Friday, March 14, 2008

"Just Do Your Job, Dammit!!!" (Bahagian II)

Seharian semalam terlantar. Sakit gigi di sebelah kiri. Bermacam saya cuba dari menelan berbiji Panadol & Ponstan, memberus gigi berkali-kali hinggalah berkumur dari Listerine ke air garam. Peliknya, kuman yang menyebabkan sakit tu seakan tahu melarikan diri. Sekejap ke atas (menyebabkan sakit di bahagian atas), sekejap ke bawah, ke tengah (dan seterusnya).

Semalam ada rakan meninggalkan 'jerit' pada Shoutbox di blog Bandar Utopia. Katanya; "Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar". "Jangan jadi Melayu tak sedar diri". "Ada kalanya apa yang hendak dititipkan ditapis dahulu".

Mungkin peninggal jeritan itu merujuk kepada artikel-artikel berbau politik yang saya nukilkan sejak beberapa minggu sudah. Sebenarnya, mereka yang sudah agak lama mengikuti nukilan-nukilan saya tentu sedar bahawa saya bukanlah gemar sangat berbicara tentang politik. Malah sejak saya aktif menulis dari tahun 2001, artikel 'politik' saya boleh dikira dengan jari. Saya juga pernah menerima tawaran dari seorang Menteri Kabinet untuk menjadi salah seorang penulis pojok parti namun saya terus saja menolaknya.

Daripada berbicara tentang subjek politik itu sendiri, saya lebih cenderung kepada bentuk pemikiran yang menjurus ke arah penghasilan sesuatu ideologi. Saya gemar melihat dari berbilang sudut (Metoda Pemikiran Saintifik) dan paling penting, segala penulisan itu harusnya dizahirkan secara jujur (Menulis Dari Hati).

Jadi berdasarkan kepada pandangan yang adil (mengambil kira berbilang sudut fakta) dan ikhlas (berdasarkan nawaitu) itulah saya menulis "Just Do Your Job, Dammit!!!", "Di Landasan Yang Sama Rata", "Kredibiliti Bukan Sekadar Pada Rupa" dan yang terbaru "Tiada Hinanya".

Saya juga ada menerima respons dari seorang sahabat bertanya bagaimanakah seseorang yang kelihatan 'pro-BN' seperti saya boleh secara tiba-tiba seakan 'berpaling tadah'? Untuk rekod, biarlah saya katakan bahawa saya bukanlah 'pro-BN' tetapi saya menyokong mana-mana usaha dari mana-mana parti politik yang mengutamakan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat. Sebelum 2004, satu-satunya parti yang mempunyai rekod terbukti (proven record) dalam hal ini ialah BN. Malah sekarang inipun, BN merupakan satu-satunya parti yang ada pengalaman sedemikian dan ada antara kejayaannya yang diiktiraf serata dunia (dan ada juga negara lain yang mengambilnya sebagai model contoh).

Jadi andai saya merasakan bahawa sumbangan dari parti berkenaan dalam beberapa tahun lepas begitu mengecewakan, berterabur, tak dapat menangani isu-isu penting (atau lebih bersikap 'tutup sebelah mata'), berbau perkauman melampau (mencium keris, ancaman menghalau bukan Melayu dari Malaysia) dan yang paling penting --- mencampur-adukkan hubungan keluarga dengan politik --- saya kira adalah menjadi hak saya untuk menimbangkan alternatif lain.

Satu lagi respons diterima bertanyakan apa perasaan saya bila kampung saya sekarang ditadbir oleh Kerajaan Negeri PAS. Untuk komen ini, saya kena buat bullet point, ahaks....

(a) Saya lihat PAS memiliki perubahan besar dalam kempen pilihanraya kali ini, yakni mereka lebih menumpukan kepada 'strategi yang akan dilakukan' andai mereka berkuasa berbanding 'nak tubuh negara Islam' yang mereka sering war-warkan. Saya juga sebenarnya tertarik dengan Manifesto Negara Berkebajikan mereka. Sama ada mereka mampu melaksanakannya atau tidak pada saya mereka yang lebih tahu. Namun sebagai seseorang yang gemarkan inisiatif baru, manifesto tersebut adalah seperti 'a breath of fresh air'.

(b) Bertahun kebelakangan ini, malah sejak bersekolah, saya sering dibayangi bahawa Kelantan di bawah PAS adalah mundur dan ketinggalan dari segi pembangunan. Walaupun argumen ini memiliki merit, setelah berkahwin dengan awek Kelantan dan telah beberapa kali pulang ke sana untuk beraya, saya dapati keadaan di Serambi Mekah itu tidaklah seteruk yang dipancangkan oleh media arus perdana. Sekali lagi untuk rekod, saya amat kagum melihat bagaimana rakyat Kelantan sudah kembali berniaga pada Hari Raya Kedua --- ketika umat Islam di negeri lain masih tersadai kekenyangan dek ketupat, dodol dan lemang. Jadi bila difikir-fikirkan; "They must be doing something right, so why not give them a chance?" Peluang untuk mereka membuktikan.

(c) Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang Komunikasi Korporat dan perniagaan kecil-kecilan, saya perlu bertemu dengan berjenis-jenis manusia. Baik untuk urusan perniagaan mahupun urusan libur. Sebenarnya saya sudah muak dengan kata-kata sombong sesetengah orang yang saya temui bahawa; "Asalkan ada duit, sure boleh dapat projek dari Kerajaan atau Majlis Bandaraya/Perbandaran". Golongan ini tidak mempercayai merit dan mengenepikan sama sekali kualiti 'deliverables' mereka, asal saja bayaran diterima dan poket berisi. Malah jarang sangat saya dengar golongan ini berbicara tentang merit. Mereka lebih gemar berbicara tentang 'kabel kuat' dan 'siapa yang boleh masuk kantung'. Mungkin itulah sebab bumbung beberapa kompleks kerajaan runtuh, bumbung Parlimen bocor dan jalanraya retak dalam 4 tahun sebelum ini.

(d) Ada juga antara orang-orang yang saya sebut dalam (c) tadi begitu gah berbicara tentang politik dan bagaimana merekalah 'generasi baru orang Melayu' ketika ditangan mereka terdapat segelas Draught Beer. Pada saya, bersembanglah sampai pagi esok tentang politik atau 'memperjuangkan rakyat' tetapi jangan menipu diri sendiri. Kesalahan paling besar yang sering dilakukan kebanyakan politikus dan penulis blog adalah mengandaikan bahawa pemikiran mereka yang kerdil itu 'mewakili suara rakyat majoriti'. 'Disillusionment' sebegini selalunya akan memakan diri. Contoh terbaru ialah daripada BN sendiri. Nak tahu mana 'suara rakyat majoriti'? Pergi ke kampung-kampung di luar bandar. Jangan sekadar melepak di kelab-kelab eksklusif, padang-padang golf atau setidaknya Starbucks dan mulut gah berbicara tentang kononnya suara mereka mewakili 'suara majoriti'.

Jadi harapan saya kepada Kerajaan PAS di Kedah ialah:

(a) Tumpukan dahulu pada pembangunan negeri dan kesejahteraan semua kaum. Soal Hudud tu tak perlu dibangkitkan ketika ini. Killjoy. Ingatlah hakikat bahawa masyarakat mengundi PAS bukanlah kerana mereka menyokong, namun kerana mereka tidak memiliki alternatif lain untuk menunjukkan protes. Berpijak di bumi nyata. PAS menang kerana imej yang tidak begitu fundamentalis seperti sebelum ini. Dah menang, kepala jadi besar sikit. Jadi kecilkanlah kembali kepala itu dan lakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Seperti posting saya sebelum ini, "Just Do Your Job, Dammit!!!"

(b) Banteras gejala rasuah. Dalam empat tahun sudah, ada beberapa projek di Kedah yang menelan berjuta ringgit namun selepas itu menjadi gajah putih. Tak perlulah saya bariskan di sini. Pastikan yang bersalah dibawa ke muka pengadilan rakyat dan perkenalkan metoda tender yang lebih telus berdasarkan merit dan bukannya kerana si pengunjur tender itu 'orang kuat parti' atau 'saudara mara'.

(c) Saya 150% bersetuju untuk diperketatkan penjualan minuman keras yang mana orang Islam sewajibnya dilarang sama sekali mengambilnya. Ini berdasarkan pengalaman peribadi terhadap betapa mudahnya budak-budak sekolah mendapatkan minuman keras yang seterusnya menjurus kepada gejala-gejala sosial yang lain.

(d) Hapuskan golongan rempit. Sekali lagi, ini merupakan pengalaman orang terdekat yang sekali itu pernah dikepung segolongan rempit kurang ajar ketika beliau ke surau untuk solat subuh. Dakwah Islamiyyah dari orang-orang kuat PAS mungkin mampu melembutkan hati remaja-remaja ini. Bukannya dengan menyatakan sokongan terangan seperti yang dilakukan oleh Putera Rempit dan membawa beberapa 'bekas rempit' untuk terjun di Kutub Utara (dan menghabiskan berjuta-juta wang hasil cukai) yang akhirnya tidak berkesan langsung membendung gejala ini.

(e) Jauhi isu perkauman dan jangan mudah melatah. Contoh terbaik ialah nukilan beberapa bloggers yang pada saya terdorong emosi bila saja Presiden DAP mengumumkan boikot upacara perlantikan MB Perak. Memang Kit Siang buat salah. Namun jangan dituang minyak pada api. Bersifat rasional. Bila parti dan penyokong bersifat racist, masyarakat bukan Melayu yang mengundi PAS sebelum ini akan merasa 'resented'. Pilihan di tangan PAS --- sama ada untuk kekal berkuasa (dan meluaskan pengaruh) empat tahun selepas ini ataupun inilah satu-satunya catatan dalam sejarah yang mana PAS pernah memerintah Kedah untuk satu penggal sahaja.

(f) Beri peluang kepada penganut agama lain bersuara. BN sudah kecundang dalam menangani isu ini. Pada saya inilah peluang PAS membuktikan nur Islam yang sebenar --- yakni bersifat progresif, berfikiran saintifik dan bertoleransi. Andai ini dapat dilakukan dari sebuah parti yang sebelum ini kelihatan seperti bayang-bayang Taliban, pada saya ini adalah satu kemenangan yang besar dan mampu memperbaiki imej Islam yang banyak tercalar sejak 11 September 2001.

Akhir kata, saya kagum dengan keberanian MukhrizM menyatakan apa yang terbuku di hati secara terbuka. Terutama di saat yang lain memilih untuk berdiam diri atau sekadar menunggu orang lain memulakannya.

Sekali lagi, untuk semua calon pilihanraya yang menang, tanpa mengira sama ada anda dari BN, PAS, PKR atau DAP...

....JUST DO YOUR JOB, DAMMIT!!!

No comments: