Monday, May 18, 2009

Eurotrip 2009: Prolog

Walaupun saya pernah menjejak bumi Eropah ketika menuntut di United Kingdom sekitar 1990-1992 dahulu, saya tidak pernah mengiktirafnya sebagai 'Europe Trip' seperti kebiasaannya. Pertama kerana saya cuma sekadar menjengah bandar Brussels, Belgium dan Paris, France. Keduanya, ia merupakan rombongan fakulti dan bukannya kembara 'backpack' seperti yang dilakukan kebanyakan pelajar di sana.

Mungkin hingga ke saat ini tak ramai sebenarnya yang tahu bahawa saya sekeluarga telah menjelajah tujuh bandar Eropah dari 28/4/09 hingga 12/5/09 lalu. Saya merahsiakannya kepada semua hinggalah seminggu terakhir sebelum berlepas. Itupun saya hanya menghebahkannya pada rakan-rakan Facebook.

Asalnya, ide untuk kembara ini bermula bilamana Tony Fernandes, CEO AirAsia mengumumkan penerbangan tambang murah ke United Kingdom akhir tahun lepas. Pada hari pelancarannya (sekitar bulan November 2008), kami telah menempah tujuh tiket pergi balik dari Low Cost Carrier Terminal (LCCT) Sepang ke Stansted, London. Empat tiket untuk kami sekeluarga, dua untuk kakak ipar dan suami dan satu untuk adik ipar.

Ketika itu, kami hanya bercadang untuk menghabiskan lebih kurang 13 hari di United Kingdom sahaja. Selain melawat adik ipar yang kini bekerja di Rochester, Kent, U.K, rancangan asal hanyalah untuk menyewa kereta dan menjelajah kawasan utara di Scotland hinggalah yang terselatan di Cornwall.

Kemudian saya mengusulkan soalan cepumas, "Kenapa tak pi Paris sama? Lagipun weekend ke Paris tiketnya lebih kurang £80 sahaja?"

Perlahan-lahan ide tersebut berkembang. Dari ingin menjelajah 2-3 negara menggunakan EuroRail hinggalah akhirnya untuk menyewa kereta ke 6 destinasi - Britain, France, Switzerland, Luxembourg, Netherlands dan Belgium (itupun kami berkeputusan menambah Germany sebagai satu destinasi ekstra hanya pada malam akhir di Switzerland!)

Sejak kembali ke tanahair minggu lepas, ada rakan-rakan yang mula bertanya itu-ini, tips, cara merancang, bajet dan sebagainya. Jadi izinkan saya menggariskan jawapannya di sini sepintas lalu:

(a) Tidak. Kami tidak menggunakan sebarang 'travel agency'. Semua destinasi, bajet dan aturcara perjalanan secara dasarnya dirancang oleh adik ipar kembar saya, Elan dan Eman dengan menggunakan buku 'Western Europe' terbitan Lonely Planet sebagai panduan.

(b) Untuk makan, kami membawa agak banyak makanan dalam tin seperti sadin, tuna dan Brahim dari Malaysia. Kami turut membawa sebuah periuk nasi elektrik dan sekampit beras menyeberangi Selat Inggeris ke semua destinasi.

(c) Kami menyewa dua buah Nissan Note dari Budget Car Rental, U.K. untuk dua minggu. Penggunaan petrolnya agak ekonomikal dan ya, ketika di Eropah kami memandu di sebelah kanan jalan (pertama kali untuk saya). Umumnya, kami telah memandu sejauh hampir 3,000km melintasi 7 negara Eropah.

(d) Memandangkan Belgium mewajibkan penggunaan 'International Driving Permit (IDP)' untuk memandu di sana, saya terpaksa mendapatkannya dari Automobile Association of Malaysia (AAM) sebelum berlepas. Walaupun bukan syarat wajib hampir di kesemua negara yang ingin dilawati, saya dapati ianya memudahkan urusan dan memberikan rasa sekuriti ketika memandu di sana. Manalah tahu kalau-kalau ditahan polis yang tak tahu sepatah haram berbahasa Inggeris!

(e) Sebagai panduan jalan, adik ipar saya telah mengaktifkan sistem Global Positioning System (GPS) yang mana alatnya dipasang dalam kereta. Selain memberikan panduan tunjuk arah melalui peta animasi, suara lunak wanita elektronik juga akan memberitahu bila perlu dibelok kenderaan, ke arah mana dan berapa lama masa tinggal untuk tiba ke destinasi. Semuanya ini dilakukan ketika tangan di stereng dan kaki menekan pemacu. Jadi kebarangkalian untuk sesat hampir tiada sama sekali.

(f) Walaupun tempat tinggal untuk minggu pertama kira 'kautim' (menumpang rumah adik ipar di Rochester), urusan tempahan untuk tempat tinggal di Paris, Switzerland dan Belgium telah dilakukan lebih awal melalui Internet. Cuma di Germany dan Netherlands sahaja yang kami pakai redah. Malah pembelian tiket feri pergi balik Dover-Calais juga dilakukan 'online'. Kami juga menumpukan kepada 'budget hotel' atau hotel yang dikhususkan untuk 'backpackers'. Kami hanya menginap di hotel empat bintang ketika di Amsterdam kerana terdesak, itupun harga biliknya adalah amat-amat mengejutkan. Mengejutkan kerana ianya amat-amat murah!

(g) Sepanjang bulan Januari hingga April 2009, kami sekeluarga bertungkus lumus mencari sumber kewangan untuk kembara ini. Saya berusaha merealisasikan beberapa projek yang mana ada antaranya terpaksa menggunakan wang sendiri dahulu sebagai modal awal (itulah sebabnya agak sengkek dan sibuk pada awal tahun ini). Alhamdulillah kebanyakan perancangan ini membuahkan hasil dan saya berjaya mendapat balik modal beserta pulangannya sekali untuk digunakan bukan sahaja sebagai kos kembara malah untuk membayar pinjaman-pinjaman tertunggak.

(h) Untuk bajet, ianya bergantung kepada kreativiti, perancangan perjalanan yang teliti, berapa banyak mahu mengikat perut tapi cukup untuk memberi kederat bergerak, berapa banyak tempat berbayar yang ingin dikunjungi (seperti Tower of London, Eiffel Tower dan sebagainya) dan berapa banyak acara 'shopping' yang ingin dilakukan. Cukuplah dinyatakan bahawa jika anda berada di landasan betul, kosnya tidaklah sebanyak yang dijangka. Malah ketika pulang, masih ada berkeping duit nota Ringgit, Pound dan Euro dalam dompet.

(i) Berbeza dengan waktu saya menuntut dahulu, kesemua negara Eropah yang kami kunjungi menggunakan matawang Euro sepenuhnya melainkan Britain dan Switzerland yang menggunakannya secara terhad (sebarang pembelian menggunakan Euro akan dikembalikan bakinya dalam matawang lokal). Jadi kami tidaklah kerugian banyak ketika menukar matawang - jimat lagi di sini!

(j) Ya. Kami ada melawat Eiffel Tower di Paris dan ya, kami naik lif hingga ke puncak :)

Entri-entri berikutnya akan mengisahkan travelog perjalanan ke setiap negara, apa yang dialami, tempat yang dilawati, observasi dan konklusi dari pandangan mata ini.

Tungguuuuuu!!!

1 comment:

Faiza said...

Cant wait for next entry,Eurotrip 2009!!!! ;-)