpin Katak Pokok Kuala Ribut mencanangkan bahawa beliau sudah ada beberapa katak dari Pulau Bulan Naik yang bersiap sedia untuk melompat ke pulaunya.

Puak-puak penyokong politik Raja Katak ini bersorak kegembiraan. Satu tarikh ditetapkan bilamana setelah bilangan katak yang melompat cukup korum, Pemimpin Katak tadi akan dapat menguasai keseluruhan gagasan Kepulauan Marjuna.

Katak-katak dari Pulau Bulan Naik mengeluh mengatakan cara begitu adalah tidak adil dan tidak beretika. Dengan merudumnya pengaruh di Pulau Bulan Naik pada pemilihan Pemimpin Katak Marjuna tak lama dahulu, ura-ura lompat melompat akan menjadikan pengaruh mereka semakin berkurangan.

Tarikh tersebut datang dan pergi namun tiada pun katak-katak yang melompat.

Selang hampir setahun, ada pula beberapa katak dari Pokok Kuala Ribut yang tiba-tiba melompat ke Pulau Bulan Naik.

Anehnya kali ini puak Pemimpin Katak Pokok Kuala Ribut tiba-tiba melompat melatah mengatakan puak Pulau Bulan Naik cuba bermain kotor.

Manakala puak satu lagi yang sebelumnya riuh mengatakan lompat melompat ini tidak beretika, dengan senang hati mengalungkan bunga mengalu-alukan kedatangan katak-katak pelompat tadi.

Beberapa pengajaran boleh kita ambil sebenarnya dari Dongeng Sasau ini:

(a) Tak kiralah sama ada melompat kerana 'ingin berbakti', 'mencari pastur yang lebih hijau' ataupun 'bahana wang ringgit', hakikatnya lompat melompat parti yang dilakukan oleh Nasarudin Hashim, Hee Yit Foong, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu adalah tidak bermoral, tidak beretika dan wajar saja mereka dianggap pengkhianat rakyat. Tidak akan ada istilah 'lompat parti' atau 'lompat bebas' sekiranya mereka benar-benar pemimpin yang meletakkan kebajikan masyarakat sebagai prioriti utama mereka.

(b) Walau ramai penyokong Barisan Nasional (BN) yang bersorak kegembiraan dengan Sarkas Perak ini, hakikatnya ia cuma mengukuhkan lagi persepsi bahawa BN bukan sahaja sebuah parti yang 'korup' malah sanggup mengenepikan etika membawa masuk pengkhianat-pengkhianat rakyat dalam jentera pentadbiran mereka.

(c) Pakatan Rakyat (PR) juga menunjukkan betapa hipokritnya mereka dalam isu lompat-melompat ini. Bandingkan senyum YAB Menteri Besar Perak (bekas?) sewaktu sidang akhbar mengalu-alukan ahli UMNO ke PR seminggu lalu dengan wajah panik beliau sejak Sarkas ini mencapai klimaksnya.

(d) Lebih dari itu, kedua-dua BN dan PR hanya memberi persepsi bahawa dalam kegusaran masyarakat kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan sara hidup di sebabkan kejatuhan ekonomi global, mereka lebih berminat dengan permainan Sarkas Perak dengan badut-badut yang tiada memiliki etika moral.

(e) Ada penyokong PR yang membuat perbandingan bahawa '16 September' tidak sama dengan Sarkas Perak ini. "Yang dulu tu mereka dijemput tapi yang ini mereka dibeli dengan wang". Isyyy... tak usahlah berhipokrit, kawan. Sama ada 'dijemput' atau 'dibeli' hakikatnya ia tetap tidak beretika dan menipu pengundi yang memilih calon-calon ini berdasarkan tiket parti yang mereka berpayung asalnya.

(f) Mangsa sebenarnya ialah Rakyat yang inginkan perubahan. Tak kiralah sama ada perubahan tadi dibawa oleh BN atau PR sekalipun. Rakyat mahukan pimpinan yang efisien, bertaraf global dan mampu mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih gemilang.

Bukan yang hanya berminat menebalkan poket, melakonkan drama politik Sarkas, hipokrit dan cakap yang tak serupa bikin.