Di sebabkan musim bunga, pagi di Britain mula menampakkan sinar seawal jam 5 pagi. Umumnya, saya pun tidak begitu lena tidur. Setiap kali terjaga, menggagau turun tangga ke bilik air kerana tak jumpa suis lampu. Nasib baik tak terjelepuk jatuh!
Hari pertama (penuh), 29 April 2009, kembara Eurotrip 2009 bermula dengan saya dan Elan mengunjungi Budget Car Rental cawangan Rochester. Kelmarinnya sebuah Nissan Note 1.4GL sudah disewa di cawangan Stansted Airport.
Ketika mengisi borang dan menaipnya ke komputer, eksekutif jualan tersebut merungut dalam nada gurau.
"Why do you have such long names?!" Saya dan Elan cuma ketawa.
Selesai sesi isi mengisi borang, eksekutif tadi mula memberikan taklimat tentang kontrak sewa, nombor-nombor perhubungan kecemasan dan sebagainya. Saya bertanyakan nama beliau sebagai rujukan.
"It's Roger. See... short and simple". :)
Memandu di ibu-ibukota mana-mana negara buat kali pertama adalah 'simply hell' dengan kesesakannya, masalah parkirnya dan tunjuk arah yang tepat. Kalaupun ada tunjuk arah GPS atau peta sekalipun, jalannya sering berubah-ubah.
Oleh itu, kami hanya memandu sehingga ke Millennium Dome (atau digelar 'O2' sejak 2005) yang terletak dalam mukim Greenwich di pinggir London.
Perjalanan dari Rochester ke London hanya mengambil masa 45 minit dan cuaca kelihatan baik. Eman, adik ipar saya tak mengikut kerana bekerja.
Setelah memarkir kereta di sana, kami menaiki London Underground, atau 'Tube' ke tengah-tengah Zon 1 London. Dengan tiket 'Day-Access' kami boleh menaiki sebanyak mana dan sekerap mana Tube dan bas dalam Zon berkenaan sampai pengsan.
Destinasi pertama kami ialah Tower Bridge. Ikon London ini mula dibuka pada tahun 1894 untuk menghubungkan Iron Gate di sebelah utara sungai dan Tower Bridge Approach di bahagian selatan. Pada waktu-waktu tertentu, jalan rentang jambatan ini boleh diangkat menggunakan hidraulik untuk memberi laluan kepada kapal-kapal besar menukik.
Ramai juga yang keliru di antara Tower Bridge dan London Bridge (diabadikan dalam 'nursery rhyme' kanak-kanak) yang terletak tak jauh dari situ.
Sepelaung dari Tower Bridge, kami menuju ke Tower of London yang saya kira sebagai lawatan wajib (selain Madame Tussauds) terutamanya kepada mereka yang pertama kali menjejak kaki ke metropolitan ini.
Saya pernah ke sini sewaktu percutian tahun 1998 dahulu tetapi kali ini derap langkah adalah lebih relaks, tidak terkejar-kejar masa dan buat kali pertama berpeluang membaca setiap tok nenek papan informasi tarikan-tarikan dan artifaks di sekitar. Kebetulan terdapat pameran eksklusif 'Henry VIII: Dressed To Kill' di salah sebuah menara. Setiap butir berlian pada Crown Jewels juga mampu diamati teliti.
Kompleks Tower of London mula dibina pada tahun 1078 dan menelusuri sejarah, ia merupakan sebuah kubu, istana, penjara, arkib khazanah dan maklumat serta tempat menjatuhkan hukuman mati. Jika politikus dan blogger di Malaysia sering ditakutkan dengan gertakan "you'll be sent to the ISA detainee camp", politikus dan penjenayah London pada ketika itu gerun dengan "you'll be sent to the Tower".
Ramai aristokrat dan politikus pernah dipenjarakan di sini dan khabar angin mengatakan ada antaranya masih 'berlegar-legar' di sekeliling kawasan ini pada waktu malam. Ada akan dapat 'bertemu' mereka jika anda merupakan peminat majalah Mastika atau Variasari, ahaksss!
Lebih kurang dua setengah jam di Tower of London, kami kembali ke bawah tanah menaiki Tube ke stesen Knightsbridge yang terletak berdekatan dengan gedung Harrods. Secara peribadi, saya kurang terkagum dengan dekor dalaman Harrods yang dikatakan menyerupai 'istana', terutamanya dengan kedapatan kompleks-kompleks seperti Suria KLCC dan Starhill di tanahair sekarang.
Dari observasi pun, saya dapati yang membeli-belah di sini terdiri dari sama ada golongan yang berpoket tebal atau pelancong yang 'shop for the sake of shopping at Harrods'. Sekadar untuk menayang tin teh jenama Harrods pada orang kampung kelak.
Turun bawah tanah lagi (waktu ini dah mula merasa rimas berada berpuluh meter tersisih dari cahaya matahari) dan menaiki Tube untuk ke Westminster. Berposing sakan dengan Big Ben dan Palace of Westminster, lokasi parlimen Britain. Sebenarnya lawatan masuk ke menara jam Big Ben adalah dibuka kepada orang ramai dengan syarat anda mestilah warganegara Britain dan permohonan melawat harus dilakukan melalui ahli parlimen kawasan anda.
Mungkin blogger Nobisha boleh menyarankan cadangan seumpamanya untuk orangramai melawat bilik Perdana Menteri atau setidaknya 'Tingkat Empat' di Putrajaya :p
Dalam syok berposing, saya dapati bateri kamera telah gagal berfungsi walaupun baru diganti pada sebelah pagi. Rupanya bateri Energizer biasa tidak sesuai digunakan pada kamera poket Olympus FE-45 kepunyaan saya. Bila diganti dengan Energizer Lithium barulah jangka penggunaannya tahan lama, malah selepas itu kekal tahan selama 5 hari dengan penggunaan ekstensif!
Sejak menuntut di Britain sekitar 1990-1992 dahulu lagi saya sebenarnya kurang gemar ke London. Saya seringkali akan mendapat migrain bila berada di kota ini sepanjang hari. Mungkin kerana perubahan cuaca, panas hawa hutan batu, kurang makan, gelisah dengan orang banyak atau kerana ada sesuatu yang tak kena dengan kepala hotak ini. Seperti sebelumnya juga, ketika mula berjalan bawah terik matahari London, migrain mula menyerang kepala.
Nasib baiklah kali ini saya ada membuat 'precautionary measures' dalam bentuk Panadol dan Minyak Cap Kapak yang diimport dari Malaysia!
Setelah muak berada di bawah tanah serta bergegas melompat menukar jaluran Tube, kami berkeputusan untuk berjalan kaki dari Westminster ke Trafalgar Square. Dataran yang satu ketika dahulu dipenuhi kawanan burung merpati kini diganti dengan kumpulan pelancong-pelancong dan kaki lepak.
Malah kami juga mengambil peluang melepak di hadapan National Gallery dengan beratus pelepak lain sambil bergambar dengan tugu Lord Nelson (atau dipanggil Nelson's Column).
Seperti mana Dataran Merdeka terhadap kemerdekaan negara, Trafalgar Square yang dibina sebagai monumen memperingati kemenangan tentera laut British sewaktu Perang Trafalgar pada tahun 1805 kini menjadi arena aktiviti melepak. Dengan kesedaran ironik ini, kami tak lupa mengambil gambar di hadapan pejabat cawangan Tourism Malaysia yang berhampiran.
Memandangkan hari sudah jelang gelap, ponggong sudah panas melepak dan kaki sudah penat melangkah, kami mengambil keputusan untuk pulang ke Rochester.
Sesampai di stesen Millennium Dome seraya berjalan ke kawasan parkir kereta, kami sempat bergambar di hadapan kompleks The David Beckham Academy yang ditubuhkan untuk mencungkil dan menggilap bakat golongan muda dalam sukan bolasepak.
Esok kembara menjelajah 'British countryside' akan bermula.
Ini lebih saya gemari dari hiruk pikuk London!
1 comment:
Very Good Post. Thanks
Post a Comment