Wednesday, May 20, 2009

Eurotrip 2009: Great Britain (Bhg 1)

Kami tiba di Stansted, London sekitar 8 pagi waktu tempatan, 28 April 2009. Saya tidur hampir sepanjang perjalanan setelah memenatkan diri di pejabat pada siangnya.

Penerbangan AirAsia X pesawat D72002 berlepas menepati masa, makanan yang dihidangkan membangkit selera (saya sapu bahagian Alyssa dan bahagian Adam disedekah pada pasangan Mat Salih di sebelah!) dan kerusinya agak empuk. Krew kabinnya juga mesra dan membantu.

Rombongan kami terdiri dari keluarga saya sendiri - Nani, Alyssa dan Adam. Juga disertai oleh kakak ipar saya, Nina (kembar Nani) dan suaminya Zadique juga Elan, adik ipar saya. Kami berempat sekeluarga gabus sebaris tempat duduk!

Pemeriksaan imigresen berjalan lancar malah tiada sebarang kelibat pemeriksa medikal di lapangan terbang tersebut, walau bahana Virus A(H1N1) telah disahkan di Britain.

Keluar dewan ketibaan, Eman adik ipar saya sudah tersengih menunggu. Beliau bersama kembarnya Elan menguruskan hal sewa kereta di kaunter Budget Car Rental. Saya mengambil peluang untuk menjejak kaki ke luar 'airport' untuk membiarkan deru udara sejuk U.K yang saya rindu sekian lama membasuh tubuh. Dengan sepuntung rokok :p

Dengan kereta Nissan Note 1.4GL yang disewa (dan Peugeot kepunyaan Eman) kami menderu di lebuhraya. Kiranya keselesaan penerbangan AirAsia X selama 12 jam dari Malaysia telah menyediakan saya untuk memandu sebaik tiba!

Kereta agak banyak di lebuhraya dan tidak mengambil kira permandangan padang rumput di kiri kanan, rasanya seperti memandu di lebuhraya PLUS sahaja! Cuma memandu 'manual' sudah agak lama tak dilakukan.

Sejam kemudian (dan satu plaza tol dilewati) kami tiba di rumah sewa Eman di Rochester yang terletak di bahagian utara daerah Kent. Rumah teres 4 bilik, 3 tingkat yang disediakan oleh majikan beliau.

Selesai menjamah makan tengahari (nasi berlauk serunding dan sambal daging import dari Malaysia), kami tidak membuang masa untuk menapak ke pekan Rochester. Pekannya kecil sahaja dan pernah menjadi penempatan Rom satu ketika dahulu.

Tempat pertama kami singgah ialah Guildhall Museum dan Pusat Charles Dickens. Khabarnya Charles Dickens bukanlah penduduk asal Rochester tapi di sebabkan beliau terkenal sebagai novelis dan pernah tinggal di bandar tersebut, satu pusat telah didirikan khusus untuk memperingati beliau. Itulah nilai populariti!

Cuaca sejuk sejak tiba membuatkan kanta lekap saya kering dan yang sebelah kirinya tertanggal jatuh. Kalau tak silap dalam Dewan Utama muzium berkenaan. Malas nak membongkok mencari, jadi saya teruskan perayauan Rochester dengan rabun sebelah mata! Nasib baik bawa 'spare'!

Dari situ kami melilau sekitar pekan. Nani dan Nina membeli beberapa kotak buah strawberi dan epal yang kelihatan begitu segar bagai baru tiba dari ladang. Kami bergambar di hadapan Rochester Cathedral dan Rochester Castle sebelum berjalan pulang.

Cuaca yang mulanya bersinar terang tiba-tiba mendung dan hujan pun turun. Kalau setakat hujan, memang tak ada hal tapi derap langkah kami dibantutkan oleh deru angin sejuk yang memedihkan telinga. Tambah pula dengan rengekan Adam yang minta didokong!

Ketika itu saya teringat kenapa saya begitu membenci 'British Weather' yang amat tidak menentu!

Tiba di rumah Eman, saya terus 'landing' di katil dan melelapkan mata sehinggalah dikejut Nani yang ingin keluar membeli belah barangan yang akan dibawa ke Eropah kelak.

20 tahun dulu mungkin mata akan terbeliak sebaik saja menjejak kaki ke Tesco Rochester. Tapi kini Tesco dah ada cawangan berdekatan rumah saya di Kajang dan hampir setiap minggu kami akan ke sana!

Pulang ke rumah, sambung tidur manakala Nani (dan Nina) memasak kari ayam 'trademark' beliau. Kari ayam Nani tak pernah menjemukan!

Saya terjaga beberapa jam kemudian dan turun menjamah makan malam ditemani Alyssa. Sempat juga berbual dengan teman-teman serumah (dan sekerja) Eman di dapur.

Kata mereka untuk menyesuaikan 'body clock', paling afdal jika hanya tidur selepas jam 10 malam. Mungkin kepenatan saya telah melebihi nasihat saintifik!

Esok turun London!

2 comments:

Arfah said...

Bro, your entry on Eurotrip 2009...so inspiring :)

-arfah arif-

Rescue Hire Ltd said...

Fantasic Article. I really enjoyed reading this. Thanks