Kalau ditanya apakah antara faktor yang paling banyak membantu kembara Eurotrip 2009 ini, antara jawapan teratas ialah buku 'Western Europe' terbitan Lonely Planet kepunyaan Elan dan sistem Global Positioning System (GPS) yang dipasang dalam kereta.
Ketika saya menuntut di U.K. dahulu (1990-1992) sumber maklumat tentang sesuatu tarikan pelancong di sesuatu kawasan amat terhad dan selalunya bergantung pada 'cakap-cakap orang' semata.
Sebab itulah dahulu saya tidak berpeluang ke kawasan yang 'off the beaten path' seperti yang ditemui pada 1 Mei 2009, hari ketiga kembara ini.
Kami memasuki pekan Tonbridge, pekan yang mula direkodkan pada tahun 1087 dan berkembang sebagai pekan pasar yang terletak dalam daerah Kent. Pekannya agak sibuk namun dicelah-celah deretan kedai berbilang produk dan hiasan, banyak juga yang kelihatannya sudah bungkus. Kelembapan ekonomi dunia paling teruk menghimpit negara-negara maju dan Britain juga tidak terkecuali.
Tonbridge Castle merupakan hentian kami di sini. Ianya dibina selepas penaklukan puak Norman pada tahun 1066 dan seterusnya dibangunkan secara berperingkat sehinggalah tahun 1793. Tak banyak yang boleh diterokai melainkan pintu utama yang dibina menggunakan teknik Motte-dan-Bailey. Persekitaran istana lebih banyak digunakan untuk penganjuran majlis dan perkahwinan.
Dari Tonbridge, kami bergerak semula ke lebuh raya. Mungkin kerana terlalu kempunan Fish 'N Chips ataupun perut agak lapar setelah hanya metekedarah semangkuk bijirin sarapan sebelum bertolak, saya mencadangkan kami berhenti di Brighton terlebih dahulu, yang sepatutnya menjadi destinasi akhir hari itu.
Jalan masuk ke kawasan Brighton Pier sesak teruk gara-gara jalan yang dibaiki. Mana-mana tempat di dunia pun sama juga. Rumah siap, pahat berbunyi. Jalan siap, lubang dikorek! Sekadar 'trivia', Brighton juga terkenal dengan pantai bogelnya!
Setelah melilau mencari parkir yang rata-rata penuh, saya selamba beruk meletakkan kereta di kawasan yang dikhaskan untuk ahli majlis perbandaran. Lantaklah! Perut dah lapar. Terjumpa satu kedai yang hanya tertulis 'FISH AND CHIPS' di hadapannya dan secepat mana hidangan dihidangkan secepat itulah juga hidangan dihabiskan. Brighton, sebagai bandar tepi laut, adalah terkenal dengan menu Inggeris ini. Semakin dekat dengan laut sesuatu bandar itu, semakin segar ikan-ikan yang digunakan dalam hidangan tersebut.
Perut kenyang, kami turun ke pantai. Alyssa memandang keliling dengan musykil.
"Apesal pantai kat sini pasir besar-besar, Papa?"; tanya beliau.
"Sebab tu lah orang British lari ke Malaysia kalau nak ke pantai"; jawab saya.
Di kejauhan, suasana karnival Brighton Pier menggamit. Mula dibina pada tahun 1891, hingga ke hari ini, masyarakat tempatan masih lagi menggelarkannya 'Palace Pier'. Lokasi menarik untuk penggemar mainan arked, roller coaster atau sekadar mahu beriadah.
Zadique bertekad untuk mencuba 'Super Booster', di mana empat penumpang akan diangkat setinggi 38 meter dan seterusnya dilepaskan dengan kadar 60 batu sejam berhayun-hayun di udara. Detik hati teringin hendak mencuba namun bila dikenangkan kembara yang masih jauh, terpaksalah dipendamkan. Zadique mengalami sakit pinggang dan ponggong beberapa hari selepas itu!
Kami menghabiskan masa agak lama bersiar-siar di sekeliling dan bergambar sakan. Kerusi pantai percuma juga ada disediakan.
Dari Brighton kami bergerak menuju ke kawasan pedalaman Devil's Dyke yang terletak di kawasan tanah tinggi dalam mukim Sussex. Sebaik memasuki kawasan tersebut, rasa kagum dan terpegun melihat keindahan permandangan yang selama ini mungkin hanya dilihat dalam foto atau filem.
Mitos mengatakan bahawa kawasan berbentuk 'V' tersebut adalah kerja Syaitan yang menggali lubang di waktu malam untuk mengalirkan air laut membanjiri kawasan penduduk sekeliling. Kerja-kerja menggalinya terbantut bila seorang perempuan tua terjaga, menyalakan lilin dan membuatkan ayam jantan berkokok. Bila terdengar saja bunyi kokokan tadi, Syaitan menyangka pagi sudah jelang dan terus lari tanpa sempat menghabiskan kerja.
Kalau di Malaysia rasanya mahu saja golongan agama ortodoks berkokok minta kerajaan menukar nama tempat sebegini kerana takut 'memesongkan akidah'! :p
Hawa agak sejuk dan angin kuat menambahkan lagi pedih pada telinga dan hidung. Namun hijau rumput yang lembut seakan permaidani menjadi medan guling lompat bermain Alyssa Adam!
Matahari petang yang hampir terbenam meninggalkan bayang-bayang di sekeliling. Rasa sejuk tidak menghindari kesayuan mata menikmati saujana bukit bukau dan lembah yang dibarisi ratusan rumah sekecil kotak mancis. Pelukis British, John Constable pernah mengatakan bahawa inilah permandangan tersohor di dunia!
Devil's Dyke merupakan antara kejutan terbesar dan antara lokasi favorit saya sepanjang Eurotrip 2009!
No comments:
Post a Comment