Tuesday, June 9, 2009

DAMAI oleh Jaafar Taib

Boleh dikatakan semua penggiat seni tanah air yang berkecimpung di bidang lukisan, visual, kartun dan animasi mengenali siapa gerangan Jaafar Taib.

Atau setidaknya mengasosiasi beliau sebagai pengasas dan penerbit Gila-Gila, majalah satira pertama di Malaysia - yang mana kini saya berbangga menjadi sebahagian darinya :)

Saya berpeluang mengenali Encik Jaafar sekitar tahun 2001 dahulu, ketika saya cuba 'pitch' siri 'Hidup Di Luar Negeri (HDLN)' untuk diterbitkan oleh Creative Enterprise, syarikat di mana beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan. Pertemuan dilangsungkan di restoran Monte's, Bangsar Shopping Centre yang kemudiannya menjadi lokasi mesyuarat 'rasmi' bagi saya dan beliau dari masa ke semasa.

Ketika pertemuan tersebut (kebetulan jatuh pada hari pertama saya memandu Proton Waja yang baru dibeli), Encik Jaafar mulanya tak banyak bercakap. Mungkin kerana kami belum saling mengenali dan saya masih dalam 'pemerhatian' penuh syak beliau!

Perbualan kami menjurus dari satu topik ke satu topik dan kemudian kembali ke topik asal. Melompat-lompat. Bila tiba pada topik mengenai Dato' Lat yang menghasilkan siri animasi 'Kampung Boy', saya cuba-cuba menebak tanya sekadar untuk mengetahui apa topik perbualan kegemaran beliau.

"Encik Jaafar ada apa-apa rancangan untuk buat filem animasi?"; tanya saya.

Tiba-tiba seperti deru air empangan melimpah keluar, beliau menceritakan tentang kisah anak gajah yang dalam pengembaraan di Hutan Pahang, karakter-karakter haiwan yang ditemui dalam perjalanan, lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan, plot, klimaks, anti-klimaks, pendek kata segalanya dari A sampai Z.

"Kalau saya nak buat filem animasi ni, ia mesti sebagus The Lion King"; kata beliau merujuk kepada filem animasi 'masterpiece' Disney.

'Fast forward' 9 tahun kemudian. Saya bertemu Encik Jaafar di penghujung minggu lepas. Sebaik tiba, beliau menghulurkan dua buah buku bersaiz buku 'coffee-table' - satu berkulit keras ('hardcover') dan satu lagi berbentuk 'paperback'. Di hadapannya terpampang tajuk 'DAMAI'.

Ketika itu saya menyedari bahawa itulah 'cerita anak gajah' yang beliau khabarkan sewaktu pertemuan pertama kami dahulu!

Selain sarat dengan ilustrasi berkualiti tinggi dan prosa karangan Encik Jaafar sendiri, buku setebal lebih 120 muka berwarna ini menyertakan peta perjalanan Damai merentas Hutan Pahang, lakaran-lakaran awal beliau (beserta nota), lakaran 'step-by-step' serta senarai maklumat spesis haiwan yang menjadi karakter-karakter dalam buku ini.

Inilah 'labour of love' Encik Jaafar selama lebih dari 10 tahun dan ianya jelas terpapar dalam perincian setiap ilustrasi yang ada.

DAMAI telah dilancarkan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2009 tempoh hari dan ketika saya menulis entri ini, akan memasuki pasaran pada bila-bila masa sahaja.

Namun memandangkan ia berpotensi mungkin menjadi salah satu karya seni legenda di Malaysia kelak, sesiapa yang ingin mendapatkannya dengan kadar segera bolehlah menghubungi Creative Enterprise secara terus di (03)22824970. Versi kulit keras berharga RM76.90 manakala versi 'paperback' dijual pada RM49.90.

"Jadi apa langkah DAMAI berikutnya?"; tanya saya.

"Filem animasi!"; jawab Encik Jaafar dengan bangga.

Trust me, he meant it!

1 comment:

haiqal2020 said...

woah...nanti adr filem animasi(damai)erk...x sabar nk tgk..
arituh pg MPH kat subang parade..
jumper lah buku ni..{besar(ader gajah lagik)becoz elephant is my feveret...}(tak cayer try go to my blog@utusan malysia.com.my:search:hareez kumpul 300 patung gajah)
lets continue..
dengan bangganyer sayer pon gi lah kaunter nk byr..tgk² harge RM 76.90..
(TERBELIAK MATAKU)..pastu wat² carik buku..then trus pergi dari situ&carik buku len...hehehe
akhirnye..jumper buku gajah yg len tajok dier(the spirit of elephant)
jaoh lagi murah walopon international(tebal,besar,bnyk gmbar)..
kesimpulanyer..camner lah rakyat malaysia nak beli buku berbahasa melayu skang nih& meningkatkn martbar=t bahase melayu.sedangkn harge..melampaui batasan...