Sekitar bulan Mac 2009 dahulu, seorang Hamba Allah cuba 'menerangkan' pada saya 'apa dia' yang dikatakan 1Malaysia:
"1Malaysia ni maksudnya kita kena sokong pemerintah. Dari dulu sampai sekarang kita cuma ada 1 pemerintah. Kita kena tolak yang lain. Inilah sebenarnya yang dikatakan 1Malaysia... bukannya sokong macam-macam parti sampai berpecah belah!"
Memandangkan saya berada di sana hanya sekadar 'menumpang' seorang rakan, saya malas hendak bersuara seperti kebiasaannya.
Satu perkara yang jelas - sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan sesuatu konsep baru harus memberi penjelasan secukupnya seiring dengan zahirnya konsep berkenaan. Jika tidak, akan ada beberapa Mamat Minah yang 'sesat dalam terjemahan' dan memberikan intepretasi sendiri mengenainya!
Akhirnya semalam, 15 Jun 2009 (juga hari kelahiran anak penakan saya yang baru, Nor Eleena bt Amli Mahfuz), YAB Perdana Menteri memperjelaskan apa sebenarnya yang terkandung dalam krim minda beliau bila berbicara mengenai gagasan 1Malaysia.
“1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.”
1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.
Teras-Teras Perpaduan:
*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.
*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
*Keadilan Sosial.
Nilai-Nilai Aspirasi merangkumi:
*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.
*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.
*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.
*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.
*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.
Menurut YAB Perdana Menteri lagi;
"1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia".
Mungkin masih terlalu awal bagi saya memberikan komen dhaif secara panjang lebar, namun berikut disenaraikan beberapa lonjakan refleksi dalam kepala terhadap konsep ini:
(a) Dasarnya saya bersetuju dengan bab 'penerimaan keunikan kaum lain seadanya'. Kita tidak seharusnya melenyapkan terus identiti berbilang bangsa semata-mata untuk menzahirkan secara paksa satu bangsa yang 'baru'. Mungkin kita akan menjadi 'satu' juga akhirnya, namun ia haruslah dijana melalui evolusi natural dan bukannya secara hibrid.
(b) Walau begitu, perlu mula ada perpindahan fokus dari politik assabiyah yang dilaksanakan sekarang kepada sesuatu yang mampu merangkumi semua kaum - terutamanya di kalangan pemerintah dan pembangkang. Mungkin juang bangsa yang kini diutamakan oleh parti-parti politik harus diletakkan pada pundak persatuan-persatuan Bukan Kerajaan atau NGO sahaja.
(c) Sekolah-sekolah kebangsaan harus dimansuhkan secara berperingkat. Identiti kaum pula boleh diwariskan pada generasi muda melalui pembangunan matapelajaran-matapelajaran baru yang mana kelasnya hanya dihadiri oleh kaum berkenaan. Sebagai tambahan, ajarkan juga latarbelakang, kepercayaan dan cara hidup kaum lain untuk mengikis stereotaip temurun.
(d) Terma 'Melayu', 'Cina', 'India', 'Sikh', 'Kadazan', 'Dayak' dan sebagainya harus menjadi prioriti kedua terutamanya bila berbicara tentang 'national interest' dan segala macam yang menjurus kepada 'Rakyat Malaysia' secara umumnya.
Impian dan aspirasi saya dahulu hingga kini masih kekal serupa.
Saya mengimpikan satu hari nanti bilamana Abu tidak lagi akan mengatakan "Aku Orang Melayu" atau Ah Seng, "Aku Orang Cina" dan Muthu, "Aku Orang India".
Tetapi ketiga mereka akan bersatu senafas senada mengatakan "AKULAH ORANG MALAYSIA"!
2 comments:
Assalamalaikum! Your blog is nice. the photographs are beautiful. God is Great. Wish you all the best.
http://www.thedynamicnature.com
Syukran, Mahmood!
Post a Comment