Monday, March 10, 2008

Tiada Hinanya

Tidak dapat tidur malam ini. Mungkin kerana berjaga sehingga subuh menantikan keputusan Pilihanraya 2008 pada pagi Ahad (dan baru tidur lewat petang tadi) membuatkan jam tubuh saya terganggu seketika.

Buka Web Browser dan layari laman Utusan Online. Terpampang headline "PM Tak Letak Jawatan: Angkat Sumpah Pukul 11 Pagi Ini - Saya Akan Teruskan Perjuangan". Wartawan Utusan memaparkan beberapa petikan kata-kata YAB Pak Lah sewaktu majlis bersama penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) di Kompleks Seri Perdana malam tadi:

"Saya akan teruskan perjuangan dan tidak akan meletakkan jawatan!" (perhatikan 'exclamation mark' di sini)

"Buat apa saya hendak letak jawatan, parti kita menang, saya tidak takut dan tidak gentar pada sesiapa kecuali Allah SWT".

Beginilah...

Saya berusia 39 tahun pada tahun ini. Sepanjang kederat saya mengenali apa itu dunia politik, saya kira inilah kali pertama dalam sejarah negara BN mengalami hasil pilihanraya yang sebegini teruk.

Selain memuhasabah diri, BN setidak-tidaknya harus memohon maaf kepada semua masyarakat Malaysia kerana hakikatnya apa yang berlaku dalam empat tahun sudah telah banyak memberi impak terhadap kepercayaan masyarakat tentang kredibiliti, 'kebersihan' dan hasil kerja BN. Ini merupakan satu senario yang amat-amat berbeza berbanding ketika BN menerima kemenangan besar dalam Pilihanraya sudah.

Jika dahulu ada yang memberi analisa bahawa kemenangan BN 'membuktikan Pak Lah disukai ramai', kekurangan pada tahun 2008 ini (saya tidak mengatakan 'kekalahan' kerana secara teknikal, BN masih menang) --- sedikit sebanyak seharusnya juga bertitik tolak pada kemungkinan bahawa masyarakat mula mempersoalkan kewibawaan Pak Lah menerajui negara.

Jika dilihat fenomena Mawi satu ketika dahulu, saya kira salah satu sebab kejatuhan (atau kekurangan populariti) beliau pada masa ini adalah kerana pemaparan media massa yang 'over-exposed' terhadap anak Felda Taib Andak ini sejak siri Akademi Fantasia 3 berlangsung.

Exposure yang berlebihan kadangkalanya akan membuat orang naik rimas dan perlahan-lahan rasa meluat. Apatah lagi bila pemaparan itu balik-balik menceritakan betapa 'gahnya' individu atau organisasi berkenaan sekaligus memperlekeh-lekehkan orang lain. Mungkin senario yang berbeza akan terjadi andai parti-parti lain juga diberi peluang sama rata menonjolkan diri di arus media perdana. Namun sayangnya ini tidak berlaku.

Pada mulanya 'over-exposure ini hanya berkisar di stesen-stesen TV 'terrestrial' seperti RTM dan TV3. Namun apabila hampir setiap selingan iklan di Star World dan AXN juga mula memaparkan iklan BN, saya mula rasa rimas.

Memandangkan BN begitu giat memaparkan iklan-iklan TV dan suratkhabar yang pada saya 'over-exposed' berminggu-minggu sebelum hari membuang undi (tidak termasuk ampu berlebihan oleh stesen TV3), saya cadangkan BN menggunakan kesempatan ini untuk mengeluarkan siri iklan 'memohon maaf' kepada masyarakat Malaysia.

Memohon maaf kerana mensia-siakan harapan masyarakat untuk melihat perubahan yang lebih baik apabila Pak Lah dilantik sebagai PM penggal sudah. Memohon maaf kerana membiarkan perhubungan mertua-menantu mencalarkan persepsi masyarakat terhadap kredibiliti Pak Lah sebagai pembuat keputusan. Memohon maaf kerana kesombongan dan 'over-confident' hingga sanggup menidakkan hakikat bahawa barisan Kerajaan adalah dipilih oleh rakyat. Memohon maaf kerana meminggirkan beberapa isu sehingga ia menjadi parah. Memohon maaf kerana adanya beberapa individu yang bersifat perkauman, chauvinis dan berkepentingan peribadi menyalah guna kuasa untuk habuan sendiri (seperti membina Mahligai Klang contohnya).

Selain dari itu, nyatakan komitmen bahawa BN akan bersungguh-sungguh melakukan perubahan dan 'rebranding' untuk memenangi semula hati masyarakat.

'Storyboard' nya mungkin tidak perlu kompleks. Cukup berlatar belakangkan putih, kemudian fade-in/out Pak Lah memohon maaf. Kemudian, barisan kabinet yang lain berdiri di belakangnya. Putarkan siri iklan ini sebagaimana kekerapan putaran iklan kempen pilihanraya tempoh hari. Jika sebelum ini, kekerapannya menimbulkan rimas, biarlah kali ini hingga orang berkata; "Yeah... ok... you apologized. Apologies accepted..."

Lebih penting lagi, maaf itu harus dilakukan dengan ikhlas dan bukannya sekadar menagih simpati atau 'publicity-stunt'.

Akhir sekali, jika dalam siri The Apprentice, Pengurus Projek sesuatu tugasan akan dipertanggungjawabkan bila sahaja pasukan itu kalah hingga mengundang kalimah popular Donald Trump, "You're Fired!!!" --- dalam konteks ini seseorang dalam BN juga harus menanggung konsekuens yang serupa.

Lakukan dengan 'gentleman'. Bukan kerana mengaku kalah. Namun kerana matang dan akur bahawa ini adalah tanggungjawab beliau.

Lagipun tiada hinanya semua ini andai dilakukan dengan ikhlas.

Malah ia akan menunjukkan karekter peribadi yang tinggi dan sifat rendah diri yang seharusnya ada dalam setiap politikus yang dilantik berdasarkan amanah dari rakyat.

No comments: