Wednesday, May 27, 2009

Eurotrip 2009: Switzerland (Luzern)

Dari satu perspektif, saya ada merasakan seolah-olah kembara Eurotrip 2009 mencapai klimaksnya di Switzerland.

Bukanlah bermakna negara-negara yang kami lawati selepas Switzerland itu kurang menarik. Mungkin di sebabkan 'kejutan' atau 'benda baru' yang agak kurang selepas Switzerland. Atau mungkin sebelum ini saya tidak begitu 'mengendahkan' sangat negara-negara seperti Belgium atau Luxembourg berbanding Great Britain, France atau Switzerland.

Ketika 'check out', kami tergamam ('impressed' adalah perkataan yang lebih tepat) apabila kerani kaunter (dan mungkin salah seorang pemilik) Lazy Falken Backpackers Hotel melontarkan kalimah "Take care!!!" dalam Bahasa Malaysia.

"Hati-hati!!!"; katanya dengan pelat yang agak pekat.

Sekali lagi, hakikat bahawa beliau tahu bertutur kalimah tersebut menyimpulkan sama ada hotel itu mempunyai khidmat pelanggan yang cemerlang atau orang Malaysia memang selalu menginap di situ!

Walau apapun, kami meninggalkan bandar Interlaken pada 8 Mei 2009, hari ke sepuluh kembara kami, dengan berat hati. Mulai saat itu - panorama gunung salji, kabus putih air terjun dan padang hijau yang luas (serta bau tahi lembu, ahaks!!!) - akan kembali singgah hanya di dalam mimpi dan di situlah ianya akan kekal abadi.

Setelah melalui jalan-jalan berbukit yang mengingatkan saya terhadap jalan liku likit di sekitar Batu Feringghi Pulau Pinang, kami menghampiri (dan memasuki secara tak sengaja) bandar Zürich, ibukota budaya Switzerland dan juga digelar sebagai bandar yang memiliki kualiti hidup terbaik di dunia (dan yang terkaya di Eropah). Walau bagaimanapun, kami tidak pernah berhasrat menjadikan bandar ini sebagai tempat persinggahan Eurotrip 2009 dan hasrat tersebut dikotakan. Setidaknya ada juga sekeping-dua fotograf yang menjadi testimoni bahawa 'kami dah sampai Zürich'!

Sejam kemudian, kami memasuki Luzern (atau 'Lucerne' - bergantung pada bahasa apa anda gunakan untuk mengeja), bandar dengan kepadatan penduduk tertinggi di Switzerland. Kereta diparkir dalam kompleks Grand Luzern Casino dan dari situ kami menapak ke pusat bandar melewati sebuah taman tasik yang juga digunakan sebagai marina.

Walaupun permandangan Tasik Luzern yang berlatar belakangkan Gunung Pilatus membuatkan bandar ini terkenal di kalangan pelancong, hakikatnya selepas menjejak kaki di Interlaken, pada saya seolah-olah 'tiada apa yang baru lagi' di Switzerland!

Antara tarikan utama di tengah-tengah kota ini ialah Kapellbrücke Bridge, jambatan kayu tertua di Eropah (dibina pada tahun 1333), sepanjang 204m merentangi Sungai Reuss. Bersebelahannya terletak Wasserturm atau 'menara air' setinggi 34m yang dipernah digunakan sebagai penjara, pusat menyiksa pesalah dan arkib perbendaharaan. Juga pernah dimanfaatkan sebagai rumah api atau 'lucerna' dalam Bahasa German - di mana bandar ini mendapat namanya. :)

Setelah lebih seminggu jauh di perantauan, mungkin rasa rindu membuatkan saya teringat pada kontroversi 'Jambatan Bengkok JB' bila saja melihat Kapellbrücke yang juga membengkok melengkung melepasi Wasserturm!

Puas dengan Luzern, pemanduan diteruskan 1 1/2 jam kemudiannya. Daripada terus menuju ke Luxembourg seperti rancangan asal, kami melencong mengetuk pintu Germany!

No comments: