Rakyat Malaysia ada di mana-mana!
Ketika bersarapan pagi di ruang restoran Lazy Falken Backpackers Hotel, terlihat 4 gadis yang mana cara ikatan tudung mereka nampak begitu 'familiar'. Rupanya mereka adalah staf Petronas yang bercuti sambil 'backpacking' ke beberapa negara Eropah selama 2 minggu.
Dalam berpuluh-puluh hotel di Interlaken dan berpuluh-puluh negara di Eropah, apakah kebarangkalian 2 kumpulan dari Malaysia bertemu di satu tempat secara tak sengaja?
Hari ke sembilan Eurotrip 2009, 7 Mei 2009 bermula dengan hirupan udara segar dari balkoni hotel penginapan kami tersebut. Lapan lagi warga Malaysia telah bersedia merayau-rayau dan 'menakluki' Interlaken!
Interlaken merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di antara Tasik Brienz dan Tasik Thun dalam wilayah Bern di Switzerland. Dengan bilangan penduduk kurang dari 6,000 orang (2008) serta kurniaan landskap pergunungan yang begitu indah dan tenang, ia merupakan antara lokasi kegemaran 'backpackers' dan 'adventurers' yang meminati sukan ekstrem seperti 'skydiving', 'paragliding' dan ski.
Tarikan utama sudah tentunya Puncak Jungfrau (bermaksud 'anak dara' dalam Bahasa German), setinggi 4,158m yang terletak dalam Banjaran Swiss Alps dan merupakan di antara puncak-puncak banjaran yang tersohor keindahannya.
Kami memandu menaiki bukit ke kawasan pedalaman hingga tiba ke pekan Grindelwald, masih dalam mukim Interlaken, yang terletak pada 1,034m dari aras laut. Setelah terkejar-kejar masa (dan tren) di 2 destinasi metropolitan sebelumnya (London dan Paris), masa dan ketika seakan terhenti sebaik sahaja tiba di sini dan mata terpaku menikmati panorama pergunungan di sekeliling.
Tak cukup dengan itu - lembah-lembah hijau berumput seperti hamparan permaidani, kelompok lembu-lembu ternakan dan rumah-rumah papan berserakan - menambah rasa 'surreal' diri yang seolah-olah sedang berada dalam alam cerita-cerita dongeng khayalan purba.
Gamaknya, masih tidak cukup lagi dengan segala di atas - deruman air terjun tinggi di kawasan Trummelbach menghempas batu-batan di bawahnya mencipta suatu ilusi saliran kabus yang lembut berhembus dalam gerak-perlahan.
Kami berhenti mengalas perut seketika di tepian sebatang sungai yang dijirani padang hijau luas. Selera saya sebenarnya sudah penuh berisi makanan mata hidangan Pencipta, mengingatkan diri akan kebesaranNya dan anugerah-anugerah kehidupan kurniaNya yang Maha Agung.
Alyssa dan Adam berlari-lari girang kejar-mengejar seperti dunia mereka yang punya.
Elan, Eman, Nina dan Zadique kemudiannya mengambil keputusan untuk masuk melihat Trümmelbachfälle dengan lebih dekat. Memandangkan terpaksa menapak naik, pengalaman perit melakukan kedua-dua 'Canopy Walk' dan 'Nature Walk' di Taman Forest Research Institute Malaysia (FRIM) dua minggu sebelumnya, membuatkan saya berfikir dua kali mengikut mereka. Saya dan Nani berehat di dalam kereta sambil mengimbas foto-foto kembara Eurotrip yang berjaya dirakam setakat itu.
"Papa... mana salji? Kami nak main salji!"; tanya Alyssa. "A'ahhh... Adam pun nak main salji!"; tambah Adam pula.
Memandangkan kami sedang berada dalam musim bunga, kemungkinan bertemu salji hanya akan termakbul andai kami menderap kawasan yang lebih tinggi. Kami memandu ke stesen kereta kabel yang dikenali sebagai Luftseilbahn Stechelberg-Mürren-Schilthorn (LSMS) dengan kemudahan akses hingga ke Schilthorn, 2,970m dari aras laut. Menjeling papan tanda harga tiket, hmmm... mahal juga. Untuk memastikan salji sememangnya ada dan pengempisan poket kami berbaloi, kaunter pertanyaan dihampiri.
"Can we actually find snow at the cable-car destinations?"; tanya Eman. Penjual tiket yang agak fasih berbahasa Inggeris tertawa, menganggap pertanyaan tersebut lucu.
"You mean you want to go up there just to see snow?"; tanyanya dalam nada seloroh.
"Yeah... the country we're from, there's no snow, you see..."; kata Elan pula.
"Hahahahaha... if you want snow, maybe you can go straight to the Jungfrau peak!"; jawab Penjual Tiket berjenaka. Kami turut ketawa.
"What are the alternatives? It's important that we find snow!"; saya menyampuk, masih 'playing along' dengan keseluruhan keselorohan.
"You can take the cable car to Schilthorn"; kata beliau sambil menunjuk ke papan tanda harga. Hentian terakhir dan tertinggi kereta kabel. Juga yang termahal. "Or you can go up to Mürren, there could be some avalanche leftovers there"; cadang beliau lagi.
'Leftovers' pun 'leftovers' lah... kami membeli tiket dan menaiki kereta kabel ke Mürren yang terletak pada ketinggian 1,650m dari aras laut. Peminat filem James Bond 007 pasti mengenali pekan kecil ini sebagai lokasi filem 'On Her Majesty's Secret Service' (1969) dengan George Lazenby memegang peran utama.
Dan ya! Salji 'leftovers'! Pengalaman pertama Alyssa dan Adam bergelumiang dengan salji asli!
Menariknya, pekan ini cuma mempunyai 450 orang penduduk. Namun katil hotel yang disediakan adalah sebanyak 2,000 buah!
Mungkin tidak perlu sebarang kata-kata indah. Rasa cukup digambarkan melalui foto-foto yang dirakam.
Walau betapa cantik, agung dan gemilang sekalipun panorama di sini, terdapat satu faktor 'turn-off' mengenainya. Hakikatnya hampir keseluruhan kawasan ini 'dicemari' oleh bau tahi lembu yang ada kalanya begitu tengik dan menyucuk hidung!
Hukum alam menentukan bahawa tiada satu pun perkara di dunia ini yang 100% sempurna!
No comments:
Post a Comment