Wednesday, May 27, 2009

Eurotrip 2009: Germany

Seorang rakan lama yang menjalankan bisnes agensi pelancongan meninggalkan mesej di BandarUtopia, katanya "Aku tak leh cari makan...", merujuk kepada entri-entri Eurotrip 2009 setakat ini.

Bukanlah menidakkan perlunya khidmat agensi sebegitu, cuma saya melihat perancangan, kaedah dan implementasi kembara kami ke Europe sebagai alternatif, terutamanya apabila bajet agak terhad. Ada antara kita yang melihat percutian semata-mata sebagai suatu 'luxury' - malas nak memikirkan tentang aturcara, tempahan tiket & penginapan, makanan, dan sebagainya - juga lebih cenderung menggunakan khidmat agensi pelancongan.

Pada saya, satu kelebihan mengembara seperti yang kami lakukan sewaktu Eurotrip 2009 ialah fleksibiliti.

Selain daripada jadual penerbangan yang sememangnya 'fixed', kami tidak begitu terikat mengejar masa dan aturcara. Teringat nak berhenti memotret di tepi lebuhraya, berhenti saja. Terbaca tentang lokasi menarik yang jaraknya hanya 30 minit dari mana-mana tempat kami hinggap ketika itu, pergi saja. Rasa seperti ingin melepak lebih lama di sesuatu lokasi, lepak saja... nak tidur semalaman pun boleh! :)

Fleksibiliti inilah yang membolehkan kami berkeputusan untuk menambah Germany sebagai salah satu negara lawatan pada saat akhir. Keputusan ini dilakukan pada malam terakhir kami di Interlaken, Switzerland.

Cuma dengan penambahan Bundesrepublik Deutschland ini, kami terpaksa mengurangkan jadual singgah di Amsterdam kemudiannya dari 2 kepada 1 malam sahaja. Tapi itu pun tidak begitu menjadi masalah memandangkan belum ada sebarang tempahan penginapan dibuat untuk Amsterdam nanti.

Setelah beberapa jam memandu meninggalkan Luzern, Switzerland pada 8 Mei 2009, masih di hari ke sepuluh kembara Eurotrip 2009, landskap yang sebelum ini bergunung-ganang bersalji mula berubah wajah kepada hutan-hutan belantara pain dan fir yang tinggi melangit. Awan mendung gelap, menambahkan 'mood' suram persekitaran.

Kami berhenti di satu kawasan tanah tinggi bersebelahan jalanraya. Mungkin kerana Germany berjiran dengan Austria, negara lokasi filem 'The Sound of Music', saya tak dapat lari dari 'humming' lagu tema filem berkenaan memandangkan landskap di hadapan mata yang identikal dengan tempat watak Maria Von Trapp berlari bernyanyi di awal filem!

Melewati jalan-jalan sempit menaiki bukit dan menuruni lembah pada hujung minggu ke Sailor's Rest di Janda Baik, Pahang lekat dalam ingatan ketika permandangan kiri-kanan jalanraya perlahan-lahan berubah menjadi hutan belantara. Rumah-rumah papan di sekitarnya juga kecil dan unik. Secara rasmi, kami telah memasuki kawasan Schwarzwald ('Black Forest' atau 'Belantara Hitam') di timur laut Germany - satu kawasan yang luas keseluruhannya hampir kepada 12,000km persegi.

Sebuah rumah papan usang di pekan Hexenloch yang mempunyai kincir air menarik perhatian kami untuk berhenti memotret. Di pintu masuk terpampang namanya, 'Hexenlochmühle'. Alyssa memberi komen yang tuan punya rumah ini kelihatan seperti seorang ahli sihir, terutama dengan fesyen rambut dan 'make-up' wanita itu yang kelihatan gothik. Malah 'hexenloch' sebenarnya bermaksud 'lubang ahli sihir'...

Jalan dilalui membawa kami semakin jauh ke dalam hutan belantara tebal. Tiada kereta, rumah atau penduduk sekitar yang kelihatan. Suasana mendung bertambah gelap bila cahaya matahari terlindung oleh rimbunan tinggi pain dan fir. Isyarat telefon bimbit dan radio juga tiada.

Kami berhenti lagi di satu kawasan dalam daerah Breitnau. Saya berseorangan memasuki kelam hutan.

Tiba-tiba segalanya hitam. Badan saya menggeletar dan dari situ, saya tidak sedar apa yang berlaku. Alih-alih, saya sudah pun berada di dalam kereta yang memecut laju.

Menurut Nani, setelah lebih 1/2 jam saya tidak pulang ke kereta, Elan dan Eman menderap jejak saya jauh ke dalam hutan. Meremang roma mereka bila melihat saya terapung, bola mata memutih dan mulut terbuka. Saya dikatakan bertutur dalam bahasa yang tidak difahami, kedengarannya seperti "Die ganze sie sind getäuscht worden! ES GIBT KEINE GEISTERRRR!!!".

Malah mereka sempat merakamkan insiden menyeramkan tadi di kamera.

Keletihan, saya tidur sepanjang perjalanan sehinggalah tiba di pekan Schiltach yang terletak pada 295 hingga 842m dari aras laut, dalam mukim Rottweil di bahagian timur Schwarzwald. Hari telah menjelang senja dan kami masih belum menemukan hotel yang sesuai dijadikan penginapan. Arkitektur dan dekor bangunan sekeliling menarik perhatian. Jantung saya walau bagaimanapun masih berdegup kencang.

Seorang lelaki tua menghampiri kereta kami. Matanya kemerah-merahan.

"Warum sind ihre auto nummern schilder unter schiedlich???"; tanyanya dalam Bahasa German yang tak difahami.

"We're from Malaysia. We rented the car in England"; jawab saya sekadar meneka maksud pertanyaan beliau.

"Ohhh!!! VIELE MALAISIE GLAUBEN AN GEISTER! Dumm... DUMMMMMMM!!!"; suara beliau ditinggikan. Mukanya kemerah-merahan sambil membeliakkan mata.

"Yeah... that's right..."; jawab saya perlahan. Itu saja yang mampu saya katakan.

Akhirnya kami tiba di pekan kecil di pinggir Saarbrücken, bandar yang pernah menjadi pusat perlombongan dan arangbatu terkenal di Germany. Kembali ke 'civilization', saya menarik nafas lega. Kami menempah bilik di Hotel Am Schenkelberg yang sederet bersebelahan dengan sebuah pub. Pemiliknya tidak tahu berbahasa Inggeris. Maksudnya hanya ditebak dan respons kami diberi berdasarkan gerak tangan dan raut wajah beliau.

Keesokan paginya, kami turun ke bawah dan mendapati sarapan telah pun disediakan. Chefnya menawarkan 'bacon' namun kami menolak. Roti croissant, bun dan kek yang disapu madu, jem dan mentega sudah cukup untuk kandungan vitamin, protein dan karbohidrat kami bagi memulakan hari kembara yang baru.

Selepas 'check-out', kami memandu meninggalkan kawasan Belantara Hitam yang suram dan misterius. Menjengah semula padang rumput Germany yang dihias-warnai bunga-bungaan kuning sejauh mata memandang.

Dan kembara ke 'Tanah Kisah Dongengan' ('Fairy Tale Land') yang lebih ceria di Luxembourg!

**********************************

Nota: Jika anda mempercayai bulat-bulat episod 'ngeri' di Schwarzwald tadi, saya pasti anda akan mempercayai apa jua cerita, termasuklah kisah Hantu Kebaya Merah di Kedah dan mana-mana episod siri Seekers.

Atau mana-mana kisah yang dipaparkan dalam majalah Variasari dan Mastika... :)

1 comment:

Hasrul Halid said...

Geist???? as ist, weil der MASTIKA