Sunday, May 24, 2009

Eurotrip 2009: France (Jour 2)

Berjalan di kota Paris rasanya seperti berjalan di dalam sebuah muzium.

Boleh dikatakan hampir setiap derap langkah yang diatur, setiap tolehan yang diteleng dan setiap fokus mata dilempar - ada saja arkitektur bangunan, arca, poster atau dekor yang menggamit perhatian.

Suasananya juga suram (mungkin di sebabkan cuaca, atau mungkin juga biasan matahari yang kelabu bila terdampar pada blok-blok bata bangunan lama) dan orang yang lalu lalang bagai buat hal sendiri-sendiri.

Masih pada 5 Mei 2009, hari ketujuh kembara Eurotrip 2009, kami meninggalkan Versailles dan realisasi dhaif saya mengenai French Revolution untuk kembali ke tengah-tengah kesibukan kota Paris.

Destinasi seterusnya ialah Cathédrale Notre Dame de Paris, bangunan yang dipopularkan oleh penulis Victor Hugo dalam karya klasiknya 'The Hunchback of Notre-Dame' (1831).

Masuk ke Gereja ini adalah percuma, anda cuma perlu membayar sekiranya ingin menapak naik ke puncak. Melangkah sahaja ke dalam bangunan, diri seakan-akan dibawa menggunakan mesin masa pulang ke beribu tahun yang lampau.

Pembinaan Gereja ini dilakukan secara berperingkat, bermula sekitar tahun 1160 dan siap dalam bentuk sedia ada kini pada tahun 1345. Hingga ke hari ini, kerja-kerja membaik-pulih dan pembersihan bangunan, arca dan artifak Gereja masih berlangsung - menunjukkan betapa 'delicate' dan terperincinya khazanah warisan Perancis ini.

Struktur dekor dalaman bercirikan gothika, gelap dingin suasana sekeliling, lilip lilap cahaya lilin menari-nari ditiup angin, bunyi desir lembut suara koir yang 'berhantu' dan kekhusyukan mereka yang tunduk mengabdikan diri pada Tuhan Yang Satu - kesemuanya mewujudkan suatu suasana tenang.

Sepi dalam kebingitan. Sedih dalam keceriaan. Suram dalam keindahan.

Dari situ, kami meninggalkan Quasimodo dan mundar-mandir di deretan kedai-kedai cenderahati berhampiran. Membeli-belah untuk saudara mara dan rakan sekerja, bukannya untuk diri sendiri! Tak kiralah apa bentuk cenderahati yang dibeli - dari skaf, magnet peti sejuk, poskad sehinggalah kemeja T - kata orang, "It's the thought that counts". :)

Mengendong beg-beg plastik, kami berjalan berpandukan peta ke Musée du Louvre. Bangunan ini merupakan istana rasmi monarki Perancis sehinggalah Louis ke 14 (XIV) memindahkan pusat pentadbiran dan kediamannya ke Versailles pada tahun 1672 - meninggalkan Louvre sebagai arkib simpanan koleksi-koleksi lukisan dan artifak seni baginda.

Muzium ini sebenarnya ditutup pada setiap hari Selasa, kebetulan pada hari yang sama kami menjengahnya. Dengan koleksi-koleksi artifak Mesir, Greek, Roman, kesenian Islam, arca, lukisan dan manuskrip - hakikatnya anda boleh menghabiskan tujuh hari berturut-turut melihat-lihat sekeliling muzium ini dan anda hanya sekadar mampu menggores permukaannya semata-mata. Mungkin di lain kali, bila rezeki saya dimurahkan lagi. :)

Louvre Pyramid dan La Pyramide Inversée yang pantas menjadi antara mercu tanda moden kota Paris tersergam di tengah-tengah Louvre. Ianya juga merupakan lokasi fiksyen batu nesan 'pusara' Mary Magdalene, 'isteri' Jesus Christ, seperti yang dipopularkan oleh Dan Brown dalam karya murahannya 'The Da Vinci Code'.

Kami seterusnya menaiki tren Paris Métro ke Arc de Triomphe, monumen yang terletak di tengah-tengah Place de l'Étoile dan merupakan lokasi 'roundabout' yang paling sesak, paling gila dan paling tidak terurus di dunia. Ia dibina pada tahun 1806 untuk memperingati askar-askar yang terkorban sewaktu Perang Napoleon 1803-1815. Di dasarnya terdapat 'Tomb Of The Unknown Soldier' peninggalan Perang Dunia I. War is Hell.

Saya kira, jika anda selamat setelah memandu melalui 'roundabout' gila ini, anda akan mampu memandu di mana-mana saja lokasi di dunia.

Selain 'naik sampai ke puncak Eiffel', kata orang satu lagi aturcara wajib bila melawat Paris ialah minum teh di gerai-gerai terbuka sekitar Champs-Élysées. Kawasan ini merupakan kawasan paling berprestij di kota Paris dan antara jalan-jalan yang kadar sewanya paling mahal di dunia - boleh menjangkau sehingga US$1.5 juta bagi setiap 1,000 kaki persegi.

Nasib baiklah terdapat variasi restoran terbuka yang sesuai dengan bajet dan kesengkekan kami. Sandwich roti Perancis berintikan sayuran dan tuna membangkitkan selera. Tekak dibasahi kemudiannya dengan teh pudina panas segar. Nani mencuba pula pastri manis sebagai pencuci mulut.

Setidaknya kami boleh katakan bahawa; "Kami dah sampai Paris. Kami dah naik sampai puncak Eiffel. Kami dah melompat kat Louvre. Dan kami dah minum teh kat Champs-Élysées!!!"

No comments: