Monday, August 25, 2008

Parasailing dan Jatuh 50m Ke Laut

Saya gemarkan aktiviti-aktiviti berbentuk 'adrenalin rush'. Dari menaiki roller-coaster sehinggalah terjun setinggi 233m dari Macau Tower, hampir segalanya ingin dicuba andai diberi peluang. Saya gemarkan deruan angin laju ke muka di samping detik detuk jantung kencang seiring kelajuan yang ditempuh.

Kebetulan bila kami sekeluarga bercuti ke Pulau Pinang penghujung minggu lepas, saya tidak melepaskan peluang mencuba Parasailing di pantai Batu Feringghi. Harganya pun berpatutan, RM50 untuk satu pusingan selama lebih kurang 5 minit. Isteri saya pun tergerak hendak mencuba kerana kelihatan menyeronokkan.

Operator mula memasang jaket keselamatan, cangkuk, tali dan sebagainya untuk persediaan. Saya yang berada di belakang turut diberi beberapa arahan untuk diikuti, seperti tali mana hendak ditarik, dilepas, ditarik semula dan dilepas semula. Kiranya ada lima arahan yang perlu diingat. Agak kontras berbanding ketika terjun dari Macau Tower dahulu yang semata-mata; "Open your hand... now JUMP"!!!

Tiba waktu, bot laju yang akan menarik kami mula bergerak dan kami berlari-lari anak mengikutnya. 1..2..3.. whooosshhh kami terangkat ke udara. Memang thrill! Jauh di bawah sana terlihat biru laut. Kira-kira 50m tinggi. Terdetik juga, kalau jatuh pun, sekurang-kurangnya akan ditampan lautan.

Selepas itu segala-galanya berlaku sekelip mata. Terdengar bunyi 'snap' dan isteri saya yang berada di hadapan terjatuh dari kusyen yang menampan ponggong. Kedua tangannya hanya bergayut di tali payung terjun. Kemudian serasa payung terjun itu mula melelong dan sesaat dua kemudian, SPLASSHHHHH!!! Jatuh 50m ke dalam laut. Cermin mata saya tercampak.

Dalam kerabunan itu, saya cuba menggapai isteri saya. Kaki cuba diinjak mencari pasir dasar laut dan ketika itu baru tersedar bahawa kami di tengah lautan. Kepala saya tenggelam timbul beberapa kali namun bila teringat agar jangan panik, perlahan-lahan saya mengapung. Dari kejauhan, bot laju yang menarik kami tadi menghampiri diiringi oleh dua jetski. Seorang dari pemandunya terjun ke dalam laut menceraikan tali payung terjun yang mengikat badan kami dan seorang lagi membantu kami menaiki jetski. Setelah itu, saya memandu jetski pula memecut ke pantai.

Maknanya dengan RM50 tadi, kami mendapat pengalaman Parasailing, kemalangan, diselamatkan dan akhir sekali menaiki jetski! Kerana itulah saya menolak pelawaan operator parasailing tersebut untuk mencuba sekali lagi. Cukuplah keseronokan untuk sehari ini!

Cuma semalam terpaksalah berabun sepanjang jalan dari Pulau Pinang untuk pulang ke ibukota. Dan bangun pagi ini baru mula terasa sengal-sengal dan lenguh seluruh badan.

Saya akan berbohong jika saya katakan saya tidak langsung merasa takut barang seketika. Namun keseluruhannya, secara ironik, agak menyeronokkan.

Penambahan terhadap 'cerita' yang boleh didongengkan kepada cucu cicit kelak!

Wednesday, August 20, 2008

Hipokritnya Kita!

Bila mana sesuatu musibah terjadi kepada seseorang yang kita suka, dengan nada kasihan kita memujuk; "Sabarlah... ini semua adalah ujian dari Tuhan Yang Satu, kerana Dia amat menyayangimu". Namun bila ia terjadi kepada seseorang yang kita benci; dengan juih kita sinis; "Padan muka... itulah dia bala dari Tuhan!"

Di belakang rakan sekerja kita mengutuknya, mengejeknya dan dari jauh memandangnya dengan jelek. Namun bila berada bersama dalam bilik mesyuarat, kita meletakkan topeng di muka dan berinteraksi bergelak berketawa atas nama profesionalisme.

Rakan-rakan sekuliah berpiket kerana ada politikus menyarankan agar kuota sebuah universiti tempatan yang majoritinya dibolot Melayu diberikan sedikit lebih ruang untuk bukan Melayu. Mikail tersenyum riang. Wah! Seronok keramaian ini. Bawa sepanduk. Jerit-jerit sorak sekadar memeriahkan. Ayuh tumpang sekaki. Padahal universiti tersebut dasarnya ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu dari keluarga berpendapatan rendah menikmati peluang menambah ilmu seiring dengan yang datangnya dari keluarga berkemampuan. Mungkin Mikail lupa bahawa nama penuhnya ialah Tengku Mikail Tengku Dato' Aman Buncit.

Sebuah kelab malam diserbu. "JANGAN LARI!!!" Masuklah sekumpulan berkopiah berserban berjanggut membimbit fail. Lebai laju catat saman. Semua yang seagama dapat saman. Kena pergi kaunseling dua hari kemudiannya. Lebai sama yang meleleh air liur melihat goyang gerudi Inul. Atau sama 'headbanging' lagu-lagu Avril Lavigne. Khabarnya Lebai yang sama juga itulah berhasrat menambah koleksi tiga menjadi empat. Empat itu pernah jadi bohsia belakang Maju Junction. "Kita kena banteras maksiat"; kata Lebai sambil menyeluk koceknya yang terisi kondom baru dibeli dari kedai 24-jam di Brickfields.

"GOD SAVES YOU". Cantik terpampang pelekat 'bumper' kereta. Kereta yang sama di mana pemandunya mencilok kiri kanan dan akhirnya memotong barisan di lampu isyarat. Sehari kemudian, kereta yang sama dengan pelekat yang sama dilihat memarkir menghadang lalulintas hanya kerana menunggu si anak balik dari tiusyen. Tidak peduli yang keretanya menghadang puluhan kereta hingga dua lorong menjadi satu. Apa dia peduli. 'God Saves Her'. Oh... pemandu wanita rupanya.

Mungkin hipokrasi merupakan sebahagian dari naluri asas insaniah.

Kita tidak akan pernah mahu mengakuinya.

Kerana hakikatnya kita memang hipokrit! :)

**Semua nama-nama hanyalah rekaan. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang mati. Jika ada, hanyalah kebetulan kerana saya juga mungkin seorang hipokrit**

Monday, August 18, 2008

Adam Jefril Yang Kuat Rengek!

Ada rakan bertanya dalam banyak-banyak artikel saya, yang manakah paling berat dan memilukan untuk ditulis?

Jawapannya tentulah 'Requiem Untuk Asrul Iskandar' yang ditulis sekitar tahun 2001. Pertama kerana saya tidak gemar menulis hal-hal yang terlalu peribadi. Apa lagi secara terang-terangan. Kedua kerana ianya ditulis dalam keadaan yang begitu tertekan yang mana saya terpaksa menelanjangi segala isi hati, rasa dan tangis ketika itu demi merakamnya dalam bentuk prosa. Begitu tertekan bila mana sehingga kini ia merupakan satu-satunya artikel yang saya tidak sanggup menjengah dan membacanya semula.

Bagaimana pula dengan artikel yang serasa begitu bersemangat untuk ditulis? Ada beberapa sebenarnya, namun antara kegemaran saya ialah 'Asimilasi Damai Aman Merdeka (A.D.A.M)', ditulis empat hari selepas kelahiran Adam Jefril dalam tahun 2005.

Tentunya anda harus membaca 'Requiem' untuk mengetahui kenapa 'Asimilasi' amat bermakna sekali.

Tentunya juga terjawab persoalan kenapa Adam Jefril sering digelar Alyssa Sofea kakaknya sebagai 'spoilt brat'!!!

Situasi mungkin berlainan ketika Alyssa dilahirkan berbanding Adam. Dengan Adam, saya berada dalam pertengahan 30an beserta beberapa serangan siang hari yang terus saja disyaki sebagai serangan darah tinggi. Jadi saya kurang gemar meninggikan suara memarahi Adam bila keadaan mengkehendaki.

Alyssa dahulunya dihantar ke rumah penjaga kanak-kanak dari awal pagi hingga jelang malam - dengan ramai teman-teman di sana. Oleh yang demikian, Alyssa telah belajar berkawan seawal umurnya satu tahun.

Dengan adanya Bibik yang dibawa dari Indonesia sebelum kelahiran Adam lagi (ditambah pula dengan dua lagi Bibik di rumah mertua) - segala permintaan, rengekan, mengada-ngadaan dan tangisan Adam sentiasa diberi perhatian. Hingga mungkin dalam kepala Adam telah terasuh; "Haaaa... kalau saya nak apapun, saya rengek sikit je.. sure dapat punya!!!"

Selepas artikel 'Hijrah Seorang Gadis Kecil (Bhg II)' menyusul, ada yang bertanya apakah perangai saya yang ada dalam Adam. Mungkin terlalu awal untuk menebak namun buat masa ini mungkin pada kedegilan kepala batu yang tiada taranya. Dan mungkin ada sipi-sipi 'temper' saya ketika muda dahulu melekat pada Adam. Dari segi minat, saya hanya akan mampu melihatnya setelah Adam sedikit dewasa.

Namun yang pasti, satu ketika nanti.

Adam merupakan antara yang akan menurunkan saya dan ibunya ke dalam liang lahad persinggahan akhir kami berdua.

Ketika episod ringkas kami di dunia ini berakhir dan legasinya akan diteruskan oleh beliau dan kakaknya.

Kakak dan Adik!

Hijrah Seorang Gadis Kecil (Bhg II)

Satu ketika, tidak lama dahulu ketika berada di kampung. Alyssa Sofea dan Adam Jefril girang bermain di ruang tamu. Saya berpura sibuk membaca surat khabar namun mata dan telinga tetap menjalar takut-takut ada yang terkasar hingga menyebabkan termenangis.

Ibu saya datang mencelah; "Does Adam remind you of yourself?"

Saya berfikir seketika lalu menjawab; "Bukan Adam... tapi Alyssa".

Terus terang, ada kalanya serasa gusar kerana semakin hari saya melihat semakin banyak yang ada (atau pernah ada) dalam diri saya kini menyerlah melalui Alyssa. Dari minat mengatur blok-blok mainan menjadikan sebuah 'bandar', kebolehan menghafal lirik berbilang lagu, kecenderungan menggubah irama (dan lirik) sendiri sehinggalah baru-baru ini, minat terhadap penulisan. Satu pembuktian terhadap kesahihan teori genetik dari sudut saintifik dan perumpamaan "bapa borek anak rintik" dari pepatah Melayu!

Dalam usia 10, Alyssa telah mula menampakkan kebangkitan adrenalin remaja bilamana beliau semakin akrab menerima SMS 'puppy love'. Agak awal dirasa kerana seingat saya, diri ini hanya mengenali yang lelaki itu lelaki dan wanita itu wanita jelang Darjah Enam (sekitar usia 12).

Saya mempunyai pilihan untuk terus saja membatalkan khidmat talian Maxis untuk Alyssa demi menghentikan semua 'kekarutan' ini. Bapa saya dahulu pastinya akan melakukan demikian jika ciptaan telefon selular sedia wujud ketika saya sebaya Alyssa.

Namun menyedari betapa banyaknya saya di dalam dia, mungkin yang terbaik ialah memberikan bimbingan secara natural dari terus saja membina penghalang. Saya memang protektif namun dalam masa yang sama ada beberapa perkara yang perlu diterokai dan dipelajari sendiri oleh Alyssa, yang tidak dapat saya bantu.

Mengenang betapa tertekannya saya dahulu ketika ibubapa menyumbat beberapa 'pengajaran' melalui rotan, jerkahan dan tangan-tangan, saya perlu memastikan bahawa legasi era dahulu terus kekal dalam era dahulu. Tentu saja ada yang terpaksa dilakukan bila perlu namun pastinya tidak mungkin Alyssa akan merasai tekanan sebagaimana yang saya pernah rasai meningkat remaja.

Lagipun saya tidak akan pernah berada dalam umur Alyssa.

Sebagaimana saya kini berada di dalam dia.

Thursday, August 14, 2008

HOH!!!!!!!!

Entah bagaimana saya agak tertarik dengan ungkapan 'HOH' ini. Walaupun tidak begitu pasti asal usulnya, mungkin ianya telah dipopularkan oleh seorang rakan kerja sepasukan yang mana penjelasan santainya boleh dibaca di sini.

Saya kira lain orang lain definasi atau metoda yang digunapakainya untuk menentukan sesuatu situasi yang HOH.

Namun bagi saya, antara HOH yang terbesar ialah pelaknatan secara halus dan terdesak yang digunakan untuk menjatuhkan seseorang. Dalam dunia keparat (dibaca: korporat), gejala HOH yang berdefinasi sedemikian selalunya terjadi ketika semakin tinggi kita melangkah anak-anak tangga pangkat.

Tidak boleh menyalahkan sangat mereka yang cuba menjatuhkan itu 100 persen, kerana mungkin mereka juga pada dasarnya naik di sebabkan cara yang sama. Atau mungkin mereka merasa kurang senang atau tercabar ketika ada seseorang yang kelihatan seperti memperbodohkan mereka atau memaparkan kelemahan mereka dalam sesuatu bidang. Jadi untuk menutup kelemahan tadi, mereka terpaksa menjurus kepada sesuatu yang begitu HOH.

10 tahun dahulu mungkin saya juga gelojoh sehingga sering menggunakan sesuatu yang HOH untuk menjatuhkan orang lain. Namun semakin lama saya berkecimpung dalam bidang ini, semakin saya menyedari bahawa HOH yang sedemikian tidak akan membawa anda ke mana. Apa yang pergi berpusing sekeliling akan berputar semula ke arah kita. Lagipun lama kelamaan orang akan mula menyedari bahawa anda memegang tampuk kuasa ialah menerusi HOH semata-mata sedangkan isi anda tidak ubah seperti sebuah tong kosong.

Untuk rekod, kini saya hanya berpegang kukuh pada merit dan kualiti hasil kerja saya. Jika ingin melakukan sesuatu, saya lakukan agar hasilnya boleh dibanggakan atau jangan lakukannya langsung. Setidak-tidaknya untuk memuaskan diri sendiri setelah segala penat lelah usaha itu menzahirkan sebutir permata yang kilauannya akan kekal untuk sekian lama. Menjadi bonus pula andainya orang lain juga turut bangga dan mendapat manfaat langsung mahupun tidak langsung dari hasil kerja anda tersebut.

Oleh itu ketahuilah, pangkat bukanlah yang dikejar. Bukan juga puji-pujian. Cuma sekadar penambahan pencapaian yang boleh ditinta buat memperelokkan lagi curriculum vitae saya. Jadi tak perlulah sesiapapun menggunakan HOH. Kalaupun nak mencabar, cabarlah dengan mewujudkan sesuatu ide yang 100 kali lebih baik dari ide yang telah saya utarakan. Sesuatu yang membolehkan saya berkata; "Damn!!! Why didn't I thought of that?"

TETAPI...

Kalau merit yang saya hasilkan itu memang meninggalkan impak positif, sedikit kenaikan untuk menebalkan poket dihujung bulan tidak akan menyakitkan. Lagipun dalam era Barang Naik sekarang ini, saya bersyukur dengan setiap unit Ringgit dan Sen yang hadir!

HOH!!! Tapi jangan HOH!!!

Thursday, August 7, 2008

Anda Ada Bakat? Saya Mahu Bekerja Bersama Anda!

"I don't work with people, I work with TALENTS!"

Sekumpulan eksekutif jualan yang berada dalam bilik mesyuarat seakan tersentak mendengar kenyataan saya. Itulah yang sebenarnya.

Saya merasakan bahawa lebih praktikal andai kita mengenal pasti bakat seseorang, fokus terhadapnya dan cuba mengeluarkan yang terbaik berdasarkan bakat tersebut dari beliau.

Satu ketika dahulu saya pernah menjadi Perunding Komunikasi untuk sebuah syarikat kosmetik dan penjagaan kecantikan tempatan. Mereka juga mempunyai seorang 'Perunding Kewangan' yang merupakan salah seorang pemanipulasi paling licik pernah saya jumpa.

Kerjanya memang profesional. Bila saja beliau menandatangani kontrak dengan seseorang klien, beliau akan sehabis mungkin pusing lusing segala bentuk urusan yang berasaskan wang demi memastikan kliennya memaksimakan keuntungan.

Walaupun metoda kerjanya boleh dipertikai dari segi etika, hakikatnya beliau memang mahir bermain dengan angka sehingga mampu menjadikan apa yang tidak baik kelihatan baik. Kebetulan, langkah kami kemudiannya membujur lalu melintang patah.

Beberapa tahun kemudian, saya perlu mengumpulkan pasukan untuk salah satu projek dengan sebuah syarikat FMCG multinasional. Walaupun Perunding Kewangan yang licik tadi sudah diketahui 'perangainya', beliau merupakan antara orang pertama yang saya ingat untuk disertakan dalam pasukan. Beliau kemudiannya telah memberikan hasil kerja yang cemerlang dan memastikan sebarang urusan berkaitan kos disempurnakan dengan efisien.

Secara individu, pada saya, beliau masih 'a pain in the ass' walau bagaimanapun!

Sebagai manusia, kita tidak sempurna. Kita mempunyai kekurangan. Andai kita terlalu fokus kepada kekurangan seseorang, kita seakan menidakkan natijah Maha Esa sendiri yang merupakan satu-satunya Maha Sempurna!

Wednesday, August 6, 2008

Bila Krisis Mengetuk Pintu

Sekitar jam 11 pagi tadi, pengunjung dan penghuni KL Sentral gempar dengan aduan yang mengatakan sebuah Proton Wira yang diparkir di kawasan menunggu teksi mempunyai bom. Setelah mengalami berbilang insiden yang sama ketika belajar di UK dahulu, tentunya saya merasa agak cuak dan ingin menjauhkan diri dari kawasan tersebut sejauh mungkin.

Namun berbeza pula dengan kebanyakan pengunjung KL Sentral yang berkumpul melihat krisis tadi seolah-olah seperti menonton satu keramaian!

Bercakap tentang krisis, tidak lama dahulu saya telah menghadiri satu seminar bertajuk 'Risk Management for Business Success' yang disampaikan oleh Judy Larkin - seorang spesialis dalam Pengurusan Reputasi, Perancangan Kecemasan dan Komunikasi Risiko dari UK.

Secara umumnya, seminar tersebut menggariskan beberapa Kajian Kes terhadap insiden krisis yang berlaku kepada beberapa organisasi seperti PanAm, Exxon, Coca-Cola, Enron dan seumpamanya. Suatu krisis yang cukup besar hingga mampu menjatuhkan organisasi tersebut, bagaimana mereka menanganinya dan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung. Bukannya rugi setakat juta-juta, tapi bilion-bilion!

Di Malaysia, kita pernah melihat bagaimana syarikat pengeluar roti jenama High 5 berhadapan dengan krisis kredibiliti apabila emel dan sms layang tersebar kononnya bahan roti tersebut mempunyai lemak khinzir. Biasalah orang Malaysia yang terlalu gemar percaya dan menyebarkan perkara-perkara sebegini tanpa usul periksa. Seperti juga khabar kononnya ada kalimah Allah di batu dan ayat Al-Quran di awan - tapi ini cerita lain lah, ahakss!!!

Apapun, tindakan Silver Bird Group, pengeluar roti High 5 menangani krisis tersebut adalah contoh lokal yang baik akan bagaimana sesebuah organisasi yang proaktif melakukannya. Inilah yang digelar Pengurusan Krisis atau Pengurusan Risiko. Silver Bird menjemput sendiri wakil-wakil dari jabatan agama Islam untuk melawat kilang mereka. Mereka menggalakkan lebih ramai kumpulan datang meninjau ke premis operasi High 5. Kemudian mereka mewujudkan pula High 5 Bread Town, Muzium Roti pertama di Malaysia sebagai salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Mungkin kerana Pengurusan Krisis ini masih baru di Malaysia, banyak syarikat yang masih mengabaikan tanggungjawab untuk mewujudkan sistem proses yang efektif sebagai persediaan. Dengan erti kata lain, bila terhantuk baru nak terngadah. Tak menyediakan payung sebelum hujan.

Sebab itulah bila terjadi saja krisis organisasi - daripada Lembaga Pengarah yang didakwa atas tuduhan menggelapkan wang sehinggalah sebatang jarum yang ditemui dalam paket makanan ringan - antara jawapan mereka yang paling popular bila diasak pihak media ialah:

"No komen"
"Itu cuma khabar angin"
"Eh... ye ke?"
"Saya masih menunggu laporan"

dan yang paling popular semenjak dua menjak ini:

"INI ADALAH SATU KONSPIRASI UNTUK MENJATUHKAN SAYA/KAMI!!!"

Dumme Bureaukrati, Usikre Chefer!

Satu ketika dahulu, saya hanya merupakan seorang pengamal komunikasi berpangkat Eksekutif.

Al-kisahnya, satu hari salah seorang Pengarah Syarikat mencadangkan agar syarikat tersebut menyertai sebuah pameran bertaraf antarabangsa. Arahan tersebut kemudiannya diturunkan kepada Ketua Pegawai Operasi yang kemudiannya diturunkan kepada Pengurus Besar dan akhirnya kepada saya. Seterusnya saya mula memanggil beberapa agensi pengiklanan, memberi taklimat dan seterusnya memberi masa lebih kurang sebulan untuk agensi-agensi tersebut mencadangkan rekabentuk gerai pameran.

Selepas sebulan, saya mengumpulkan semua rekabentuk yang dicadangkan dan 'menaikkannya' ke Pengurus Besar yang kemudiannya 'menaikkannya' pula ke Ketua Pegawai Operasi dan akhir sekali tiba kepada Pengarah Syarikat berkenaan.

Selepas hampir dua bulan, akhirnya arahan dari 'atas' tadi dilaksanakan. Itu anggapan anda?

Tidak sama sekali. Dalam masa tidak sampai 5 minit Pengarah Syarikat tersebut menolak mentah-mentah rekabentuk yang dicadangkan. Beliau memberikan beberapa tips dan jenis rekabentuk hinggalah ke pilihan warna yang patut digunakan. Arahan tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi, disusuli oleh Pengurus Besar dan akhirnya kepada saya.

Proses sama berulang lagi. Naik. Turun. Naik. Turun. Hingga saya yang dhaif ketika itu terfikir; "Tentunya ada cara yang lebih bijak melakukan ini dari memperbodohkan diri atas nama birokrasi, polisi atau sistem yang kononnya digubal untuk melancarkan operasi syarikat. Namun sebaliknya memperlahankan dan menjadikan segalanya lebih tidak efisien".

Lapan tahun kemudian.

Saya telahpun bergelar Pengarah Projek, berada di bilik menunggu untuk melaporkan tentang kemajuan produksi buku CHANTEK terus kepada Menteri.

Dalam bilik yang sama ada dua orang dari agensi lain yang juga menunggu untuk bertemu YB Menteri, melaporkan tentang kemajuan projek mereka.

"Buku you tu dah siap berapa peratus?"; tanya salah seorang darinya kepada saya.

"Hmmm... hampir 90%"; jawab saya.

"Wah!"; beliau seakan terkejut. "Bila you sign kontrak dengan Kementerian?"; tanya beliau cuba menduga.

"Tiga bulan lepas"; jawab saya ringkas.

Dari raut mereka muka ternyata mereka agak terkejut. Tak lama kemudian, saya mengetahui bahawa projek buku mereka telah mengambil masa hampir setahun. Itupun baru siap 50%! Rekabentuk kulit pun belum diluluskan lagi! (Buku tersebut khabarnya siap beberapa bulan setelah keseluruhan naskhah CHANTEK siap dicetak).

Saya rasa tak perlu memperjelaskan bahawa kami berjaya menyiapkan sesuatu yang kompleks seperti CHANTEK dalam masa singkat kerana kami mendapat akses terus kepada YB Menteri berkenaan. Walaupun kami ada berhubung dengan YBHG Dato' Ketua Setiausaha, YBHG Dato' Penasihat, Pengurus Bahagian Media dan sebagainya - kata putus serta tips untuk memperelokkan projek selalunya kami akan terima terus dari mulut YB Menteri. Tanpa tapisan atau kerenah birokrasi yang berjela-jela seperti ketika saya mengunjurkan rekabentuk gerai pameran lama dahulu.

Mungkin birokrasi ini diadakan hanya untuk melindungi kredibiliti pegawai atasan. Jadi ianya tidak harus dilangkau. Seakan ada fobia di kalangan segelintir pegawai atasan bahawa ada 'smart aleck' seperti saya akan cuba merebut jawatan yang mereka sandang dan menjatuhkan mereka.

Tapi untuk rekod, ketahuilah, saya menyiapkan projek-projek yang diamanahkan adalah kerana saya gemarkan cabaran, suka melihat hasil kerja akhir disiapkan seelok mungkin dan hakikatnya saya tahu bahawa impian saya yang sebenar bukanlah sedangkal impian mereka yang hanya gemar mencari salah silap orang bawahan demi melindungi kredibiliti sendiri.

Kalaupun mereka akhirnya menjolok jawatan atau pangkat yang kononnya dikejar saya jauh ke dalam anak tekak saya.

Perkara yang paling mulia boleh saya lakukan ketika itu ialah memuntahkannya semula.

Monday, August 4, 2008

Buon Padrone, Cattivo Padrone!

Untuk rekod, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai 'bos yang baik'. Sebetulnya juga, saya tidak tahu bagaimana untuk menjadi 'seorang bos yang baik'.

Kadangkala saya merasa hairan akan ego sesetengah orang yang bergelar bos bila saja mereka mahu memperkenalkan orang bawahan mereka kepada orang lain; "Oh... kenalkan. Ni Minah binti Polan dan Abu bin Asap, MY STAFF". My Staff. Staff. Mungkin sekadar satu panggilan untuk memuaskan ego sendiri setelah agak lama beliau digelar 'staff' orang lain.

Ada yang berpendapat, seorang bos harus menjaga disiplin kakitangannya. Disiplin ketat. Tiada tolak ansur. Seperti mengetatkan waktu masuk bekerja walhal dalam masa yang sama membebel bila saja kakitangan mahu pulang tepat pada penghujung waktu bekerja. "Awak takdak komitmen. Tak reti ke nak stay back?"; dengusnya. "Tengok macam saya, selagi kerja tak habis, saya takkan balik"; sambil menunjukkan jam Rolex Jalan Petalingnya yang memaparkan waktu 11 malam.

Ada pula bos yang hanya mahu orang mendengar katanya saja. "Aku maksum mengalah nabi!"; ujar beliau. Walaupun terbukti kemudian bahawa pilihan yang dibuatnya itu salah, dia akan tetap mati hidup balik 100x menyalahkan orang lain. Mencari kambing hitam. Andai tak ada kambing hitam, yang biru, kelabu, jingga semua pun boleh. Asalkan persepsi umum akan kemaksumannya terpelihara.

Berdasarkan pengalaman bekerja dengan berbilang klien, pertama sekali ingin saya jelaskan bahawa bangsa dan agama tidak ada kena mengena dalam mendefinasikan antara 'bos baik' dan 'bos bangang'. Saya pernah bertemu dengan bos berbangsa Eropah yang mana 'kemelayuannya' adalah lebih 'Melayu' dari sterotaip yang selalu dilemparkan kepada bangsa Melayu. Atau bos beragama Hindu yang lebih 'Yahudi' dari yang sering ditakrif sebagai Yahudi. Atau bos berbangsa Cina yang mana kemengarutannya adalah lebih mengarut dari yang sering dilemparkan kepada yang berbangsa India.

Tentunya juga saya pernah bertemu bos berbangsa Melayu yang begitu efisien, menginspirasikan, arif berstrategi bisnes dan mengundang rasa hormat berbanding semua bos berbangsa Cina, India atau Eropah yang saya pernah bertemu. Pendeknya, bangsa dan agama bukanlah faktor utama.

Kedua, pada saya, seorang bos haruslah mampu menginspirasikan. Maknanya bos tersebut wajib mengetahui skop kerja yang dilakukan secara menyeluruh. Walaupun perinciannya pada saya bukanlah patut menjadi fokus utama mana-mana bos, beliau harus mampu melihat keseluruhan gambaran (the bigger picture) dengan baik dan merubah strategi andai satu-satu perancangan itu terbantut. Bos yang terlalu obses dengan perincian adalah sama ada tidak faham akan skop kerja berkenaan ataupun memang beliau dah 'tak ada kerja lain' sehingga mempunyai masa untuk mengambil tahu perkara yang sekelipit seciput... ahaksss!!!

Akhir sekali, seorang bos tidak seharusnya memaksa orang untuk hormat padanya. Rasa hormat akan timbul dari penilaian kakitangan bawahan terhadap skop pengetahuan, pembawaan dan merit seseorang bos. Sebab itulah karakter seperti Dr House dihormati walau hakikatnya pembawaan beliau begitu kurang ajar, cakap tak berlapik dan tidak langsung mempedulikan perasaan orang lain.

Lebih baik seseorang bos itu dihormati di atas merit pencapaian beliau daripada dihormati secara paksa hanya kerana dalam surat tawaran bekerja beliau ada terpapar jawatan 'Manager', 'General Manager', 'Chief Executive Officer' atau 'Director' semata-mata.

Beberapa minggu lepas, salah seorang rakan pasukan saya terpaksa mengundurkan diri di atas sebab-sebab peribadi. Di laman Facebook saya, beliau menulis; "Frankly, you are the best boss I've ever had". Kembanglah juga barang lima inci.

Mungkin pujian tersebut bersalut coklat Hersheys. Mungkin pujian tersebut terlontar kerana hakikat bahawa beliau meninggalkan pasukan saya kerana lebih menyayangi Siti Nurhaliza, bos baru beliau (hahahaha). Mungkin beliau masih belum bertemu ramai bos untuk membolehkannya menilai yang mana satu bos yang 'best' dan yang mana pula 'kurang best'.

Namun apa yang pasti, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai bos. Saya cuma tahu mencungkil bakat terendam dalam seseorang, menggilapnya dan cuba mengeluarkan yang terbaik andai dipunyai masa yang cukup. Saya lebih gemar 'bekerja dengan bakat' daripada 'bekerja dengan orang'. Bila kita fokus kepada bakat, kita tidak akan mengendahkan sangat kekurangan-kekurangan yang lain. Kerana kita maklum bahawa kita juga mempunyai kekurangan --- jadi buat apa membuang masa fokus terhadapnya?

Dan dalam bebilang bakat yang saya pernah bekerja bersama, ada juga yang telah bermurah hati membuka selendang yang melitupi manusia sebenar di sebalik bakat tersebut.

Dan saya pun dengan rendah diri membuka selendang yang melitupi wajah saya pula.