Sejak di Malaysia lagi saya telah berkali-kali mengingatkan keluarga agar jangan meninggalkan sebarang bagasi begitu saja di tempat awam ketika kembara Eurotrip 2009 kelak.
Tempat yang ingin dikunjungi bukanlah seperti Puduraya atau Hentian Putra!
Di Britain dan Eropah, sebarang bagasi tanpa empunya yang terbiar bukan sahaja akan dirampas malah seluruh kawasan tersebut akan ditutup serta merta kerana ada kemungkinan ianya mempunyai bom.
Ketika gerakan Irish Republican Army (IRA) giat di Britain dahulu, inilah antara masalah utama bila menggunakan khidmat Tube (London Underground) di London. Dengan timbulnya pula ancaman teroris Muslim selepas 11 September 2001, nampaknya masalah ini tidak akan selesai.
Tanggapan 'bom' itulah yang pertama hinggap di kepala apabila stesen Tube North Greenwich di Millennium Dome (O2) London ditutup pada pagi Ahad, 3 Mei 2009 - hari kelima kembara kami.
Seperti mana kaedah kami turun ke London pada hari pertama dahulu, sekali lagi kami memandu dari Rochester, memarkir di kawasan O2 dan berhasrat untuk menaiki Tube dari situ ke Zon 1 London.
Namun aturcara kembara pada hari tersebut akan ada kelewatan nampaknya.
Menurut pegawai yang ditempatkan, stesen tersebut ditutup kerana 'kerja-kerja penyelenggaraan' - sesuatu yang biasa dilakukan pada hujung minggu. Bas-bas komuter untuk mengangkut penumpang ke stesen Tube lain yang berdekatan disediakan percuma. Jadi kami menaiki bas menuju ke stesen Stratford dan menaiki Tube dari sana.
Perkara tersebut juga membuatkan kami tiba agak lewat di Buckingham Palace. Istiadat 'Changing of The Guards' yang ingin kami saksikan telah pun bermula separuh jalan. Istiadat ini dilangsungkan di pekarangan istana pada jam 11 pagi setiap hari (10 pagi pada hari Ahad) dan berlangsung selama sejam. Namun kami sempat menyaksikan Queen's Guard yang telah tamat tugasan berarak keluar diiringi oleh pancaragam untuk kembali ke Wellington Barracks.
Buckingham Palace merupakan kediaman rasmi keluarga monarki British yang terletak dalam kawasan City of Westminster, London. Kompleks asas istana ini mula dibina pada tahun 1624 dan dibangunkan kepada keadaan sekarang sehingga tahun 1913 (ubahsuai dalaman masih berubah-ubah dari masa ke semasa). Inilah satu-satunya tarikan utama di London yang saya belum pernah berpeluang masuk.
Kami berjalan kaki merentas Green Park dan menyeberangi jalan menyusur masuk ke Hyde Park pula. Berhenti seketika di Speakers' Corner atas desakan ingin tahu apa yang dikarutkan oleh si tukang-tukang karut yang berpidato sambil berdiri di atas 'soapbox' (sekarang di atas kerusi). Subjeknya berbilang daripada agama, politik, sosial, fahaman New Age hinggalah kepada omongan kosong.
Pendengar pula boleh menambah-nokok, menyokong atau membangkang pidato tersebut secukup rasa dan mampu mendapat reaksi segera dari pemidato. Interaktif!
Walaupun ia dikenali sebagai 'simbol kebebasan bersuara', hakikatnya pihak polis tetap akan campur tangan jika ada antara pidato tersebut mengandungi unsur hasutan atau carutan! There's no such thing as 100% freedom of speech, anywhere in the world... wake up guys!!! :)
Berhenti seketika di gerbang Marble Arch untuk memenuhi hasrat Nani bergambar dengan gerbang asal Buckingham Palace ini, yang dibina pada tahun 1828 dan dipindah ke lokasi sekarang pada tahun 1851.
Destinasi berikutnya ialah Malaysia Hall London di Queensborough Terrace yang telah berpindah dari lokasi asalnya di Bryanston Square. Kami menaiki bas dari Marble Arch ke Queensway dan berjalan kaki hinggalah terlihat bendera Malaysia terpampang di pintu masuk.
Kantinnya penuh dengan warga Malaysia (warga asing cuma boleh memasukinya jika ditemani warga Malaysia). Harga makanannya berpatutan (disubsidi Kerajaan Malaysia?) dan dari loghatnya saya kira pemilik kantin harus berasal dari utara Semenanjung!
Makanannya lazat walaupun terpaksa berkongsi meja dengan pengunjung lain. Teh aisnya juga segar hinggakan saya memesan 2 gelas!
Selepas ramah berbual-bual dengan pengunjung lain yang kebanyakannya pelajar Malaysia dari serata ceruk U.K, kami berderap memasuki Hyde Park semula, menuju ke Kensington Palace and Gardens. Sehingga kematian Diana, Princess of Wales pada tahun 1997, inilah kediaman rasmi beliau. Antara yang dipamerkan termasuklah sejarah dan gaun-gaun pakaian Mendiang Diana serta akses kepada berbilang dewan dan State Rooms.
Walaupun akses ke dalam istana adalah berbayar, pengunjung boleh memasuki kawasan tamannya secara percuma.
Selepas meninggalkan Kensington Palace dan memori Diana, kami bersantai seketika di atas rumput hijau Hyde Park.
Sebelum kembali menaiki Tube, kami menapak di deretan kedai-kedai cenderahati di sekitar Queensway. Setelah beberapa lama mencangak barang dan berbual dengan beberapa rakyat Malaysia yang ditemui, baru saya terperasan akan notis yang terpampang di cermin sebuah kedai yang betul-betul menghadap pintu masuk stesen Tube Queensway. Tulisannya pun dalam Bahasa Malaysia!
Orang Malaysia selalu ke London? Orang Malaysia ramai di London? Orang Malaysia terkenal? Orang Malaysia kaya?
Tube dinaiki sehingga ke stesen Leicester Square (sebutannya 'lester') dan berjalan kaki ke Chinatown untuk membeli bekalan bahan mentah yang hendak dibawa ke Europe keesokan hari. Ianya terletak dalam kawasan London Soho dan dipenuhi oleh kedai, supermarket dan restoran yang rata-rata dimiliki dan dioperasi oleh golongan Cina. Bilalah 'Malaysiatown' nak wujud, ya? Malaysia Boleh, kannnn??? :D
Setelah kembali ke parkir kereta di O2, baru saya sedari bahawa itulah kali pertama dalam sejarah hidup bilamana saya tidak mendapat migrain walaupun berada sehari suntuk di London! Memandangkan tadi kami jarang menggunakan Tube seperti sebelumnya, mungkin keadaan berkuap stesen Tube bawah tanahlah penyebab migrain saya selama ini!
Setiba di Rochester, Eman membawa kami ke kawasan tanah tinggi untuk bergambar serta menunjukkan kompleks pejabatnya.
Malam itu kami tidur awal kerana esoknya perlu berada di jeti Dover untuk menaiki feri 9.30 pagi merentasi English Channel ke Calais, France!
No comments:
Post a Comment