Monday, June 1, 2009

Eurotrip 2009: Perjalanan Pulang

"Eloklah dah nak balik pun"; kata Nani di sebelah pada saya.

Kami dalam perjalanan dari Bruges, Belgium ke Calais, France untuk menaiki feri pulang ke Great Britain pada sebelah petang 11 Mei 2009, hari ketigabelas Eurotrip 2009. Seseronok manapun kembara ini, setelah hampir 3,000km, kepenatan pasti menyelinap juga akhirnya.

"Katalah ada dua-tiga negara lagi yang kita nak singgah, errrr.... tak taulah!!!"; sambung beliau lagi.

"I agree. But Alhamdulillah the whole journey was so smooth"; kata saya yang sedang memandu.

Mungkin ada satu dua 'hiccups' sepanjang Eurotrip 2009 namun ianya bukanlah insiden 'major' malah agak melucukan bila dikenang semula.

Agaknya mulut saya terlebih masin. Atau kata orang, 'it ain't over till it's over'. Sebaik menghampiri Pelabuhan Calais, kereta yang dipandu terasa bergoyang-goyang ditiup angin kuat. Malah pintu kereta terpelahang terkangkang dipukul angin sebaik saya membukanya di hentian Services di kawasan ini.

Ketika berbaris menaiki feri, pengumuman melalui corong pembesar suara mengatakan bahawa feri akan sejam kelewatan oleh kerana angin kuat dan cuaca yang tidak begitu baik. Hendak berjalan di sekitar pun serasa seperti mahu terbang ditolak angin. Tapi saya kagum dengan khidmat pelanggan pelabuhan yang mana pegawai-pegawainya menghampiri setiap kereta dalam barisan untuk memohon maaf atas kelewatan tersebut.

Sebaik sahaja Feri P&O yang dinaiki mula belayar, ombak tinggi dan angin kuat membuatkan segala manusia di dalamnya terhoyong hayang, secara literal. Mereka yang mabuk laut tersandar terbaring di lantai. Dalam tandas pula, ada yang berlutut di sebelah mangkuk buangan menunggu memuntahkan isi perut. Yang berjalan sambil membawa minuman terpaksa lebih berhati-hati untuk tidak menumpahkannya. Sekali tu, kapal melambung menjunam dihempas ombak dan sekaligus Nani yang memang sedang kepeningan terus mengirimkan SMS 'wasiat' kepada rakan-rakannya di pejabat :)

Kembali ke dek parkir bila Pelabuhan Dover mula dihampiri, saya dapati cermin kereta di hadapan saya pecah terkena besi penghadang yang mungkin menghentamnya sewaktu pelayaran tadi. Puuhhh... andaikan kami terawal seminit dan berada di tempat kereta berkenaan...

Ingatkan segalanya dah berakhir, rupanya memandu kereta dari Dover ke Rochester juga terhoyong-hayang dipukul angin malah rasanya lebih teruk berbanding di Calais.

Kami menarik nafas lega bila akhirnya tiba juga di rumah Eman. Rasa sayu bila mengeluarkan bagasi dari kereta dan mengemas-ngemasnya sekadar yang patut. Karpet berbau tumpahan sambal ikan bilis yang 'mengharumkan' seluruh kereta. Biarlah Budget Car Rental menguruskannya!

Saya tidak betul-betul berehat. Pakaian dan barangan perlu dikemaskan dalam beg kerana esoknya kami harus keluar bergegas ke lapangan terbang seawal jam 6 pagi. Sempat juga bergambar dengan Eman dan rakan-rakan serumahnya yang baik hati, peramah dan sabar dengan penambahan 8 orang isi rumah selama 2 minggu tersebut!

Keesokan paginya, 12 Mei 2009, kami tiba di Stansted Airport sekitar 7.30 pagi. Eman memandu sebuah kereta manakala saya memandu Nissan Note 1.4GL yang disewa buat kali terakhir. Rakan Eman ada mengikut untuk memandu pulang kereta berkenaan.

Seperti yang dijangka, pemeriksaan keselamatan amat ketat, daripada kaunter 'check-in' ke pintu masuk balai berlepas hinggalah ke gerbang menaiki pesawat. Malah sekuriti menyuruh Nani (yang bertudung) membuka kasut untuk diperiksa.

"Muka Kak Nani macam muka teroris, kot!"; Elan berseloroh. Salahkan Osama bin Laden yang celaka!

Untuk mengalas perut, kami menikmati sandwich di sebuah restoran di balai berlepas. Saya tercangak ke sini sana cuba menghabiskan duit-duit syiling Pound Sterling dengan membeli coklat dan majalah. Syiling yang tinggal hanya akan jadi perhiasan dalam laci bila tiba di Malaysia.

Adam mula batuk tak berhenti-henti sejak tiba di Rochester semalam dan terus-menerus 'uhuk-uhuk' sepanjang penerbangan 12 jam AirAsia X pesawat D72003 dari Stansted sehinggalah tiba di Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Sepang.

Di dalam pesawat, borang-borang berwarna biru untuk deklarasi kesihatan diedarkan. Memandangkan dunia sedang kalut dengan sebaran wabak selsema Virus A(H1N1), semua penumpang dari negara terlibat yang mempunyai simptom sakit tekak, batuk, selsema, demam panas dan lenguh badan diwajibkan mendeklarasi keadaan kesihatan mereka.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, saya membuat deklarasi terhadap keadaan Adam yang batuk-batuk.

Kami tiba di tanah air pada 13 Mei 2009, setengah jam lebih awal dari jadual. Sebelum melewati pemeriksaan imigresen, semua penumpang wajib melalui satu lorong yang mana hujungnya diletakkan kamera thermal yang akan memeriksa kadar suhu tubuh secara otomatik.

Seperti yang dijangka, Adam ditahan oleh pemeriksa-pemeriksa kesihatan yang siap berseragam menutup hidung. Ketika ini, Zadique, Nina dan Elan telahpun berada dalam teksi dan mereka mengetahui insiden ini hanya setelah saya menelefon dari LCCT.

Setelah hampir sejam menunggu, doktor bertugas memberitahu saya yang Adam terpaksa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan beliau mempunyai simptom yang agak banyak. Nani akan dibawa bersama menemani Adam manakala saya dan Alyssa menaiki teksi dari LCCT untuk pulang ke rumah di Bandar Sungai Long.

Sesampai di rumah, rasa cuak terhadap insiden di LCCT ditambah pula dengan 'jetlag' membuatkan saya tidak senang duduk walaupun badan terasa amat penat. Saya mula 'unpack' bagasi, mengemas dan membasuh baju sehinggalah ampaian penuh, dibantu oleh Alyssa.

Komunikasi antara saya dan Nani hanyalah melalui telefon dan SMS. Menurut Nani, sebuah ambulan tiba dua jam kemudian untuk membawa beliau dan Adam ke Hospital Sungai Buloh yang merupakan salah satu pusat rawatan kes-kes A(H1N1) dalam negara. Sebaik tiba, doktor dan kakitangan hospital siap berpakaian seperti angkasawan sedang menunggu dan mereka dibawa ke wad kuarantin.

Saya dan Alyssa menjengah Hospital Sungai Buloh di sebelah petangnya untuk membawa helaian pakaian dan barang keperluan. Tiada pelawat dibenarkan masuk ke wad kuarantin dan kami hanya boleh menyerahkan barangan tersebut kepada jururawat bertugas. Sayu melihat foto Adam yang sedang tidur di katil hospital melalui kiriman MMS dari Nani.

Malamnya saya menerima lagi SMS kiriman Nani mengatakan Adam disahkan negatif A(H1N1) dan akan dipindahkan ke wad biasa menjelang tengah malam. Malah Adam sudah boleh keluar dari hospital berkenaan pada keesokan hari. Alhamdulillah!

Esoknya, 14 Mei 2009, saya dan Alyssa menjemput Nani dan Adam di Hospital Sungai Buloh. Adam yang masih berpakaian sama sejak dari Rochester lagi kelihatan girang walau nampak keletihan. Demam dan batuknya juga sudah kebah.

Saya membawanya terus ke rumah mertua di Ampang di mana Bibiknya sedang menunggu dalam kerinduan dan keresahan setelah lebih 14 hari tak bertemu! Agenda pertama Adam tentunya mandi besen ditemani sepupunya Airyll yang sudah mula bertatih berjalan.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengalungkan infiniti penghargaan terhadap komitmen, profesionalisme dan daya efisien yang tinggi kesemua doktor, pegawai perubatan dan kakitangan terlibat baik di LCCT mahupun di Hospital Sungai Buloh.

Mereka dengan sabar dan ramah melayan bukan saja kerenah kami malah beratus-ratus penumpang lain (serta ahli keluarga) yang dikuarantin.

Dan kembara Eurotrip 2009 pun bernoktah di sini.

Namun siri ini BELUM berakhir!

No comments: