'Wajah-Wajah Yang Ku Rindu' merupakan antara kolaborasi saya dan Alex Zulkarnain Zulkarim yang terhasil ketika saya menuntut di United Kingdom sekitar 1990-1992 dahulu.
Inspirasi muzik ialah melalui lagu-lagu akustik awal karier Bob Dylan seperti 'The Times They Are A-Changin'' dan 'Mr Tamborine Man' di mana penyanyinya seolah-olah membawakan lagu tersebut dalam nada 'malas'. Kami juga tertarik dengan pengulangan bait-bait yang membentuk satu rangkap, cuma mungkin dibezakan dengan melodi sahaja.
Ketika sesi kolaborasi tersebut, lagu inilah juga yang paling banyak dirakam berulangkali dalam beberapa versi. Versi pertama ialah nyanyian Alex, dirakam pada lewat malam diikuti dengan versi nyanyian saya yang juga dirakam pada malam tersebut (awal pagi sebenarnya!). Versi ketiga ialah nyanyian saya juga tetapi temponya dipercepatkan. Versi ini adalah versi kegemaran saya dan dimuatkan dalam kompilasi 'The Stoke Project'.
Tempo keempat dan yang terbaru sekali ialah versi rakaman Alex sekitar tahun 2007 --- lengkap dengan instrumen penuh tetapi dengan tempo yang menyamai versi pertama nyanyian Alex tadi. Versi ini dimuatkan dalam kompilasi beliau berjodol 'MASA' yang hanya diedarkan di kalangan teman-teman rapat. Saya difahamkan bahawa lirik lagu ini merupakan antara lirik favorit beliau, secara spesifiknya di rangkap "Andainya bayangku melintas jalanmu...."
Dua rakan yang lain pernah juga merakamkan lagu ini mengikut intepretasi mereka sendiri. Versi Man Lat kedengaran sedikit R&B dan versi Mael sememangnya berentak techno!
Dalam hidup ini kita akan dipertemukan dengan ramai insan. Ada yang bergelar rakan. Ada yang bergelar kekasih. Dan ada yang bertemu, bertegur sapa dan kemudiannya berlalu begitu sahaja. Apa jua bentuk pertemuan tersebut, inilah insan-insan yang telah mewarnai hidup kita, mengajar kita akan erti persaudaraan, kekitaan, ketawa dan tangisan.
Lagu ini merupakan tribut saya untuk insan-insan tersebut yang mana saya bangga memberikan gelaran 'sahabat'. Dari mereka yang mula-mula memberikan ide bahawa ianya lebih seronok bermain bolasepak dalam satu kumpulan daripada hanya menimang bola seorang diri sehinggalah mereka yang telah membantu membentuk susur galur prinsip, personaliti dan peribadi diri.
Kita tidak akan sepenuhnya menjadi kita hari ini tanpa mereka.
Dan mungkin begitu juga mereka tanpa kita.
Di memori / Terlukis wajah-wajah / Calitan silam / Pabila detik waktu / Makin berlalu pergi / Merubah meninggalkanku / Andainya mampuku / Kembali padamu / Nyanyi lagu cinta / Bersama-sama / Bawa ku pulang
Saat ini / Dewasa ku bersama / Kisah-kisah lalu / Tak mungkin ku lupakan / Perjalanan berdua / Menempuh riang dan duka / Andainya mampuku / Capai bulan bintang / Buat penghargaan / Untuk kalian / Bawa ku pulang
Aku tahu / Waktu kan membawamu / Jauh dariku / Dan kian meluputkan / Wajah ku di ingatan / Bila tidur panjang datang / Andainya bayangku / Melintas jalanmu / Serulah namaku / Ku kan berpaling / Bawa ku pulang
Dengar Wajah-Wajah Yang Ku Rindu dari The Stoke Project. Muzik: Alex, Lirik: Asrul. Hakcipta Terpelihara (2008)
3 comments:
Uihhh ... jadi penulis lirik .. he he .. mendalam maksudnya lagu ni bila fair kaji rangkap terakhir
Aku tahu / Waktu kan membawamu / Jauh dariku / Dan kian meluputkan / Wajah ku di ingatan / Bila tidur panjang datang / Andainya bayangku / Melintas jalanmu / Serulah namaku / Ku kan berpaling / Bawa ku pulang
Tidur panjang tu maknanya tak bangun-bangun la. Kira jumpa di baqa'.
Hmmm .. camana nak cari lagu ni..
Terima kaseyyyy!!! (stail Alleycats)
Sebenarnya kat bahagian bawah entri ini ada link untuk dengar lagu tersebut, yang dirakam sekitar tahun 1992 dahulu di U.K.
Kualiti bunyi agak 'raw' kerana terhadnya teknologi (dan fulus) yang dimiliki kami ketika itu. But you'll get the picture.
Assalam bro. Kita perlu tambah lagi lagu-lagu baru.
Post a Comment