Tiada apa-apa rancangan yang menarik di Kotak Bodoh malam ini, jadi saya sekadar santai melayan TV terrestrial untuk membuang masa. Yang sebahagian saya membolot komputer Mac, manakala serikandi dan pahlawan pula sibuk bermain bersama.
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ke udara secara langsung. Satu demi satu artis dan penggiat seni tampil memenangi hadiah bernilai ratusan ribu ringgit berkat 'sokongan' mereka yang mana definasi kebahagiaan adalah dengan menghabiskan wang gaji, wang biasiswa atau wang ibubapa mengirim sama ada undian SMS mahupun melalui borang di akhbar.
Kemuncak acara ialah pengumuman pemenang Artis Paling Popular 2007 yang akan membawa pulang sebuah kereta Peugeot 407 2.0 beserta barang kemas sumbangan Habib Jewels. Seperti yang sudah dijangka, Raja SMS Mawi menang lagi. Tidak mengira sama ada terdapat yang lebih berhak atau lebih layak, sama ada suara atau persembahannya ada peningkatan sepanjang tahun lepas atau sama ada Mawi ada menyumbang ke arah pembangunan negara dan insaniah. Asal ada saja Mawi dan format undian seumpamanya, pasti beliau menang.
Tulisan saya pernah disiarkan di blog Sultan Muzaffar sekitar musim ketiga Akademi Fantasia dahulu, mengupas kenapa kelibat Mawi mampu menjadi fenomena di persada seni tanah air walaupun 'bakat'nya bagi saya hanyalah sekadar 'average' sahaja:
"Ramai dari kita yang boleh 'identify' dan 'relate' dengan Mawi. Seorang yang berasal dari kampung, juara qari, pandai bersilat dan sentiasa berusaha membantu keluarganya. Mungkin 2-3 bulan lepas Mawi hanyalah seorang pemuda kampung biasa yang bekerja, memiliki awek/tunang dan menjalani kehidupan 'biasa'. Namun mungkin beliau sendiri tidak menyangka betapa hidupnya akan berubah. Mungkin ujibakat AF yang dihadiri secara suka-suka pada satu hari itulah sebenarnya yang bakal merubah terus kehidupannya".
Mungkin Mawi merupakan refleksi segolongan kita yang merasakan hidup ini 'tidak ke mana', sering gagal dalam usaha memajukan diri dan kecewa dengan keadaan hidup. Satu hari, dengan lencongan kejadian dari Tuhan Yang Satu, tiba-tiba memiliki segalanya. Jadi dengan 'berjayanya' Mawi, golongan ini mendapat suntikan semangat --- bukan untuk berusaha mencapai kejayaan dengan gigih --- tapi dengan terus-terusan 'memenangkan' Mawi.
Ini kerana bila Mawi memenangi sesuatu, mereka merasakan diri mereka juga turut menang.
Mungkin inilah penjelasan rasional yang simplistik terhadap kenapa walau setelah beberapa tahun Akademi Fantasia musim ketiga berlalu, Mawi masih kekal memenangi pertandingan sebegini. Mungkin (kerana saya tidak mempunyai data undian secara terperinci) Mawi bukanlah 'Artis Paling Popular' tetapi 'Artis Yang Mana Peminat Sanggup Menghabiskan Duit Menghantar Undian Berkali-Kali'.
Mungkin parti pemerintah boleh mengumpan Mawi dan sewaktu pemilihan Majlis Tertinggi kelak, jadikan beliau salah seorang yang memegang jawatan penting. Mungkin nanti walau apa saja krisis atau isu caca merba yang dihadapi parti berkenaan, faktor Mawi akan memastikan sokongan dari sektor tertentu akan kekal ada. Sokongan akan kekal ada walaupun Mawi tertidur sewaktu perbahasan, walaupun mana-mana saudara terdekatnya melatam wang rakyat atau walaupun beliau sendiri mempamerkan kain rentang yang berbunyi menghina Sultan.
Percayalah!
Taksub kepada seseorang, tak kiralah beliau itu pemimpin atau selebriti, merupakan bentuk ketaksuban yang paling mudah dieksploitasi.
No comments:
Post a Comment