Sempadan geografi hanyalah ilusi yang digaris, dipecah-belah dan disiat-siat oleh politik.
Menurut Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), ahli filsuf, penulis dan pemikir politik:
"Manusia pertama yang memagari tanahnya, mengatakan 'Ini milik aku' dan menemukan beberapa orang yang begitu naif mempercayai beliau, merupakan orang pertama yang menemukan tamadun manusia... Berhati-hatilah bila mendengar si penipu ini; tiada jalan pulang jika sesekali kamu terlupa bahawa hasil bumi ini adalah milik semua; dan dunia ini bukanlah kepunyaan sesiapa pun".
Petikan ini terngiang-ngiang di minda setelah hampir 6 jam memandu meninggalkan Dijon, destinasi akhir kami di France, pada 6 Mei 2009, hari kelapan kembara Eurotrip 2009. Mata makin berat memandang jalan di hadapan. Kaki makin lenguh menekan 'pedal' petrol. Diri hampir bosan membaca papan-papan tanda yang nahu dan ritma bahasanya sama sahaja. Fokus makin tersisih melihat landskap yang mendatar dan 'monotonous'.
Tiba-tiba, dari kejauhan, gunung-gunung putih mula kelihatan. Dari jauh ia kelihatan seperti awan putih pada hari yang cerah.
Secara literal, kami seakan memandu mengejar gunung-gunung putih tadi. Semakin lama, semakin hampir. Semakin jelas.
Lampu kereta dinyalakan dan kami menyusur masuk ke dalam terowong di lebuhraya. Panjangnya terowong ini. Gelap. Gamaknya mungkin lebih panjang daripada Terowong SMART jauh di tanah air. Dua minit berlalu... isyy... bila nak keluar ni? Ahh... sudah dapat dilihat cahaya di hujung. Terowong gelap ini bakal berakhir. Kereta terus dipandu. Cahaya makin hampir, makin terang, makin bagak. Gerbang keluar terowong dilewati. Dan...
WOWWW! Semua di dalam kereta terdiam, tergamam, terlopong berhadapan suatu permandangan yang belum pernah dilihat seumur hidup kami setakat ini!
Mungkin inilah yang telah menginspirasikan Rousseau untuk menempelak sempadan yang direka-suai politikus!
Selamat datang ke Switzerland!
Kereta menghampiri plaza tol. Lelaki kemas berpakaian askar menyapa kami. Ingatkan ada pemeriksaan pasport atau bahagian belakang kenderaan. Rupanya askar berkenaan dengan ramahnya sekadar memberitahu akan kos bayaran Swiss Motorway Vignette di mana tiketnya (dilekat pada cermin hadapan kereta) mempunyai sahlaku selama 12 bulan. Setelah wang dihulurkan, beliau dengan sopan bertanya di mana harus beliau lekatkan tiket tadi!
Kami melepas lelah di hentian Services lebuhraya yang pertama ditemui. Sekadar merakam pembuktian pertama kali menjejak di bumi Switzerland. Kebetulan ada papan tanda arah terpacak di sebelah hentian tadi. Elan, Eman dan Alyssa pun berkreatif.
Setelah hampir muak dengan 'simplicity' hentian Services sekitar France yang hanya terdiri dari stesen petrol dan beberapa kerat kawasan parkir, kami juga terpesona dengan dekor dan keluasan hentian Services yang pertama kami singgah di Switzerland.
Pemanduan diteruskan sehinggalah ke bandar Interlaken yang terletak di dalam kawasan tanah tinggi Jungfrau. Eman dan Elan telah pun menempah penginapan 2 malam kami di bandar ini secara 'online'. Sebaik menjejak kaki ke dalam Lazy Falken Backpackers Hotel dan segala urusan pendaftaran disempurnakan, terus terang saya terus terberkenan dengan hotel ini. Malah secara peribadi, inilah hotel penginapan favorit saya ketika di bumi Eropah dalam kembara Eurotrip 2009!
Walaupun kami tiba agak lewat dan hari telah pun gelap, penyambut tetamunya (merangkap Lembaga Pengarah hotel) begitu ramah serta tak lekang-lekang tersenyum. Suasana di dalamnya tenang tetapi berbaur dengan keakraban. Biliknya kecil namun dua buah katil bertingkat membangkitkan nostalgia ketika kecil. Tilamnya empuk. Bantalnya lembut. Ada bar. Ada kemudahan komputer dengan khidmat Wi-Fi. Malah ada ruang dapur kongsi yang lengkap dengan perkakas dan pinggan mangkuk!
Kami berlegar-legar di seluruh hotel sehinggalah terjumpa satu pintu di tingkat tiga yang membawa kami ke balkoni hotel. Sebaik pintu dibuka, kepala didongak, sekali lagi seperti di siang tadi... WOWWW!
Dalam keseluruhan kembara Eurotrip 2009, mungkin pada malam itulah saya tidur paling nyenyak! Puas!!!
No comments:
Post a Comment