"After I killed him, I dropped the gun in the Thames, washed the residue off me hands in the bathroom of a Burger King, and walked home to await instructions. Shortly thereafter the instructions came through - 'Get the f**k out of London, you dumb f**ks. Get to Bruges.' I didn't even know where Bruges f**king was... It's in Belgium" - Ray, In Bruges (2008)
Berbeza dengan watak utama filem ini, mungkin saya sedikit bernasib baik kerana mengetahui tentang Bruges di Belgium melalui filem 'In Bruges' sebelum kami tiba di Bruges lagi! :)
Bruges (atau orang tempatan memanggilnya 'Brugge') dan Belgium merupakan bandar dan negara terakhir hentian kembara kami.
Selepas melewati Keukenhof di Lisse, Netherlands kami memandu lebih kurang 2 1/2 jam dan tiba di sini pada lewat petang 10 Mei 2009, masih hari ke duabelas kembara Eurotrip 2009.
Hotel bajet penginapan kami di Bruges, St. Christopher @ Bauhaus telah ditempah lebih awal secara 'online'. Alyssa tidak begitu berpuas hati dengan bilik kami yang berbau sedikit hapak manakala tandasnya berada di luar bilik. Yang ada di dalam bilik hanyalah bilik mandi. Pancur 'shower' yang berbentuk punat pula terpaksa ditekan setiap 40 saat untuk mengeluarkan air!
Kami seterusnya keluar 'jalan-jalan cari makan' di sekitar bandar dan terjumpa restoran Sultan Kebab yang bukan sahaja diiktiraf Halal oleh De Belgische Moslim Excutieve (Eksekutif Muslim Belgium) bahkan mempunyai dekor persekitaran yang agak selesa. Memandangkan itulah malam terakhir kami di Eropah, kami mengambil keputusan untuk menikmati 'a proper dinner'. Masing-masing memesan menu kebab dan daging panggang yang membangkitkan selera sambil mengimbau kenangan keseluruhan kembara.
Keseluruhan pagi esoknya, 11 Mei 2009, hari ke tigabelas kembara Eurotrip 2009 dihabiskan dengan menapak sekeliling ibu negeri mukim West Flenders dalam daerah Flemish ini. Keseluruhan bandar Bruges yang berbentuk seperti telur dan berkeluasan hampir 14,000 hektar ini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan popular di kalangan 'backpackers'. Kota-kota dan groenerei (terusan) di bandar ini telah dibina sewaktu Empayar Rom seawal kurun pertama sebelum Era Biasa.
Lokasi Burg Square di pusat bandar boleh diakses dengan 10 minit berjalan kaki dari hotel penginapan. Dataran ini merupakan 'showcase' arkitektur Eropah kuno yang berbeza-beza - dari ciri-ciri Gothik pada Town Hall, Renaissance pada Old Civil Registry, Neo-classical pada Provinciaal Hof hinggalah ciri Baroque pada bekas rumah dekan-dekan gereja bandar tersebut.
Gereja Heilig-Bloedbasiliek menarik perhatian kami. Mungkin inilah tarikan berbayar paling murah, paling kecil dan paling cepat dikunjungi sepanjang Eurotrip 2009! Adalah dipercayai bahawa selepas disalib, Joseph of Arimathea telah mengambil beberapa titik darah Jesus dan akhirnya disimpan di lokasi sekarang sekitar 1157. Pada awal bulan Mei setiap tahun, bekas berisi 'darah suci' ini akan diarak sekeliling bandar.
Namun seperti mana peti Tabout yang kononnya kini berada di Ethiopia, bahtera Nabi Nuh yang dikatakan telah ditemui di Gunung Ararat, batu bertulis kalimah 'Allah' yang ditemui di sebuah rumah anak yatim di Malaysia ataupun sehelai janggut dipercayai milik Rasulullah s.a.w. yang kini disimpan di Turkey - saya saspek Hellig-Bloedbasiliek ini juga hanyalah tarikan yang 'dicipta' golongan tertentu bagi mengeksploitasi minat pelancong datang ke tempat berkenaan. Semata-mata untuk keuntungan, wang, pembangunan ekonomi, kuasa dan populariti. Tak lebih dari itu.
Menembusi sebuah terowong kecil dari Burg Square, kami tiba pula di Grote Markt (Dataran Pasar) bersebelahan yang lebih meriah dengan manusia (dan kuda).
Belgium sememangnya terkenal dengan coklat. Sesiapa yang ketagih coklat adalah dilarang ke sini kerana dikhuatiri akan menjadi biol seketika melihat deretan kedai menjual coklat dan biskut beraneka rasa, bentuk dan corak. Belgian Chocolates dikenali sejak kurun ke 18 sebagai 'piawaian tidak rasmi' pembuatan coklat dunia di sebabkan kualiti dan bahan yang dikatakan masih tegar menggunakan teknik tradisional.
Selain ketul-kepingan coklat, kami juga mencuba waffle bersalut sirap coklat dan minuman coklat panas - antara yang terlazat pernah saya rasa.
Menjelang tengah hari, kami menyedari waktunya telah tiba untuk meninggalkan Bruges dan Eropah.
"All good things must come to an end..."; kata filsuf.
No comments:
Post a Comment