Bila berbicara tentang France, antara yang pertama hinggap di kepala (mungkin selain Eiffel Tower) adalah Nasionalisme. Walaupun sejarah asal ideologi ini sukar ditentukan, ramai sejarahwan berpendapat ianya dipelopori dan dipopularkan sewaktu French Revolution (1789-1799) dan seterusnya berkembang berkait arus dengan Perang Dunia I dan II kemudiannya.
Dalam ertikata orang jalanan, Nasionalisme merupakan ideologi, sentimen, budaya atau gerakan yang memberi fokus terhadap negara, atau semangat negarawan. Tanpa sedar, benda-benda harian seperti bendera, lagu, bahasa dan slogan merupakan elemen-elemen yang membentuk Nasionalisme. Seperti slogan 'Malaysia Boleh!', '1Malaysia' dan seumpamanya.
Hakikatnya berbilang agama, bangsa dan keturunan membentuk sesuatu negara. Andai terlalu diberatkan semangat kekitaan berdasarkan bangsa, agama dan keturunan, maka asas negarawan itu sendiri tidak akan mampu berdiri kukuh dan mungkin begitu mudah pula diporak-perandakan anasir luar.
Orang Perancis amat kental dengan Nasionalisme mereka. Dengan sejarah konflik warisan terhadap orang British, sering diandaikan bahawa orang Perancis mencemuh atau tidak menghiraukan mana-mana orang asing yang cuba bertutur dengan mereka dalam bahasa Inggeris.
Malah ada yang mengatakan lebih mudah berbahasa Malaysia bila berurusan dengan orang Perancis kerana anda akan pasti mendapat respons sewajarnya!
Bukannya orang Perancis tak faham atau tak boleh berbahasa Inggeris. Namun dari pengalaman, mereka akan tetap merespons pertanyaan anda dalam bahasa mereka dan membiarkan anda tercangak sendiri mencari maksudnya.
Perjalanan dari Rochester ke Pelabuhan Dover pada 4 Mei 2009, hari keenam kembara Eurotrip 2009 mengambil masa kurang dari sejam. Memandangkan semua urusan tiket feri telah dilakukan 'online', kami hanya perlu memandu ke kaunter daftar, diberi 'tag' yang menetapkan nombor lorong kereta yang harus anda masuk dan seterusnya berbaris menaiki feri.
Bila disebut 'feri', ketahuilah bahawa Feri P&O yang merentas English Channel bukanlah seperti 'feri Pulau Pinang' tapi ibarat sebuah 'kapal Star Cruises' - dengan dek-dek besar untuk memuatkan ratusan kereta, lori dan bas serta deretan kedai, restoran, kasino dan pusat perniagaan sebanyak 3 tingkat.
Sebaik memasuki feri, semua penumpang tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan dan dikehendaki naik ke dek-dek komersial. Dengan 2 jam waktu pelayaran dari Dover ke Calais, France, saya mencari satu sudut di tepi tingkap restoran untuk melelapkan mata sebentar.
Semakin kami menghampiri Pelabuhan Calais, penumpang mula dibenarkan turun ke kenderaan masing-masing. Kami bergegas memastikan 'European Motoring Kit' seperti jaket reflektif, segitiga amaran, pelekat kereta yang bertulis 'GB' dan pelekat lampu diletakkan dalam bonet atau dipasang pada kereta - ini merupakan peraturan mandatori kepada semua kereta asing yang memasuki Eropah.
Kapal berlabuh, pintu dibuka dan kereta menderu keluar. Kami terus memandu... di sebelah kanan jalan, tentunya dan berhenti di stesen Services pertama yang kami temui di lebuhraya. Sekadar merakam detik memijak kaki buat kali pertama di bumi Eropah dalam kembara ini!
"Macam tak percaya dah sampai Europe... rasa macam nak menangis..."; kata Nani yang emosional seperti biasa :)
Kami meneruskan perjalanan hingga ke Andilly, sebuah kawasan suburban di luar kota Paris. Dengan alatan Global Positioning System (GPS) yang dipasang pada kereta, tidak sukar mencari ResidHotel, penginapan kami selama dua malam berikutnya. Urusan penempahannya juga telah dilakukan lebih awal melalui kaedah 'online'.
Walaupun terpaksa merangkak berurusan dengan Kerani Pendaftaran yang tidak tahu berbahasa Inggeris, kami mendapati hotel apartmen bajet tersebut amat memuaskan - siap dengan dapur, TV, bilik air dan bilik 'kecil' berasingan, bilik tidur dan sofa di ruang tamu yang boleh diubah menjadi katil.
Sebaik meletakkan beg di bilik masing-masing (kami memesan dua bilik - satu untuk kami sekeluarga dan satu lagi dikongsi Eman, Elan, Nina dan Zadique), kami terus menuju ke stesen tren Ermont Eubonne untuk ke Paris. Kereta diparkir di sebuah kompleks parkir berdekatan.
Sekali lagi masalah bahasa menjadi rintangan. Dari pembelian tiket di kaunter (yang mana saya 'give-up' dan terus berbahasa Malaysia) sehinggalah menetapkan terminal tren mana yang harus ditunggu. Adventur!
Sistem tren Paris dioperasikan oleh integrasi 'RER', singkatan kepada Réseau Express Régional yang menyambungkan kawasan suburb ibukota ini dengan pusat bandar. Dalam kawasan bandar pula, komuter dipermudahkan dengan sistem Paris Métro atau Métropolitain, yang identikal bentuknya dengan London Underground.
Menariknya, keretapi RER ini dilabel dengan nama-nama wanita seperti 'Nora', 'Gota' dan sebagainya. Untuk memastikan tren mana yang perlu dinaiki ke destinasi pilihan, anda cuma perlu ingat nama awek berkenaan!
Satu-satunya destinasi tarikan kami pada hari pertama di Paris tentunya Eiffel Tower. Setiap orang yang baru tiba di Paris akan sentiasa mengingati kali pertama melihatnya dari kejauhan. Selalunya juga 'pertemuan' pertama ini terjadi dalam ketidaksengajaan. Mungkin sedang membetulkan tengkuk, menoleh, mengangkat kepala dan tiba-tiba, "Eh... Eiffel Tower laaa...."
Seperti di Great Britain sebelumnya, mulut Pengarah-Pengarah Seni dalam kembara kami mula berdesit memberikan arahan untuk sesi fotografi. Setiap langkahan sejauh 5 meter, berhenti untuk bergambar. Bila terlihat bangunan yang rekabentuknya kelihatan menarik, berhenti lagi. Berbilang posing. Berbilang sudut. Padahal Eiffel Tower masih dalam kejauhan!
Sebaik sahaja berada dalam kekerdilan di bawah kaki Eiffel Tower, satu kepuasan menyelinap dalam diri.
Kami menyeberangi jalan ke taman berhampiran untuk bergambar, berkreatif. Beromantis (sesuai dengan panggilan Paris sebagai 'kota romantik')!
Alyssa pula, seperti biasa mengglamorkan diri. Zadique ada membantu. Adam berlari ke sana sini.
Kami sebenarnya tidak pasti sama ada mahu menaiki lif ke puncak menara pada asalnya dan dilema ini terus-menerus berlanjutan sehinggalah kami telah pun berbaris untuk membeli tiket.
Eman kemudiannya memberikan satu analogi:
"Katalah nanti kita cerita kat orang yang kita sampai Paris, tentu orang tanya... 'pergi Eiffel Tower tak?' Kalau kita kata 'ya', sure dia tanya pulak...'naik sampai atas tak?'. Alang-alang dah ada kat sini, takkan nak jawab 'errr... kami tak naik pun...'!!!"
Tutup kes. Kami teruskan penantian berbaris 1/2 jam membeli tiket, menaiki lif dan kemudiannya beratur 1/2 jam lagi dalam sejuk deru angin di Tingkat 2 untuk menunggu lif hingga ke puncak pula!
Menara ini dibina oleh Gustave Eiffel dan siap pada tahun 1889 dengan ketinggian 324m. Sehinggalah tersergamnya bangunan Chrysler di New York, Eiffel merupakan binaan tertinggi di dunia ketika itu. Fungsi asalnya ialah sebagai binaan komemoratif untuk Paris World Fair 1889 dan ianya pernah disakat masyarakat Paris sebagai 'menyakitkan mata' hinggalah ke tahap menyerahkan memorandum meminta bangunan tersebut diruntuhkan! Malah ia sepatutnya diruntuhkan pada tahun 1909 namun 'diselamatkan' bila teknologi radio Paris didapati mampu dibangunkan dengan sempurna menggunakan binaan ini.
Dalam keghairahan bercanda dengan Eiffel Tower, kami terlupa bahawa sebaik sahaja merentasi English Channel, waktu harus dilewatkan sejam. Kami dengan konfidennya mengambil masa, menyangka hari masih di takuk 8 malam padahal ia sudahpun menjelang jam 9! Bila menyedari bahawa kompleks parkir kenderaan yang kami gunakan di Andilly hanya beroperasi hingga 10 malam, barulah kelam kelibut bergegas pulang.
Sebaik tiba di Andilly, agak panik bila pintu masuk ke kompleks parkir telah dikunci. Kami memasukinya melalui pintu utama dan sebaik sahaja mengambil kereta, gerbang besi pula diturunkan - mengurung kami sepenuhnya dalam kompleks tadi. Sudah!
Saya menarik nafas lega bila mendapati gerbang besi tadi terbuka secara otomatik bila saja tiket akses parkir dibayar dan dimasukkan ke dalam 'slot' di pintu keluar. Namun sebaik sahaja kenderaan melepasi palang, gerbang besi tadi akan tertutup semula dengan agak cepat.
Kami pun membayar kos parkir dan kereta Eman mendahului untuk keluar.
Tiket yang telah dibayar dimasukkan, palang terangkat, gerbang besi dibuka. Eh... kereta Eman tersekat rodanya di bahu dinding. Gerbang besi ditutup semula. Palang diturun. Tiket dah ditelan! Hah... double shit!
Kami semua terkedu seketika. Dalam kepala terbayang kemungkinan terpaksa tidur dalam kompleks parkir di luar kota Paris.
Akhirnya, ide bernas menjerih keputusan untuk menyumbat a'la sadin 4 orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak di bahagian belakang Nissan Note 1.4GL yang dipandu saya manakala Zadique duduk di kerusi sebelah. Kereta Eman terpaksa ditinggal semalaman di kompleks parkir berkenaan.
Giliran saya memasukkan tiket yang telah dibayar, palang terangkat, gerbang besi dibuka, kereta keluar. Berjaya!
Hari telah malam. Badan telah letih. Kanta lekap semakin kering, mengaburkan arah jalan. Hari pertama dalam hidup memandu sebelah kanan pula. Setiap kali arahan tunjuk arah diberi oleh alatan GPS yang dipasang, ada pula 'gemanya' beraneka suara di bahagian belakang.
GPS: "Drive 400 metres then turn left".
Gema di belakang: "Hah... kat depan masuk kiri, kiri, kiri. Bukan kanan, kiri".
GPS: "Next junction, turn right".
Gema di belakang: "Baik-baik... ada kereta. Silap lane la... Kanan... Kanan... eh bukan... kiriiii...."
"Would one of you guys want to drive instead?"; saya mencelah. Gema dari belakang yang berbaur dengan suara alat GPS di hadapan mengelirukan tumpuan pemanduan.
Gema di belakang terhenti seketika.
"Ok... semua diam. Biar GPS saja yang bercakap..."; cadang Zadique yang duduk di sebelah saya.
Saya terus memandu beberapa kilometer berpandukan GPS tanpa gema kedengaran lagi di belakang.
Tiba di satu simpang, saya bersuara meminta kepastian; "Kat sini belok kiri kan?"
Senyap seketika kemudian terdengar jawapan perlahan; "No... we are not going to say anything".
"Kata suka adventure. Ni kan adventure?"; satu lagi gema sinis dari belakang kedengaran. Suara wanita.
Kegelapan malam yang melitupi kereta menyembunyikan satu sengihan kerang busuk yang saya lemparkan - respons untuk gema terakhir tadi. Lucu pula bila difikirkan kembali!
Paris oh Paris!
1 comment:
Ha! Ha! Memang lucu. :)
Post a Comment