Friday, May 29, 2009

Eurotrip 2009: Netherlands (Amsterdam II)

"السلام عليكم... Malaysia?"; tanya seorang pemandu teksi berbangsa Arab yang memberhentikan keretanya di sebelah kami.

Saya menjawab salam, menghampiri keretanya. Beliau menghulur tangan. Saya menyambut. Kami beramah seketika dan saya mengambil peluang bertanyakan lokasi restoran-restoran Halal berdekatan di sekitar Amsterdam.

Itu bukan kali pertama kami ditegur mesra sepanjang kembara Eurotrip 2009 ini. Dari 'ulat-ulat cenderahati' berbangsa Afrika di kaki Eiffel Tower, Paris sehinggalah berbilang manusia di jalanan yang ditemui, boleh dikatakan kesemuanya meneka dengan tepat bahawa kami dari Malaysia.

Padahal tak adalah pula kami meletakkan sebarang 'patch' atau pelekat Jalur Gemilang di pakaian atau aksesori kembara yang kami usung merata. Dari raut wajah pula boleh saja ditebak yang kami berkemungkinan orang Indonesia, Thai, Cambodia, Filipina atau Singapura.

Persoalannya, bagaimanakah mereka meneka dengan tepat bahawa kami berlapan ini dari Malaysia? Mungkinkah kerana rakyat Malaysia memang kerap ke luar negara? Atau promosi agresif oleh Tun M ketika menjadi Perdana Menteri dahulu sememangnya terbukti efektif?

Pada pagi Ahad, 10 Mei 2009, hari ke duabelas Eurotrip 2009, kami menderap kota Amsterdam di negara Netherlands. Hati yang cuak di sebabkan 'kekalutan' hari sebelumnya terubat mungkin setelah semalam menginap di hotel 4 bintang Schiphol A4 - secara tidak disengajakan, ahaks!

Kota ini mendapat namanya dari sebuah empangan ('dam') yang dibina merentas Sungai Amstel pada kurun ke 12, lokasi di mana Dam Square berada sekarang.

Di kelilingi Royal Palace, Gereja Nieuwe Kerk, muzium Madame Tussauds dan monumen peringatan perang, Dam Square sememangnya merupakan sebuah zon pelancong di Amsterdam. Pada 4 Mei setiap tahun, warga Belanda akan melangsungkan upacara hari kemerdekaan negara di lokasi ini.

Dari sebuah kampung nelayan, Amsterdam berkembang sebagai salah sebuah destinasi metropolitan hujung minggu warga Eropah, terutamanya para berkebujangan yang mencari hiburan. Oh ya... pelacuran dibenarkan dari segi undang-undang di sini manakala 'soft drugs' seperti kanabis dan poppi pula boleh didapati merata-rata dalam bentuk benih, biskut, minuman '3 dalam 1', 'chewing gum' dan coklat :)

Saya mulanya mencuri-curi memotret barisan biskut dan coklat kanabis yang dipamerkan di tingkap kedai sehinggalah ditegur seorang lelaki muda; "It's okay... take as many photos you want. There ain't no FBIs or CIAs here!".

Atas cadangan 4 staf Petronas yang kami temui di Interlaken, Switzerland kami mencuba kentang goreng Amsterdam yang dikatakan 'sedap hingga menjilat jari'. Memang panas. Memang besar. Boleh dipilih pula sos apa yang mahu dicurahkan ke atasnya. Terlihat perkataan 'sambal' di senarai menu sos yang ada. Teringin pula nak cuba 'sambal Amsterdam', jadi itulah yang saya pilih. Sebaik dijamah, mungkin itulah satu-satunya sambal yang paling tak sedap pernah dirasa!

Seorang peniaga restoran kebab menegur kami dengan ramah. Mulanya kami berhasrat untuk 'brunch' di restoran ini. Memandangkan kedai baru dibuka, beliau meminta kami menunggu chefnya yang masih dalam perjalanan.

Namun setelah hampir 15 minit duduk menunggu dalam restoran, kami mula merasa cuak kerana pertama-tamanya, kami belum nampak batang hidung si chef. Kedua, segala peralatan memanggang belum lagi terpasang. Ketiganya, banyak lagi lokasi yang mahu disinggah pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun, peniaga tadi berkeras meminta kami menunggu. Terpaksalah bohong sunat mengatakan yang kononnya kami mahu 'bersiar-siar di sekeliling' dan akan 'kembali 1/2 jam kemudian'. Ketika mahu melangkah keluar, baru kami perasan bahawa peniaga itu asalnya telah mengunci kami dalam restoran!

Tren dan bas merupakan pengangkutan awam utama di kota ini. Kereta pada umumnya tidak digalakkan di pusat bandar malah Kerajaan juga ada menaja program-program berkongsi kereta seperti Autodelen and Meerijden. Ini menjelaskan kedapatan rempit basikal yang begitu banyak di Amsterdam!

Selain rempit basikal, pelacuran dan dadah (hahahaha), Amsterdam juga terkenal dengan jaluran-jaluran terusannya yang digelar 'Grachtengordel' dan 'Singelgracht', berfungsi untuk pembangunan 'residential' dan pengurusan air. Adalah dianggarkan jumlah panjang keseluruhan terusan di kota ini adalah 100km dengan 1,500 jambatan secara total. Terdapat berbilang operator yang menawarkan khidmat 'canal cruise' di rata-rata terusan yang ada.

Mungkin Amsterdam akan lebih akrab seandainya saya mengunjungi tempat ini ketika masih bergelar pelajar di Great Britain sekitar 1990-1992 dahulu - ketika adrenalin muda masih semarak untuk bereksperimen sesuatu yang baru.

Pada saya, inilah destinasi Eurotrip 2009 yang paling tidak digemari. Dengan sampah sarap dan daun luruh yang mengotorkan persekitaran ditambah pula dengan rasa rimas kesesakan rempit basikal dan kekalutan jalan - Amsterdam tak ubah seperti versi 'scaled-up' Jalan Chow Kit!

2 comments:

inabu said...

Assalamualaikum,

sy dpt tau blog saudara melalui yahoo group...suka sgt bila baca pasal amsterdam, mengingatkan sy ttg europe trip sy bersama kakak n her family last april this yr, kami sekeluarga ke swiss, france, germany, luxemborg, netherlands, belgium & italy...apa2 pun bak kata abg ipar sy, hujan emas di negeri org, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik la hujan batu itu diterima seadanya, ahaksss!!!

Unknown said...

Aku pernah backpacker di europe pada tahun 1991 menggunakan eurailpass. Amsterdamn adalah bandar yg. paling aku tak suka. Lorong-lorong yg. hancing, taik pit, kaki pau,pusher dan pencuri. Berhati-hatilah kalau ke sana. Damn Amsterdamn.