Dalam hidup ada kalanya seseorang yang kita temui mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri, sehingga kenangan-kenangan bersama beliau kekal menjadi imej-imej gerak yang seolah-olah sedang berada di hadapan mata --- walaupun kenangan tersebut telah berlalu berpuluh tahun lamanya.
Semalam, 3/3/08, dalam pukul 8.30pm, saya menerima panggilan telefon dari Awein, adik perempuan saya, mengatakan "Uncle Malik telah kembali ke Rahmatullah" sekitar jam 7pm tadi. Setelah sekian lama didiagnosis dengan kanser dan menjalani beberapa siri kimoterapi, beliau dimasukkan ke Intensive Care Unit (ICU) beberapa hari lepas di Hospital UKM (HUKM).
Uncle Malik, nama panggilan yang kami adik beradik memanggil beliau, merupakan salah seorang rakan baik ayah kami. Bila difikirkan, rasanya beliaulah rakan baik ayah yang paling rapat dengan kami.
Reaksi spontan ketika menerima panggilan itu sebenarnya tidak begitu mengejutkan. Kebetulan saya harus menyiapkan kertas kerja penting. Namun ketika melabuhkan kepala ke bantal kemudiannya, tiba-tiba imej-imej gerak kenangan bersama Uncle Malik dan keluarganya kembali silang menyilang antara satu sama lain. Begitu jelas seperti ada pemain DVD yang memutarkannya dan saya menontonnya di kaca mimpi.
Chapter 1Mungkin ketika saya berumur 6 atau 7 tahun. Uncle Malik yang sebelum itu bekerja di Britain telah berkahwin dengan gadis tempatan. Kiranya itulah kali pertama ayah dan mak berkunjung ke rumah beliau untuk bertemu isterinya, yang saya panggil Auntie Hayati (nama Islamnya).
Chapter 2
Uncle Malik dan Auntie Hayati berkunjung ke rumah kami sewaktu Hari Raya. Saya berumur 9 tahun. Mereka berdua tertarik dengan petikan 'lafaz cinta' yang dibingkaikan di dinding rumah kami. Bingkai itu sudah tiada, namun saya ingat mereka tertawa bila terbaca: "Love is... saying I love you every single day to your partner".
Chapter 3
Uncle Malik dan Auntie Hayati berpisah. Anak-anak mereka --- Mahani, Suraya dan Karim --- mengadakan majlis harijadi dan ayah memaksa kami adik beradik pergi. Saya berada dalam Darjah 6. Rupanya hanya kami sahaja jemputan yang hadir. Uncle Malik menjadi hos parti tersebut dan kami bermain berbilang party games. Masih teringat Suraya menangis kerana tidak mahu mengalah bila bermain 'Polis Sentri': "No... I hate to get caught. How would you feel if you get caught by a police, Dad?" jerit Suraya.
Menariknya umur mereka tiga beradik masing-masing serupa dengan umur kami adik beradik. Saya sama umur dengan Mahani. Suraya sama umur dengan Amli, adik lelaki saya. Dan Karim sama umur dengan Awein, si adik bongsu. Umur sama, cuma jantina berlainan.
Kami tidak bertemu mereka selepas itu buat satu masa yang lama. Uncle Malik dan Auntie Hayati bercerai dan si ibu mendapat hak penjagaan anak dan membawa mereka bertiga ke Britain. Ibunya berkahwin lain. Yang saya dengar (dan kagumi) ketika itu ialah bagaimana gigihnya Uncle Malik berusaha mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya tanpa kenal penat lelah dan jemu.
Ketika mengambil kursus A-Levels, saya mendapat tahu yang anak-anak Uncle Malik ada mengirimkan surat kepadanya mengatakan mereka sayang padanya dan ingin pulang ke Malaysia untuk tinggal bersama beliau. Dengan surat itu, Uncle Malik membawa kes itu semula ke mahkamah dan berjaya mendapatkan hak penjagaan bersama. Suraya dan Karim pulang ke Malaysia dan disusuli Mahani tidak lama kemudian.
Chapter 4
Tidak lama selepas saya pulang dari UK. Ayah dan mak mengajak saya ke majlis perkahwinan Suraya. Masih diingat ucapan Uncle Malik; "Suraya, though we may have our disagreements, you'll always and ever be my little Princess". Saya lihat Suraya mengesat airmatanya di meja santapan utama. Suraya ketika itu mula bertapak sebagai salah seorang model terkemuka di Malaysia. Karim pula menjadi jurulatih tenis (dan tak lama kemudian ada digossipkan dengan penyanyi Ruhil).
Itulah kali pertama saya bertemu Mahani, kakak sulung setelah sekian lama. Saya mendapat tahu beliau menggiatkan diri sebagai penari tarian kontemporari dan mengadakan persembahan di Kapitan Club. Saya berkata, andai dapat tiket percuma, saya pasti akan pergi menonton. Cuma sekadar 'penghangat bicara'. Seminggu kemudian Mahani menelefon dan menjemput saya ke persembahannya pada hujung minggu tersebut.
Chapter 5
Hanya 3 hari selepas perbualan telefon saya dan Mahani, ibu saya menelefon mengatakan Mahani terbunuh dalam satu kemalangan jalanraya. Saya dan ayah menziarah Uncle Malik. Beliau kelihatan sugul dan longlai. Khabarnya Mahani adalah anak yang paling rapat dengannya. Auntie Hayati sempat tiba di perkuburan Bukit Kiara ketika jenazah berada di sisi liang lahad. Mereka sekeluarga berkumpul mengelilingi jenazah Mahani yang dikapankan, menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Ketika kubur dikambus, Auntie Hayati turut mengambil segenggam pasir dan menjirusnya perlahan ke dalam liang.
Chapter 6
Sebulan dua selepas perginya Mahani, kami sekeluarga menziarah Uncle Malik di rumahnya. Beliau menjaga ibunya yang terlantar sakit. Uncle Malik menunjukkan keratan akhbar mengenai kerjaya Mahani (editorial itu dipaparkan dalam The Star beberapa hari setelah arwah meninggal). Beliau juga menunjukkan kad harijadi terakhir dari Mahani kepadanya yang buat pertama kali tidak menyatakan selamat hari jadi yang ke berapa --- seolah-olah ianya adalah 'kad harijadi untuk selamanya'.
Chapter 7
Saya membeli kereta pertama, Daihatsu Charade Aura CX second hand. Tak sampai 5 bulan digunakan, enjin meragam. Setelah tiga kali masuk workshop dan beratus ringgit habis, ayah suruh saya menghubungi Uncle Malik. Beliau membawa saya bertemu mekaniknya di Ampang Hilir dan wah-lahhh.... selepas itu Charade saya menderu seperti baru.
Chapter 8
Kami agak kerap bertemu kemudiannya terutama setiap kali ayah dan mak datang ke Kuala Lumpur. Uncle Malik memang gemarkan nasi lobak merah resepi istimewa keluarga kami. Uncle Malik jugalah yang membawa ayah saya ke sana sini melawat rakan-rakan sekitar Lembah Kelang setiap kali ayah saya ada di sini. Beliau tetap single dan tidak berkahwin lain walaupun bisnesnya beruntung 'juta-jutaan'. Katanya hidup beliau adalah untuk anak-anak dan ibunya yang sudah tua. Tidak perlu pasangan ganti. Baginya perkahwinan adalah untuk sekali seumur hidup.
Chapter 9
Sekitar tahun 2007, saya mendapat berita Uncle Malik didiagnos dengan kanser. Ibunya telah meninggal dunia. Suraya berpindah ke Singapura dan Karim berhijrah ke Australia. Pertemuan kami di satu hari sebenarnya mencuakkan saya. Di sebabkan kimoterapi, rupa paras Uncle Malik tidak kelihatan seperti dulu. Namun sikap ceria dan riangnya tidak berubah. Sepanjang beliau sakit, seorang sepupu beliau di Shah Alam yang menjaganya. Kali terakhir saya bertemunya ialah ketika majlis perkahwinan anak salah seorang 'geng' ayah saya.
Chapter Akhir
Seminggu lepas Uncle Malik dimasukkan ke Hospital UKM dan semalam, ke ICU. Menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 7 malam tanpa seorang pun anak-anak berada disisinya. Melalui telefon, Karim merayu agar pengkebumian ditangguhkan seketika hingga ke petang ini kerana beliau mempunyai masalah mendapatkan flight dari Australia. Rayuan tersebut ditolak sepupu Uncle Malik.
Saya berada di tapak perkuburan Bukit Kiara sekitar 10.30 pagi tadi dengan ayah (yang datang 'all the way' dari kampung) dan ramai rakan taulan. Jenazah tiba sekitar jam 11am dan tapaknya berhampiran dengan pusara Mahani. Suraya sempat tiba dari Singapura sebaik sahaja jenazah hendak diturunkan ke liang lahad.
Suraya merayu-rayu; "Please... let me have a look at his face for the last time". Sepupu Uncle Malik yang menguruskan jenazah memberi isyarat tidak boleh.
"PLEASE... HE'S MY FATHER!!!!". Isyarat yang sama. Tidak boleh. Suraya kelihatan amat kecewa.
Entahlah... saya masih cuba mencantumkan keping-keping kenangan di antara keluarga kami dan keluarga Uncle Malik. Namun yang pasti, jauh di sudut hati saya percaya bahawasanya jam 7pm semalam ketika roh beliau tercabut dari jasad, Mahani sudahpun menunggu beliau di Sana. Dan ketika di Padang Mahsyar, memimpin tangannya memasuki pintu syurga.
Uncle Malik, we'll miss you.
Al-Fatihah.
1 comment:
Al-fatihah
takziah buat keluarga & rakan2 sahabat handai Almarhum Uncle Malik
Post a Comment