Banjir merupakan masalah terbesar di Netherlands.
Dengan 27% dari kawasan dan 80% penduduknya berada di bawah paras laut, antara banjir terburuk pernah direkodkan dalam sejarah ialah St Elizabeth's Flood pada tahun 1421 yang menyebabkan lebih 20,000 orang terbunuh. Begitu buruk sehinggakan ada kawasan-kawasan yang tidak surut airnya sehinggalah beberapa tahun.
Ketika banjir yang sama, walaupun kawasan Grote Hollandse Waard ditenggelami air, kawasan tanah tebus Alblasserwaard pula terselamat. Alkisahnya, seorang peladang kembali ke lembah di antara dua kawasan tadi setelah ribut reda untuk mencari apa-apa yang tertinggal.
Dari kejauhan beliau melihat sebuah bakul terapung-apung. Semakin bakul tadi dihampiri, terlihat seekor kucing melompat-lompat dari kiri ke kanan, seolah-olah mengekalkan keseimbangan bakul untuk mengelakkan air banjir dari memasukinya.
Alangkah terkejutnya peladang tadi bila mendapati rupanya bakul tersebut berisi seorang bayi comel yang sedang nyenyak tidur!
Lembah itu kemudiannya diberi nama 'Kinderdijk' yang bermaksud 'Lembah Kanak-Kanak'. Untuk memastikan bencana banjir seburuk itu tidak berulang, sebanyak 19 buah kincir angin dibina di situ pada tahun 1740 - kumpulan kincir angin yang terbanyak pernah dibina dalam sesuatu kawasan di Netherlands.
Kinderdijk adalah destinasi persinggahan kami pada 10 Mei 2009, masih di hari ke duabelas Eurotrip 2009. Setelah lebih sejam memandu dari Amsterdam, kami tiba di mukim Alblasserdam yang terletak di daerah selatan Holland. Mulanya kami menyangka Kinderdijk tak akan begitu ramai pengunjung kerana lokasinya yang 'off the beaten path'. Namun melihat kepada jumlah kereta yang berada di parkir dan kesibukan pekerja trafik mengawal lalu lintas, ternyata Tapak Warisan Dunia UNESCO ini agak popular rupanya.
Kincir-kincir angin ini berfungsi untuk mengepam air berlebihan masuk ke dalam empangan yang disediakan demi mengelak banjir. Walau begitu, ia tak dapat mengimbangi paras air dengan 100% sempurna.
Antara 19 buah kincir yang tinggal, cuma satu daripadanya bergelar 'Bezoekersmolen' (Kincir Pelawat) dibuka kepada umum. Melalui tayangan video, dekor, perabut dan poster, kami berpeluang melihat bagaimana sebuah keluarga yang tinggal dan bekerja dalam kincir ini menjalani hidup seharian. Kami juga boleh memanjat tangga curam ke tingkat teratas untuk melihat sendiri jentera kincir berkenaan.
Banjir terus menjadi masalah kepada penduduk setempat, walaupun tidak seteruk sebelumnya, sehinggalah kincir-kincir moden menggunakan kuasa minyak dan elektrik dicipta.
Ketika melepak meneguk kopi panas di kafetaria berdekatan, Pengarah-Pengarah Seni kembara kami menunjukkan foto kincir di kelilingi bungaan tulip beraneka warna yang sering menghiasi kebanyakan poskad dan broseur pelancongan Netherlands. "We must go there"; kata Nina.
Dengan bantuan buku 'Western Europe' terbitan Lonely Planet kepunyaan Elan, kami berpatah balik ke arah Amsterdam untuk menjejak 'lokasi gambar poskad' tersebut yang letaknya berhampiran bandar Lisse di bahagian barat Netherlands. Destinasi dimaksudkan ialah Keukenhof (bermaksud 'Taman Dapur'), yang juga digelar 'Garden of Europe' dan merupakan taman bunga terbesar di dunia.
Mungkin kerana taman ini hanya dibuka selama dua bulan dalam setahun (antara bulan Mac hingga Mei, ketika musim bunga), orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjunginya. Kawasan parkir kereta seluas tiga padang bola dipenuhi kenderaan. Gerai-gerai menjual 'waffle' garing, buah-buahan segar dan minuman berserakan. Cuaca panas juga membuatkan saya berpeluh buat kali pertama sejak keseluruhan kembara ini!
Sebenarnya 'foto dalam poskad' tersebut diambil di kawasan tapak semaian tulip di bandar Lisse dan kemudiannya dipindahkan ke Keukenhof. Agak terkilan kerana waktu menyemai telah pun tamat berbulan sudah dan yang tinggal hanyalah tapak tandus! Walau bagaimanapun, kincir yang terpamer melalui 'foto dalam poskad' tadi berjaya ditemui!
Seandainya saya ini peminat bunga-bungaan mungkin saya mampu memberi penilaian sewajarnya terhadap taman ini yang dibuka pada tahun 1949, bertujuan untuk mengumpulkan berbilang spesis bungaan dari serata Netherlands dan Eropah. Atau setidaknya jika saya seorang taukeh bunga yang berkunjung ke negara pengeksport terbesar bunga di dunia ini untuk mengembangkan bisnes.
Paling lekeh pun, sekiranya saya seorang Menteri Pelancongan yang melawat ke sini kononnya untuk mencari 'ide baru'. Kemudiannya membuat sidang akhbar mengumumkan bahawa taman seumpama ini akan dibuka di dalam negara tak lama lagi. Padahal Taman Orkid yang terletak di Taman Tasik Perdana sudah lama wujud dan ketika ini ianya seperti hidup segan mati tak mahu!
Memandangkan kami terpaksa bergegas ke Belgium, lokasi terakhir (sob! sob!) kembara Eurotrip 2009 sebelum jelang malam (juga kerana tidak begitu berminat dengan bunga-bungaan) kami tidak menapak Keukenhof yang berkeluasan hampir 32 hektar ini sepenuhnya.
Kembara ini sudah hampir ke penghujungnya. Alahai...
No comments:
Post a Comment