Saya gemar berkongsi pengalaman, di samping meninta sebarang observasi terhadap sesuatu agar boleh dirujuk semula di kemudian hari.
Sewaktu menuntut di Great Britain sekitar 1990-1992 dahulu, aerogram (ketika itu emel masih belum dikomersilkan!) ke kampung halaman penuh dengan cerita tempat-tempat yang dilawati. Ibu saya mengatakan yang ianya begitu deskriptif hinggakan dia boleh pula menyampaikan cerita-cerita saya seolah-olah dia sendiri yang berada di U.K!
Siri 'Hidup Di Luar Negeri (HDLN)' yang tersiar di e-grup Relexjap pada tahun 2001 - mengisahkan tentang segala pengalaman, pandangan dan rentetan travelog ketika bergelar 'pelajar U.K.' - juga menempa sejarah dan mercu tanda dalam hidup. Setidak-tidaknya secara peribadi.
Dari HDLN kemudiannya menjurus kepada 'Dari Sik Ke Stoke, U.K.' (2001-2002) di Gila-Gila, disusuli buku 'coffee-table' CHANTEK (2007) yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan terbaru sekali, buku panduan 'Memulakan Perniagaan' (2009) terbitan Smidec. Itu belum dihitung segala entri blog, artikel atau komen panjang yang telah dinukilkan melalui web atau media konvensional.
Pokoknya, saya gemar menulis dan gemar berkongsi pengalaman. Dalam proses tersebut, saya bertuah pula kerana ditemukan ramai rakan-rakan - baik secara bisnes, peribadi atau kenal 'gitu-gitu' - yang banyak mewarnai kancah hidup saya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Kecenderungan itulah juga yang mendorong saya menulis siri 'Eurotrip 2009' - kembara keluarga merentas 7 negara Eropah dari 28 April 2009 hingga 12 Mei 2009. 8 orang Malaysia. 7 negara Eropah. 3,000km pemanduan.
Secara ringkas, berikut adalah beberapa observasi umum yang digarap dari kembara berkenaan.
(a) Berbanding 20 tahun lalu, Malaysia kini kian dikenali di serata dunia. Orang-orang asing yang ditemui sepanjang kembara ini dengan tepat meneka bahawa kami dari Malaysia walaupun tiada sebarang 'patch', logo dan lencana Jalur Gemilang di mana-mana pakaian atau bagasi yang dibawa. Malah ada yang boleh menegur ramah menggunakan Bahasa Malaysia sendiri - 'Selamat datang', 'Terima kasih' atau 'Hati-hati'! Untuk ini, kita harus berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri yang dikagumi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mempromosikan negara hingga dikenali seantero dunia.
(b) Bukan semua yang datang dari Barat itu buruk dan yang berasal dari Timur itu baik. Imej Malaysia sebagai negara Islam boleh dipertingkatkan andai rakyat negara ini lebih cenderung beradab dengan menuturkan 'Tolong...' (please) dan 'Terima kasih...' (thank you) sesama kita. Bilakah kali terakhir anda mengucapkan 'Terima kasih' kepada gadis kaunter di Giant atau mamak maplay yang menghidangkan teh tarik? Atau anda tidak pernah pun?
(c) Kekayaan dan gila kuasa dari golongan pemerintah yang terlalu eksesif bilamana rakyat sedang menderita kebuluran dan kemiskinan akan membawa kepada bencana, seperti yang terjadi ketika French Revolution (1789-1799). Revolusi yang sama juga menunjukkan andai mereka yang menggulingkan kerajaan tadi sebenarnya cakap tak serupa bikin, tak reti buat kerja atau hanya sibuk bermain isu, mereka akhirnya akan menerima nasib yang sama seperti kerajaan yang mereka digulingkan.
(d) Bahana teroris Muslim selepas September 11 2001 masih terasa, namun ianya masih terhad hanya di bandar-bandar besar atau kaunter-kaunter imigresen sahaja. Perkauman dan prejudis ada di mana-mana, malah di Malaysia dan di kalangan orang Islam sendiri. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab mereka yang masih boleh berfikir secara rasional tanpa di dorong emosi untuk memperbetulkan tanggapan salah ini.
(e) Kembara ke Eropah sebenarnya tidaklah semahal yang dijangka. Ataupun semahal yang sering ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan. Dengan perancangan aturcara dan bajet yang terperinci (serta 'mengorbankan' sedikit kesenangan dan niat membeli-belah yang ekstensif!) anda boleh melakukan segalanya sendiri berpandukan maklumat yang boleh di dapati di laman-laman web atau buku-buku kembara. Laman Wikipedia atau buku-buku terbitan Lonely Planet adalah yang terbaik untuk bermula.
(f) Kembara yang ekstensif seperti Eurotrip 2009 memerlukan kesabaran dan daya toleransi yang tinggi. Jika anda berhasrat melakukannya, pilihlah rakan, ahli keluarga dan 'kamcheng' yang betul-betul sekepala. Jika tidak, keseluruhan kembara mungkin dicemari dengan masam muka, pergaduhan dan perselisihan pendapat yang ekstrem. Saya beruntung kerana mengembara bersama keluarga yang kesemuanya kreatif, 'fun' dan tahu tanggungjawab masing-masing. Perselisihan tetap ada namun sepantas manapun ia mencelah sepantas itulah juga ia berlalu.
(g) Keluarga adalah segalanya! Tiada yang lebih menyeronokkan dari meluangkan masa dan berkongsi pengalaman baru bersama mereka. Hati menjadi lebih puas bila ketika menikmati sukses Eurotrip 2009 yang mana perancangannya dilakukan sendiri oleh keluarga, dari keluarga, untuk keluarga.
Di kesempatan ini, saya mewakili kelapan-lapan ahli kembara Eurotrip 2009, ingin menghulurkan kalungan penghargaan kepada:
* Ibubapa/Mertua kami - Mohammed Hashim dan Zubaidah Sudin, Tuan Hashim Tuan Mohammad dan Tengku Zanariah Tengku Mohd Salleh & Ishak Ahmat dan Fatimah Yahya kerana berkat pengorbanan dan kasih sayang mereka kami bertuah berpeluang mengagumi keindahan alam ciptaanNya.
* Adik beradik, cahayamata dan sanak saudara yang tidak mengikuti kembara ini kerana tugas, jadual dan kondisi keluarga (salah seorang darinya sedang sarat menunggu masa menimang 'ahli baru' dalam keluarga). InsyaAllah, kita usahakan agar kalian dapat ikut dalam kembara seterusnya di masa hadapan.
* Rakan-rakan dan taulan yang banyak memberikan dorongan, tips, ide dan pandangan untuk menyempurnakan lagi perancangan kembara Eurotrip 2009 ini.
* Klien dan majikan yang telah bermurah hati meluluskan permohonan cuti tanpa gaji atau untuk 'menghilangkan diri' dari tugasan selama 2 minggu.
* Sasterawan Negara A. Samad Said di mana bukunya 'Warkah Eropah' (1991) merupakan inspirasi dan acuan utama untuk saya menghasilkan siri HDLN dahulu dan seterusnya siri Eurotrip 2009 sekarang. Mungkin siri-siri nukilan ini adalah daif berbanding 'grandeur' dan perincian dalam buku Pak Samad kerana lagipun saya masih belajar dan terus belajar dari mentor saya tersebut.
* Tony Fernandes dan AirAsia X yang sebenarnya merupakan katalis dalam merealisasikan ide asal Eurotrip 2009. Tanpa penerbangan kadar murah KL-London, tidak mungkin kami boleh terfikir walau dalam mimpi yang paling liar sekalipun bahawa kami berlapan akan menderap kembara sebegini.
* Akhir sekali namun bukan yang terakhir, Alhamdulillah kepadaNya yang mengizinkan kami menelusuri keindahan alam ciptaanNya ini dengan selamat, sejahtera, girang dan penuh keinsafan.
Seperti mana HDLN telah menginspirasikan pembaca untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, adalah menjadi harapan saya agar siri Eurotrip 2009 ini akan menginspirasikan anda untuk merancang dan melangsungkan sendiri kembara yang identikal sekaligus meluangkan masa berkualiti demi merapatkan silaturrahim kekeluargaan.
Tak semestinya anda harus ke Europe. Berparawisatalah ke mana sekalipun. Redang atau Langkawi. Thailand atau Indonesia. Rusia atau China. Yang pentingnya anda meluangkan masa bukan sahaja bersama keluarga malah benar-benar menghirup udara menderap jalanan tempat-tempat orang ini.
Kerana akhirnya anda mungkin memaklumi bahawa semua insan di dunia ini zahir dan bathinnya adalah satu - baik dari segi spiritual, biologi, fizik atau kimia :)
Juga bahawasanya dunia ini lebih luas dari 'comfort zone' seharian di rumah, kampung, pejabat dan bandar yang anda sedang diami.
Jumpa lagi di kembara berikutnya!
1 comment:
"bahawasanya dunia ini lebih luas dari 'comfort zone' seharian di rumah, kampung, pejabat dan bandar yang anda sedang diami"
truly agree!
Post a Comment