Saya tidak pernah menggemari laman 'Social Networking' sebelum ini. Baik MySpace, Facebook, Friendster atau Tagged. Menganggotainya pun kerana sama ada terdapat masa terluang ataupun setelah derasnya menerima emel jemputan bertubi-tubi dari rakan. Ini kerana saya tidak dapat melihat kewajaran laman-laman sebegini terutama dalam konteks bisnes mahupun sekadar bersosial. Lebih senang menggunakan emel, Yahoo! Messenger (dengan imej video kamera) ataupun terus menelefon (atau SMS).
Dua minggu lepas, ketika mengalami sedikit 'writer's block' kerana beban kerja yang memerlukan penulisan dan kerahan idea melampau, saya meluangkan masa mengunjungi semula laman-laman yang saya telah daftarkan dan hasilnya saya kini begitu menggemari laman Facebook berbanding yang lain kerana sebab-sebab berikut:
(a) Tata atur MySpace memeningkan! Jikalau semua orang memiliki bakat merekabentuk laman web, tentulah perekabentuk bertauliah tak boleh cari makan! Sesetengah laman MySpace yang saya kunjungi dihias dengan latarbelakang dan warna yang berceramuk hingga menyukarkan pembacaan. Latarbelakang merah dengan tulisan berwarna pink? Itu belum termasuk lagi yang meletakkan muzik/lagu. Untuk mereka yang selalu melayari laman web di malam sunyi seperti saya, boleh diserang sakit jantung apabila lagu Sean Kingston atau My Chemical Romance tiba-tiba terkeluar dari corong speaker. Saya lebih menggemari tata atur Facebook yang kelihatan lebih minimalis, profesional dan mudah disusun.
(b) Merujuk sejarah 'kebangkitan' laman 'Social Networking' ini, MySpace dilancarkan pada tahun 2003 secara umumnya untuk memberi pelayar web 'ruang mereka' mengumpul teman lama dan baru yang memiliki minat atau latar belakang yang sama. Golongan sasarnya adalah terlalu umum dari bebudak sekolah hinggalah paedofilia. Lama kelamaan, MySpace terchop stereotaip sebagai laman 'ngorat' atau perlumbaan siapakah yang memiliki 'kawan terbanyak'. Pendedahan yang dilakukan oleh sebuah media di U.K. menceritakan bagaimana laman ini diguna oleh pesakit jiwa yang mencari mangsa seks kanak-kanak di bawah umur. Manakala kajian yang dilakukan oleh Danah Boyd pada tahun 2007 pula menunjukkan pengunjung berdaftar MySpace lebih banyak terdiri dari 'working class' atau individu bermasalah. Dari sudut lain, sejarah Facebook bermula sebagai laman perantaraan pelajar dan graduan Harvard University pada tahun 2004. Kemudian keahlian dibuka kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi yang lain. Latarbelakang ini 'menyediakan' Facebook sebagai laman yang memiliki ahli 'terpelajar' dan seterusnya menjurus kepada karier profesional.
(c) Saya pernah cuba mencari rakan-rakan lama di MySpace, namun macam manalah nak terjumpa jika nama yang digunakan ialah seperti 'Ayu Cute', 'Macho Prince' atau 'Budak Baik'? Facebook menggalakkan penggunaan nama sebenar dan oleh yang demikian, pencarian adalah lebih mudah dan tepat. Selain itu, anda boleh mencari kenalan yang memiliki minat, latar belakang atau tahun/jurusan/alumni secara spesifik. Tidak sampai seminggu aktif di Facebook, saya berjaya menemukan ramai kenalan lama yang ada di antaranya pernah hilang lesap tanpa berita.
(d) Seiring dengan poin (c), saya pernah cuba melayari MySpace untuk mencari rakan-rakan bisnes atau ahli kumpulan untuk projek-projek peribadi seperti CHANTEK namun hasilnya begitu teruk sekali. Sama ada yang dihubungi sebenarnya lebih cenderung dengan skim cepat kaya/MLM ataupun merupakan pelajar sekolah rendah! Facebook, sekali kerana latar belakangnya, memudahkan carian ini. Dalam masa lima hari, saya berjaya 'shortlist' hampir 30 orang yang berpotensi bersama saya membangunkan projek-projek pada tahun 2008 ini sebagai 'project consultant'. Itu belum termasuk 'partners' yang bersedia menawarkan skilset dan kepakaran mereka dalam bidang tertentu. Nota: Jika anda juga berminat, kemaskinikan profil anda di Facebook dan masukkan saya sebagai 'kawan'!
(e) Facebook menawarkan aplikasi sampingan untuk berinteraksi, dari penghantaran bunga secara maya hinggalah 'cyber pet'. Walaupun kadangkala ini boleh mendatangkan 'nuisance' dan membuang masa, anda mempunyai pilihan untuk menolak aplikasi ini. Saya lebih banyak menggunakan aplikasi seperti kemaskinian maklumat tentang blog, perantaraan mesej secara sulit atau umum (menggunakan 'The Wall'), grup (seperti grup penyokong Tun M) dan 'Superpoke!' (anda boleh 'menghadiahkan' ciuman atau 'mengetuk' kepala rakan anda). Aplikasi sampingan di MySpace terlalu minima dan tidak produktif. Walaupun memiliki ruang blognya sendiri, ia tidak menawarkan khidmat RSS untuk 'link' blog anda ke akaun MySpace.
Kepada yang sudi, anda amat dialu-alukan dilaman Facebook saya kerana kini di situlah tempat saya lebih kerap bertapak dan berinteraksi. Malah isteri dan anak sulung saya pun mempunyai akaun Facebook masing-masing dan kini lebih kerap melayarinya. Walau begitu, di sebabkan golongan sasar yang berbeza, saya masih mengekalkan laman MySpace saya untuk tujuan promosi. Saya tidak menyentuh langsung tentang laman Friendster dan Tagged kerana saya hanya melawatnya 'once in a blue moon'.
Jom berinteraksi di sana!
No comments:
Post a Comment