Semalam, selepas menonton episod siri 'Criminal Minds' (saluran 711) yang agak berat, saya menekan-nekan butang alat kawalan jauh dekoder dan ketemu siri 'Pemburu Hantu' yang disiarkan di Astro Ria.
Episod semalam berkisar tentang 'penyiasatan' di sebuah rumah kosong yang mana pemiliknya pernah dirogol dan kemudian dibunuh. Tak lama kemudian, orang kampung mula terlihat 'kelibat' wanita di rumah berkenaan pada waktu malam, duduk di tangga dan melambai-lambai pada yang lalu lalang.
Setelah hampir 1/2 jam berbaur 'footage' lakonan semula, penyiasatan dan wawancara, akhirnya pasukan pemburu hantu tersebut mencerna 'bukti' audio yang kedengaran seolah-olah seperti tangisan wanita.
Saya tak dapat mengelak dari melakukan perbandingan di antara 'Pemburu Hantu' (PH) dan 'Ghost Hunters' (GH) yang disiarkan di Star World.
Dalam mana-mana penyiasatan yang dilakukan atas nama 'saintifik', kajian dibuat bukan sahaja untuk mengiyakan sesuatu hipotesis atau teori, malah untuk menidakkannya juga.
Kalau setakat mencari poin untuk mengiyakan hujah, kita cuma akan melihat separuh dari gambaran yang lebih besar.
Sebagai contoh, PH terus saja berkesimpulan bahawa itu adalah 'tangisan wanita'. Tiada langsung usaha dilakukan untuk menyiasat kalau-kalau itu hanyalah bunyi burung hantu, serangga malam atau geseran pelepah kelapa pada bumbung zink!
Begitulah juga kebanyakan kita. Kita hanya cenderung mencari poin untuk mengiyakan apa yang kita percaya. Langsung tidak ada atau hanya sedikit usaha dilakukan untuk menidakkan kepercayaan kita. Seolah-olah hanya mahu menyedapkan hati bahawa kita bukannya gila dan apa yang dipercayai itulah kebenaran hakiki.
Kalau kita mempercayai hantu, kita gemar membaca Mastika atau Variasari. Kita menempelak sesiapa sahaja yang cuba menidakkan sesuatu kejadian bertemu hantu atau memberi penjelasan mudah yang tak ada sangkut paut langsung dengan hantu. Bila kita membaca artikel demi artikel mengenai 'lembaga hitam di pelabuhan' atau 'Mek Nah muntah pisau cukur' kita terus memujuk hati bahawa; "Haaaaa... kan... aku dah kata... semua ni betul!".
Padahal sumber cerita tersebut boleh dipertikaikan dan tiada sebarang siasatan dilakukan untuk menyiasat kesahihan cerita dengan lebih lanjut.
Mungkin sebab itulah iklan 'Skim Cepat Kaya' atau 'Buat Duit Dalam 3 Hari' sering didapati dalam majalah-majalah sebegini.
Sebab pengiklan tahu pembaca akan terus menelan bulat-bulat tanpa usul periksa!
No comments:
Post a Comment