Sebaik sahaja segala urusan 'check-out' dilakukan di penginapan kami selama 2 malam sebelumnya di ResidHotel, Andilly yang terletak di luar Paris, Kerani Pendaftaran memarahi Elan dan Eman kerana tidak 'mengemas' bilik sebelum keluar!
Rupanya mereka mahu segala selimut, kerusi, bantal dan perkakas diletakkan semula dalam keadaan asal sebelum kami keluar! I thought we paid the hotel to do that! Tetamu mengemas bilik hotel sebelum keluar kemungkinan adalah satu lagi 'budaya Perancis' agaknya!
Hari kelapan kembara Eurotrip 2009, 6 Mei 2009 bermula dengan suasana mendung dan hujan renyai. Dari satu perspektif, kami agak sedih meninggalkan Paris namun dari perspektif lain kami merasa gembira kerana pengalaman merayau di bumi Eropah masih baru bermula!
Setelah hampir 1 1/2 jam memandu sejauh 150km, kami memasuki bandar Troyes yang letaknya di bahagian timur laut Paris dalam daerah Aube. Bandar yang telah wujud sejak zaman pemerintahan Rom ini pernah menjadi ibukota mukim Champagne di France sehinggalah French Revolution meletus pada tahun 1789. Peminat sukan (atau peminat pakaian sukan berjenama) mungkin mengenali Troyes sebagai ibupejabat jenama Lacoste.
Kami hanya berlegar-legar di kawasan pusat bandarnya yang disusun menjadi bentuk sebuah gabus ('cork') botol champagne.
Memandangkan Switzerland, destinasi Eropah kami selanjutnya, masih menggunakan matawang Swiss Franc secara meluas berbanding matawang Euro, kami tercari-cari pusat tukaran matawang di bandar ini. Dalam kepala terbayang-bayang kaunter 'money changer' yang begitu mudah ditemui di serata ceruk Kuala Lumpur.
Setelah dua bank dilewati, kami diberi tunjuk arah ke La Banque Postale (pejabat pos) untuk transaksi tersebut. Tunjuk arah dalam Bahasa Perancis berbaur 'broken English' yang hanya dapat diyakini dengan gerak tangan si penunjuk arah!
Sebaik memasuki La Banque Postale, Adam meluru mendapatkan mainan yang ditinggalkan di atas meja tempat menunggu. Sedetik kemudian datanglah seorang budak perempuan (lebih kurang sebaya) merampas kembali mainan miliknya sambil mulut berpot-pet pot-pet memarahi Adam. Nasib baiklah Adam tak menangis.
Budak itu kemudian menjeling-jeling 'leaflet' Euro-Disney yang Adam pegang. Perlahan-lahan dia menghampiri Adam, bertutur dalam Bahasa Perancis dan meminta untuk melihat 'leaflet' tersebut. Dia malah menyuakan mainannya yang dirampas tadi kepada Adam sebagai tukaran. Tapi kini giliran Adam pula jual mahal! Hahahahahaha!
Ketika budak perempuan itu berlalu bersama ibunya sekali lagi mulutnya pot-pet pot-pet merungut sambil menunjuk-nunjuk pada Adam. Budak-budak!
Kami meneruskan pemanduan sehingga ke bandar Dijon yang pernah menjadi ibukota Burgundy dari awal kurun ke 11 sehinggalah ke penghujung 1400an. Sebagai 'trivia', Dijon juga dikenali sebagai 'Mustard Capital of The World' walau hakikatnya 90% daripada benih mustard yang digunakan untuk pengeluaran adalah diimport dari luar negara. Mungkin identikal dengan Shah Alam sebagai 'Bandar Proton' walhal, errr... malas nak cakap.. :)
Setelah memarkir kereta, kami berjalan ke Place de la Libération yang berlatarbelakangkan Palais des Ducs de Bourgogne, istana Duke of Burgundy. Keseluruhan kawasan tersebut dibina secara berperingkat dari tahun 1365 dan kini digunakan sebagai dewan bandaraya. Sekadar bergambar di sekeliling dataran yang dipenuhi orang ramai dan bermain-main dengan pancutan-pancutan air.
Juga sekadar bergambar di hadapan Saint-Michel Church yang dibina sekitar kurun ke 15, bercirikan Flamboyant dengan sentuhan Renaissance yang tersendiri.
Selamat tinggal France! Selamat ketemu Switzerland!
1 comment:
salam kenal,
bestnye dah gie jalan2 france..
Post a Comment