Tuesday, June 2, 2009

Eurotrip 2009: Di Belakang Tabir

Selain perancangan yang strategik, tidak dinafikan bahawa ahli pasukan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan sesuatu ekspedisi.

Eurotrip 2009 juga tidak terkecuali.

Ide asal kembara ini bermula dengan agak pantas tanpa dirancang (membuktikan fleksibiti juga penting) apabila kadar tambang murah ke United Kingdom diumumkan oleh AirAsia X sekitar November 2008.

Malah sedar-sedar saja Nani sudah ada di hadapan komputer melakukan tempahan pada hari sama berita dari penerbangan tambang murah terbaik dunia itu diumumkan.

Segala perancangan dan persediaan seterusnya bergerak 'steady' dari situ. Komunikasi antara ahli pasukan selalunya adalah melalui perisian Yahoo! Messenger atau Skype, terutamanya dengan Eman yang sedang bekerja di United Kingdom.

Dari rancangan asal untuk menapak sekeliling Great Britain, ia berkembang kepada lawatan menggunakan EuroRail ke Paris di hujung minggu, kemudian cadangan diusulkan untuk menambah Belgium dan Netherlands hinggalah akhirnya kepada menyewa kereta menjejak 6 destinasi di Eropah - Great Britain, France, Switzerland, Luxembourg, Netherlands dan Belgium. Keputusan singgah di Germany pula dibuat hampir spontan di saat-saat akhir.

Namun segala rancangan akan kekal tinggal rancangan tanpa dedikasi dan komitmen setiap ahli pasukan.

Tengku Zahasman, Jurutera I.T. (Ketua Pasukan 1): Boleh dikatakan hampir kesemua rancangan, pelaksanaan dan kreativiti dilakukan oleh Eman dengan sumbangan seimbang dari kembarnya Elan. Daripada menguruskan penginapan, tiket feri, mendapatkan alatan Global Positioning System (GPS), membeli insurans perlindungan untuk memandu di Eropah, menentukan bajet sehinggalah urusan sewa beli kereta - hampir kesemuanya adalah hasil dedikasi beliau dan Elan. Kiranya kenalah tabik spring kepada kedua kembar ini. Eman juga bertindak sebagai jurugambar utama dengan kamera Canon EOS 1000D miliknya. Juga merupakan antara dua ahli pasukan yang mempunyai International Driving Permit (IDP) selain Asrul. Merupakan penyunting untuk klip video 'Eurotrip 2009: Dance With Us'.

Tengku Zahaslan, Jurutera Sains Nuklear (Ketua Pasukan 2): Dengan senaskhah buku 'Western Europe' terbitan Lonely Planet, Elan merupakan perpustakaan bergerak untuk kembara ini. Apa saja maklumat tentang negara, tarikan pelancongan, penginapan dan 'trivia', rujuk saja padanya dan dia akan mencari dalam kitab tadi. Beliau lah yang mula-mula mendraf aturcara dan bajet kasar keseluruhan Eurotrip 2009 malah 95% darinya telah diimplimentasi mengikut draf asal tersebut. Juga bertindak sebagai jurukamera dan juruvideo terutamanya untuk klip video rasmi dan pemandu kereta.

Tengku Hazlina, Pengurus Perbankan (Pengarah Seni, Jurumasak, Penjaga Waktu dan Juruvideo): Nina merupakan Pengarah Seni bagi sesi-sesi fotografi, menetapkan lokasi, sudut dan cara setiap ahli pasukan seharusnya 'berposing'. Selain menyediakan bekalan untuk mengalas perut ketika siang dan memasak hidangan sempurna ketika pulang dari setiap ekspedisi harian, Nina juga bertindak sebagai jam loceng hampir di setiap pagi untuk mengejutkan ahli-ahli lain yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Beliau mengoperasikan satu-satunya camcorder digital dalam kembara berkenaan.

Tengku Hazlini, Pengurus Pentadbiran (Pengarah Seni, Jurufoto dan Jurumasak): Seperti juga kakak kembarnya Nina, Nani dengan lantang akan memarahi mana-mana ahli pasukan yang tidak 'berposing' seperti yang diminta ketika sesi fotografi di setiap destinasi. Berkesempatan memasak dan menghidangkan Kari Ayam Resepi Rahsia beliau ketika kembara ini.

Ahmad Izadique, Konsultan I.T. (Pemandu, Jurufoto, Pengawal Suasana dan Penasihat Nutrien): Zadique yang sentiasa 'cool' bertindak sebagai salah seorang pemandu kereta dan jurufoto, terutamanya yang berkaitan perincian panorama sesuatu lokasi. Dalam beberapa keadaan, Zadique merupakan 'thermostat' yang mendinginkan sebarang bahang panas yang terbit dari mana-mana ahli pasukan apabila keletihan menyebabkan perasaan marah mula timbul. Juga merupakan ahli yang memastikan setiap makanan memiliki zat, vitamin dan protein yang cukup agar ahli pasukan bertenaga untuk meneruskan ekspedisi.

Asrul Muzaffar, Konsultan Pemasaran (Pemandu, Peninta Prosa, Jurufoto dan Penyunting Foto): Memiliki IDP yang sah selain Eman, juga merupakan tukang rekod hampir keseluruhan kembara untuk diabadikan dalam bentuk prosa yang boleh dibaca turun temurun kelak. Walaupun berpengalaman luas dalam bidang Pengurusan Majlis, tapi dari awal telah menegaskan bahawa buat pertama kali beliau ingin 'sit back and relax' setelah kepala makin bengap 'buat event, buat event'. Menggunakan perisian Adobe Photoshop dan komputer MacBook, Asrul juga telah melakukan suntingan foto-foto kembara mengikut kacamata dan kreativiti beliau.

Alyssa Sofea, Pelajar (Model dan Jurufoto): Alyssa akan diminta menjadi model bila saja seseorang diperlukan untuk 'personalise' potret mana-mana lokasi yang dilawati. Juga arif dalam mengendalikan kamera canggih kepunyaan Eman. Kebanyakan dari 'footage' video 'Dance With Us' adalah hasil sentuhan kepakaran beliau. Selain itu, merupakan teman bergaduh Adam, adik lelakinya yang 'spoiled brat'.

Adam Jefril, Pelancong (Juru Komedi dan Juru Merengek): Adam merupakan satu-satunya ahli pasukan yang benar-benar boleh digelar pelancong. Bila nak tidur, dia tidur. Bila nak melompat, dia lompat. Bila nak makan, dia makan. Tapi beliau memberikan sentuhan komedi dan 'warmth' bila saja mana-mana ahli pasukan perlukan hiburan setelah penat berekspedisi - itupun bila beliau tak merengek meminta itu ini atau bergaduh dengan Alyssa, kakaknya.

Susan Minah, Alatan GPS (Penunjuk Arah): Saya kira Minah yang dilahirkan dengan nama 'Garmin NĂ¼vi 255W' ini perlu diberi pujian kerana dengan sabar dan cekap memberikan arahan tunjuk-jalan ke mana-mana saja lokasi yang ingin dilawati. Walaupun ada ketika kami tak mengikut arahannya, beliau mudah saja memberikan jalan alternatif agar kami tidak sesat dan membuang masa.

Sebenarnya tugasan-tugasan di atas tidaklah ditetapkan sebelum mahupun ketika kembara Eurotrip 2009 berlangsung.

Semuanya datang dengan sendiri, di mana masing-masing 'rise to the occasion' dengan penuh komitmen untuk memastikan segalanya berjalan lancar dan keseluruhan kembara ini sukses!!!

1 comment:

Anonymous said...

Menarik, tersusun, akan menjadi idea untuk saya sekeluarga kembara.... satu hari nanti... tunggu lepas H1N1 kot....