Satu ketika dahulu di sebuah negeri jauh nun di sana, seorang gadis miskin mengidamkan hidup yang lebih baik. Satu hari dia bertemu lelaki kacak gagah yang rupanya seorang putera raja. Mereka menyapa, jatuh cinta, berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya. Tammat.
Naaaahhh... I don't believe in Fairy Tales! Ia hanyalah suatu 'escapism' bagi mereka yang takut menghadapi kenyataan dan realitas kehidupan.
Seven Dwarfs sebenarnya adalah sekumpulan 'gay' yang tinggal serumah. Sleeping Beauty terpaksa bertarung dengan insomnia setelah bangun dari tidur panjang dan mati kerana mengambil ubat tidur berlebihan. Cinderella pula tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup istana, bergaduh dengan mertua, bercerai, melakukan hubungan sulit dan akhirnya terbunuh dalam kemalangan kereta kuda :p
Namun bagi yang meminati 'Fairy Tales', Luxembourg merupakan sebuah Tanah Kisah Dongengan yang benar-benar wujud di alam nyata. Dengan sejarah, dinasti, raja, permaisuri, putera, puteri, peperangan, kemenangan, istana dan kubu - yang tiada hanyalah seekor Naga bernafas api yang melakukan kacau bilau. Lokasi di sekitar negara ini mungkin pantas saja merupakan inspirasi bagi Brothers Grimm untuk menulis barisan kisah dongengan yang terkenal turun temurun.
Masih segar dengan pengalaman misterius merentas Black Forest di Germany, kami tiba di Luxembourg pada tengahari 9 Mei 2009, hari ke sebelas kembara Eurotrip 2009. Negara ini merupakan satu-satunya negara di dunia yang ditadbir oleh 'Grand Duke' dan negara kedua terkecil dalam Kesatuan Eropah. Selain itu, ia diiktiraf sebagai negara yang paling tinggi penggunaan minuman alkohol di dunia namun ironinya, ia juga merupakan negara yang paling selamat dan antara yang terkaya!
Destinasi pertama ialah ibukota Luxembourg yang dengan mudahnya dinamakan Luxembourg City, (bayangkan jika Kuala Lumpur dinamakan sebagai 'Bandar Malaysia' atau 'Bandar Malaya'... hahahaha). Tarikan utamanya ialah Adolphe-Bréck atau Jambatan Adolphe, dibina pada tahun 1903 dan merupakan simbol tidak rasmi kedaulatan Luxembourg.
Di bawah jambatan, terbentang Pétrusse Valley dengan rimbunan pokok dan taman bunga beraneka warna. Menariknya itu semua merupakan kombinasi struktur binaan manusia dengan landskap semulajadi berbaur barisan lorong-lorong rahsia bawah tanah yang pernah bertindak sebagai kubu pertahanan bandar ini.
Lima minit berjalan, tugu peringatan Gëlle Fra (bermaksud 'wanita emas') tersergam setinggi 21m. Ia dibina pada tahun 1933 bagi memperingati warga Luxembourg yang terkorban dalam Perang Dunia I - dianggarkan seramai 1% daripada keseluruhan penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 266,000.
Sebelum meninggalkan bandar ini, kami merayau-rayau di sekeliling. Memandangkan saiz bandar yang agak kecil, pi mai pi mai tang tu, kepenatan menapak tidaklah terlalu terasa.
Dari Luxembourg City, kami terus memandu melewati jalan-jalan 'countryside' ke Vianden yang terletak di bahagian utara. Dengan penduduk bandar yang hanya seramai 1,500 orang, ia merupakan sebuah pekan kecil yang sunyi. Terlalu sunyi sehinggakan pernah dijadikan lokasi filem seram 'Shadows Of The Vampire' (2000) lakonan John Malkovich.
Walaupun pekannya kecil, panorama kawasan ini diwarnai oleh Château de Vianden yang dibina antara kurun ke 11 dan ke 14 menggunakan asas binaan asal peninggalan sebuah castellum (kubu) Roman. Menariknya, sekali pandang, istana ini seakan-akan diukir terus dari batu-batan bukit - dari sinilah pekan ini mendapat namanya ('vianden' bermaksud 'batu). Melihat pada kecuraman jurang di sekeliling, saya tak boleh membayangkan bagaimana buruh-buruh pekerja bertarung nyawa membina istana berkenaan!
Lokasi ini menarik perhatian ramai artis, penulis dan aristokrat. Antaranya ialah Victor Hugo yang telah mempopularkan Cathédrale Notre Dame de Paris dalam novelnya mengenai 'Mamat Bongkok'.
Walaupun luarannya gah tersergam, dekor dalaman serta perabotnya agak 'bersopan' dan tidaklah keterlaluan keterlebihan seperti Château de Versailles di France yang dilawati pada hari ketujuh kembara. Mungkin kesopanan inilah yang menyebabkan monarki Luxembourg mampu bertahan hingga sekarang :)
Alyssa berangan-angan menjadi Rapunzel yang duduk sehari-harian di tepi tingkap menanti ketibaan Prince Charming.
Istana Vianden pernah dijual kepada seorang ahli perniagaan tempatan pada tahun 1820 yang kemudian merongkainya dan menjual kembali secara 'piece by piece'. Pada tahun 1977, Grand Duke Luxembourg ketika itu memindahkan hak milik istana kepada negara dan kerja-kerja baik pulih pun bermula sehinggalah sekarang.
Kami meninggalkan Vianden dan menuju ke 2 lokasi terakhir kembara Eurotrip 2009. Berhenti seketika di sebuah stesen petrol kecil untuk ke bilik kecil. Keluar saja, malah sebelum saya mampu menghampiri kereta, Nani bergegas mendapatkan saya.
"You tau tak, harga minyak kat Luxembourg punyalah murah! Paling murah kat Europe!"
Minyak murah merupakan satu Kisah Dongeng yang saya sentiasa impi-impikan menjadi realiti.
Pengakhiran dongengan yang menggembirakan di Luxembourg!
No comments:
Post a Comment