Thursday, May 28, 2009

Eurotrip 2009: Netherlands (Amsterdam I)

"Woit... woit... basikal... BASIKAL... brek... BREKKKK!!!"

Eman mengejutkan Elan yang sedang memandu kereta, mencari-cari parkir dan hotel penginapan di Amsterdam hingga nyaris terlanggar wanita pengayuh basikal yang kudung sebelah tangan.

Phewww... semua menarik nafas lega kerana satu kemalangan dapat dielakkan. Inilah akibatnya bila jalanraya digunakan bukan sahaja oleh kereta dan bas, malah dikongsi bersama oleh segala mak nenek basikal, tren dan pejalan kaki!

Dianggarkan terdapat lebih 465,000 buah basikal di Amsterdam pada tahun 2006 dan ia didorong faktor utama bahawa mengayuh basikal adalah lebih mudah (dan murah) daripada memandu kereta di bandar ini.

Jika di Malaysia, R.P.M. mengganas dan menyangka merekalah raja tapi di Amsterdam basikal merupakan raja jalanan. Hah! Ambik kau rempit!

Sebaik sahaja memasuki Amsterdam pada 9 Mei 2009, masih di hari ke sebelas kembara Eurotrip 2009, satu perkara menyingkap perhatian - betapa kotor dan tak terurusnya bandar yang merupakan ibukota Netherlands ini. Bayangkan bandar atau pekan terkotor yang pernah anda lawati, kemudian gandakan kekotorannya 2 kali untuk Amsterdam!

Kami menemui 2 parkir kosong di sebelah sebuah terusan. Mata terbeliak seketika bila mendapati kadar meletak kereta di sini (dan hampir keseluruhan bandar Amsterdam) adalah lebih kurang €5 sejam! Bandingkan dengan kadar yang sama di persinggahan kami sewaktu di Paris, iaitu €5 untuk sehari! Patutlah majoriti penduduk lebih rela mengayuh basikal.

Sepanjang Eurotrip 2009, kami tidak menempah penginapan lebih awal hanya untuk dua lokasi - Germany (kerana keputusan mengunjunginya dilakukan pada saat akhir) dan Netherlands. Bila Elan dan Eman mengatakan bahawa kebanyakan hotel yang mereka 'reckee' sudah penuh, kami terdiam seketika.

Apabila rimas dengan kekotoran, kemahalan, kekelam-kabutan dan kecaca-merbaan Amsterdam tiba di kemuncak, kami mengambil keputusan yang kami harus keluar dari bandar ini secepat mungkin. Tak kiralah nak ke mana pun, tapi kami harus KELUAR!

Kami memandu keluar kota yang mana destinasinya kami pun tidak benar-benar pasti. Malah apa yang harus dilakukan pun kami kurang pasti! Mungkin kerana letih memandu sehari suntuk dari Luxembourg dan perut kosong membuatkan kami tidak boleh berkreatif. Jadi saya mencadangkan agar kami masuk semula ke lebuhraya dan singgah di hentian Services yang pertama ditemui untuk mengisi perut dan merehat minda sebelum langkah seterusnya diambil.

'Lady Luck' mungkin menyebelahi kami kerana hentian tersebut disambungkan melalui jejantas ke sebuah hotel di seberang lebuhraya. Setelah perut diisi, kami bergegas ke hotel berkenaan untuk 'reckee'. Namun melihat kepada saiz, dekor dalaman dan jumlah (serta jenis) kereta yang diparkir di Hotel Restaurant Schiphol A4 ini - saya terus jadi skeptik kerana segalanya menunjukkan bahawa ia merupakan hotel bertaraf empat bintang! Pasti tak 'ngam' dengan bajet terhad kami kumpulan backpackers!

Kami menghampiri kaunter pertanyaan. Penyambut tetamu yang wajahnya mirip Keira Knightley memberikan sehelai broseur senarai harga bilik dan meminta kami menelitinya dahulu. Bila diteliti, kami bertambah skeptik dan sukar mempercayai bahawa sebuah bilik untuk 6 orang hanya berharga €200 semalam. Atau dengan ertikata lain, hanya €33 seorang jika jumlahnya dikongsi oleh kami berenam (Alyssa dan Adam tidak dikira)!

Jika benar, ianya adalah jauh lebih murah (dan jauh lebih eksklusif) dari penginapan kami di Saarbrücken, Germany malam sebelumnya!

Perasaan skeptik bertukar menjadi kegaguman dan kelegaan bila penyambut tetamu hotel mengiyakan bahawa itulah harga sebenarnya. Nett! Dan biliknya... tak payah komenlah! Memang sesuai dengan tarafnya sebagai hotel empat bintang!

Kualiti dan harga penginapan kami di Amsterdam ini merupakan kejutan kedua terbesar bagi saya sepanjang Eurotrip 2009, selepas Devil's Dyke, UK!

No comments: