Sekitar pemilihan YAB Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac 2008 lalu, tersibaklah keburukan beberapa fanatik UMNO meletakkan kain rentang 'Kami Nak Idris, Natang!' yang menghina DYM Yang Di Pertuan Agong merangkap Sultan Negeri Terengganu.
Hampir setahun kemudian, penghinaan ke atas Sultan berulang lagi. Cuma bezanya kali ini di Perak. Dan dilakukan oleh penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Setelah Sarkas Perak 2009 hampir mencapai klimaksnya, saudara Haris Ibrahim telah menyarankan agar penyokong PR melawat buku tetamu laman web Pejabat DYM Sultan Perak dan 'membimbing Sultan negeri mereka'.
Walaupun cadangan saudara Haris boleh disifatkan natural sebagai seorang pemblog maya, setidaknya beliau seharusnya membimbing dahulu penyokong-penyokong PR terhadap adat dan tatasusila dalam berutus-urus dengan Baginda Sultan.
Mungkin Haris sudah terbiasa dengan penulisan a'la blogger. Atau mungkin beliau terpaksa bergegas ke Ipoh untuk menghadiri perhimpunan di kediaman Menteri Besar. Atau mungkin beliau sendiri kurang arif dengan adat istiadat ini.
Namun beliau harus juga diberikan kredit kerana meminta sesiapa yang ingin meninggalkan warkah kepada Baginda Sultan agar jangan menggunakan nama samaran (yang walau bagaimanapun tidak dituruti).
Kesimpulan yang boleh ditebak setelah membaca warkah-warkah yang dinukilkan dalam buku tetamu tadi adalah:
(a) Sikap penyokong PR juga tidak kurang buruknya dengan penyokong UMNO yang meletakkan kain rentang menghina DYM Sultan Terengganu dahulu. Beremosi, kurang ajar dan tidak tahu adat. Mereka menulis seakan-akan dengan anggapan bahawa individu yang ditujukan mesej tersebut adalah 'sama taraf' dengan mana-mana orang politik, rakan siber MySpace atau blogger yang lain. Ini adalah amat menyedihkan.
(b) Penyokong fanatik terdapat dalam mana-mana organisasi, agama dan parti. Mereka ini terdorong oleh emosi dan jelas amat cetek kematangannya. Seperti tong kosong berkarat. Namun sayang kerana tong kosong berkaratlah yang paling kuat berbunyi bila dipalu. Dan paling banyak merosakkan.
Justeru itu, saya meminta agar laporan-laporan polis dibuat terhadap penghinaan melampau dari penyokong-penyokong fanatik PR ini.
Saya juga ingin tahu pendirian YB Salahuddin Ayub terhadap sikap penyokong fanatik PR yang meloyakan ini. Beliau pernah dengan gahnya 'mempertahankan' Baginda Sultan Terengganu dahulu ketika dihina oleh penyokong fanatik UMNO.
Harap penyokong-penyokong fanatik PR (dan Barisan Nasional juga) cermin-cerminlah diri selalu.
1 comment:
Saya terpanggil untuk memberikan pendapat. Seperti yang telah sedia maklum, terdapat satu peribahasa dalam bahasa Melayu yang berbunyi: Raja yang adil disembah, raja yang zalim disanggah.
Pada pendapat peribadi saya, berdasarkan sinopsis yang telah berlaku dalam politik di negeri Perak,DYMM Tuanku Sultan Perak telah berlaku kurang adil/saksama dalam mengambil tindakan baginda, iaitu DYMM Tuanku tidak menerima mengadap pemimpin2 tertinggi PR seperti DSAI/DSHA dan lain2 bagi mendengar pandangan/kehendak mereka untuk mengatasi apa yang telah terjadi.
Sedangkan DYMM Tuanku telah menerima mengadap Pak Lah atas dasar sebagai pemimpin tertinggi BN. Disinilah kesilapannya itu.
Sepatutnya sebagai seorang Sultan yang mahir dalam soal kehakiman, Tuanku perlulah mendengar dari kedua2 pehak sebelum mengambil keputusan. Itulah baru ADIL.
Post a Comment