Saturday, April 19, 2008

Akal vs Berpencak Bersilat

Saya sudah agak jarang menulis perkara yang berkaitan ekstremisme agama dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Bukan kerana tidak mahu, tetapi pada saya tiada isu-isu serius dan mampu melantunkan saya dari kerusi seperti ketika tragedi 9/11, serangan takut hidup dan pergerakan Article 11 mendapat fokus utama media-media massa.

Dua hari lepas saya menerima emel tentang kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa beliau memang memandang tinggi terhadap keperibadian dan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Kemudian dari desas desus yang tidak dapat dipastikan, Ketua Menteri itu bertemu pula salah seorang tokoh PAS dan memberi gambaran kononnya beliau akan memeluk Islam jika 'bapanya meninggal dunia' kelak.

Secara peribadi, saya tidak mengambil pot akan kenyataan sebegini kerana sudah akur benar dengan metoda orang politik. Ada kemungkinan sama ada beliau benar-benar memaksudkannya, untuk memenangi hati konstituen atau setakat 'being polite'. Itupun jika 'desas desus' itu bukan sekadar hikayat sang algojo!

Cuma emel komen yang saya terima tentang 'desas desus' inilah sebenarnya yang mendetik sedikit rasa hati. Ini petikan emel tersebut:

"Suruh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan seluruh keturunan dia masuk dan isytiharkan islam dan berhenti makan babi, minum arak, berjudi, main perempuan, bersunat...kawan kita ada bisnes khatan cara moden, sembahyang jemaah cukup..puasa, berzakat, pergi haji...

itu pun aku belum nak percaya lagi..pasal aku dah jumpa org islam yg buat semua ini tapi jahat nak mamposs..ptuihhh..

sebabkan takut Nik Aziz sound statement Karpal Singh yg tentang gila2 dan dgn kurang hajar pasal negara islam..nak cuba ambik hati org Melayu Islam yg dah mula marah..

Bro...bilalah kita nak sedar yg kita ni asyik dipermainkan oleh org kafir ni..kafir harbi tuuu...kerja dakwah ni Nabi aje..biorkan tugas dia...bagi aku..Allah dan Islam tak akan miskin kalau dia tak nak masuk islam...pegi mamposs!!!

Lepas tu samakan nama Saidina Umar Rad dgn Lim Guan Eng??? Yang kapir makan babi..minum arak..main perempuan tu...tak ade malu ke? Mana maruah kau sebagai umat Islam? Aku sanggup berpencak bro dalam hal ni? Mari kita berlaman...kita buat stail panglima dulu2...senjata yang sama kita berpencak..siapa yg menang..tanda dia yg betul."

Wow! Saya tersentak seketika. Andainya komen ini datang dari seorang rempit penganggur tak berpelajaran, saya bolehlah juga faham tahap pemikirannya yang beremosi dan penuh berbau 'racist' ini. Namun masalahnya saya kenal penulis ini dan latarbelakangnya bukan begitu.

Dari satu perspektif, kita mudah tersentak dan melatah hingga bertindak mengikut rasa bila saja ada isu-isu penghinaan terhadap agama Islam seperti yang berlaku terhadap filem pendek 'Fitna' oleh Geert Wilders. Namun dari perspektif lain, kita menutup sebelah mata terhadap wujudnya saudara seagama yang jelas tersarang sifat perkauman dan permusuhan yang kental. Sifat perkauman sebegini bagi saya ialah seperti virus yang mana bila merebak tanpa bendung akan menjurus kepada tindakan melampau seperti serangan takut hidup dan ekstremisme yang lain.

Sejak 9/11, tidak pernah imej Islam tercemar dan terperuk dalam tong sampah paling busuk dalam peradaban manusia seperti sekarang ini. Kita wajib mempertahankan yang benar, membetulkan fakta yang terseleweng dan menggunakan akal untuk menaikkan martabat agama ini semula. Namun tiada yang mungkin tercapai dengan terus-terusan bermusuhan hingga mahu berpencak silat sekadar menentukan 'siapa menang dialah yang benar'!

Mereka yang hanya menjurus kepada kekuatan zahiriah semata-mata untuk mempertahankan agamanya mempunyai 'inferiority complex' yang amat tinggi dan tiada konfiden dengan keluhuran agamanya sendiri. Juga sebenarnya telah hilang punca, semangat dan pemikiran rasional untuk menggali lagi apa yang tersembunyi dalam akal. Ilham datangnya dari Dia. Kita perlu mencarinya.

Coexist (Jerusalem).jpg

Sudah tiba masanya intelek-intelek berbilang agama berkumpul dan mencari penyelesaian sesuai dengan era Internet ini. Secara serius. Ekstemisme ada dalam semua agama dan perlu ditangani. Sekali lagi, secara serius.

Kita seharusnya mula memikirkan bagaimana kita mampu hidup bersama di zaman milennia ini. Bukan dengan memfokus kepada perbezaan dan memperlecehkan kebenaran agama lain, tetapi menumpukan kepada 'ruh' (spirit) kebaikannya yang boleh menyatukan.

Bahawasanya, tiada seorang pun manusia tahu apa dia Kebenaran yang hakiki dan tiada seorang pun manusia boleh menyombong mengatakan bahawa hanya beliau seorang (atau golongan beliau sahaja) memiliki Kebenaran secara eksklusif.

CoeXisT.

3 comments:

Anonymous said...

Selagi minda kita berperang selagi itulah minda golongan yang kita perangi, berperang dengan kita juga.

Sekarang masanya kita mendengar dan berbicara..

Anonymous said...

"Bahawasanya, tiada seorang pun manusia tahu apa dia Kebenaran yang hakiki dan tiada seorang pun manusia boleh menyombong mengatakan bahawa hanya beliau seorang (atau golongan beliau sahaja) memiliki Kebenaran secara eksklusif.

CoeXisT."

salam.
maafkan saya, tetapi saya tidak bersetuju dgn kenyataan saudara ini. ayat Al-Quran ada menyatakan yg memberikan mafhum seperti berikut,
"sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam." tidakkah ini merupakan bukti konklusif mana yg benar mana yang salah?

Asrul Muzaffar Mohammed said...

Saya minta, jika mahu memetik mafhum Al-Quran, harap:
(a) Dinyatakan petikan itu secara penuh
(b) Dinyatakan juga rujukan surah dan ayat

'Janganlah kamu berdebat dengan ahli Kitab (Yahudi, Nasrani dan seumpamanya) melainkan dengan (jalan) yang terbaik kecuali dengan yang aniaya di antara mereka itu. Dan katakanlah: Kami percaya kepada Kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, kerana TUHAN KAMI DAN TUHAN KAMU ADALAH SATU, DAN KAMI PATUH KEPADA-NYA" (Surah Al-Ankabuut, ayat 46)