Sekeluarga baru pulang dari mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2008. Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, KLIBF akan berlangsung dari 4 hingga 13 April 2008.
Setelah agak 'lembab' dalam tahun-tahun kebelakangan ini, saya perhatikan tahun ini lebih meriah. Hakikat yang diakui sendiri oleh Jaafar Taib, Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) yang mana gerainya (seperti biasa) memonopoli satu sudut dewan pameran, 'memerangkap' pengunjung-pengunjung yang melalui susur-susur gerai.
Sempat juga 'puffing' dan berbincang bisnes dengan beliau di dalam stor gerai CESB yang dipenuhi stok buku.
Saya nyatakan pada Encik Jaafar bahawa gerai CESB berseri-seri tahun ini dengan kehadiran 'promoter-promoter' yang merupakan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi. Jadi sesiapa yang ingin bertemu gadis manis ini, berkunjunglah ke gerai CESB. Pastikan anda membeli sesuatu kerana gadis ini bertugas di 'cashier', ahaksss!!! (Nota: Sekadar menjalankan tugas, maaaa!!!)
Namun sesuatu yang tidak pernah berubah saban tahun ialah kehadiran 'ulat-ulat' penjual ensaiklopedia atau kursus bahasa. Pantang kita lalu di depan gerai mereka dan terjeling. Masalahnya golongan ini mendiami sudut-sudut strategik dewan-dewan pameran yang jelas 'membesar' kali ini --- merangkumi Dewan Tun Razak 2, 3 dan 4 termasuklah Legar Putra. Pada saya, 'ulat-ulat' ini --- walaupun saya faham akan komisyen yang mereka kejarkan --- harus tukar cara promosi mereka. Ini PWTC bukan Puduraya! Ini KLIBF bukan Seminar MLM!
Menelefon John Norafizan yang 'bertukar payung' tahun ini ke Jemari Seni untuk bertanya kalau-kalau dia ada di lokasi. Dia rupanya sedang enak makan tengah hari bersama Editornya. Sempat melalui gerai mereka. Andai strategi bisnes mereka berjaya, saya yakin tahun-tahun hadapan akan menyaksikan syarikat ini menyewa ruang gerai yang lebih besar. Teringat saya masih belum sempat menghabiskan novel terbaru John, 'Garis-Garis Deja Vu', dan menulis prebiu tentangnya!
Sempat juga menyapa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said di gerai Wira Bukit. Beliau diapit peminat untuk bergambar. Kesempatan untuk saya menyapa dan bertanya tentang Helmy, anak beliau, digunakan apabila si jurugambar tercangak-cangak akan cara menggunakan kamera telefon. Katanya Helmy keluar sekejap. Saya berjanji untuk menjenguk semula nanti. Jika segalanya berjalan lancar, ada kemungkinan saya akan merealisasikan salah satu projek 'spin-off' CHANTEK dengan syarikat ini.
"Melayu malas membaca tetapi rajin menulis blog!"; kata penyair dan aktivis seni Pyan Habib. Sebaik menjejak kaki ke dewan pameran utama yang bersempit-sempit dengan manusia, saya rasa mungkin kenyataan ini sudah tidak begitu tepat lagi. Tetapi apabila tiba di dewan-dewan yang lain, saya mendapat satu kesimpulan.
Kenapakah manusia hanya bersempit-sempit di dewan utama tetapi tidak di dewan-dewan pameran yang lain? Seakan pengagihan khalayak (crowd distribution) tidak sekata. Kenapa begitu?
Sebabnya, pada hemah saya, ialah kerana dewan pameran utama (termasuk Legar Putra) menempatkan bahan-bahan bacaan karya popular seperti novel, majalah liburan hiburan dan buku-buku berbahasa kebangsaan. Manakala dewan yang lain menempatkan buku-buku berbentuk ilmiah atau yang berbahasa asing!
Jadi mungkin perlu ubah sedikit kenyataan Pyan Habib tadi --- "Melayu rajin membaca bahan-bahan ringan tetapi malas membaca bahan-bahan ilmiah!...
...Dan semakin rajin menulis blog!"
2 comments:
Wow , good story!
Yea sometimes Rakyat Malaysia memang tak gemar membaca tapi terpaksa kerana nak belajar dan menjadi orang kaya.Hey speacking of witch,comment me back!
Post a Comment