Fenomena jalan sesak di sebabkan pemandu yang memandu perlahan untuk melihat kemalangan bukanlah 'trait' buruk masyarakat Malaysia saja sebenarnya. Warga Britain pun punyai kecenderungan melakukan demikian.
Cuma bezanya arah jalan yang terlibat saja akan sesak di sini tetapi di Malaysia kalau eksiden saja habis kiri kanan jalan sesak! PLUS patut caj sahaja tiket untuk sesiapa yang ingin melihat mana-mana eksiden sepanjang lebuhraya mereka!
Kembara hari keempat, 2 Mei 2009 bermula dengan kesesakan teruk yang hampir tidak bergerak di Motorway. Nasib baik ketika itu kami agak hampir dengan kawasan 'Services' (kembar 'Rehat dan Rawat' atau 'R&R' di Malaysia) jadi kami melapik perut di 'food court' dan berkeliaran di kedai WH Smith yang ada di kompleks tersebut untuk membunuh masa.
Bila kenderaan di lebuhraya nampak mula bergerak barulah kami meneruskan perjalanan.
Destinasi pertama hari tersebut, Winchester, terletak dalam daerah Hampshire di timur laut England. Ia merupakan sebuah bandar gereja bersejarah dan pernah menjadi ibukota Kingdom of England sekitar kurun ke-9. Tarikan utama bandar ini ialah Winchester Cathedral yang mula dibina pada tahun 1079 dan merupakan antara gereja terbesar di United Kingdom. Novelis Jane Austen yang meninggal dunia pada 1817 juga dikebumikan di sini.
Mulanya saya, Elan dan Eman (yang menyertai kembara mula hari tersebut) ingin memasuki gereja berkenaan setelah membaca tentang rekabentuk gothik dalamannya. Tiba di ruang jualan tiket, kami dapati penggunaan kamera tidak dibenarkan. Terus kansel dan keluar menghabiskan masa memotret di kawasan perkuburan yang telah bertukar menjadi ruang piknik orangramai.
Dari Winchester kami memandu ke daerah Wiltshire untuk ke lokasi Stonehenge, salah satu tarikan purba popular dunia. Ia terdiri dari binaan batu-batu tegak disusun dalam satu bulatan yang mana teori fungsinya ditebak dari lokasi penyembelihan manusia, ke pusat penyembahan, ke pusat astronomi, hinggalah ke pusat pendaratan UFO!
Sebelum menderap Stonehenge, kami berpiknik sebentar di kawasan parkir kenderaan. Terlihat satu keluarga yang kelihatannya juga dari Malaysia. Kami membalas senyum.
Hakikatnya hingga ke hari ini, tiada saintis atau ahli arkeologi dapat membongkar dengan tepat akan rahsia Stonehenge - bagaimana, kenapa dan bila ia dibina serta siapa yang membinanya. Ia merupakan salah satu kepingan 'jigsaw' misterius tamadun manusia yang telah hilang lenyap.
Masih kental dengan semangat 'purba', kami memandu pula ke Bath yang terletak dalam mukim Somerset di bahagian tenggara England. Bandar ini terkenal dengan Roman Baths yang dibina sekitar tahun 60 ke 70 selepas Era Biasa dan seterusnya diselenggarakan selama 300 tahun. Sayangnya kami tiba di bandar ini agak lewat petang jadi tarikan tersebut telah pun ditutup.
Namun ia tak menghalang kami untuk bergambar di sekeliling bandar yang telah diiktiraf sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987.
Dalam sibuk-sibuk bergambar, Adam tiba-tiba merengek meminta gigit jari Alyssa (huh?). Setelah Adam meraung di tepi jalan, kakak sulungnya dengan berat hati membenarkan.
Setelah Adam menggigit jari kakaknya dan berlalu puas dengan senyum comelnya, giliran Alyssa pula menitiskan airmata.
"Tak sakit, tapi pedih..."; katanya sambil menunjukkan jari yang sedikit berdarah.
Saya menceritakan bagaimana saya yang juga anak sulung terpaksa mengalah dengan adik-adik ketika kecil dahulu. Bagaimana saya dipersalahkan (dan dihukum) walaupun yang bersalah adalah adik-adik. Itulah harga menjadi anak sulung, kata saya. Namun ada juga 'perks' tersembunyi yang mungkin hanya akan disedari di kemudian hari.
Sebelum meninggalkan Bath, kami memandu menyelusuri jalan-jalan sempit menaiki kawasan yang terletak agak tinggi untuk bergambar.
Dalam perjalanan pulang, berhenti lagi di 'Services' Motorway menjamah burger sayuran Burger King kerana permaisuri-permaisuri katanya terlalu 'letih' untuk memasak pada malam nanti.
Esok turun lagi ke London buat kali terakhir sebelum memulakan perjalanan ke Europe!
No comments:
Post a Comment