Ini merupakan salah satu lagu yang saya tulis bersama Alex Zulkarnain Zulkarim sekitar tahun 1994. Ketika itu kami berdua masing-masing belum berkahwin. Ide asal ialah untuk menggunakan melodi berlainan bagi setiap rangkap namun kesuntukan masa membuatkan kami tidak sempat menghabiskan lagu ini ketika itu. Versi ini dirakam di apartmen sewa saya di AU3. Apartmen bujang. Memandangkan tidak banyak perabut di ruang tamu, gema bunyi menyedapkan efek gaung lagu ini.
Ilham datang dari lagu umpama "In The Ghetto" nyanyian Elvis Presley yang mana subjeknya boleh berulang-ulang umpama kitaran. Walaupun lagu Elvis itu cenderung berbunyi negatif, Hijrah Seorang Gadis Kecil adalah lebih positif.
Alex ada menjemput saya ke rumahnya tidak lama selepas dia berkahwin. Kami cuba merakamkan semula versi penuh lagu ini namun kedengaran hambar dan akhirnya terus sahaja memberhentikan sesi rakaman tersebut. Dan versi lagu 'Unfinished' ini kekal sebegini rupa hingga sekarang.
Saya gemarkan subjek 'Hijrah' seseorang individu dari kanak-kanak kepada dewasa dan seterusnya menjamah usia dengan redup mata di penghujung senja. Bila saja saya terlihat seorang kanak-kanak kecil bermain riang tanpa sebarang resah gelisah, kerapkali saya tertanya akan apakah yang akan menanti untuk kanak-kanak comel itu di kemudian hari. Dalam ketawa mengesat hingus menjamah aiskrim, adakah kanak-kanak itu sendiri sedar akan apa destini yang menantinya?
Kini saya memiliki seorang gadis kecil sendiri. Dan lagu ini sememangnya untuk dia!
Gadis Kecil di sana / Diam dan merenung / Boneka di tangan / Tahukah dia kiranya / Satu hari nanti / Dia kan jadi Wanita / Dia akan mengenakan sekalung mutiara / Dan permata yang indah / Dan akan berlututlah lelaki / Menangis di kakinya / Lalu hadirlah seorang Jejaka / Yang membawa lembut hujung tangannya / Mencapai pelangi / Untuk jadi cincin di jemarinya / Memadu janji dan asmara / Dalam keriuhan kota / Si Gadis yang kini bergelar Wanita / Tiada keluhan jua / Dalam pengorbanan buat Suami tercinta / Dia riang mengenakan sekalung mutiara / Dan permata yang indah / Lalu dibentangnya cadar indah di kamar yang merah / Untuk warisan dan keturunannya / Mengingati lambang seorang Hawa / Dan untuk Suami berbicara akan kelakiannya / Seorang gadis kecil tiba / Gadis Kecil di sana / Diam dan merenung / Boneka di tangan / Tahukah dia kiranya / Satu hari nanti / Dia kan jadi Wanita?
Dengar Hijrah Seorang Gadis Kecil (Unfinished) dari The Stoke Project. Muzik: Alex, Lirik: Asrul. Hakcipta Terpelihara (2008)
No comments:
Post a Comment