Saturday, May 23, 2009

Eurotrip 2009: France (Versailles)

"REVOLUTION IS HEALTHY!" - itulah kata seorang rakan sekitar tahun 1998 apabila Timbalan Perdana Menteri ketika itu dilucutkan jawatan dan bahana Reformasi menular ke seluruh negara dan jalanan ibukota.

"What makes you say that?"; tanya saya.

Entahlah, tapi saya tidak dapat menebak apa 'sihatnya' kerenah orangramai terjerit-jerit, melompat seperti ungka, membawa sepanduk bertulis kalimah provokatif, berbaring di hadapan kenderaan tentera, memaki hamun dan merosakkan harta benda awam.

"Tengok French Revolution"; kata kawan saya tadi. "Sebelum tu orang Perancis ditindas oleh kuasa monarki. Rakyat hidup merempat, tak cukup makan. Lepas rakyat bangkit, Raja digulingkan dan pemerintahan demokrasi bermula, barulah hak-hak rakyat Perancis dapat ditegakkan"; sambungnya.

"Jadi kita pun kena bangun gulingkan Kerajaan zalim yang ada sekarang. Kuasa di tangan rakyat"; jelasnya panjang lebar penuh semangat di penghujung perbualan teh tarik kami.

French Revolution yang berlangsung dari tahun 1789-1799 merupakan jangkawaktu perubahan politik dan sosial yang radikal di France. Negara yang hingga ke saat itu ditadbir oleh sistem monarki penuh, mendokong hak istimewa golongan aristokrat dan Gereja telah berubah wajah setelah rakyat bangkit memberontak. Perubahan-perubahan berasaskan ideologi Enlightenment, hak-hak kewarganegaraan dan pengedaran ekonomi adil telah cuba diterapkan selepas itu.

Revolusi ini juga banyak mempengaruhi revolusi-revolusi kemudiannya seperti Revolusi Rusia pada tahun 1917 sehinggalah sekarang. Setidaknya ia membuka mata bahawa tiada satu pun Kerajaan di dunia ini kebal terutamanya jika bentuk pemerintahannya begitu bebal. Kuasa MEMANG di tangan rakyat.

Menderap bandar Versailles (sebutannya 'vers-sYE', seperti 'eye'), France pada 5 Mei 2009, hari ketujuh kembara Eurotrip 2009 merupakan testimoni mutlak akan bahana keseluruhan episod Revolusi Perancis yang sebelum ini hanya mampu dibaca atau ditonton pada layar TV.

Fungsinya sebagai ibukota tidak rasmi France bermula apabila Raja ketika itu, Louis ke 14 (XIV) mengubah pusat pemerintahannya dari Paris ke bandar Versailles bermula tahun 1682. Walaupun Paris yang letaknya 17km dari Versailles masih merupakan ibukota rasmi, hakikatnya keseluruhan jentera pemerintahan ketika itu beroperasi dari Versailles.

Rasional perpindahan ini dapat ditebak sebagai usaha memusatkan kesemua jentera pemerintahan di satu tempat atas nama efisiensi - sepertimana Washington D.C, Westminster dan tentunya juga Putrajaya. Juga dengan mengumpulkan kesemua barisan Majlis Aristokrat di Versailles, adalah lebih mudah bagi Raja 'mengawal' sebarang tindakan ketidaksetiaan atau bangkangan terhadap pemerintahannya.

Namun dengan menyisihkan diri daripada lokasi orang kebanyakan di Paris, kehidupan di Versailles ketika itu tidak ubah seperti dunia asing di mana penduduknya 'ignorant' dengan realitas sebenar dunia di luar istana.

Tiada apa yang boleh menyingkap kegaguman saya bila saja menjejakkan kaki di pekarangan Château de Versailles. Mulut terpaku melihat 'grandeur' kompleks istana seluas 800 hektar dan mempunyai lebih dari 2153 tingkap, 700 bilik dan 200,000 pokok ini. Keseluruhan bangunan istana dan taman-tamannya yang saujana mata memandang merupakan satu bandar - malah ia diiktiraf antara bandar di Raja yang terbesar dan tercantik di dunia.

Tidak dapat dibayangkan kehidupan di Château de Versailles pada zaman kegemilangannya sebelum Revolusi Perancis. Khabarnya istiadat 'Raja Bangun Pagi' pun dipenuhi resam protokol yang begitu kompleks.

Sehari-harian dihabiskan dengan kegiatan memburu, bersantai, berpiknik, bergosip, membeli-belah, berjudi dan tentunya, seks. :)

Pada malam-malam tertentu, keraian-keraian akan berlangsung di Galerie des Glaces atau Dewan Cermin di mana golongan aristokrat dan pemerintah bersukaria menari, menyanyi dan berjudi sepanjang malam.

Dinding-dinding dan siling dihiasi lukisan-lukisan yang begitu terperinci sentuhannya manakala deretan arca, tingkap bersalut emas dan 'tapestry' berkualiti tinggi akhirnya membawa saya ke tanggapan bahawa semua ini merupakan testimonial terhadap kekayaan melimpah golongan minoriti yang terlalu eksesif padahal majoriti rakyat ketika itu hidup sengsara dan dibebani cukai serta harga barangan yang kian melambung.

Penikmatan kekayaan eksesif, melampau dan mengarut ini tiba di kemuncaknya sewaktu pemerintahan Louis ke 16 (XVI) dan permaisurinya, Marie Antoinette pada tahun 1774. Ketika itu ekonomi Perancis telah dilumpuhkan oleh pembiayaan peperangan Perancis di Amerika. Beban cukai dan harga barang naik mendadak. Namun itu semua tidak menghalang Raja dan Permaisuri meneruskan hidup mewah seperti tiada apa-apa yang berlaku sedangkan di luar sana rakyat sengsara dan kebuluran.

Tanggal 5 Oktober 1789 menyaksikan masyarakat Paris menyerbu ke Versailles menuntut hak serta mendesak Raja menyelesaikan krisis ekonomi dan kekurangan makanan yang meruncing. Al-kisahnya, Permaisuri berhadapan dengan majmuk yang menggila kemarahannya di balkoni ini, dengan menggenggam tangan puterinya meminta simpati.

Namun segalanya sudah terlambat - rusuhan berlaku, pintu istana dipecah masuk, perabut ditunggang-langgang dan katil Raja dikencing. Hari berikutnya, Raja dan Permaisuri dipaksa berpindah ke Paris, meninggalkan Château de Versailles buat selama-lamanya.

Antara individu yang bertanggungjawab mengapi-apikan sentimen rakyat ini ialah Maximilien Robespierre, seorang PEGUAM, penulis dan pemidato yang petah bercakap. Ucapan-ucapannya enak didengar dan membangkitkan semangat. Ide-idenya banyak dipengaruhi oleh prinsipal hak-hak kemanusiaan.

Setelah kuasa Raja dihadkan, Robespierre seterusnya memastikan semua yang menentang pemerintahannya dihukum bunuh demi menentukan beliau terus berpengaruh dan kekal berkuasa.

Akhirnya pada 21 Januari 1793, berikut adalah apa yang tinggal daripada beratus tahun pemerintahan monarki penuh Perancis - setelah segala keraian, kekayaan, kuasa, kegemilangan istana dan 'grandeur' Louis XVI dan kemudiannya Marie Antoinette, tiba di akhir garisan.

Namun takdir telah menentukan bahawa sepetah manapun seseorang yang berkarisma itu berpidato, selancang manapun beliau berhujah kononnya menegakkan hak-hak kemanusiaan dan sebijak manapun rakyat boleh dipengaruhi - hakikatnya bila najis lembu dilonggok terlalu banyak dan terlalu lama, rakyat akan mula nampak bahawa individu tersebut tak ubah sebagai seseorang yang 'cakap tak serupa bikin'.

Hakikatnya selepas pemancungan Raja dan Permaisuri, ekonomi France semakin teruk. Harga makanan melambung naik sehingga 100 kali ganda. Wabak penyakit dan kebuluran berleluasa.

Tindakan Robespierre yang membangkitkan kemarahan masyarakat tiba di klimaksnya apabila perkembangan institusi AGAMA disekat, kuasa Gereja dihadkan dan beberapa Paderi yang menentang dihukum bunuh. Robespierre tak berhenti di situ, malah beliau memperkenalkan pula agama baru yang berasaskan 'Reason' .

Rakyat Perancis yang terpengaruh mendebik Revolusi Perancis akhirnya tak ubah seperti keluar mulut buaya masuk mulut naga!

Kesimpulannya - rakyat akan memberontak apabila dibelenggu kemiskinan dan perut kosong. Situasi sebegini memungkinkan perasaan dan emosi rakyat begitu mudah dimanipulasi apatah lagi bila adanya individu-individu yang berkarisma dan petah bercakap mengapi-apikan suasana.

Dalam keadaan 'fragile' ini, rakyat mudah digunakan oleh individu-individu ini untuk mencapai apa sebenar yang diinginkan - kuasa politik dan kekayaan. Rakyat mungkin akhirnya terpengaruh dan menggulingkan Kerajaan yang sedia ada kerana menyangka Kerajaan yang baru itu adalah lebih baik dan mampu membela nasib mereka.

Namun andai Kerajaan baru itu sendiri cakap tak serupa bikin, tak reti buat kerja, hanya tahu berkokok kosong dan cuma gemar memainkan isu - akhirnya rakyat akan sedar juga auta mereka.

Pada 28 Julai 1794, inilah yang tinggal daripada Robespierre.

Kuasa SEMEMANGNYA di tangan rakyat. Jangan bermain-main dengannya!

JUST DO YOUR JOB, DAMMIT!

No comments: