Nota: Lampiran dipetik dari laman web Minda Mufti, entri bertarikh 28 Mac 2008. Klik butang kanan tetikus untuk muat turun.
Media massa sesungguhnya berkuasa dalam membentuk persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap sesuatu isu. Di dalam tangan sesetengah pihak yang berkepentingan, ia boleh dieksploit menjadi suatu perantara efektif untuk menyebarkan propaganda. Atau dengan erti kata lebih mudah, memberitahu kita apa yang mesti kita fikir, bukannya apa yang harus kita fikir.
Namun di Malaysia saya kira kita masih beruntung kerana syarikat-syarikat media elektronik (dan cetak) arus perdana masih dimiliki oleh mereka dari 'old school' --- yang masih berfikiran lama. Walaupun media elektronik dan cetak masih berpengaruh, pemikiran lama mereka telah mengenepikan kepentingan media Internet --- suatu kesilapan yang dilakukan oleh Bill Gates, pengasas Microsoft sendiri, yang tidak dipaparkan dalam edisi 'hardcover' buku The Road Ahead nukilannya. Faktor kepentingan Internet ini seterusnya ditambah hanya dalam edisi 'paperback' yang diterbitkan oleh Penguin Readers.
Andainya media Internet tidak ada (atau tidak diguna secara meluas) mungkin syarikat-syarikat ini boleh menyebarkan apa saja bentuk propaganda tanpa memberi peluang masyarakat menilai dari perspektif lain.
Zaman malangnya telah berubah bagi mereka. Apa saja yang didakwa oleh media-media tadi boleh dibanding dan dinilai dari aspek-aspek lain. Baiknya ialah masyarakat mampu dididik untuk berfikiran lebih terbuka dalam melakukan penilaian sendiri. Buruknya ialah bagi syarikat media tadi yang mana mungkin perspektif propaganda yang mereka war-warkan akhirnya kedengaran dangkal berbanding perspektif berbilang sudut yang ditawarkan media Internet!
Contoh terbaik ialah 'ampu berlebihan' yang telah (dan masih dilakukan) oleh TV3 sebelum dan selepas Pilihanraya Umum 2008. Di mana berita dimanipulasi untuk memberikan gambaran positif kepada pemerintah dan sebaliknya untuk parti-parti lawan, walaupun berita parti lawan tersebut sebenarnya mungkin lebih positif dari yang dipaparkan.
Saya akur sangat dengan manipulasi media sebegini kerana ia merupakan salah satu 'tool' yang digunakan oleh Konsultan Komunikasi Korporat dalam menangani sesuatu krisis yang dihadapi klien. Tapi bila ianya digunakan terlalu kerap (dan melampau), ia cuma akan menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti syarikat media itu sendiri.
Suatu perbualan telefon beberapa hari lepas. Secara berjenaka:
Saya: Oit!!! Apa stesen TV hangpa nih ampu sakan kat Buletin Utama? Ingat masyarakat Malaysia nih hidup kat zaman batu lagi ka?
Dia: Apa nak buat bro, kehendak orang atasan. Aku cari makan jer...
Saya: Kalau ya pun cari makan, yang dok edit berita termasuk yang baca berita tu tak ada prinsip sendiri ka? Tak rasa malu ka?
Dia: Prinsip-prinsip jugak brader. Anak bini kat rumah sapa nak bagi makan? Kalau boleh join projek hang, nak jugak aku blah dari stesen TV nih! Boleh?
Saya: Errrr......
No comments:
Post a Comment