Wednesday, May 20, 2009

Eurotrip 2009: Great Britain (Bhg 3)

Di Malaysia sekalipun, kalau tidak kerana mengejar masa, saya lebih gemar untuk tidak menggunakan lebuhraya. Tujuannya ialah untuk menikmati jalan-jalan kampung, memandu mengikut halaju dan memotong hanya bila perlu. Kecuali bila pulang berhari raya lah!

Pagi 30 April 2009 kami teruskan kembara Great Britain dengan memandu dari Rochester menggunakan jalan kampung atau 'countryside'. Selain meneliti arkitektur rumah-rumah 'kampung', mata boleh pula berehat menyaksikan padang rumput berbunga kuning saujana mata memandang.

Hentian pertama ialah Leeds Castle yang terletak di bahagian tenggara Maidstone di daerah Kent. Ia dibina pada tahun 1119 sebagai penempatan Raja sehinggalah dibuka kepada umum pada tahun 1976. Malah Presiden Anwar Sadat dari Egypt dan Menteri Luar Israel Moshe Dayan juga pernah mengadakan perbincangan awal di sini pada 1978 sebelum menghadiri Camp David Accords.

Setelah memarkir kereta, kami menelusuri taman hijau yang luas yang mengelilingi sebuah tasik damai menuju ke istana. Ketika inilah Direktor-Direktor Seni dalam rombongan kami riuh mengarahkan sesi fotografi. Selang 5 meter berhenti untuk ambil gambar. Dalam satu-satu lokasi pula, entah berapa banyak sudut yang difoto. Itu belum termasuk arahan ketika sedang difoto:

"Kenapa you kaku sangat? Relaks la sikit..."

"Panggil Alyssa masuk. AALYYSSAAA!!! Cepat laaaa...!"

"You duduk belakang I. Letak tangan kat sini"

"Buka speck you. Hodoh tau tak?"

Dan bermacam lagilah. Yang lelakinya - saya, Zadique dan Elan menurut saja. Eman pula masih tidak dapat mengikuti kami kerana bekerja.

Selesai menapak keseluruhan dalaman istana tersebut, kami mula bergerak menuju ke arah taman di bahagian belakang. Ada melalui deretan kedai comel yang menjual kopi dan sandwich, sebuah muzium anjing dan kebun-kebun aneka bunga.

Kemuncaknya ialah 'Maze' dan 'Grotto' raksasa yang mana kita boleh masuk dan menyesatkan diri di dalamnya sebelum ketemu pusat akhir. Saya memilih untuk tidak memasuki 'Maze' berkenaan dan hanya bermain-main dengan Adam di ruang piknik sambil menikmati nyaman udara sekeliling.

Setelah yang menyesatkan diri tadi keluar dari lokasi aktiviti penyesatan sukarela mereka, kami menjamah bekal sandwich yang dibawa.

Dari Leeds Castle, kami bergerak ke Canterbury, masih dalam daerah Kent. Sejak tahun 1170, Canterbury merupakan pusat lawatan penganut-penganut Kristian serata dunia sehinggalah Perang Dunia Pertama meletus. Saya mula menjinakkan diri dengan pekan medieval ini melalui buku 'The Canterbury Tales' nukilan Geoffrey Chaucer pada kurun ke 14, yang mana merupakan antara buku wajib matapelajaran Sastera Inggeris sewaktu A-Levels dahulu.

Oleh kerana jalan sekeliling pusat bandar adalah sempit, pelancong dinasihat menggunakan perkhidmatan 'Park & Ride' di mana kami hanya perlu memarkir kereta di lokasi yang ditentukan dan masuk ke Canterbury City menggunakan bas-bas khas. Basnya percuma tapi parkir perlu dibayar. Kerana perut masih lapar, kami makan sekali lagi di kawasan parkir di Wincheap Shopping Centre, salah satu dari lokasi 'Park & Ride' tersebut sebelum menaiki bas. Sambil mengunyah nasi goreng, tertoleh kanan, kelihatan kereta yang agak 'familiar' di sebelah kereta kami. Perodua Kelisa rupanya dah sampai U.K. Isy! Isy! Malaysia boleh!!!

Canterbury City kini merupakan sebuah pekan 'pelajar' yang memonopoli populasi di samping jumlah pelancong yang meningkat saban tahun. Mulanya kami ingin menjelajah Canterbury Cathedral yang diasaskan oleh St Augustine pada tahun 524.

Tapi memandangkan jumlah pelancong yang terlalu ramai, kami berkeputusan melayari sungai Stour dengan sampan, satu tarikan yang dikendalikan oleh Canterbury Historic River Tours.

Pengayuh sampan kami yang mahu dikenali sebagai 'Captain Jake' amat ramah dan petah bercerita. Khabarnya beliau baru selesai menduduki peperiksaan akhir dalam bidang guaman di University of Kent. Beliau tekun melayan soalan kami dan mengemukakan banyak 'trivia' mengenai sejarah Canterbury dan bangunan-bangunan yang dilewati. Paling menarik ialah sebuah kerusi yang digunakan pada mulanya untuk mengikat mereka yang disyaki ahli sihir untuk dibenam ke dalam sungai. Selepas Zaman Gelap berakhir, kerusi tersebut digunakan untuk mengikat isteri-isteri yang bermulut celupar juga untuk dibenam ke dalam sungai... hahahahaha.

Kami meninggalkan Canterbury City dua jam kemudiannya dan kembali ke Wincheap untuk mengambil kereta yang diparkir. Destinasi terakhir pada hari itu ialah bandar tepi laut Ramsgate yang terletak di bahagian timur Kent. Pekannya mempunyai salah satu kawasan marina yang terbesar di Great Britain dan antara aktiviti utamanya ialah penangkapan ikan.

Ketika kami tiba hari sudah jelang senja dan banyak kedai telah ditutup. Jadi kami hanya menghabiskan masa berfoto di tepian jalanan sambil menunggu matahari terbenam. Suasananya begitu sunyi dan tenang, jauh dari hiruk pikuk London yang dikunjungi semalam.

Untuk dua hari selepas itu, kami masih akan memusatkan kembara di kawasan 'countryside' jadi hiruk pikuk metropolitan tidak menjadi masalah terdekat!

No comments: